Showing posts with label buku. Show all posts
Showing posts with label buku. Show all posts

Wednesday, December 27, 2017

Design My Beautiful Day In This Beautiful Planner

Assalamualaikum...

Ramai tak yang suka Planner

‘A dream is just a dream… A goal is a dream with a plan’


Tadaa… This is my beautiful planner to design my beautiful day for next year, yang hanya beberapa hari je lagi. Dalam banyak-banyak planner yang saya survey, planner ini menjadi pilihan hati untuk tahun 2018. Harga, mampu milik dan dapat banyak free gift.


Ini merupakan tahun kedua planner sahabat ennur menjadi pilihan saya. Apa yang istimewa dengan planner ni?

  • Cover yang cantik berserta dengan casing planner.
  • Full of colors setiap helaian.
  • Tarikh bulan Islam disediakan.
  • Penuh dengan kata-kata motivasi yang membina.
  • Checklist yang pelbagai, rutin harian, ibadah, kewangan dan diet.
  • Saiz A5, mudah dibawa.
  • Kalendar cuti

Ada 2 color pilihan, putih pink yang menawan dan hitam gold yang elegant dan yang elegant itu pilihan saya. Manakala yang menawan itu pilihan adik. 



It’s really worth it! Awesome planner! Recommended!

Yang berminat dengan planner ni boleh like dan follow page @sahabatennur. Terbaik team sahabat ennur dan semoga tahun depan dengan planner yang lagi awesome...

Goals without a plan are just wishes…
Hope 2018 will become an amazing year for us!

Sekian, perkongsian untuk petang ini.


Thursday, August 3, 2017

Tombiruo Akan Berada Di Pawagam

Assalamualaikum...

Selamat tengah hari... Lunch apa hari ini??

Lunch saya tart kerang berinti jem nenas (kuih tart memang kegemaran) dan sekotak anlene coklat (yang ni bukan kegemaran tapi untuk kesihatan tulang kena minum).  Buat alas perut di tengah hari. Tengah hari ni teringin pulak nak buat post berkenaan Tombiruo yang tak lama lagi akan berada di pawagam. 

Sumber : KELABRAM

Perasaan saya sebagai salah seorang peminat Novel Ramlee Awang Murshid sangat teruja menunggu tarikh 12 Oktober 2017. Siapa yang pernah membaca novel Tombiruo pasti tidak sabar ingin melihat bagaimana kisah Tombiruo ini digarap versi filem. Harapan saya semoga Filem Tombiruo ini dapat mencipta kelainan kerana jalan ceritanya lain dari yang lain. 

Trilogi Novel Tombiruo

12 Oktober 2017... Nantikan lakonan Zul Arrifin, Farid Kamil dan Nabila Huda.

Sekian...

10 Zulkaedah 1438 Hijrah



Thursday, June 22, 2017

Buku Raya Ganti Duit Raya

Assalamualaikum...


Budaya memberi duit raya sudah menjadi amalan setiap kali tiba hari raya. Orang yang paling gembira adalah golongan kanak-kanak. Idea Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) telah mencipta satu kelainan iaitu, Buku Raya Ganti Duit Raya. Idea yang sangat menarik dan ada nilai tersendiri. Saya menyokong idea ini 200%.


Rasionalnya, mendidik kanak-kanak untuk dekat dengan buku dan membudayakan amalan membaca di kalangan mereka. Sempena Aidilfitri yang bakal menjelma ini, ITBM telah menawarkan 1,214 judul buku yang dijual dengan harga RM3, RM5 dan RM10. Terdapat pelbagai kategori buku antaranya, buku cerita, kisah dongeng, siri sang kancil, bahan bacaan tambahan, novel, cerpen, puisi dan banyak lagi. Untuk maklumat lanjut boleh layari 

Jika berkelapangan bolehlah buku tersebut dibungkus cantik-cantik seperti hadiah, pasti akan memberi perasaan teruja kanak-kanak terhadap pemberian itu. Pasti akan hilanglah rasa pelik mereka kerana tidak diberi duit raya. Semoga idea dan tawaran ITBM ini berterusan untuk tahun-tahun hadapan dan menjadi amalan…

Selamat membaca dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

27 Ramadhan 1438H

 Sekian...

