Showing posts with label bicara ramadhan. Show all posts
Showing posts with label bicara ramadhan. Show all posts

Tuesday, May 30, 2017

Memori Acara Makan-Makan Sebelum Ramadhan

Assalamualaikum... 

Salam Ramadhan...


Belek-belek handphone ternampak gambar hidangan makanan yang diambil dua hari sebelum Ramadhan. Tadaa... Hidangan kfc, kegemaran adik bongsu saya. 

Air kopi O pun masuk jugak dalam senarai... ;)

Pada mulanya ingin ke Chicken Cottage, terasa juga ingin mencuba. Setiap hari melalui bangunan biru Restaurant Chicken Cottage untuk ke tempat kerja.Tapi sehingga kini belum berpeluang untuk menikmati menu makanannya.Chicken Cottage adalah francais makanan segera halal bertaraf antarabangsa dan outlet pertama di Malaysia telah dibuka di Ladang Tok Pelam Kuala Terengganu pada 17 Disember 2015.

Memandangkan tidak tahu apa menu yang ada di Chicken Cottage, maka saya mengarahkan adik untuk membuat carian di google. Setelah carian dibuat ada pelbagai dan antaranya grills... nampak sedap dan menarik. Oleh kerana desakan adik bongsu yang mahu juga ke kfc... akhirnya kami ke kfc. Macam-macam alasan yang diberi kenapa kfc yang dipilih, antaranya sudah biasa makan kfc dan tahu macam mana rasanya. Ternyata... kami tidak berani untuk mencuba benda yang baru. 

Seterusnya acara makan-makan kami berlangsung di rumah, rasa lebih santai makan ramai-ramai sambil menonton tv. Kami beli menu yang berlainan semua boleh rasa dan yang paling best ada kopi O panas, menu tambahan dari mak. Terbaik !!!

Begitulah kisah 2 hari sebelum Ramadhan yang telah berlalu tapi masih segar diingatan.

Sekian coretan kali ini, selamat berbuka semua...

4 Ramadhan 1438H

Sunday, May 28, 2017

KeeP My OLD BLoG PosTs ALivE Part 2

Assalamualaikum...

Salam Ramadhan untuk semua... Ramadhan Kareem...



Bersawang lagi blog saya ini. Tergerak hati untuk terus memberi nafas kepada blog ini setelah saya menyertai kursus membina blog EKSA Jabatan baru-baru ini. Banyak juga ilmu baru berkenaan dunia blogging yang saya perolehi. Maka blog ini akan terus bernafas dan 'I Love My Blog'. 

Google Image

Sebagai permulaan cerita untuk kali ini, saya ingin berkongsi sedikit kegembiraan - Pertama Ramadhan saya pada tahun ini. Sudah bertahun saya dan adik-beradik tidak dapat berbuka bersama pada hari pertama Ramadhan kerana tuntutan kerja dan komitmen masing-masing. Alhamdullilah Ramadhan tahun ini 1438 Hijrah, kami berenam dapat berbuka bersama di kampung halaman bersama mak dan ayah. Walaupun sekejap, ia cukup bermakna. Bukan selalu dapat peluang sebegitu pada hari pertama Ramadhan. Kegembiraannya bukan pada menu atau juadah berbuka, tapi pada tautan ukhuwah yang terbina antara kami.

Dengan penuh harapan... semoga saat dan ketika itu akan berulang lagi untuk tahun-tahun yang akan datang. Dengan penuh harapan juga saya mengharapkan tautan ukhuwah antara kami berkekalan sampai bila-bila. Aamiinn...

Sekian untuk coretan pendek saya pada kali ini.


Selamat Menjalani Ibadah Puasa... 


2 Ramadhan 1438H 




Wednesday, June 29, 2016

KuiH AKoK

Assalamualaikum…

24 Ramadhan… Ramadhan sudah berada di hari-hari terakhir…


Kali ini saya ingin berkongsi sedikit berkenaan dengan sejenis kuih tradisional yang popular di Pantai Timur terutamanya Kelantan dan Terengganu, ‘Kuih Akok’. Kuih ni banyak dijual di pasar-pasar terutamanya di bulan Ramadhan ini. Ramai yang suka dengan kuih akok ini. Termasuklah saya.


