Showing posts with label undang-undang. Show all posts
Showing posts with label undang-undang. Show all posts

Wednesday, August 2, 2017

Perintah Interim Secara Exparte

Assalamualaikum...

Semoga baik-baik sahaja petang ini...


A sudah bercerai dengan B dan mereka mempunyai dua orang anak yang masih di bawah umur. A telah membuat tuntutan hadhanah (hak penjagaan) di Mahkamah Syariah terhadap 2 orang anak tersebut. B berusaha untuk membawa dua orang anak tersebut ke luar dari Malaysia. Sedangkan perbicaraan tuntutan hadhanah masih dalam prosiding. Ini adalah situasi yang biasa berlaku di Mahkamah Syariah. 



Sudah agak lama saya tidak menulis tentang undang-undang. Petang ini tergerak hati untuk berkongsi sedikit berkenaan Perintah Interim Secara Exparte. Dua istilah ini adalah istilah undang-undang dan ia tidak asing di Mahkamah Syariah. Perkongsian ini adalah ilmu yang saya dapat melalui bengkel baru-baru ini. Walaupun ini bidang saya, hakikatnya saya masih kabur tentang perkara ini. Perkongsian ini adalah secara ringkas sahaja.

Penyelesaian bagi situasi di atas, B boleh membuat permohonan perintah interim hadhanah.


Apa Itu Perintah Interim?


- Perintah sementara sehingga penyelesaian penuh. Dalam situasi di atas merujuk kepada Perintah sementara sebelum keputusan kes hadhanah diputuskan.


Dalam Keadaan Mana Boleh Dibuat Permohonan Interim?

1. Perintah Interim Injunsi

- Remedi dalam bentuk arahan Mahkamah untuk menghalang atau meneruskan atau melakukan sesuatu.

- Contoh : Tegahan kacau ganggu, pembekuan harta dan tegahan bawa keluar anak.

2. Perintah Interim Hadhanah

- Dipohon untuk mendapatkan hak jagaan anak sementara dengan perintah berkuatkuasa dengan segera sehinggalah keluar perintah kekal dalam kes induk (kes hadhanah)

- 2 elemen penting yang perlu dalam permohonan ini :
  a) Wujud keadaan yang mendesak
  b) Demi kepentingan, keadilan atau perlindungan anak atau pemohon

3. Perintah Interim Nafkah Anak

- Permohonan dibolehkan apabila :
1. Dalam keadaan memerlukan perintah nafkah
2. Bapa kanak-kanak berkeupayaan membayar nafkah 

Apa itu Exparte?

- Tidak semua Permohonan Interim boleh dibuat secara Ex-Parte.

- Contohnya Tuntutan Nafkah Anak mesti secara Inter-Parte (Mendengar kedua-dua belah pihak)

- Asas permohonan hendaklah wujud darurat.

- Diputuskan setelah mendengar secara sebelah pihak untuk mengelakkan apa-apa kerosakan / mudharat.



Merujuk kepada situasi di atas permohonan perintah interim hadhanah tersebut akan didengar secara exparte (secara sebelah pihak sahaja)dan hendaklah wujud 2 elemen dalam permohonan tersebut iaitu ; keterdesakkan dan demi kepentingan anak serta pemohon.

Apabila Mahkamah berpuas hati dengan alasan dan wujud 2 elemen yang telah dinyatakan di atas, maka perintah interim secara ex parte boleh dibenarkan dan menghalang B dari membawa keluar dua anak tersebut dari Malaysia sehingga keputusan kes hadhanah diputuskan.

Sekadar ini dahulu perkongsian saya untuk petang ini dan Insya Allah perkongsian ini akan bersambung di lain waktu.

Sekian...

9 Zulkaedah 1438 Hijrah

Sunday, June 4, 2017

DEFENDAN : CINTA SEORANG LELAKI DAN KASIH SAYANG SEORANG BAPA

Assalamualaikum...


Saya bukan peminat KPOP, tetapi saya sangat meminati drama korea. Apatah lagi pada masa kini lambakan drama korea terbaru. Teringin pulak ingin membuat sedikit review terhadap sebuah drama korea yang tersenarai antara yang mendapat ranking tertinggi dan menjadi bualan. Defendan atau Innoncent Defendan antara drama korea yang saya rasakan terbaik sepanjang 2017 setakat ini dan sangat terkesan di hati. Review saya ini sememangnya sudah terlambat, memandangkan siaran tayangannya sudah lama berakhir.