Sunday, June 16, 2013

Best Ke Baca Novel?

"Best ke baca novel?" Tanya seorang kawan apabila dia melihat koleksi novel yang saya ada. Pada saya, best bagi orang yang suka membaca. Tengoklah ketebalan sesebuah novel, ada yang mencecah hingga 600 muka surat dan penuh dengan tulisan tanpa rajah. Mungkin orang yang tidak suka membaca merasakan ia tidak best. Ada juga yang merasakan membaca novel best dan menghiburkan berbanding membaca buku-buku ilmiah. Tidak menarik dan membosankan.

Saya memang peminat novel terutamanya novel-novel tulisan Ramlee Awang Murshid (RAM). Cinta pandang pertama saya dengan novel beliau ialah 'Rahsia Perindu'. Itulah novel beliau yang pertama saya baca. Sejak itu saya selalu mengikuti perkembangan novel-novel beliau. Ada beberapa novel tulisan beliau yang berkait rapat dengan dunia perundangan dan yang pasti semua novel tulisannya berbentuk thriller. Itu yang menarik minat saya untuk membaca kesemua novelnya.

Ini koleksi buku RAM yang saya miliki dan waktu gambar ini diambil masih ada 3 buah buku yang belum saya beli
 

Saya juga membaca novel-novel lain seperti karya Fauziah Ashari, Aina Emir, Lily Haslina, Sri Diah dan ramai lagi.
 
Kembali kepada persoalan di atas, terpulang kepada individu itu sendiri. Novel kini bukan sekadar cerita fantasi yang tidak berpijak kepada bumi nyata, tetapi ada ilmu yang dikongsi dengan pembaca. Baca novel mungkin langkah pertama untuk memupuk minat membaca.
 
Kepada peminat-peminat buku, Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR BH 2013 masih berbaki 7 hari lagi, ayuh hantarkan undian segera. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 23 Jun 2013.
 
 
 
 Sumber: Facebook Ramlee Awang Murshid Fun Club
 
Peminat novelist RAM berikan undian kepada 'Sunan Musafir'
 
Peminat novelist Fauziah Ashari berikan undian kepada 'kan Ku Kejar Cinta Kami'
 
Sedikit perkongsian tentang  penilaian dunia buku:
 
1 bintang - Teruk
2 bintang - Cuba baca dulu
3 bintang - Tak rugi baca
4 bintang - Patut baca
5 bintang - Rugi tak baca 
 
(Sumber: Berita Harian)


Friday, May 24, 2013

Anugerah Pilihan Pembaca 2013



Anugerah Pilihan Pembaca Popular BH 2013 bermula hari ini, jumaat 24 Mei 2013. Kepada semua peminat-peminat buku ayuh jangan lupa membuat undian untuk memilih tiga penulis dalam senarai laris di pasaran POPULAR Book Company (M) Sdn Bhd dalam dua kategori iaitu fiksyen dan bukan fiksyen.

Untuk mengetahui siapa penulis yang tersenarai boleh dapatkan berita harian hari ini dan borang undian.

Caranya:-

Borang undian boleh diperolehi melalui

-          -Berita Harian setiap jumat bermula hari ini dan semua cawangan kedai buku Popular di seluruh Malaysia.
-          -www.popular.com.my
-          -www.bookfestmalaysia.com

Menangi:-

-          Hamper buku bernilai RM100 bagi setiap pengundi online ke 1000
-         100 pembaca bertuah akan menerima baucer POPULAR bernilai RM50 berserta kad keahlian POPULAR  selama 1 tahun dan hamper buku bernilai RM100

UNDIAN BERMULA 24 MEI 2013 HINGGA 23 JUN 2013

Baca Untuk Undi, Undi Untuk Menang

Peminat-peminat novelist Ramlee Awang Murshid (RAM), jangan lupa undi untuk Sunan Musafir

Saturday, March 9, 2013

Macedonia Alexander Agung Hijab Raja Zulqarnain


 
 

Begitulah tajuk novel sejarah tulisan Web Sutera atau nama sebenar beliau ialah Hizamnuddin Awang. Melihat tajuknya sahaja sudah cukup untuk menarik saya membacanya bagi mengetahui apa pengisian yang terkandung dalam novel ini. Pada asalnya saya sendiri tidak pernah terfikir bahawa Alexander itu adalah Raja Zulqarnain yang digambarkan kisahnya di dalam Al-Quran. Penulis-penulis barat banyak menulis tentang Alexander dan mereka menyembunyikan kesahihan cerita yang sebenar tentang Alexander.
 
