Showing posts with label kenegaraan. Show all posts
Showing posts with label kenegaraan. Show all posts

Friday, August 30, 2013

MALAYSIA NEGARAKU, JALUR GEMILANG BENDERAKU


Sedar tak sedar sudah lama rupanya saya tidak menulis di sini. Bukan tidak ada apa yang hendak dikongsikan, tetapi ada sahaja kekangan  yang menghalang. Apa pun blog ini mash lagi bernafas.

Memandangkan esok kita bakal menyambut hari kebangsaan yang ke 56, jadi coretan saya hari ini berkisar tentang kenegaraan. Bercakap tentang kenegaraan teringat saya celoteh ayah dan adik tentang Jalur Gemilang.

Beberapa hari yang lepas, ayah dan adik membawa balik dua helai Jalur Gemilang ke rumah. “Siapa beri?” Tanya saya. “Belilah.” Jawab adik. “Ingatkan ada orang beri percuma.” Saya mengomel sendirian. “Bukan mahal pun harga sehelai bendera ni.” Balas ayah. Saya hanya tersenyum mendengarnya. “Orang beri dengan beli sendiri tak sama nilainya.” Tambah adik pula. Sungguh bersemangat saya tengok adik dan ayah panjat tangga untuk gantung Jalur Gemilang di rumah kami. Semangat patriotic mereka ini, saya juga dapat merasainya. Kali ini ayah meletakkan Jalur Gemilang berkibaran di serambi rumah, bukan dip agar rumah seperti tahun lepas. Kata ayah, di sini paling sesuai dan selamat. Ia tidak akan koyak atau pudar dek kerana terkena panas mentari atau basah terkena hujan.

Sesungguhnya saya bersyukur kerana dilahirkan di bumi Malaysia yang bertuah ini. Bahkan jutaan warga asing juga turut menumpang mencari rezeki di sini. Sebagai generasi pasca merdeka perlu untuk kita kembali memahami sejarah negara. Apatah lagi akhir-akhir ini negara menghadapi pelbagai cabaran yang dilihat boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan malah meroboh perpaduan.

Tiada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat kemerdekaan dalam keadaan aman dan sejahtera. Tidak semua bangsa di dunia ini dapat mengecapi nikmat ini walaupun mereka mungkin sudah bebas daripada penjajah. Lihatlah apa yang berlaku di bumi Arab kini. Ia ibarat drama bersiri misteri yang tidak berkesudahan. Keadaannya sangat rumit membabitkan perbalahan semua pihak di rantau itu. Apa yang berlaku di sana memberi pengajaran yang bernilai untuk kita semua di sini. Suka saya memetik kata-kata ini, membina memerlukan masa puluhan tahun tetapi meranapkan hanya mengambil masa sehari. Semoga bumi Malaysia terus aman, damai dan makmur sentiasa…

MERDEKA! MALAYSIAKU BERDAULAT, TANAH TUMPAHNYA DARAHKU

Al fatihah buat semua wira-wira negara yang terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara… Al fatihah…

Wednesday, November 21, 2012

'Bumi Cinta'


Kini saban hari kita dihujani dengan berita sedih dari Palestin - berita mengenai kekejaman Zionis laknatullah ke atas saudara seagama kita. Kenapa Israel laknatullah masih tidak boleh merampas Palestin secara keseluruhannya, sedangkan mereka mempunyai sekutu yang ramai dan senjata yang canggih... Ini kerana umat Islam mempunyai  SATU senjata yang tidak akan pernah gagal... DOA. Kita di sini mungkin tidak mampu untuk membantu mereka dari segi harta benda dan berjuang bersama mereka tetapi kita masih mampu berdoa untuk mereka di sana. Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan dan keamanan untuk Palestine.
 
 


Kisah kanak-kanak kecil yang menjadi mangsa kekejaman Zionis laknatullah mengingatkan saya kepada sebuah novel karya Habiburrahman  EL Shirazy 'Bumi Cinta'. Beliau juga adalah penulis novel 'Ayat-Ayat Cinta', 'Ketika Cinta Bertasbih' dan 'Pudarnya Pesona Cleopatra' Apa yang ingin saya highlight di sini ialah mengenai watak Linor dalam novel tersebut. Dia merupakan seorang agen rahsia Mossad yang berselindung di sebalik kerjanya sebagai pemain biola. 