Innoncent Defendan adalah sebuah drama thriller yang mengisahkan perjuangan seorang prosecutor (Park Jeong-woo – lakonan Ji sung) yang dituduh membunuh isteri dan anaknya serta berdepan dengan hukuman mati. Dalam masa yang sama dia mengalami amnesia. Lupa apa sebenarnya yang telah berlaku pada malam kejadian. Park Jeong-woo mempunyai keluarga yang bahagia dengan seorang isteri dan seorang anak perempuan yang comel. Dalam sekelip mata dia kehilangan kedua-duanya, malah dituduh membunuh mereka. 


Sangat terkesan di hati bagaimana Park Jeong-woo berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan ingatannya dan mencari kebenaran terhadap apa sebenarnya yang telah berlaku setelah mengetahui anaknya masih hidup. Bahkan dia mencuba sehabis daya untuk keluar dari penjara demi menemui anaknya kembali.


Kehidupan di penjara bagaikan mimpi ngeri. Bukan suatu yang mudah untuk Park Jeong-woo adapt dengan kehidupan di penjara, dalam keadaan amnesia, apatah lagi berdepan pula dengan banduan-banduan yang pernah menjadi pesalahnya. Dalam masa yang sama dia sentiasa menjadi perhatian musuhnya. Part yang paling best, bagaimana dia berjaya mendapat kerjasama dari rakan-rakan banduannya yang lain untuk keluar dari penjara. Mereka saling tolong menolong antara satu sama lain. Hubungan mereka tidak berakhir di situ, mereka saling berhubung antara satu sama lain selepas keluar dari penjara dan berjanji tidak akan kembali ke tempat itu lagi.  

Kesimpulannya, bukan semua yang bergelar banduan adalah banduan… Ada cerita di sebalik kehidupan individu itu yang tidak terjangka oleh akal fikiran kita… Actus Non Facit Reum Nisi Mens Sit Rea - Sesuatu perbuatan tidak akan menyebabkan seseorang bersalah melainkan mindanya juga bersalah.

Bayangkan bagaimana sekiranya Park Jeong-woo mengalami amnesia buat selama-lamanya? 

Terbaik Ji sung… 5 bintang …

Sekian coretan untuk kali ini...

9 Ramadhan 1438H


Wednesday, June 20, 2012

Sulh penyelesaian di luar mahkamah


Sulh ialah kaedah alternatif (penyelesaian di luar mahkamah) kepada kaedah perbicaraan di mahkamah yang kebiasaannya mengambil masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi. Tuntutan atau permohonan yang dibuat mestilah melibatkan hak dan tanggungjawab dalam hal ehwal kekeluargaan Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Petang semalam seorang pak cik (jiran saya) menunjukkan notis mahkamah yang diterimanya kepada saya - notis kehadiran majlis sulh. Notis ini diterima ekoran daripada permohonan cerai yang difailkan oleh isterinya. 


Secara kebetulan seorang kawan pernah bertanya, apa itu majlis sulh? Di sini sedikit perkongsian ringkas tentang majlis sulh.

Apa Itu Sulh?
Secara amnya, sulh merupakan penyelesaian suatu pertikaian antara pihak yang bertikai dalam sesuatu isu dengan cara persetujuan bersama antara mereka sendiri dan bukannya diputuskan oleh pihak ketiga.

Majlis Sulh : Suatu proses perundingan terpimpin yang dijalankan sesuai dengan peraturan yang diperuntukan oleh syarak dan undang-undang dan berbeza dengan situasi perbicaraan di mahkamah kerana majlis sulh tanpa dihadiri oleh orang awam dan peguam syarie. Pihak-pihak yang bertikai boleh berunding dalam suasana yang selesa.

Pihak Yang Terlibat Dalam Majlis Sulh
Pihak yang membuat tuntutan (pemohon/plaintif)
Pihak yang kena tuntut (defendan)
Pegawai sulh

Pegawai sulh berperanan sebagai pengerusi majlis dan membantu kedua-dua pihak untuk mencapai persefakatan dan tidak mempunyai kepentingan (conflict of interest) serta bersifat kerahsiaan.

Faktor Kejayaan Majlis Sulh
  • Kedua-dua pihak bersedia untuk menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah
  • Kedua-dua pihak bersedia untuk berunding secara ikhlas dan terbuka
  • Kedua-dua pihak sedar bahawa penyelesaian adalah untuk kepentingan di masa hadapan
  • Kedua-dua pihak sedar akan implikasi jika kes diteruskan di mahkamah
Jika majlis ini berjaya - direkodkan sebagai perintah mahkamah
Jika majlis ini gagal - akan melalui proses perbicaraan

Doa saya semoga urusan pak cik dipermudahkan....
Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari...
   Dia datangkan petir dan kilat...
        Kita menangis dan tertanya-tanya...
              Kemana hilangnya sinar...
Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi   

Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya pak cik.... 