Ini kuih akok sedap di kampung saya

Walaubagaimana pun, kuih akok yang betul-betul sedap susah untuk didapati. Bahan-bahan untuk membuatnya tidaklah susah, tapi menurut emak saya, bagi membuat adunan yang betul-betul menepati rasa sedap kuih ini bukan senang. Bahan utama untuk buat kuih ni adalah telur, lagi banyak telur lagi sedap. Menurut Wikipedia, jika pembuatnya kedekut, telur ayam yang digunakan adalah sedikit. Ini akan menghasilkan rasa kuih akok yang tawar atau tidak sedap, dan mempunyai banyak tepung.

Bagi saya kuih akok ni sedap apabila ia lemak, manis dan lembut serta rupanya yang berkedut-kedut dan berwarna coklat. Harga kuih ni sedikit mahal mungkin kos pembuatannya yang mahal kerana menggunakan telur yang banyak. Pada saya harga tidaklah menjadi masalah sangat jika kuih akok tersebut betul-betul sedap. Mesti ada pembelinya.

Sekian coretan untuk hari ini…

Selamat Berbuka Semua.

Sunday, June 12, 2016

4 Ramadhan Berbuka Bersama Mak Ayah

Assalamualaikum…
.
Sebagaimana tajuk itulah kisahnya pada 4 Ramadhan yang lepas. Dek kerana tuntutan kerja yang jauh dari kampung halaman (jauh sangat ke?? Lebihla dari 2 marhalah) maka terpaksala saya merantau ke luar dari daerah letaknya kampung saya itu.


Saat berbuka bersama keluarga hanya dapat dinikmati seminggu sekali. Syukurlah berbanding dengan adik yang hanya dapat berbuka bersama keluarga pada hari terakhir Ramadhan, itu pun jika dapat balik awal, jika tidak malam raya baru bertolak balik. Itulah lumrah kehidupan sebagai perantau. 

Pada saya juadah atau menu tidak penting… yang penting dapat berbuka bersama, ada mak, ada ayah dan adik-adik. Walaubagaimanapun, mak akan masak menu yang istimewa jika anak-anaknya ada bersama. Suasana akan jadi meriah. Macam-macam kerenah dan ragam. Dulu masa kecik-kecik saya dan adik-adik suka letak lauk dalam pingang nasi awal-awal sebelum berbuka, kemudian tunggu sampai azan kedengaran. 

Sedikit perkongsian tentang adab-adab berbuka puasa :


Image Google


Sekarang kami semua dah besar. Amalan itu sudah ditinggalkan. Amalan yang menjadi kebiasaan sekarang share menu berbuka via whatsapp apabila berjauhan, Semoga tautan ukhuwah kami berkekalan dan sama seperti sekarang sampai bila-bila hendaknya. Aminn…

Sekian coretan untuk kali ini, 7 Ramadhan 1437H

Saya tinggalkan coretan saya ini dengan sepotong hadis :-


…”مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّه


Yang bermaksud :

“…Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan yaitu kegembiraan ketika dia berbuka dan kegembiraan ketika berjumpa dengan Rabbnya…”

Hadis Riwayat Muslim : No 1151



Monday, June 6, 2016

6.6.2016

Assalamualaikum...

Cantik tarikh hari ini ... 6.6.2016 bersamaan 1 Ramadhan 1437H


Google Image


Alhamdullilah dapat bertemu lagi dengan Ramadhan tahun ini...

Semoga Ramadhan ini lebih baik dari sebelumnya dan Ramadhan ini bukan yang terakhir...

Penuh harapan semoga Ramadhan ini dapat disempurnakan...


Salam Ramadhan untuk semua...

كل عام وأنتم بخير

Friday, July 12, 2013

Puasa, Kesihatan Dan Hak

 


Hari ini hari ke 3, kita semua umat Islam menjalani ibadat puasa. Alhamdullilah dengan kesihatan yang baik, dapatlah kita melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna. Penjagaan kesihatan penting dalam bulan puasa. Jika badan tidak sihat, ini akan menjejaskan ibadat puasa kita. Teringat kata-kata seorang Dj radio pagi tadi. Inilah perkongsian saya hari.

