Kita sering kali digemparkan dengan berita rusuhan anti kerajaan di beberapa buah negara sebelum ini. Namun, peristiwa rusuhan anti Kerajaan Mesir pimpinan Hosni Mubarak agak luar biasa. Hal ini kerana ianya melibatkan nasib seorang presiden dan masa depan sebuah negara. Beberapa minggu yang lepas, konflik di Mesir telah menjadi berita prominen bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.
Mungkin ada di antara kita beranggapan peristiwa ini tidak ada kaitan dengan kita yang berada jauh dari bumi Mesir dan sama sekali tidak terlibat dengan tunjuk perasaan ini. Namun begitu, di sebalik konflik di Mesir ini telah membawa kepada beberapa implikasi kepada kita sama ada kita menyedarinya atau tidak.
Kebangkitan golongan anti kerajaan di Mesir banyak dibantu oleh rangkaian sosial seperti Twitter dan Facebook. Mereka telah memanfaatkan laman web sosial ini untuk menyusun strategi bagi mendesak Hosni Mubarak meletak jawatan. Mereka ingin membebaskan Mesir daripada ketidakadilan sosial dan pemerintahan yang dianggap korup. Keadaan bertambah meruncing apabila Mubarak membuat pendirian sekiranya beliau meletakkan jawatan keadaan di Mesir berdepan dengan kacau bilau. Kesannya, tunjuk perasaan secara aman bertukar kepada keganasan sehingga ada yang terkorban dan banyak kemusnahan harta benda telah berlaku.
Keadaan ini berlaku apabila pihak yang menyokong Mubarak mula bertindak dan berlaku pertempuran dengan pihak yang menentang. Sekiranya keganasan ini berterusan, ia akan membawa kepada perang saudara. Akhirnya, membawa kepada kehancuran Mesir. Selain itu, tindakan rakyat Mesir yang merusuh demi menuntut perubahan pimpinan atau pertukaran rejim pemerintahan di Mesir, secara tidak langsung telah memberi rangsangan kepada negara-negara jirannya seperti Yemen, Jordan dan Sudan. Keadaan lebih meruncing apabila tunjuk perasaan ini telah menular ke Kedutaan Mesir di London dan Amerika Syarikat. Hal ini menunjukkan keadaan kucar kacir bukan sahaja di Mesir bahkan tempiasnya juga kepada negara-negara lain.
Konflik di Mesir juga telah membawa kepada peningkatan harga minyak dunia dan kesukaran proses penghantaran bahan ini sekiranya Terusan Suez ditutup. Hal ini kerana, laluan alternatif yang lain akan mengambil masa yang panjang dengan jarak perjalanan yang jauh iaitu melalui hujung benua Afrika. Ekoran daripada keadaan ini, harga minyak melambung tinggi dan harganya terpaksa dinaikkan.
Dari segi kewartawanan pula, peristiwa ini mempunyai nilai berita yang tinggi. Oleh yang demikian, semua organisasi media termasuklah negara kita tidak ketinggalan untuk membuat liputan mengenai peristiwa ini kerana nilai beritanya mendapat perhatian ramai pembaca. Walaupun, terpaksa menempuh pelbagai halangan untuk masuk ke Mesir. Tambahan pula, apabila kerajaan mengumunkan 'Operasi Piramid' menyelamatkan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.
Kini, misi ini sedang dilaksanakan oleh kerajaan kita bagi memastikan seramai 11 000 orang pelajar-pelajar kita yang sedang menuntut di beberapa buah universiti di Mesir pulang ke tanah air dengan selamat. Hal ini kerana, tiada jaminan keselamatan untuk mereka terus tinggal di sana ekoran daripada keadaan yang hura-hara dan tegang. Malah, mereka juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan. Inilah tempiasnya kepada kita di Malaysia kerana peristiwa ini juga melibatkan rakyat kita yang berada di sana.
Semoga apa yang berlaku di Mesir dan juga di negara-negara lain di dunia ini boleh kita jadikan teladan dan sempadan. Apa yang baik kita jadikan teladan dan apa yang buruk kita jadikan sempadan.
***Semasa isu ini ditulis keadaan Mesir sudah semakin pulih...
No comments:
Post a Comment