Tuesday, February 7, 2012

Tetamu Tidak Diundang


Pagi tadi saya sempat mendengar segmen 'Ulasan Berita' yang keudara di Nasionalfm mengenai isu pesakit mental yang kebelakangan ini kerap mengundang bahaya kepada masyarakat. Berita ini mengingatkan saya kepada peristiwa kunjungan seorang pemuda yang tidak dikenali ke rumah saya beberapa bulan yang lepas.

Pagi itu seperti biasa emak sibuk dengan urusan kebun bunganya. Tiba-tiba seorang pemuda datang ke rumah saya. Keadaanya kusut masai dan tidak terurus. Kebetulan pada waktu itu pintu pagar tidak berkunci dan dia terus masuk ke halaman rumah. Emak yang terkejut dengan kehadirannya sempat bertanya, "cari siapa?" Katanya, dia ingin menumpang toilet. Nasib baik rumah saya mempunyai sebuah toilet di luar rumah. Waktu itu saya dapat merasakan bahawa pemuda inilah yang selalu diceritakan oleh orang-orang kampung. Saya melihatnya dari dalam rumah. Tiba-tiba saya rasa tidak sedap hati dan mencari telefon bimbit dengan niat untuk menghubungi adik yang baru keluar sekejap tadi.

Beberapa minit kemudian, saya terdengar suara emak menjerit kepada pemuda tersebut supaya pergi setelah melihat pemuda itu sudah pun berada di tangga hadapan. Saya yang berada di dalam rumah berasa sangat gementar apatah lagi melihat pintu hadapan tidak berkunci. Setelah emak bising-bising, akhirnya pemuda itu berlalu pergi. Saya bersyukur sangat-sangat kerana dia tidak melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. Sejak hari itu, pintu pagar rumah sentiasa berkunci. Menurut penduduk kampung pemuda tersebut mengalami gangguan mental setelah gagal dalam perniagaannya. Kini, saya tidak lagi melihat dan mendengar cerita tentang pemuda tersebut.

Golongan seperti ini perlukan rawatan dan bukannya melepaskannya bebas seperti pemuda ini. Akhir-akhir ini kita sering kali dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam dan yang terlibat adalah pesakit mental. Hakikatnya, kesalahan membunuh jika disabitkan boleh dihukum gantung sampai mati di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tetapi, disebabkan ketidakwarasan fikiran (unsoundness of mind) tertuduh bebas daripada hukuman tersebut, contohnya kes yang mengorbankan empat ahli keluarga di Gemencheh Negeri Sembilan pada awal tahun 2010. Rashidi Ismail yang menghidap penyakit 'skizofrenia' dibebaskan daripada tuduhan membunuh datuk, nenek, bapa dan adik perempuannya. 'Skizofrenia' adalah antara penyakit jiwa yang serius dan golongan ini sukar membezakan antara dunia nyata dengan dunia fantasi.

Dalam sistem perundangan, tertuduh boleh mengemukakan pembelaan ketidakwarasan fikiran apabila tertuduh berjaya membuktikan semasa jenayah dilakukan, tertuduh dalam keadaan ketidakwarasan fikiran atau tidak dapat memahami perbuatan jenayah yang dilakukannya secara fizikal atau tidak dapat memahami perbuatan jenayah itu bertentangan dengan hukum moral atau bertentangan dengan undang-undang. Pembelaan ini berbentuk pembelaan mutlak yang mengecualikan liabiliti jenayah seseorang penjenayah secara mutlak. Maka dengan ini, mahkamah membebaskan Rashidi Ismail kerana tindakannya membunuh datuk, nenek, bapa dan adik perempuannya tidak konsisten dengan orang yang waras.

Oleh itu, golongan seperti ini tidak boleh dibiarkan bebas tanpa rawatan dan kaunseling kerana mereka ada kalanya sukar mengawal tingkah laku dan bertindak di luar batasan dan akan mengundang bahaya kepada orang sekeliling.

Memetik kata-kata Ramlee Awang Murshid dalam novelnya (Fiksyen 302), "Berhati-hatilah dengan watak diri kita sendiri, kemungkinan watak itu sekadar fiksyen. Jangan percaya kalau suara hati menyuruh diri kita melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi membunuh."