Linor juga merupakan salah seorang rakan yang tinggal satu apartment dengan Ayyas (watak utama dalam novel ini), seorang pemuda Indonesia yang datang ke Rusia kerana ingin melakukan penyelidikan mengenai kehidupan umat Islam di Rusia. Dek kerana masalah kewangan dia terpaksa tinggal satu apartment dengan Yalena dan Linor. Linor sangat membenci Ayyas dan merancang pengeboman di sebuah hotel dan Ayyas disasarkan sebagai pengebomnya, namun dia gagal. Kemudian Linor dikejutkan dengan pendedahan bahawa dirinya bukan dari keturunan Yahudi tetapi dia adalah seorang Islam.

Ibu Linor, demi untuk menyelamatkan bayinya menyerahkan Linor kepada kawannya yang berbangsa Yahudi. Ibu angkat Linor berbohong kepada suaminya bahawa Linor adalah anaknya dan Linor diasuh dan dididik supaya membenci Islam tanpa mengetahui siapa dirinya yang sebenarnya. Selepas mengetahui identitinya yang sebenar Linor memeluk Islam dan ingin menjadikan Ayyas sebagai suaminya untuk membimbingnya sebagai seorang muslimah. Namun begitu belum sempat Ayyas menyatakan persetujuan Linor ditembak. Pengakhiran cerita penulis meninggalkan persoalan sama ada Linor meninggal atau sebaliknya....(Mungkin akan ada 'Bumi Cinta 2')

Mungkinkah apa yang berlaku kepada Linor hanyalah cerita rekaan sahaja... Semoga tiada kanak-kanak di Palestine yang senasib dengan watak Linor ini...Aminnn...

Kita di sini seharusnya mensyukuri nikmat keamanan dan kedamaian yang kita kecapi... Apa yang baik kita jadikan tauladan dan apa yang buruk kita jadikan sempadan.

Wednesday, September 12, 2012

Semangat Patriotik Ayah

Hari-hari baca paper ada cerita mengenai semangat patriotik yang semakin terhakis di kalangan generasi muda kini. Cerita pasal semangat patriotik, mengingatkan saya kepada cerita persiapan raya saya dan keluarga. 

Dua hari sebelum raya mak, adik dan ayah keluar untuk shopping raya. Sedang mak dan adik sibuk membeli barang-barang untuk raya, tiba-tiba ayah menghilangkan diri. Puas mak dan adik menjadi penunggu setia di kereta. Akhirnya ayah muncul dengan membawa satu beg plastik. Adik yang tidak sabar untuk mengetahui apa isi kandungan dalam beg plastik itu terus mencapai beg tersebut. Setelah dibuka... tadaaa... JALUR GEMILANG. Saya dapat bayangkan reaksi adik ketika itu... dan apa yang ada difikirannya sebelum melihat apa yang ada dalam plastik beg itu...:)

Selepas sampai rumah, kami semua termasuklah diri saya sibuk membelek barang-barang yang dibeli dan ayah hilang lagi. Sibuk mak bertanya mana ayah? Kata adik, cuba tengok di luar sana. Oh ayah, sedang sibuk menaikkan jalur gemilang yang dibelinya tadi. Tahun ini juga ayah merupakan salah seorang wakil kampung saya yang menyertai pertandingan perbarisan sambutan hari kebangsaan peringkat daerah di tempat saya. I am proud of you dad. Begitulah semangat patriotik yang ada dalam diri ayah. Semoga semangat ini diwarisi oleh anak-anaknya.

As Malaysian, I am proud I am a Malaysian. Yes, there are good things and bad things in this independent Malaysia, of course I don't like some of the things but which country is perfect. So, there is nowhere else better than Malaysia. 
Thus, I will shout "Merdeka" and "Selamat Hari Malaysia"
And 
Respect our Jalur Gemilang...  :)

Tuesday, February 8, 2011

Implikasi Di Sebalik Konflik Di Mesir

Kita sering kali digemparkan dengan berita rusuhan anti kerajaan di beberapa buah negara sebelum ini. Namun, peristiwa rusuhan anti Kerajaan Mesir pimpinan Hosni Mubarak agak luar biasa. Hal ini kerana ianya melibatkan nasib seorang presiden dan masa depan sebuah negara. Beberapa minggu yang lepas, konflik di Mesir telah menjadi berita prominen bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Mungkin ada di antara kita beranggapan peristiwa ini tidak ada kaitan dengan kita yang berada jauh dari bumi Mesir dan sama sekali tidak terlibat dengan tunjuk perasaan ini. Namun begitu, di sebalik konflik di Mesir ini telah membawa kepada beberapa implikasi kepada kita sama ada kita menyedarinya atau tidak.

