Saturday, July 21, 2012

... Salam Ramadhan ...


"Ku mengharapkan Ramadhan 
Kali ini penuh makna
Agar dapatku lalui
Dengan sempurna"
(Petikan lagu 'Harapan Ramadhan' - Raihan)


Syukur Allah mengizinkan kita mengecapi nikmat Iman dan Islam...
Syukur Allah mengurniakan kita satu bulan dengan penuh barakah...
Syukur Allah jadikannya padanya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan...
Syukur Allah naungi kita dengan rahmat dan hidayahnya...
Syukur Allah pertemukan lagi kita dengan bulan yang mulia ini...
Ramadhan Kareem...
Salam Ramadhan untuk semua...

Sunday, July 15, 2012

3 Years Of Blogging

15/7/2009 adalah tarikh bermulanya saya mencoretkan sesuatu di laman blog ini. Post pertama saya bertajuk 'Rencah Kehidupan'. Sedar tak sedar sudah tiga tahun saya mewujudkan diri sendiri di alam siber. Maka blog 'Life Is Not Easy' ini pun telah berusia tiga tahun...:)

Sebelum ini pengetahuan saya tentang blog adalah zero, sehinggalah seorang kawan memperkenalkan saya tentang kewujudan tapak blog. Katanya, di ruangan ini kita boleh berkongsi sesuatu dengan rakan-rakan dan penghuni siber lain yang tidak kita kenali. Thanks to my dear friend. Dari sini saya melawat ke blog rakan-rakan yang lain - ramai di kalangan mereka yang memuatkan kisah-kisah peribadi tentang diri, coretan kehidupan, berkongsi foto, video dan apa saja bingkisan. Dari situlah ilmu tentang dunia penulisan blog ini bertambah sedikit demi sedikit.

Kini, terhasillah blog 'Life Is Not Easy' milik saya. Kenapa saya memilih nama 'Life Is Not Easy' untuk blog saya, nanti saya kongsikan di lain entry. Insya Allah... Di awal penulisan agak slow dan kata adik saya, sangat skema. Thanks to my dear sis... sentiasa menjadi pengkritik bebas saya...:) Blog saya ini hanya blog biasa dan sangat biasa, thanks to all readers yang sudi berziarah ke sini. Selagi termampu saya akan terus mencoretkan sesuatu di sini. Insya Allah...

Saya ingin kongsikan sebuah hadis tentang bagaimana kita bermuamalah dengan rakan-rakan siber lain yang hidup bersama-sama dengan kita di alam siber.

Daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetangganya dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."

Oleh yang demikian, jika kita tidak ada apa-apa yang baik untuk diperkatakan atau dikongsikan di alam siber, maka lebih baik kita berdiam diri. Kita harus menghormati pengunjung dan penghuni siber yang lain. Sebagai mana kita menjaga akhlak di alam nyata begitulah juga kita apabila berada di alam siber...peringatan untuk diri sendiri juga yang sentiasa alpa...

Akhir kalam... Have a nice day to all... 

 


Tuesday, July 10, 2012

Perlu Memilih, Tapi Bukan Cerewet


Analogi mengenai buah durian yang 'dipostkan' oleh Madam Fauziah, lecturer saya di wall Facebooknya beberapa hari lalu, saya rasakan sangat menarik untuk dikongsikan di sini. Apatah lagi isu mengenai jodoh sering menjadi topik perbualan dan pertanyaan.

"Memilih pasangan hidup hampir ada persamaan dengan memilih durian. Perlu berhati-hati agar tidak terkena duri yangg tajam. Jangan hanya melihat kulit yang cantik dan bau yang harum saja kerana isinya mungkin tidak elok.
Perbezaannya memilih durian tidak perlu istikharah, tetapi memilih pasangan amat penting beristikharah memohon petunjuk dari Allah. kalau terbeli durian kurang baik, masih boleh dibuat tempoyak. Tetapi kalau tersilap pilih pasangan hidup....mungkin ada yg menangis tidak berlagu."

Teringat saya reaksi seorang kawan apabila ditegur oleh seorang mak cik yang mengatakan dia terlalu memilih, sehingga kini belum berkahwin. Bagi saya, soal jodoh perlu memilih, bukan seperti membeli ikan di pasar. Memilih bukan bererti cerewet... Sudah menjadi lumrah, semua orang inginkan yang terbaik.  Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya. 

Jodoh itu ketentuan Allah... Sekiranya itu bukan jodoh kita, sekuat mana pun kita berusaha dan sehebat mana pun kita pertahankan... Kita hanya merancang, namun Allah adalah sebaik-baik perancang. Sekiranya itu jodohnya, sekuat mana pun kita mengelak, akan tetap bersatu.
 
"... Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." - (Surah Ath-Thalaq, 65: 3)


Pada hemat saya tidak perlu tergesa-gesa dalam membuat pilihan mengenai jodoh hanya kerana mengikut tuntutan emosi dan rasa. Akhirnya, bahtera yang dibina dengan tergesa-gesa ini terhalang dari keharmonian dan kesudahannya perceraian menghiasi tuntutan di mahkamah.

Have faith in Allah always and place your full trust in HIM

Wallahu a'lam.


Sunday, July 8, 2012

Corak Coret Ramadhan


 

Masa terlalu pantas meninggalkan kita... Lebih kurang dua minggu lagi kita akan menyambut kedatangan Ramadhan. Bulan yang cukup meriah, bukan sahaja dengan ibadat puasa malah turut dihiasi dengan solat sunat terawih dan ibadat-ibadat lain.

Ketika ini ramai yang berbicara mengenainya. Di laman sosial Facebook juga ada rakan-rakan yang 'mengeposkan' status-status yang dapat mengingatkan kita semua mengenai kedatangan bulan yang mulia ini. Ada juga yang berbicara tentang hutang puasa yang belum tertunai... Terlupa jumlah hari puasa yang perlu diqada atau terlupa jumlah hari puasa yang telah diganti. Di sini sedikit perkongsian ilmu tentang permasalah ini.  

Syeikh Ibn Uthaimin rhm ada mengemukakan jawapan ketika ditanya soalan seperti ini.
  • Jika ragu-ragu jumlah hari yang belum diganti ialah tiga atau empat hari, maka hendaklah diganti tiga hari kerana yang sedikit itu lebih yakin. Namun, jika ingin mengqada puasa hingga empat hari diharuskan.
  • Jika tidak pasti jumlah hari puasa yang tertinggal atau belum diganti, maka hendaklah dikira berdasarkan kebiasaan puasa yang ditinggal. Jika puasa ditinggal sebab haid, maka jika haid biasa mengambil masa enam hari, maka gantilah puasa selama enam hari.
(Sumber : Majalah Solusi, Isu No 33)
Ada juga di kalangan kita sedang berkira-kira untuk membuat perniagaan (bazar Ramadhan dan perniagaan biskut raya dan sebagainya yang berkaitan dengan raya) sempena bulan yang mulia ini. Ada yang mengatakan bulan Ramadhan bulan rezeki. Apa pun perancangan kita, semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan penuh dengan pengisian.
Ayuh kita amalkan...

 Sumber : Facebook


Friday, June 29, 2012

Kembalikan Mood Ceria Dengan Aiskrim

Aiskrim, yumyum... kelazatannya bagi saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi menikmati kelazatannya ketika cuaca panas. Sungguh menyamankan tekak yang kering. Di pagi jumaat penghulu segala hari ini, saya ingin mencoretkan sesuatu tentang aiskrim.

Saya masih ingat, dahulu sewaktu zaman persekolahan ayah selalu belikan saya aiskrim kon yang dijual oleh pak cik motor di tepi pagar sekolah. Waktu itu harganya hanya 20sen. Walaupun murah dan tidak mengujakan seperti aiskrim yang berada di pasaran hari ini, tetapi ia memberi kepuasan tersendiri. Kini  terdapat pelbagai jenis aiskrim yang telah diubah suai daripada konsep asalnya dan dilengkapi dengan hiasan yang mengujakan seperti salutan coklat dan cip coklat.

Di sebalik kelazatan aiskrim, ada sesuatu yang tersembunyi... Aiskrim boleh mendatangkan mood ceria dan gembira di saat kita bersedih. Kenapa? Mungkin kerana sifatnya yang manis, dingin dan menyenangkan apabila ditelan. Aiskrim bukan sahaja dapat dirasa oleh lidah, bahkan juga dirasai oleh mata dengan pelbagai warna yang menarik di atasnya. Jika kita perhatikan kebanyakkan drama korea seperti 'Fullhouse' dan 'Boys Over Flower' menggunakan aiskrim sebagai pemujuk.

Apabila dihulurkan sahaja aiskrim walaupun tanpa hiasan yang mengujakan, pasti hati menjadi cair dan kembali ceria. Begitulah kuasa aiskrim boleh mengubah suasana. Bukan itu sahaja, bagi saya aiskrim juga boleh dijadikan sebagai alat untuk meraikan sesuatu yang begitu peribadi... mungkin di saat kita gembira... Saya pernah meraikan tamatnya peperiksaan akhir (final exam) dengan menikmati kelazatan aiskrim.

Ini aiskrim kegemaran saya dan adik...yummy

Ayuh, kembalikan mood ceria dengan aiskrim...:)

### Menikmati kelazatan aiskrim di tepi padang Mahallah Saffiyyah, UIAM masih terpahat di hati... Sweet Memory ###


Sunday, June 24, 2012

Coretan Buat Adik

Antara CINTA dan CITA-CITA

Yang mana menjadi pilihanmu? Di saat ini mungkin kamu binggung membuat pilihan...