Sebagaimana yang diceritakan dalam Al-Quran, surah Al-Kahfi ayat 83-98, Zulqarnain atau Raja Zulqarnain merupakan pemerintah yang adil sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Beliau adalah perintis yang membebaskan dua dunia, Timur dan Barat. Novel sejarah ini adalah pencerahan kepada kebenaran yang disembunyikan oleh penulis-penulis barat mengenai Raja Zulqarnain dan mengaitkan beliau dengan Alexander.
 
Semasa membaca novel sejarah ini terasa diri mengembara dan berjalan bersama dengan watak-watak yang digambarkan oleh penulis. Jelas konsep penceritaan sejarah melalui cerita diolah oleh penulis dengan baik sehingga menjadikan ia seronok dan menghiburkan. Bukan bersifat fakta semata-mata. Pada setiap permulaan bab pula penulis memetik kata-kata hikmah dan terjemahan ayat-ayat Al-Quran sebagai panduan. Sebelum menghabiskan bacaan saya tertanya-tanya, wujudkah Kitab Cahaya Bersinar? Rupa-rupanya kitab ini merupakan catatan perjalanan Alexander yang ditulis oleh Sangarius, iaitu watak dalam novel ini. Tersenyum seketika. Setelah menamatkan bacaan, ternyata hijab di sebalik kepalsuan yang disembunyikan berjaya dibongkar.
 
Ketahuilah, Raja Zulqarnain seorang pemerintah unggul, kasih sayangnya ditunjukkan melalui keakraban pergaulannya dengan rakyat, keikhlasan dalam memberi khidmat dan simpati kepada rakyat sebelum rakyat memberi khidmat kepadanya. Perwatakkannya berjaya menyentuh hujung hati saya. Pada saya novel ini bukan sekadar novel, tetapi ada pengisian penting yang perlu kita tahu. Semoga kita tidak lagi dikaburi dengan pendustaan oleh penulis-penulis barat.
 
 
Antara yang menarik di dalamnya, catatan sejarah merekodkan Nabi Muhammad S.A.W memiliki sahabat, Sultan Muhammad al-Fateh juga ada sahabat. King Arthur ada sahabat pahlawan meja bulatnya, Hang Tuah dengan saudara berempat. Laksamana Sunan pun ada sahabatnya, begitu juga dengan Alexander.
 
Memetik kata-kata novelis thriller no 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid, “Karya ini seperti filem yang kaya dengan seni.”
Selamat Membaca!
 
Tidak sabar menunggu novel beliau seterusnya, ‘Konstantinopel Menjulang Panji al-Fateh’



Thursday, February 14, 2013

Adaptasi Novel Kepada Drama Satu Fenomena


Suka dengan novel ini yang kini sudah diadaptasikan kepada drama
 
“Arghh… Novel lagi”, itulah reaksi saya sewaktu menonton sebuah drama bersiri yang diadaptasikan daripada sebuah novel yang disiarkan di kaca televisyen baru-baru ini. Kini menjadi satu fenomena kepada penerbit dan produser mengadaptasikan novel kepada filem atau drama bersiri. Cerita yang diadaptasikan ini pula berjaya mendapat tempat di hati penonton. Antaranya drama ‘Adam dan Hawa’ yang diadaptasikan daripada novel ‘Adam dan Hawa’ ternyata berjaya mendapat sambutan yang hangat daripada penonton.

Melihat fenomena ini terdetik di hati, sudah tiada lagikah idea yang menarik untuk menghasilkan karya yang menarik selain daripada mengadaptasikan cerita novel kepada drama atau filem? Hakikatnya, kepuasan membaca dan menonton adalah subjektif,masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Paling tidak, novel yang tidak pernah dibaca sampai juga kepada masyarakat. Saya sendiri tidak pernah membaca novel ‘Adam dan Hawa’, dek kerana ia diadaptasikan kepada drama, telah mengerakkan hati saya untuk membeli dan membacanya.