Friday, November 11, 2011

Pusaka : Hak Wanita Dalam Pewarisan Harta

Saya terpanggil untuk menulis topik ini setelah seorang kawan bertanya kepada saya, kenapa bahagian lelaki melebihi bahagian perempuan dalam pemilikan harta melalui pembahagian harta pusaka? Adakah faraid tidak prihatin kepada golongan hawa?
Dalam kita mengutarakan persoalan sebegini, kita perlu berhati-hati mungkin ianya akan menimbulkan perasaan ragu-ragu dalam hati kita.

TaKRiF PuSaKa:

Dalam bahasa arab : faraid atau mirath
Istilah : Ilmu yang menentukan tiap-tiap hak dari pusaka. Ia merupakan satu bentuk pengiraan yang telah ditetapkan oleh syarak mengenai pembahagian harta peninggalan si mati kepada waris-waris yang layak menerimanya.
Harta pusaka ialah semua harta yang ditinggalkan oleh si mati. Semua harta tersebut adalah milikan penuh si mati dan dapat diwarisi seperti duit simpanan, KWSP, insuran, harta sepencarian dan mas kahwin yang belum dibayar oleh suami kepada isteri sehingga kematiannya.
Waris ialah orang yang berhak mewarisi harta si mati.

KEDUDUKAN WANITA

Pada zaman jahiliyah menyaksikan dunia ketika itu didominasi oleh kaum lelaki dan wanita adalah mangsa diskriminasi. Wanita dinafikan hak dalam pewarisan harta. Kedatangan Islam telah mengangkat martabat wanita dan memberi hak kepada mereka termasuklah hak untuk mewarisi harta pusaka.

HAK WANITA DALAM PEWARISAN PUSAKA

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Bagi lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan kedua orang tua dan kerabatnya dan bagi perempuan ada hak bahagian dari harta peninggalan kedua orang tua dan kerabatnya sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu menurut bahagian yang telah ditetapkan." (Surah al-Nisa' : ayat 7)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa wanita juga mempunyai hak dalam pewarisan harta pusaka. Kadarnya adalah berbeza-beza mengikut kedudukan mereka dalam keluarga sama ada sebagai ibu, anak, isteri, adik atau kakak. Syariat Islam telah membariskan senarai waris wanita yang layak menerima harta peninggalan si mati :- anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki, nenek sebelah ibu, nenek sebelah bapa, adik-beradik perempuan seibu sebapa, adik beradik perempuan sebapa, adik beradik perempuan seibu dan isteri.

PUSAKA : BAHAGIAN LELAKI MELEBIHI BAHAGIAN PEREMPUAN

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu untuk seorang anak lelaki sama dengan bahagian 2 orang anak perempuan dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari 2 maka bagi mereka 2/3 dari harta yang ditinggalkan dan jika anak perempuan itu seorang sahaja maka dia memperoleh separuh harta..." (Surah al-Nisa' : ayat 11)


Jelas bahawa anak perempuan mendapat bahagian separuh daripada apa yang diterima oleh anak lelaki.

KENAPA???

Ada hikmah dan falsafah di sebalik dasar pembahagian itu. Ianya demi mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam keluarga. Antara hikmahnya ialah :-
  • Lelaki wajib membayar mas kahwin (mahar) kepada isteri dan mereka diwajibkan menyediakan tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada isteri dan anak-anak.
  • Lelaki lebih memerlukan kewangan yang banyak untuk menampung kehidupan seharian seperti nafkah kepada isteri dan anak-anak, menampung kos perubatan dan pendidikan.
  • Seorang perempuan dari segi perbelanjaan dan keperluan sudah terjamin kerana nafkahnya wajib ke atas suami apabila berkahwin dan sekiranya belum berkahwin wajib ke atas bapa atau kaum kerabat yang lain atau walinya.
  • Perempuan juga tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada sesiapa pun.

Dengan ini jelas bahawa wujudnya konsep keadilan undang-undang pusaka Islam dalam hubungan kekeluargaan. Walaupun dilihat kaum hawa mendapat bahagian yang sedikit berbanding kaun adam, tetapi bahagian yang diterima itu adalah miliknya yang mutlak dan tidak perlu dikongsi dengan pihak lain. Sedangkan lelaki adanya pelbagai tanggungjawab yang telah ditetapkan ke atas mereka. Maka wajarlah mereka mendapat bahagian yang lebih

Wallahuaklam...

(Sumber rujukan : nota-nota ketika belajar dahulu dan sedikit pembacaan)

Monday, May 16, 2011

Hak Yang Dituntut (Akhir)

Humairah membetulkan kaca mata yang terletak di atas hidungnya sambil mengirup kopi sejuk yang dibancuh beberapa jam sebelum dia memulakan tugasannya. Tiba-tiba kata-kata anak guamnya tergiang-giang di telinga.