Di bulan puasa ini, terlalu banyak juadah makanan yang kita jumpa. Adakalanya tidak pernah kita jumpa di bulan-bulan biasa. Rabun mata kita dibuatnya. Yang penting kita harus pandai memilih dan tidak membazir. Dalam memilih, pilihlah tempat yang menjual makanan yang bersih. Takut nanti ada pula yang sakit perut dan cirit birit. Itulah antara coleteh Dj tersebut. Memang tidak dapat dinafikan ada kes keracunan makanan disebabkan oleh penyediaan makanan yang tidak betul dan kotor. Oleh itu, sebelum membeli kita perlu perhati dan pilih.

Sebagai pengguna kita berhak untuk memilih dan mendapat barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Sebagai penjual pula seharusnya ada rasa tanggungjawab dalam penyediaan juadah yang dijual. Bukan mengutamakan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan hak pembeli. Hakikatnya, penjual dan pembeli saling memerlukan antara satu sama lain. Tanpa pembeli tiadalah penjual dan begitulah sebaliknya.

Sekian coretan saya untuk hari ini.
Selamat menjalani ibadat puasa kepada semua…Ramadhan Kareem.  


Wednesday, August 15, 2012

** CeRiTa KaD RaYa **

Salam 26 Ramadhan...
Semoga kita masih lagi bersemangat dan istiqamah dalam menjalani ibadat puasa...
Semoga Ramadhan kali ini bukan yang terakhir untuk kita.
Lagi beberapa hari Ramadhan akan melabuhkan tirainya dan Syawal bakal menjelma.
Teringat saya, duhulu membeli dan menghantar kad raya menjadi kemestian bagi saya. Kini??? Koleksi kad raya yang saya terima tahun ini...hanya 1 sahaja...:( Kebiasaanya, banyak kad raya yang kita hantar, banyaklah kad raya yang akan kita terima.

Sumber : Google

Tradisi menghantar kad raya seperti tidak lagi sesuai di zaman sekarang. Betulkah begitu? Apa yang pasti kedatangan teknologi telah menghakis budaya menghantar kad raya. Sms, mms, laman sesawang seperti facebook dan twitter serta penggunaan e-card menjadikan semuanya cepat, mudah, menjimatkan masa dan wang. Senario ini telah menyebabkan lambakan kad raya di kedai-kedai ketika ini. 

Apa yang saya perhatikan, design kad raya yang berada di pasaran kini kurang menarik berbanding dengan kad raya digital yang lebih moden dan pelbagai. Oleh kerana koleksi kad raya saya hanya 1 je tahun ini...maka hanya 1 jela kad raya yang akan tergantung di dinding rumah saya...:(

... Sekarang misi mengumpul pelita-pelita raya tahun lepas .... 
   

Monday, August 6, 2012

Salam Nuzul Al-Quran


Hari ini 17 Ramadhan merupakan hari Nuzul Al-Quran. Peristiwa nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W. 

"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya."
(Hadis Riwayat Bukhari)


"Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat (kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba kami ditimba azab)
(Surah Ad Dukhan : Ayat 3)


 Ayuh kita dengarkan sebentar lagu tema setiap kali Majlis Tilawah Al-Quran diadakan...
Saya suka dengan lirik lagu ini...:)
Salam Nuzul Al-Quran.

Friday, August 3, 2012

Meriah Ramadhan


Alhamdullilah hari ini 14 Ramadhan... kita masih bernafas dan diberi kesihatan yang baik untuk terus melaksanakan ibadat puasa. Bulan Ramadhan amat berbeza daripada bulan-bulan yang lain kerana adanya :-

Bubur Lambuk 

Di mana-mana sahaja ada program amal memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang yang memerlukan. Program seperti ini jarang didapati di bulan-bulan lain. Bubur lambuk adalah juadah kegemaran emak saya. Kata emak, bubur lambuk adalah makanan yang menyihatkan dan memudahkan sistem penghadaman. Apa yang menarik tentang juadah ini, setiap tempat cara memasaknya adalah berbeza. Jika di tempat saya, bubur lambuk dimasak tanpa menggunakan santan dan hanya mengandungi sayur-sayur kampung serta lonkang (sejenis makanan laut).

