Thursday, February 14, 2013

Adaptasi Novel Kepada Drama Satu Fenomena


Suka dengan novel ini yang kini sudah diadaptasikan kepada drama
 
“Arghh… Novel lagi”, itulah reaksi saya sewaktu menonton sebuah drama bersiri yang diadaptasikan daripada sebuah novel yang disiarkan di kaca televisyen baru-baru ini. Kini menjadi satu fenomena kepada penerbit dan produser mengadaptasikan novel kepada filem atau drama bersiri. Cerita yang diadaptasikan ini pula berjaya mendapat tempat di hati penonton. Antaranya drama ‘Adam dan Hawa’ yang diadaptasikan daripada novel ‘Adam dan Hawa’ ternyata berjaya mendapat sambutan yang hangat daripada penonton.

Melihat fenomena ini terdetik di hati, sudah tiada lagikah idea yang menarik untuk menghasilkan karya yang menarik selain daripada mengadaptasikan cerita novel kepada drama atau filem? Hakikatnya, kepuasan membaca dan menonton adalah subjektif,masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Paling tidak, novel yang tidak pernah dibaca sampai juga kepada masyarakat. Saya sendiri tidak pernah membaca novel ‘Adam dan Hawa’, dek kerana ia diadaptasikan kepada drama, telah mengerakkan hati saya untuk membeli dan membacanya.

Seperti mana yang kita maklum, tabiat membaca masyarakat kita masih lagi berada di tahap yang rendah, ini satu kaedah permulaan untuk menambah minat orang ramai untuk membaca walaupun hanya membaca novel. Ini kerana ada novel bukan sekadar cerita, tetapi ada ilmu dan mantap isi kandungannya. Bahkan juga, cara ini mungkin dapat mengubah tanggapan segelintir daripada kita yang menganggap novel adalah bacaan budak remaja yang tidak berpijak di bumi yang nyata. 

Bukan itu sahaja, penulis juga mendapat faedah apabila royalti mereka dinaikkan berkali ganda. Memetik kata-kata Novelis Sri Diah dalam tulisannya yang bertajuk ‘Kaji kenapa novel lapuk di gudang’ mengatakan, penat-lelah mereka menghasilkan karya berbaloi. Karya itu bukan sahaja laris dalam bentuk novel naskhah, bahkan sudah layak diadaptasi ke layar untuk lebih dinikmati oleh jutaan penonton. Ini bermakna lebih ramai lagi dapat menikmati hasil kreativiti penulis-penulis novel.  

Beberapa hari yang lalu, saya ada terbaca utusan online yang bertajuk ‘kenapa pilih novel picisan?’ Antara persoalan yang diajukan ialah, kenapa penerbit serta pengarah kita hanya berlumba-lumba untuk mengadaptasikan novel-novel picisan sahaja? Saya bersetuju dengan penulisnya, memilih novel yang hebat untuk diadaptasikan kepada bentuk drama akan menjadikan drama itu sebuah karya yang hebat.  Dari segi pemilihan novel yang akan diadaptasikan pula menurut Sri Diah, kenyataan menunjukkan novel itu popular terlebih dahulu dalam kalangan pembaca. Kemudian pihak penerbit mencadangkan novel itu kepada pihak produksi untuk diadaptasi dan akhirnya hasil kolaborasi penerbit dan produser berjaya melariskan lagi jualan novel-novel adaptasi.

Apa yang bermain di minda saya adalah mengenai novel picisan. Apa yang dikatakan novel picisan itu? Saya tidak bersetuju jika ada yang mengatakan novel cinta itu adalah novel picisan, tetapi ia boleh menjadi picisan apabila tiada apa-apa nilai yang diterapkan di dalamnya. Hanya mengagung-agungkan kisah cinta remaja tanpa landasan yang betul, itu adalah novel picisan. Sememangnya ada novel sebegitu. Saya mengatakan novel cinta bukan picisan kerana cinta adalah pelengkap nyawa dalam jasad dan menjadi fitrah manusia sejagat.

Selagi sebuah novel itu mempunyai ilmu yang dikongsikan dengan pembaca, fakta yang betul, jalan cerita yang logik, tidak ada unsur-unsur yang menyesatkan, tiada adegan seks dan lucah dan tidak pernah membuatkan pembaca melupakan Allah, cukup untuk tidak melebelkan ia sebagai picisan. Saya sangat bersetuju dengan pendapat penulis Aina Emir dalam tulisannya di blog beliau mengenai novel picisan.

Konklusinya, selagi cerita yang diadaptasikan daripada novel kepada drama itu tidak memberi kesan yang buruk kepada penulis dan penonton, maka ia akan menjadi satu usaha yang murni dalam memartabatkan dunia penulisan novel.

Tiba-tiba terdetik juga di hati takut sekiranya penulisan yang sedang saya usahakan ini dianggap sebagai picisan… Tersenyum sejenak, saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak menulis sesuatu yang menyebabkan orang menganggap tulisan saya sebagai picisan.

1 comment:

Anonymous said...

thanks sis. entri pasal adaptasi novel ni banyak membantu saya menulis karangan spm pasal manfaat adaptasi novel. thanks a lot.