Mungkin kamu terpaksa...
Korbankan CINTA demi CITA-CITA atau
Korbankan CITA-CITA demi CINTA.... KERANA

Mungkin kamu fikir...
Hadirnya CINTA akan memberi semangat dan dorongan untuk mengejar CITA-CITA atau
Hadirnya CINTA akan melalaikan dirimu dari terus mengejar CITA-CITA

Pastinya kamu masih keliru... Ayuh kita perincikan apa itu CINTA dan apa itu CITA-CITA.


Perasaan halus yang lahir dari hati yang ingin dicintai dan disayangi, mencintai dan menyayangi... Wah, pasti kamu merasakan indahnya hidup dengan CINTA... Tetapi, awas CINTA manusia hanya bersifat sementara. Hati manusia sering berubah-ubah. Jangan terjerat dengan CINTA manusia... Perjalananmu masih jauh beibu batu.
Di saat ini CINTA ALLAH perlu didahulukan, kelak pasti ada CINTA insani buatmu.

CITA-CITA

Impian yang bersulamkan keazaman dan kesungguhan. Bukan angan-angan kosong, adanya matlamat yang perlu digapai dan kini tanggungjawab sebagai penuntut ilmu perlu diutamakan...
Demi keputusan yang cemerlang
Demi pekerjaan yang bagus
Demi jaminan kehidupan yang gemilang di dunia dan di akhirat
Di saat ini TUNTUTLAH ILMU, kelak pasti CITA-CITAmu akan tercapai.

Kini pilihan di tanganmu... Selami hati tanya diri.

CINTA TANPA CITA-CITA....CINTA manusia yang pastinya akan pergi meninggalkanmu suatu hari nanti
CITA-CITA TANPA CINTA... CITA-CITA yang hadir bersamanya adalah ilmu yang pastinya kekal di sisimu




Cinta pada bunga, bunga akan layu
Cinta pada manusia, manusia akan mati
Tapi, cinta pada Allah adalah 
Cinta yang kekal
 ABADI...





Coretan ini ditulis sebagai tanda kasih sayang seorang kakak kepada adiknya...:)

(Tulisan ini saya dedikasikan buat adik saya dan juga adik-adik yang masih berada di bangku sekolah)

Wednesday, June 20, 2012

Sulh penyelesaian di luar mahkamah


Sulh ialah kaedah alternatif (penyelesaian di luar mahkamah) kepada kaedah perbicaraan di mahkamah yang kebiasaannya mengambil masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi. Tuntutan atau permohonan yang dibuat mestilah melibatkan hak dan tanggungjawab dalam hal ehwal kekeluargaan Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Petang semalam seorang pak cik (jiran saya) menunjukkan notis mahkamah yang diterimanya kepada saya - notis kehadiran majlis sulh. Notis ini diterima ekoran daripada permohonan cerai yang difailkan oleh isterinya. 


Secara kebetulan seorang kawan pernah bertanya, apa itu majlis sulh? Di sini sedikit perkongsian ringkas tentang majlis sulh.

Apa Itu Sulh?
Secara amnya, sulh merupakan penyelesaian suatu pertikaian antara pihak yang bertikai dalam sesuatu isu dengan cara persetujuan bersama antara mereka sendiri dan bukannya diputuskan oleh pihak ketiga.

Majlis Sulh : Suatu proses perundingan terpimpin yang dijalankan sesuai dengan peraturan yang diperuntukan oleh syarak dan undang-undang dan berbeza dengan situasi perbicaraan di mahkamah kerana majlis sulh tanpa dihadiri oleh orang awam dan peguam syarie. Pihak-pihak yang bertikai boleh berunding dalam suasana yang selesa.

Pihak Yang Terlibat Dalam Majlis Sulh
Pihak yang membuat tuntutan (pemohon/plaintif)
Pihak yang kena tuntut (defendan)
Pegawai sulh

Pegawai sulh berperanan sebagai pengerusi majlis dan membantu kedua-dua pihak untuk mencapai persefakatan dan tidak mempunyai kepentingan (conflict of interest) serta bersifat kerahsiaan.

Faktor Kejayaan Majlis Sulh
  • Kedua-dua pihak bersedia untuk menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah
  • Kedua-dua pihak bersedia untuk berunding secara ikhlas dan terbuka
  • Kedua-dua pihak sedar bahawa penyelesaian adalah untuk kepentingan di masa hadapan
  • Kedua-dua pihak sedar akan implikasi jika kes diteruskan di mahkamah
Jika majlis ini berjaya - direkodkan sebagai perintah mahkamah
Jika majlis ini gagal - akan melalui proses perbicaraan

Doa saya semoga urusan pak cik dipermudahkan....
Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari...
   Dia datangkan petir dan kilat...
        Kita menangis dan tertanya-tanya...
              Kemana hilangnya sinar...
Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi   

Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya pak cik....