Bazar Ramadhan

Sudah menjadi kemestian setiap kali Ramadhan pasti ada bazar ramadhan. Bulan Ramadhan bulan rezeki untuk peniaga-peniaga. Di sini pelbagai juadah makanan yang kita jumpa. Ada kalanya makanan tersebut tidak pernah kita temui. Bahkan ada juga makanan tersebut hanya kita jumpa di bulan ini sahaja. Dek kerana Ramahan kali ini dalam cuaca yang agak panas, sudah pasti aneka air yang berbagai perisa dan warna menjadi buruan di bazar ramadhan. Apa yang penting jangan mengikut nafsu, berbelanja seadanya.  

Mercun

Jika dahulu akhir Ramadhan baru kita akan kedengaran bunyi mercun, tetapi kini di awal Ramadhan sana sini bising dengan bunyi mercun. Terutamanya ketika orang sedang menunaikan solat terawih. Keadaan ini amat menyedihkan. Ramadhan dan Syawal tetap meriah tanpa mercun. Setiap tahun ada yang menjadi mangsa angkara mercun. Bahkan setiap hari ada rampasan mercun disiarkan, namun ianya seperti 'mencurahkan air ke daun keladi'. Keadaannya tetap sama, masih berleluasa orang yang menjual dan membelinya. Di mana silapnya???

Ayuh, kita jadikan Ramadhan kali ini penuh makna dan menjadikan Al-Quran sebagai surat cinta kita sepanjang Ramadhan ini.

'Ramadhan dirai, Syawal dinanti' 



Saturday, July 21, 2012

... Salam Ramadhan ...


"Ku mengharapkan Ramadhan 
Kali ini penuh makna
Agar dapatku lalui
Dengan sempurna"
(Petikan lagu 'Harapan Ramadhan' - Raihan)


Syukur Allah mengizinkan kita mengecapi nikmat Iman dan Islam...
Syukur Allah mengurniakan kita satu bulan dengan penuh barakah...
Syukur Allah jadikannya padanya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan...
Syukur Allah naungi kita dengan rahmat dan hidayahnya...
Syukur Allah pertemukan lagi kita dengan bulan yang mulia ini...
Ramadhan Kareem...
Salam Ramadhan untuk semua...

Sunday, July 8, 2012

Corak Coret Ramadhan


 

Masa terlalu pantas meninggalkan kita... Lebih kurang dua minggu lagi kita akan menyambut kedatangan Ramadhan. Bulan yang cukup meriah, bukan sahaja dengan ibadat puasa malah turut dihiasi dengan solat sunat terawih dan ibadat-ibadat lain.

Ketika ini ramai yang berbicara mengenainya. Di laman sosial Facebook juga ada rakan-rakan yang 'mengeposkan' status-status yang dapat mengingatkan kita semua mengenai kedatangan bulan yang mulia ini. Ada juga yang berbicara tentang hutang puasa yang belum tertunai... Terlupa jumlah hari puasa yang perlu diqada atau terlupa jumlah hari puasa yang telah diganti. Di sini sedikit perkongsian ilmu tentang permasalah ini.  

Syeikh Ibn Uthaimin rhm ada mengemukakan jawapan ketika ditanya soalan seperti ini.
  • Jika ragu-ragu jumlah hari yang belum diganti ialah tiga atau empat hari, maka hendaklah diganti tiga hari kerana yang sedikit itu lebih yakin. Namun, jika ingin mengqada puasa hingga empat hari diharuskan.
  • Jika tidak pasti jumlah hari puasa yang tertinggal atau belum diganti, maka hendaklah dikira berdasarkan kebiasaan puasa yang ditinggal. Jika puasa ditinggal sebab haid, maka jika haid biasa mengambil masa enam hari, maka gantilah puasa selama enam hari.
(Sumber : Majalah Solusi, Isu No 33)
Ada juga di kalangan kita sedang berkira-kira untuk membuat perniagaan (bazar Ramadhan dan perniagaan biskut raya dan sebagainya yang berkaitan dengan raya) sempena bulan yang mulia ini. Ada yang mengatakan bulan Ramadhan bulan rezeki. Apa pun perancangan kita, semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan penuh dengan pengisian.
Ayuh kita amalkan...