Kebangkitan golongan anti kerajaan di Mesir banyak dibantu oleh rangkaian sosial seperti Twitter dan Facebook. Mereka telah memanfaatkan laman web sosial ini untuk menyusun strategi bagi mendesak Hosni Mubarak meletak jawatan. Mereka ingin membebaskan Mesir daripada ketidakadilan sosial dan pemerintahan yang dianggap korup. Keadaan bertambah meruncing apabila Mubarak membuat pendirian sekiranya beliau meletakkan jawatan keadaan di Mesir berdepan dengan kacau bilau. Kesannya, tunjuk perasaan secara aman bertukar kepada keganasan sehingga ada yang terkorban dan banyak kemusnahan harta benda telah berlaku.

Keadaan ini berlaku apabila pihak yang menyokong Mubarak mula bertindak dan berlaku pertempuran dengan pihak yang menentang. Sekiranya keganasan ini berterusan, ia akan membawa kepada perang saudara. Akhirnya, membawa kepada kehancuran Mesir. Selain itu, tindakan rakyat Mesir yang merusuh demi menuntut perubahan pimpinan atau pertukaran rejim pemerintahan di Mesir, secara tidak langsung telah memberi rangsangan kepada negara-negara jirannya seperti Yemen, Jordan dan Sudan. Keadaan lebih meruncing apabila tunjuk perasaan ini telah menular ke Kedutaan Mesir di London dan Amerika Syarikat. Hal ini menunjukkan keadaan kucar kacir bukan sahaja di Mesir bahkan tempiasnya juga kepada negara-negara lain.

Konflik di Mesir juga telah membawa kepada peningkatan harga minyak dunia dan kesukaran proses penghantaran bahan ini sekiranya Terusan Suez ditutup. Hal ini kerana, laluan alternatif yang lain akan mengambil masa yang panjang dengan jarak perjalanan yang jauh iaitu melalui hujung benua Afrika. Ekoran daripada keadaan ini, harga minyak melambung tinggi dan harganya terpaksa dinaikkan.

Dari segi kewartawanan pula, peristiwa ini mempunyai nilai berita yang tinggi. Oleh yang demikian, semua organisasi media termasuklah negara kita tidak ketinggalan untuk membuat liputan mengenai peristiwa ini kerana nilai beritanya mendapat perhatian ramai pembaca. Walaupun, terpaksa menempuh pelbagai halangan untuk masuk ke Mesir. Tambahan pula, apabila kerajaan mengumunkan 'Operasi Piramid' menyelamatkan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

Kini, misi ini sedang dilaksanakan oleh kerajaan kita bagi memastikan seramai 11 000 orang pelajar-pelajar kita yang sedang menuntut di beberapa buah universiti di Mesir pulang ke tanah air dengan selamat. Hal ini kerana, tiada jaminan keselamatan untuk mereka terus tinggal di sana ekoran daripada keadaan yang hura-hara dan tegang. Malah, mereka juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan. Inilah tempiasnya kepada kita di Malaysia kerana peristiwa ini juga melibatkan rakyat kita yang berada di sana.

Semoga apa yang berlaku di Mesir dan juga di negara-negara lain di dunia ini boleh kita jadikan teladan dan sempadan. Apa yang baik kita jadikan teladan dan apa yang buruk kita jadikan sempadan.

***Semasa isu ini ditulis keadaan Mesir sudah semakin pulih...

Monday, August 30, 2010

JALUR GEMILANG BENDERAKU

Esok genaplah 53 tahun negara kita merdeka. Ini bermakna sudah 53 tahun kita bebas daripada penjajah. Sempena dengan hari kemerdekaan yang bakal disambut esok, sudahkah kita mengibarkan Jalur Gemilang??? Berapa ramai agaknya yang mengetahui tentang asal-usul Jalur Gemilang???