Seperti mana yang kita maklum, tabiat membaca masyarakat kita masih lagi berada di tahap yang rendah, ini satu kaedah permulaan untuk menambah minat orang ramai untuk membaca walaupun hanya membaca novel. Ini kerana ada novel bukan sekadar cerita, tetapi ada ilmu dan mantap isi kandungannya. Bahkan juga, cara ini mungkin dapat mengubah tanggapan segelintir daripada kita yang menganggap novel adalah bacaan budak remaja yang tidak berpijak di bumi yang nyata. 

Bukan itu sahaja, penulis juga mendapat faedah apabila royalti mereka dinaikkan berkali ganda. Memetik kata-kata Novelis Sri Diah dalam tulisannya yang bertajuk ‘Kaji kenapa novel lapuk di gudang’ mengatakan, penat-lelah mereka menghasilkan karya berbaloi. Karya itu bukan sahaja laris dalam bentuk novel naskhah, bahkan sudah layak diadaptasi ke layar untuk lebih dinikmati oleh jutaan penonton. Ini bermakna lebih ramai lagi dapat menikmati hasil kreativiti penulis-penulis novel.  

Beberapa hari yang lalu, saya ada terbaca utusan online yang bertajuk ‘kenapa pilih novel picisan?’ Antara persoalan yang diajukan ialah, kenapa penerbit serta pengarah kita hanya berlumba-lumba untuk mengadaptasikan novel-novel picisan sahaja? Saya bersetuju dengan penulisnya, memilih novel yang hebat untuk diadaptasikan kepada bentuk drama akan menjadikan drama itu sebuah karya yang hebat.  Dari segi pemilihan novel yang akan diadaptasikan pula menurut Sri Diah, kenyataan menunjukkan novel itu popular terlebih dahulu dalam kalangan pembaca. Kemudian pihak penerbit mencadangkan novel itu kepada pihak produksi untuk diadaptasi dan akhirnya hasil kolaborasi penerbit dan produser berjaya melariskan lagi jualan novel-novel adaptasi.

Apa yang bermain di minda saya adalah mengenai novel picisan. Apa yang dikatakan novel picisan itu? Saya tidak bersetuju jika ada yang mengatakan novel cinta itu adalah novel picisan, tetapi ia boleh menjadi picisan apabila tiada apa-apa nilai yang diterapkan di dalamnya. Hanya mengagung-agungkan kisah cinta remaja tanpa landasan yang betul, itu adalah novel picisan. Sememangnya ada novel sebegitu. Saya mengatakan novel cinta bukan picisan kerana cinta adalah pelengkap nyawa dalam jasad dan menjadi fitrah manusia sejagat.

Selagi sebuah novel itu mempunyai ilmu yang dikongsikan dengan pembaca, fakta yang betul, jalan cerita yang logik, tidak ada unsur-unsur yang menyesatkan, tiada adegan seks dan lucah dan tidak pernah membuatkan pembaca melupakan Allah, cukup untuk tidak melebelkan ia sebagai picisan. Saya sangat bersetuju dengan pendapat penulis Aina Emir dalam tulisannya di blog beliau mengenai novel picisan.

Konklusinya, selagi cerita yang diadaptasikan daripada novel kepada drama itu tidak memberi kesan yang buruk kepada penulis dan penonton, maka ia akan menjadi satu usaha yang murni dalam memartabatkan dunia penulisan novel.

Tiba-tiba terdetik juga di hati takut sekiranya penulisan yang sedang saya usahakan ini dianggap sebagai picisan… Tersenyum sejenak, saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak menulis sesuatu yang menyebabkan orang menganggap tulisan saya sebagai picisan.

Saturday, January 26, 2013

BaCaLaH!!!




Entri saya untuk kali ini saya ingin mencoretkan sesuatu tentang ilmu. Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan. Sejarah keagungan Islam juga terletak pada tamadun yang berilmu. Buktinya lahir tokoh-tokoh cendekiawan seperti Iman Syafie, Ibn Sina, Iman Abu Hanifah dan ramai lagi. Kita sering kali mendengar ungkapan ‘membaca jambatan ilmu’. Ini menunjukkan membaca amat sinonim dengan ilmu. Hal ini demikian kerana ilmu hanya akan diperolehi melalui budaya membaca.