 Sumber : Facebook


Sunday, August 21, 2011

Bicara ramadhan


Ramadhan...
Ketibaannya dinanti penuh syahdu
Permulaannya rahmat

Pertengahannya keampunan

Pengakhirannya pembebasan dari azab neraka

Ramadhan...

Bulan muhasabah diri

Bulan penyucian jiwa

Bulan tarbiah

Bulan menyemai sebanyak mungkin amalan

Kerana pahalanya berlipat ganda


Hari demi hari Ramadhan sudah dilalui

Pada malam hari dihiasi solat terawih

Diiringi suara tadarus

Pada siang hari ibadat puasa dihayati

Bukan sekadar lapar dan dahaga
Tapi juga medan ujian hati


Kini...
Semakin resah menghitung hari

Ramadhan hampir meninggalkan kita

10 malam terakhir malam lailatulqadar

Kita jejaki

Malam yang lebih baik dari seribu bulan
Sebentar lagi Ramadhan akan pergi

Pemergiaannya ditangisi

Kerana kita belum pasti akan bertemu lagi dengan

Ramadhan yang akan datang...

Mungkinkah ini Ramadhan terakhir buat kita

Thursday, July 28, 2011

Sebelum ramadhan


Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan. Begitulah dari Muharam hingga ke Rejab, dari Rejab hingga ke Syaaban yang kian melabuhkan tirainya. Kini, Ramadan bakal membuka tirainya dan akan menggamit kita dengan ibadah puasa yang merantai nafsu dengan segala kelazatan rezeki.

Sebelum kaki melangkah ke bulan yang penuh barakah, pandang sejenak ke belakang sudahkah kita melunaskan hutang puasa yang lepas? Itulah peringatan seorang kawan kepada saya beberapa hari lepas. Alhamdullilah... Semuanya telah tertunai. Di sini sedikit perkongsian ilmu yang ingin saya kongsikan mengenai ibadat puasa. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
(Surah al-Baqarah : 183)

Namun, dalam keadaan tertentu seperti bermusafir (jarak perjalanan yang melebihi 2 marhalah) atau sakit, kita boleh meninggalkan puasa. Keadaan ini dinamakan sebagai rukhsah. Rukhsah ialah hukum syarak yang diberikan pengecualian disebabkan terdapat keuzuran yang berat, sebagai pengecualian daripada hukum asal yang menyeluruh, namun mengikut batasan kadar yang perlu. Harus tidak berpuasa itu merupakan hukum syarak yang selari dengan keuzuran yang berat iaitu musafir atau sakit. Ia adalah sebagai pengecualian daripada hukum asal yang menyeluruh iaitu wajib puasa. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"...Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka)..."
(Surah al-Baqarah : 184)

Apabila selesai musafir atau kembali sihat, maka wajiblah kembali kepada hukum asal, wajib puasa.

Berikut ialah keadaan yang mewajibkan kita qada (ganti) sahaja puasa yang telah ditinggalkan atau membayar fidyah sahaja untuk puasa yang telah kita tinggalkan atau kedua-duanya sekali.

Wajib Qada Sahaja
  • Orang sakit yang memberi mudarat sekiranya dia terus berpuasa
  • Musafir
  • Perempuan yang berada dalam haid dan nifas
  • Perempuan yang mengandung atau menyusukan anak dan bimbang akan kesihatan dirinya
Wajib Fidyah Sahaja
  • Orang tua yang tidak mampu berpuasa
  • Orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh
  • Orang yang bekerja kuat sepanjang tahun
Wajib Qada Dan Fidyah
  • Orang yang lewat menqadakan puasanya hingga tiba Ramadan tahun berikutnya
  • Perempuan yang mengandung dan bimbang tentang dirinya dan kandungannya
  • Perempuan yang menyusukan anak dan bimbang akan kesihatan dirinya dan anaknya
  • Perempuan yang mengandung atau menyusukan anak dan bimbang akan anaknya sahaja
Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan....