Dahulunya Jalur Gemilang dikenali sebagai Bendera Malaysia yang mengandungi 14 jalur merah dan putih bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Ianya melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan satu kerajaan Persekutuan. Kemudian warna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang ke 5 bermakna perpaduan rakyat Malaysia. Manakala warna kuning pada anak bulan dan bintang pula menandakan warna diraja. Pecahan bintang kepada 14 pula melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.

Sebenarnya Jalur Gemilang yang dilihat sekarang telah pun wujud beberapa tahun sebelum negara kita merdeka. Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat Kebangsaan. Selama 47 tahun ianya digelar Bendera Malaysia dan akhirnya pada tahun 1997 iaitu pada kemerdekaan yang ke 40 namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Ilham untuk menamakan Jalur Gemilang dicadangkan oleh Datuk Hashim Mat Idris dan kemudiannya dicadangkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai 1995. Akhirnya pada jam 11.58 malam, 31 Ogos 1997 nama Jalur Gemilang telah diisytiharkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Merdeka sempena hari kemerdekaan negara yang ke 40.

Sedikit info tentang makna Jalur Gemilang....

JALUR : Bendera yang mempunyai 14 jalur merah dan putih dan melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama serta arah yang sama dalam menuju kegemilangan bangsa dan agama.

GEMILANG : Membawa makna cahaya, terang-benderang dan cemerlang. Ia melambangkan kecemerlangan Negara Malaysia dan rakyatnya dalam mengharungi apa jua cabaran.

Oleh itu, sama-samalah kita mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kita mencintai negara kita. Semoga kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini berkekalan dan kitalah generasi yang harus mengekalkannya. Hargailah perjuangan mereka yang berjuang demi mencapai sebuah kemerdekaan pada hari ini.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 53
MERDEKA... MERDEKA... MERDEKA...

Tuesday, November 3, 2009

HAK ASASI


“Apa-apa penyelewengan sistem walaupun hanya setitik boleh meracuni keseluruhannya. Dulu kita pernah dikejutkan dengan insiden yang mengancam sistem kehakiman dan melunturkan kepercayaan awan kepada sistem kehakiman.”
(Raja Dr Nazrin Shah,Raja Muda Perak)

Lima perkara asas yang perlu difahami dalam isu hak asasi demi mencapai kestabilan politik, ekonomi dan sosial.
Hak ialah kuasa atau tuntutan yang boleh dibuat dengan menjadikannya asas.

Pertama: Kerajaan perlu memahami dan mendalami prinsip-prinsip hak asasi manusia itu sendiri. Kerajaan persekutuan dan negeri bertanggungjawab untuk tidak melanggar had yang ditetapkan oleh Perlembagaan dalam membuat undang-undang. Kegagalan mematuhi had ini menjadikan undang-undang tersebut ultra vires dan tidak sah.

Kedua: Perkara-perkara yang membabitkan tuntutan hak asasi manusia yang semakin berkembang dan perlu diberi perhatian. Seperti yang kita sedia maklum sejak kebelakangan ini terlalu banyak hak yang dituntut. Oleh yang demikian Suhakam perlu memainkan peranan proaktif untuk sering berhubung dengan agensi-agensi kerajaan bagi merumus atau meneliti mana-mana undang-undang dan prosedur yang perlu dipinda. Contohnya, tentang isu ISA yang pernah dibangkitkan suatu ketika dahulu.

Ketiga: Bagaimana undang-undang itu diterjemahkan? Mahkamah mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan, mentafsir undang-undang dan mengistiharkan mana-mana undang-undang sebagai tidak sah. Ini penting bagi mahkamah dalam mentafsirkan perlembagaan untuk mengungkap maksud sebenar di sebalik perundangan yang ditetapkan sebelum membuat sesuatu keputusan. “Sebuah perlembagaan menjadi sebahagian elemen perundangan yang hidup, ketentuannya perlu ditafsirkan secara meluas dan bukan secara terburu-buru...," (Sultan Azlan Shah)

Keempat: Penghakiman harus berpandangan jauh melampaui sempadan dan melaksanakan lebih banyak idea dan piawaian baru berkaitan hak asasi manusia antarabangsa sebelum sebarang keputusan undang-undang dibuat. Dengan kata lain, mencari jalan penyelesaian masalah tempatan supaya selaras dengan piawaian antarabangsa.

