Friday, August 21, 2009

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN…



Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Itulah bulan yang penuh dengan barakah dan kehadirannya ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam. Ada juga di antara kita yang rindukan sahurnya, buka puasa beramai-ramai, solat tarawih, tadarrus al-Quran dan tak kurang juga yang teringat dengan pelbagai jenis juadah makanan yang hanya terdapat di bulan ramadhan. Semalam 29 Syaaban 1430 Hijrah bersamaan 20 Ogos 2009 pihak berkuasa di kebanyakan negara Islam termasuk negara kita Malaysia telah mengumumkan bahawa tarikh bermulanya puasa adalah esok 22 Ogos 2009 bersamaan 1 Ramadhan 1430 Hijrah. Maka wajiblah kepada kita semua sebagai umat Islam untuk menunaikan rukun Islam yang ke-3 iaitu berpuasa. Sebagaimana firman Allah S.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud:“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa”
Insya Allah dengan berpuasa menjadikan kita semua orang yang bertakwa. Tetapi, bukanlah bermaksud apabila kita berpuasa kita akan tergolong dalam orang-orang yang bertakwa kerana takwa di sini hanya kepada orang-orang yang betul-betul menjaga ibadah puasanya. Puasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi menjaga lidah dari halwa yang membuai rasa dan membicarakan hal-hal yang tidak berfaedah serta menjaga suara yang membawa berita bohong. Rasulullah S.a.w bersabda:
“Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”
(Hadis menurut Sahih Muslim)
Apabila kita berpuasa terdapat dua kegembiraan yang akan kita perolehi. Pertamanya kita akan menemui kegembiraan sewaktu berbuka dan kegembiraan yang kedua ialah ketika kita bertemu dengan Allah S.w.t di hari akhirat nanti. Semoga kita semua akan mendapat ke dua-dua kegembiraan ini. Insya Allah..

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraannya, gembira ketika berbuka dan gembira ketika berjumpa dengan tuhannya (di hari kiamat).”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada juga di antara kita yang menanam azam sempurna dengan kedatangan ramadhan al-Mubarak ini. Terdapat berbagai-bagai azam yang saya dengar disuarakan oleh pendengar-pendengar IKIM pagi tadi. Antara yang menarik perhatian saya ialah ada di kalangan pendengar yang tidak mahu membazir. Ini azam yang sangat baik kerana kita selalu dengar apabila bulan Ramadhan perbelanjaan kita meningkat. Kenapa agaknya?? Ini kerana kita terlalu menurut hawa nafsu untuk berbelanja dengan membeli pelbagai juadah makanan sedangkan kita tidak mampu untuk menghabiskannya. Mana taknya pergi sahaja bazar ramadhan kita mula rabun mata semua kita nak dan semuanya nampak sedap. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan kita dapat berjumpa dengan malam yang dinanti-nanti iaitu malam Lailatul Qadar. Firman Allah S.w.t dalam surah Al-Qadr ayat 3 bermaksud:
“Malam Lailatul Qadar (malam penentuan) lebih utama daripada 1000 bulan”Jadikanlah Ramadhan kali ini yang terakhir untuk kita. Apakah kita akan berjumpa lagi dengan Ramadhan yang akan datang???
Indahnya Ramadhan,
Paginya hening untuk yang insaf,
Siangnya pendek untuk yang sabar,
Malamnya panjang untuk yang bertaubat.


RAMADHAN KAREEM...


**RENUNGAN BERSAMA DAN UNTUK DIRI SENDIRI**

2 comments:

Anonymous said...

slmt berpuasa kawan2 ku sekalian...

ehmmm...pandai pun edit setting...

jmpe nnt if ada masa..

ni tgh keje tp tension..ilangkan stress jap....

ada masa komen2 la i jugak..
hihihi

ermizamustafa said...

Thanks sudi ajar banyak benda tentang blog...nanti akak post comment kat blog syarifah gak..