Tuesday, August 24, 2010

UPAH @ FADILAT

"Aiman, esok kita mula puasa. Aiman kena puasa ye." Kata si bapa kepada si anak.
"Ok bah, tapi nanti abah belikan Aiman PSP yang baru ye." Kata si anak.

Si bapa pening memikirkan kerenah si anak. Setiap kali disuruh puasa ramadhan Aiman mesti mahukan upah. Sedar tak sedar Aiman sudah mencapai usia 10 tahun. Si bapa berfikir apakah dengan upah yang diberi Aiman akan memahami fadilat puasa yang sebenar??? Apakah yang harus dia lakukan supaya Aiman tidak lagi meminta upah apabila disuruh berpuasa.

Seingat saya dulu waktu kecil-kecil ada jugak menerima upah daripada mak dan ayah kerana berpuasa. Upah puasa kepada anak-anak dari sudut negatifnya, si anak akan menjadi terlalu menuntut dan cenderung kepada kebendaan. Sekiranya upah itu berterusan sehingga si anak matang, maka si anak akan terus mengharapkan ganjaran untuk puasa yang dilakukan. Malah si anak tidak akan faham tentang fadilat berpuasa dan lebih terdorong untuk mengumpul wang semata-mata daripada memahami erti menahan lapar dan dahaga. Si anak juga tidak mahu berpuasa sekiranya tiada upah yang diberikan. Upah atau ganjaran yang diberikan tidak semestinya berupa duit, tetapi apa-apa saja yang diingini oleh anak-anak dan upah tersebut tidak semestinya berupa barangan yang mahal, terpulang kepada kemampuan ibu bapa.

Oleh itu, langkah yang terbaik untuk mengalakkan anak-anak berpuasa ialah dengan memberi didikan kepada si anak tentang tujuan dan kebaikan ibadat puasa. Selain itu, ibubapa juga seharusnya memberi penerangan tentang keseronokan dan kenikmatan waktu berbuka puasa bersama keluarga serta menerapkan kepada si anak tentang pahala dan keredhaan Allah.

Menurut Dr Mohamad Zulkifli, seorang penceramah bebas mengatakan sekiranya upah berpuasa itu adalah sebagai dorongan untuk anak-anak berpuasa maka ianya digalakkan. Di sini upah adalah mukadimah untuk melatih anak-anak berpuasa. Namun, sekiranya amalan upah ini berterusan sehingga kanak-kanak matang, maka ianya tidak boleh sama sekali. Hal ini kerana mereka sepatutnya sudah faham tentang kewajipan ibadat puasa.

"Wahai orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."

Saturday, September 12, 2009

DOA PERPISAHAN DENGAN RAMADHAN

"Ya Allah, inilah bulan Ramadhan yang di dalamnya Engkau telah menurunkan al-Quran yang telah berlalu.
Aku berlindung dengan kekuasaan-Mu yang mulia, wahai pemilik fajar
yang terbit dari malam-malamku dan pemilik bulan Ramadhan yang sudah berlalu ini.
Kepada-Mu aku mengadukan kesalahan dan dosaku yang dengannya Engkau akan
menyeksaku pada hari perjumpaan dengan-Mu kelak.
Ya Allah janganlah engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku.
Seandainya Engkau berketetapan sebaliknya,
maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia.
Ya Allah jadikanlah puasaku di dalamnya mendapatkan hadiah pahala serta diterima
sebagai amalan yang mendatangkan keredhaan-Mu dan daripada Rasul-Mu
serta dihubungkan cabang-cabangnya dengan pokok, dengan hak kemuliaan
Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda SAW yang suci"


Tidak berapa lama lagi Ramadhan akan meninggalkan kita semua. Adakah kita akan berpeluang bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang??? Apakah kita merasa sedih atau gembira dengan berlalunya Ramadhan datangnya Syawal???Sama-samalah kita berdoa agar kita diberi kesempatan untuk berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang. Doa ini saya petik daripada majalah Anis keluaran September 2009.


LAILATULQADAR...