Menurut kamus dewan edisi keempat (2005), membaca ialah memerhatikan isi sesuatu yang bertulis atau bercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Berdasarkan kajian Dewan Industri Buku Melayu Malaysia, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM 1 bilion setahun untuk membeli buku. Pada hemat kita angka itu sangat besar, namun jika diambil kira jumlah keluarga di Malaysia secara purata setiap keluarga di negara ini hanya membelanjakan sebanyak RM 50.00 setahun untuk membeli buku. Ini jelas menunjukkan bahawa budaya membaca masih rendah terutamanya di kawasan luar bandar. Ini terbukti apabila cuti sekolah yang lalu saya berkunjung ke pesta buku yang diadakan di sekitar tempat tinggal saya. Keadaan amat menyedihkan kerana suasananya agak lengang jika dibandingkan dengan suasana yang penuh sesak di gerai-gerai lain yang menjual baju dan tudung.

Hakikatnya budaya membaca sudah lama dipupuk sejak zaman persekolahan lagi, namun budaya ini masih berada di tahap yang rendah jika ingin dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun. Alasan yang sering kedengaran tiada masa, malas membebankan otak untuk berfikir bagi karya-karya yang berat dan ada juga yang memberi alasan buku kini mahal. Malah ada juga alasan bahawa internet menjadi punca hilangnya minat membaca. Dengan hanya mengakses internet iaitu menekan kata kunci carian di google kita boleh mendapat pelbagai maklumat dengan cepat, tepat dan terkini. Tidak hairanlah penulisan sebegitu ilmiah dan panjang akan mengundang rasa malas untuk membaca.

Apa jua alasan yang diberikan perlu diingat dalam Islam, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah tentang kewajipan mencari ilmu. Ayat pertama yang diturunkan ialah ‘iqra’’ atau ‘bacalah’. Memetik kata-kata Napoleon Bonarparte, raja Perancis yang menaiki takhta pada tahun 1799 mengatakan sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa-apa yang dibaca akan dapat memerintah dunia. Saya melihat kata-kata ini ada benarnya apabila melihat kepada ikon membaca kebangsaan yang juga merupakan bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir. Malaysia berada di bawah pemerintahan beliau selama 22 tahun dan banyak kemajuan serta pembangunan yang direalisasikan oleh Tun sepanjang pemerintahannya. Beliau suka membaca sejak dari kecil lagi. Bahkan juga, deria dan minda yang dicerna dengan ilmu hasil pembacaan akan menjana kehidupan yang sentiasa inginkan perubahan.
Jesteru itu, bulan Julai setiap tahun telah diiktiraf sebagai bulan membaca kebangsaan. Bukan itu sahaja, pelbagai kempen kesedaran juga telah dilaksanakan. Persoalannya, sejauh manakah
keberkesanannya? Solusinya harus bermula dengan diri sendiri, ubah sikap malas membaca dengan memupuk sikap cintakan ilmu dan membudayakan tabiat membaca. Bacalah apa sahaja yang boleh memberi manfaat, mulakan dengan bacaan ringan seperti akhbar, majalah dan buku-buku ringan. Minat kepada buku harus dipupuk sejak kecil dan inilah peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa.

Hilang minat membaca generasi pada hari ini pasti akan mengundang risiko memiliki masyarakat yang kurang analitikal. Teringat kata-kata seorang kawan, negara mungkin pesat membangun dan mencapai gagasan wawasan 2020 tetapi mentaliti rakyat Malaysia masih berada di tahap yang rendah. Konklusinya, tanamkan tabiat membaca dan sukakan buku dalam diri, apabila ia sudah sebati dalam diri, kita akan rasa sesuatu yang kurang sekiranya tidak membaca dan akan selalu ingin mencari sesuatu untuk dibaca.

Bacalah!!! Membaca seolah-olah kita mengembara menerusi buku-buku yang dibaca. Ia satu perjalanan yang mengasyikkan… Berjalan bersama kisah-kisah manusia yang berada dalam dunia buku yang sangat memeranjatkan kerana di situ kita akan menemui pelbagai rasa dan perasaan…     
 
MEMBACA JUGA UNTUK MENULIS!!!