Kelima: Integriti, kebebasan dan sikap tidak berat sebelah mahkamah yang disifatkannya hak mutlak yang perlu dilaksanakan. Untuk memastikan mahkamah bertindak tanpa takut dan berat sebelah (without fear or favour), perlembagaan memberikan perlindungan kepada hakim “Kekuatan untuk menegakkan hak haruslah melalui sistem kehakiman."
(Raja Dr Nazrin Shah,Raja Muda Perak)

Sebagai kesimpulannya, prinsip hak asasi manusia tidak boleh menjadi kenyataan sehinggalah semua rakyat Malaysia menghormati dan menegakkannya.

(Ringkasan daripada 5 perkara fahami isu hak asasi, Berita harian, 25 Oct 2009)

Sunday, August 30, 2009

MERDEKA....



“Dulu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan orang hidup susah sehingga terpaksa minum air longkang untuk hidup. Namun keadaan sekarang sangat berbeza dan segalanya telah dipermudahkan. Malah sekarang ini ada golongan bijak pandai Melayu dan bukan Melayu yang tidak nampak kenapa perlu terhutang budi kepada Negara. Mereka cuma berfikir tentang diri mereka”.

Kata-kata ini dipetik daripada wawancara Mingguan Malaysia (16 Ogos 2009) bersama dengan Tun Dr Mahathir yang bertajuk ‘barat masih mahu menjajah’. Esok genaplah 52 tahun kemerdekaan Negara kita. Detik jam 12 tengah malam ini adalah merupakan detik yang paling bersejarah dan dinanti-nanti oleh semua rakyat Malaysia untuk melaungkan ‘Merdeka’. Tetapi persoalannya di sini adalah sejauh manakah perasaan cintakan Negara di kalangan kita pada hari ini, terutamanya di kalangan generasi muda. Apa yang kita nampak pada hari ini sudah ada tanda-tanda dalam masyarakat wujudnya golongan yang mula cuai dan lupa diri sehingga menimbulkan masalah. Masalah yang dimaksudkan di sini ialah gejala sosial seperti lumba haram (remp-it), penyalahgunaan dadah, samseng dan sebagainya. Semua masalah ini membelengu golongan muda, di mana mereka yang akan menjadi pelapis untuk mengambil alih tapuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Gejala ini harus dibanteras dengan segera sekiranya kita tidak mahu dijajah kembali.

Keadaan sebelum merdeka dan sesudah merdeka sangat berbeza. Ramai yang beranggapan bahawa pada zaman ini kita tidak perlu lagi bersusah payah kerana semuanya sudah dipermudahkan dengan segala kemudahan moden. Jadi apa perlu untuk bersusah payah dan apa makna lagi untuk sayang kepada negara??? Kita harus sedar jika tidak kerana hasil cetusan semangat para pejuang terdahulu yang memperjuangkan tanah air ini, sampai ke saat ini kita tidak akan merasai manisnya kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini. Di sinilah peranan kita sebagai generasi sesudah merdeka bertindak sebagai agen yang menggerak dan mengisi erti sebuah kemerdekaan. Kita seharusnya kembali ke zaman lampau untuk memahami sejarah dan perkembangan negara kita. Sekiranya kita tidak memahami akan sejarah dan perkembangan negara serta buta sejarah, maka kita akan hanyut dibawa arus kesenangan hidup yang melalaikan dan melekakan.

Dalam konteks agama, Islam adalah agama yang bersifat merdeka. Dengan kata lain Islam menyeru ummatnya bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Islam telah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada sesama manusia atau perhambaan kepada hawa nafsu. Menurut penyair Arab, Ahmad Syauqi dalam syairnya menyebut bahawa:
“Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak”
Dalam Islam kita diseru untuk berjihad dengan berkorban jiwa dan raga demi memerdekakan negara dari belenggu penjajah. Ini adalah sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara, kita sebagai generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Dalam suasana aman dan sejahtera hasil kemerdekaan ini, sudah sampai masa dan mustahak bagi semua pihak untuk sentiasa meningkatkan kewaspadaan terhadap apa-apa juga unsur yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara. Bersama-samalah kita menjaga dan mengawal bumi Malaysia yang tercinta ini daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini agar kesejahteraan dan keamanan yang kita nikmati selama ini terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.