Malam ini merupakan malam yang ke 22 kita berada di bulan ramadhan. Ini bermakna kita telah pun berada di malam sepuluh yang terakhir. Adakah kita akan bertemu dengan malam lailatulqadar...iaitu suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan merupakan anugerah yang diberikan oleh Allah kepada kita umat nabi Muhammad S.A.W dan tidak kepada umat-umat yang lain.

Lailatulqadar bermaksud malam yang sempit. Pada malam itu dunia berada dalam kesempitan dan kesesakkan kerana turunnya para malaikat ke dunia. Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-quran) pada malam lailatulqadar dan apa jalannya engkau mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? malam lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril a.s. dengan izin tuhan mereka kerana membaca segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun yang berikutnya); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."
(al-Qadr:1-5)

Malam itu merupakan malam yang agung. Al-Qadr itu sendiri membawa maksud kemuliaan dan keagungan. Banyak pendapat dan hadis yang membincangkan tentang bilakah sebenarnya berlaku malam lailatulqadar... Sabda Rasulullah S.A.W:
"Pilihlah malam lailatulqadar pada bilangan malam yang ganjil daripada sepuluh terakhir ramadhan."

Iman al-Nawawi menyatakan bahawa tanda berlakunya lailatulqadar ialah pada malam tersebut keadaan tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Matahari yang terbit pada pagi hari itu pula kelihatan putih cerah dan tidak banyak sinaran cahayanya.
Jadi sama-samalah kita merebut peluang yang diberikan oleh Allah kepada kita di mana tidak diberikan kepada umat-umat yang lain. Semoga kita salah seorang yang akan berada di malam itu...

Tuesday, September 1, 2009

KESILAPAN DI BULAN RAMADHAN…


Pada malam ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya dapat daripada Majalah i keluaran Ogos 2009. Saya jarang membaca majalah ilmiah seperti ini. Sememangnya banyak info yang boleh kita dapat, terutamanya tentang dunia Islam. Syabas dan tahniah kepada penerbitnya dan Karangkraf. Apa yang saya ingin kongsikan ialah tentang salah faham kita dan saya sendiri terhadap amalan-amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Salah faham yang paling utama di kalangan kita dan diri ini ialah tentang waktu imsak. Kita menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah’ bagi sahur. Waktu imsak sebenarnya hanyalah ‘lampu amaran oren’ yang dicadangkan oleh beberapa ulama untuk mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur tetapi, waktu amaran sahaja. Tidak ada alasan sekiranya kita terlewat bangun dan sudah masuk waktu lalu kita tidak bersahur dan seterusnya tidak dapat berpuasa pada keesokkan harinya. Waktu yang disepakati ulama sebagai waktu penamat sahur adalah setelah masuk waktu fajar sidiq (subuh).

Yang ke duanya ialah tentang solat witir selepas solat terawih. Banyak dalil-dalil yang sahih mengatakan waktu yang terbaik untuk solat witir adalah penutup segala solat sunat di malam hari tersebut. Memetik sebuah hadis yang bermaksud: “Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam”. Tidak salah untuk melakukan solat sunat witir selepas solat terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu maka, adalah lebih afdhal ia melewatkan witirnya di akhir malam.

Antara amalan lain yang menjadi salah faham kita di bulan yang mulia ini ialah makan sahur. Ada di kalangan kita (trmasuklah diri ini kadang-kadang) makan sahur di waktu tengah malam sebelum tidur kerana malas bangun di akhir malam. Orang yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh nabi dan bertentangan dengan sunnahnya. Perkataan ‘sahur’ itu sendiri dari segi bahasa bermaksud waktu terakhir di hujung malam. Para ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam.

Selain daripada amalan-amalan di atas kita sering bermalasan-malasan dan tidak produktif dalam melakukan kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan kerja yang kita lakukan seharian adalah dengan niat ibadat dan pastinya akan menambahkan lagi pahala di bulan yang mulia ini. Oleh itu kita hendaklah meningkatkan produktiviti dan bukan mengurangkannya di bulan Ramadhan. Jangan menjadikan puasa sebagai alasan.