Wednesday, November 21, 2012

'Bumi Cinta'


Kini saban hari kita dihujani dengan berita sedih dari Palestin - berita mengenai kekejaman Zionis laknatullah ke atas saudara seagama kita. Kenapa Israel laknatullah masih tidak boleh merampas Palestin secara keseluruhannya, sedangkan mereka mempunyai sekutu yang ramai dan senjata yang canggih... Ini kerana umat Islam mempunyai  SATU senjata yang tidak akan pernah gagal... DOA. Kita di sini mungkin tidak mampu untuk membantu mereka dari segi harta benda dan berjuang bersama mereka tetapi kita masih mampu berdoa untuk mereka di sana. Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan dan keamanan untuk Palestine.
 
 


Kisah kanak-kanak kecil yang menjadi mangsa kekejaman Zionis laknatullah mengingatkan saya kepada sebuah novel karya Habiburrahman  EL Shirazy 'Bumi Cinta'. Beliau juga adalah penulis novel 'Ayat-Ayat Cinta', 'Ketika Cinta Bertasbih' dan 'Pudarnya Pesona Cleopatra' Apa yang ingin saya highlight di sini ialah mengenai watak Linor dalam novel tersebut. Dia merupakan seorang agen rahsia Mossad yang berselindung di sebalik kerjanya sebagai pemain biola. 

Linor juga merupakan salah seorang rakan yang tinggal satu apartment dengan Ayyas (watak utama dalam novel ini), seorang pemuda Indonesia yang datang ke Rusia kerana ingin melakukan penyelidikan mengenai kehidupan umat Islam di Rusia. Dek kerana masalah kewangan dia terpaksa tinggal satu apartment dengan Yalena dan Linor. Linor sangat membenci Ayyas dan merancang pengeboman di sebuah hotel dan Ayyas disasarkan sebagai pengebomnya, namun dia gagal. Kemudian Linor dikejutkan dengan pendedahan bahawa dirinya bukan dari keturunan Yahudi tetapi dia adalah seorang Islam.

Ibu Linor, demi untuk menyelamatkan bayinya menyerahkan Linor kepada kawannya yang berbangsa Yahudi. Ibu angkat Linor berbohong kepada suaminya bahawa Linor adalah anaknya dan Linor diasuh dan dididik supaya membenci Islam tanpa mengetahui siapa dirinya yang sebenarnya. Selepas mengetahui identitinya yang sebenar Linor memeluk Islam dan ingin menjadikan Ayyas sebagai suaminya untuk membimbingnya sebagai seorang muslimah. Namun begitu belum sempat Ayyas menyatakan persetujuan Linor ditembak. Pengakhiran cerita penulis meninggalkan persoalan sama ada Linor meninggal atau sebaliknya....(Mungkin akan ada 'Bumi Cinta 2')

Mungkinkah apa yang berlaku kepada Linor hanyalah cerita rekaan sahaja... Semoga tiada kanak-kanak di Palestine yang senasib dengan watak Linor ini...Aminnn...

Kita di sini seharusnya mensyukuri nikmat keamanan dan kedamaian yang kita kecapi... Apa yang baik kita jadikan tauladan dan apa yang buruk kita jadikan sempadan.

Thursday, December 29, 2011

Tombiruo Bakal Ke Layar Perak


'Animasi, filem sentuhan dua pengarang'

Itulah salah satu tajuk yang dimuatkan dalam berita harian hari ini dan telah menarik minat saya untuk terus membacanya. Tidak disangka-sangka rupanya ini adalah berita baik kepada peminat-peminat novel Ramlee Awang Murshid. Novel 'Tombiruo' bakal ke layar perak seperti novel 'Ombak Rindu'...:)

Memetik kata-kata beliau, "saya mengambil keputusan untuk menerbitkan sendiri karya saya dan turut bertindak sebagai pengarah lakon layar bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit pada masa depan."

'Tombiruo' kini sedang melalui proses penelitian skrip.

Sebelum ini saya sememangnya mengharapkan kisah Laksamana Sunan difilemkan. Walaubagaimana pun berita ini tetap menggembirakan peminat-peminat beliau termasuklah diri ini...:) Semoga berita ini akan menjadi kenyataan dalam masa yang terdekat.

Friday, December 16, 2011

Novel @ Filem???