SELAMAT HARI KEMERDEKAAN YANG KE -52 UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA






Saturday, August 29, 2009

DEMOKRASI DAN KEBEBASAN...

Atas nama demokrasi dan kebebasan maka Iraq dibebaskan daripada cengkaman Saddam Hussin dan Parti Baath dan demokrasi jugalah yang menjadi salah satu alasan kenapa Iraq diserang. Kononnya kerajaan pimpinan Saddam Hussin tidak demokratik. Kini rakyatnya bebas diperlakukan dengan ganas dan dibunuh dengan kejam. Ketika pemerintahan Saddam Hussin ada juga orang yang dibunuh namun tidaklah seperti hari ini hampir setiap hari orang Iraq dibunuh. Ini adalah kerana fahaman demokrasi pada hari ini telah dipengaruhi oleh agenda dari barat. Walaupun sesebuah negara itu telah merdeka namun mereka (Amerika Syarikat) masih mahu terus menjajah dan berkuasa secara tidak langsung sama ada melalui ekonomi atau neokolonialisme.

Demokrasi pada hari ini boleh dikatakan sebagai alat neokolonialisme kepada pihak barat untuk menaklukki dunia iaitu dengan menggunakan demokrasi sebagai alasan untuk regime change. Ia bermaksud menukar kerajaan supaya memihak kepada mereka. Sekiranya kerajaan yang dipilih itu tidak sesuai dengan mereka, maka ianya tidak akan diiktiraf. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Iraq malah di Algeria dan Palastin. Apakah demokrasi di negara kita juga akan sama atau sama dengan Iraq, Algeria dan Palastin??? Negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan kita sebagai rakyat berhak untuk memilih pemimpin melalui pilihan raya yang akan diadakan selama 5 tahun sekali.

Saya tertarik dengan takrif demokrasi yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir menerusi wawancara oleh Mingguan Malaysia (16 Ogos 2009) bahawa demokrasi adalah hak untuk memilih pemimpin sahaja dan perkara seperti hak asasi manusia hanyalah tambahan sahaja. Perkara tambahan ini mempunyai had-had tertentu terutamanya dalam bersuara. Sekiranya perkara-perkara tambahan ini tidak dikawal ia akan mendatangkan keburukkan kepada Negara seperti apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini, di mana banyak perhimpunan-perhimpunan haram dianjurkan. Sebagai contoh baru-baru ini satu perhimpunan haram telah dianjurkan di ibu negara untuk membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kesannya bukan sahaja peniaga yang mengalami kerugian malah sekiranya hak bersuara ini tidak dibendung ia boleh membawa kepada rusuhan kaum dan tidak mustahil tragedi 13 Mei akan berulang kembali.

Malaysia adalah demokrasi jadi kita berhak dan bebas untuk bersuara. Itulah kata-kata yang sering kita dengar. Kita tidak boleh mengikut kebebasan yang diamalkan oleh barat sebagaimana yang dinyatakan oleh negarawan Amerika pada abad ke-18 Benjamin Franklin bahawa mereka yang mahu mengetepikan kebebasan demi untuk mendapatkan perlindungan, tidak akan mendapat atau tidak patut mendapat salah satu darinya (those who desire to give up freedom in order to gain security will not have, nor do they deserve, either one). Kita bebas tetapi kebebasan itu ada hadnya. Sekiranya kita terlalu bebas maka akan berlaku huru-hara dalam sesebuah Negara. Oleh itu, kita mengamalkan demokrasi tetapi ada haknya.

Sebagai kesimpulan, provokasi melampau haruslah ditamatkan sebelum ianya mengugat perpaduan kaum dan keselamatan negara. Jadikan pengajaran permusuhan di Bosnia dan juga Kosovo sebagai iktibar kepada negara kita apabila masyarakat pelbagai kaum di sana terjebak dengan krisis kemanusiaan akibat daripada gugatan perpaduan kaum.Malaysia harus mempertahankan status quo sedia ada dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negara terus dinikmati segenap generasi pelbagai kaum di negara ini sepanjang masa.