Setiap kali kedatangan Ramadhan, setiap masjid dan surau pasti meriah. Ramai yang datang untuk solat terawih beramai-ramai kerana kemeriahannya dan ada jugak antara kita yang datang ke masjid dengan niat kerana morehnya. Malanglah bagi mereka yang hadir ke masjid bukan atas dasar keimanan dan bukan mengharapkan ganjaran redha Allah. Ingatlah bahawa setiap amalan kita dikira dengan niat. Nabi S.a.w bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya semua amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat”. Insya Allah semoga salah faham kita tentang amalan-amalan di atas dapat diperbetulkan dan kita dapat mempertingkatkan lagi level ibadat kita sebelum berakhirnya ramadhan tidak lama lagi.

Friday, August 21, 2009

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN…



Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Itulah bulan yang penuh dengan barakah dan kehadirannya ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam. Ada juga di antara kita yang rindukan sahurnya, buka puasa beramai-ramai, solat tarawih, tadarrus al-Quran dan tak kurang juga yang teringat dengan pelbagai jenis juadah makanan yang hanya terdapat di bulan ramadhan. Semalam 29 Syaaban 1430 Hijrah bersamaan 20 Ogos 2009 pihak berkuasa di kebanyakan negara Islam termasuk negara kita Malaysia telah mengumumkan bahawa tarikh bermulanya puasa adalah esok 22 Ogos 2009 bersamaan 1 Ramadhan 1430 Hijrah. Maka wajiblah kepada kita semua sebagai umat Islam untuk menunaikan rukun Islam yang ke-3 iaitu berpuasa. Sebagaimana firman Allah S.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud:“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa”
Insya Allah dengan berpuasa menjadikan kita semua orang yang bertakwa. Tetapi, bukanlah bermaksud apabila kita berpuasa kita akan tergolong dalam orang-orang yang bertakwa kerana takwa di sini hanya kepada orang-orang yang betul-betul menjaga ibadah puasanya. Puasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi menjaga lidah dari halwa yang membuai rasa dan membicarakan hal-hal yang tidak berfaedah serta menjaga suara yang membawa berita bohong. Rasulullah S.a.w bersabda:
“Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”
(Hadis menurut Sahih Muslim)
Apabila kita berpuasa terdapat dua kegembiraan yang akan kita perolehi. Pertamanya kita akan menemui kegembiraan sewaktu berbuka dan kegembiraan yang kedua ialah ketika kita bertemu dengan Allah S.w.t di hari akhirat nanti. Semoga kita semua akan mendapat ke dua-dua kegembiraan ini. Insya Allah..

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraannya, gembira ketika berbuka dan gembira ketika berjumpa dengan tuhannya (di hari kiamat).”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada juga di antara kita yang menanam azam sempurna dengan kedatangan ramadhan al-Mubarak ini. Terdapat berbagai-bagai azam yang saya dengar disuarakan oleh pendengar-pendengar IKIM pagi tadi. Antara yang menarik perhatian saya ialah ada di kalangan pendengar yang tidak mahu membazir. Ini azam yang sangat baik kerana kita selalu dengar apabila bulan Ramadhan perbelanjaan kita meningkat. Kenapa agaknya?? Ini kerana kita terlalu menurut hawa nafsu untuk berbelanja dengan membeli pelbagai juadah makanan sedangkan kita tidak mampu untuk menghabiskannya. Mana taknya pergi sahaja bazar ramadhan kita mula rabun mata semua kita nak dan semuanya nampak sedap. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan kita dapat berjumpa dengan malam yang dinanti-nanti iaitu malam Lailatul Qadar. Firman Allah S.w.t dalam surah Al-Qadr ayat 3 bermaksud:
“Malam Lailatul Qadar (malam penentuan) lebih utama daripada 1000 bulan”Jadikanlah Ramadhan kali ini yang terakhir untuk kita. Apakah kita akan berjumpa lagi dengan Ramadhan yang akan datang???
Indahnya Ramadhan,
Paginya hening untuk yang insaf,
Siangnya pendek untuk yang sabar,
Malamnya panjang untuk yang bertaubat.


RAMADHAN KAREEM...


**RENUNGAN BERSAMA DAN UNTUK DIRI SENDIRI**