Saya sememangnya seorang yang suka menonton... 'Lord of the Rings' merupakan filem epik thriller yang paling saya suka sehingga ke hari ini dan begitulah juga dengan novelnya. Saya masih ingat ketika saya berada di IIUM, inilah novel inggeris yang selalu saya pinjam. Walaupun saya telah menonton filemnya, tetapi membaca ceritanya dalam novel memberi suatu kepuasan yang berbeza.

Novel yang difilemkan atau filem yang dinovelkan? Kedua-duanya memberi kepuasan yang berbeza kepada pembaca dan penonton. Cerita novel yang difilemkan bukan lagi fenomena baru di negara kita. Novel 'Ombak Rindu' karya tulisan Fauziah Ashari kini telah difilemkan dan sudah pun ditayangkan. Saya merupakan salah seorang peminat novel tulisan beliau. Beberapa hari lepas saya ada membaca komen daripada kawan-kawan di facebook mengenai filem ini. Ada yang mengatakan novel lebih menarik daripada filem dan ada juga yang sebaliknya. Mungkin yang merasakan ianya tidak menarik adalah kerana kekangan masa yang singkat sedangkan banyak cerita yang perlu ditayangkan.

Saya pernah membaca novel ini dan ceritanya memang menarik serta berbeza daripada novel-novel cinta yang lain. Pada pendapat saya, mungkin novel ini lebih menarik dijadikan drama bersiri seperti 'Trilogi Cinta' yang diadaptasi daripada novel 'Tak Seindah Mimpi', 'Tak Semanis Impian' dan 'Tiada Lagi Mimpi' karya tulisan Sharifah Abu Salem.


Sebuah cerita yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan dan tayangan bergambar adalah berbeza walaupun jalan ceritanya adalah sama. Setiap orang pasti akan mempunyai penilaian yang berbeza. Pertama kali saya membaca novel ini, pernah juga saya terfikir kalaulah novel ini boleh difilemkan... kini ianya sudah menjadi kenyataan. Ini percubaan yang baik dan mungkin akan meningkatkan lagi permintaan terhadap novel ini dan untuk pengetahuan novel 'Ombak Rindu' ada sambungannya... 'Cinta Tiada Akhirnya' dan 'Rindu Cintaku'

***Mungkinkah juga suatu hari nanti trilogi 'Bagaikan Puteri', 'Cinta Sang Ratu', 'Hijab Sang Pencinta' dan 'Cinta Sufi' (Novel Ramlee Awang Murshid) boleh difilemkan atau dijadikan drama bersiri...:)

Wednesday, November 16, 2011

Buku Digital v Buku Konvensional


Dunia kini semakin canggih, peranan teknologi amat mempengaruhi kehidupan dan semestinya tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan kita. Lihat sahaja di sekeliling kita...

Beberapa hari yang lepas saya melihat seorang pakcik sedang membaca buku di sebuah kedai makan sementara menunggu seseorang agaknya. Buku yang dibacanya bukan buku biasa tapi buku luar biasa, buku digital. Itulah bukti kecanggihan teknologi pada masa kini. Buku digital ialah buku versi elektronik yang mengandungi maklumat digital yang terdiri daripada teks dan gambar. Saiznya pula lebih kecil berbanding buku yang biasa kita baca. Antara format buku digital yang popular ialah pdf, jpeg dan html.

Banyak keistimewaan buku versi ini jika dibandingkan dengan buku konvensional, antaranya mudah dibawa kerana saiznya yang kecil dan memudahkan cara untuk mendapatkan bahan bacaan tanpa perlu ke kedai buku atau perpustakaan. Bahkan juga dapat menjimatkan ruang di rumah kita tanpa perlu menyediakan ruang bacaan dan rak penyimpanan buku.

Adakah penggunaan buku digital dapat meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara kita yang masih rendah berbanding negara maju yang lain dan adakah penggunaan buku versi ini akan menjadi persaing kepada penggunaan buku konvensional?



Saya lebih suka menggunakan buku konvensional yang terdiri daripada kumpulan kertas yang mengandungi teks dan gambar kerana buku versi ini mempunyai nilai tersendiri. Malah saya juga lebih suka melihat koleksi buku yang saya miliki kemas tersusun di atas rak berbanding buku yang berada di dalam alat digital tanpa boleh saya menyelak helaiannya.