"Cik Humairah rasa... adakah tindakan saya memeluk Islam bermakna saya ingin lari daripada tanggungjawab terhadap keluarga atau ingin memutuskan hubungan kekeluargaan?"

Itulah antara soalan yang pernah ditanya oleh Adam. Sebaris ketidakpuasan jelas terimbas dari riak wajahnya ketika itu. Sering kali isu berkaitan pemelukan Islam khususnya suami timbul, ada pihak-pihak tertentu yang membuat andaian bahawa si suami berkenaan ingin lari daripada tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga. Hakikatnya, tuduhan ini adalah keterlaluan dan tidak benar sama sekali kerana hidayah Allah diberikan kepada hambaNya yang terpilih. Dalam diam Humairah melebarkan doa agar anak guamnya itu istiqamah dengan pegangannya sekarang.

Kini, entah mengapa Humairah berasa lega dan yakin bahawa dirinya berada di landasan yang benar. Dia yakin Adam akan mendapat haknya ke atas Thye Chee setelah meneliti segala maklumat. Bukan kemenangan yang didambarkan, tetapi ingin mengembalikan hak kepada yang betul-betul berhak. Humairah bingkas bangun dari kerusi dan membuat sedikit senaman ringkas. Jam sudah menunjukkan pukul 11.00 malam. Humairah melihat ke sekeliling pejabatnya sebelum mematikan lampu. Dia melangkah pulang dengan hati yang tenang.

Demikianlah perjalanan masa Humairah lebih tercurah bersoal jawab di mahkamah. Adakalanya Humairah rimas ditujah hentam dengan soalan-soalan yang membingunkan. Namun, dia mesti cekal demi mengembalikan sebuah hak. Hari ini adalah hari terakhir perbicaraan kes Adam dan mahkamah akan membuat keputusan.

"Bangun!" tiba-tiba mahkamah bergema.

Seorang lelaki berjubah hitam melangkah masuk. Kamar mahkamah sepi. Setelah meneliti dan mendengar semua hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah telah memutuskan hak penjagaan Thye Chee diserahkan kepada Adam setelah mengambil kira keperluan serta kebajikan Thye Chee. Humairah tidak dapat gambarkan kegembiraan yang wujud di hatinya. Akhirnya dia dapat mengembalikan hak anak guamnya. Semoga Adam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap amanah yang diberikan.

"Tuk! Tuk!" terdengar ketukan dari luar sekaligus mematikan lamunan Humairah. Setelah dibuka Aishah melangkah masuk. Aishah adalah rakan kongsinya. Mereka sama-sama membuka firma guaman ini atas nama Aishah Humairah & Co.

"Humairah... jom makan. Menang kes pun masih muncung." Humairah tersenyum pahit.

"Aku risaula kalau-kalau bekas isteri Encik Adam berjaya dapatkan pengisytiharan bahawa keputusan ini tidak sah." terang Humairah gagal menyembunyikan kerisauannya yang jelas kelihatan di riak wajahnya.

"Apa nak risau, kitakan ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 121(1A)." ujar Aishah sambil tersenyum. Humairah membalas senyuman sahabatnya itu. Macam mana dia boleh lupa. Hatinya benar-benar berasa lega dan tenang.

Telah termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 121 (1A), 'The civil court has no jurisdiction and the matters falls under the jurisdiction at the Syariah Court.'

Adam Allen tersenyum tanda berpuas hati dengan keputusan mahkamah. Dia melihat sendiri dengan kaca mata hatinya bagaimana prosiding mahkamah dijalankan. Telus dan adil. Dia tidak akan mempersia-siakan amanah yang diberikan kepadanya. Hatinya kini tenang seolah-olah tiada apa-apa yang difikirkannya.


T . A . M . A . T

Wednesday, May 11, 2011

Hak Yang Dituntut (3)

Humairah merenung sekilas ke arah jam yang tergantung di pejabatnya. Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 malam. Di atas meja, berselerakkan fail-fail dan laporan kes-kes terdahulu. Humairah meneliti segala maklumat yang tercatat. Menurut Adam, Sandra mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Thye Chee sering ditinggalkan keseorangan di rumah, Sandra lebih suka menghabiskan masa di luar bersama dengan kawan-kawan, walaupun hujung minggu. Keadaan yang sama berlaku semasa mereka masih bergelar suami isteri.

Thye Chee pernah mengadu hal ini kepada Adam. Ketika itu Adam membawa Thye Chee bersiar-siar, setelah beberapa minggu dia tidak dibenarkan berjumpa dengan anaknya itu.

"Papa, kenapa mummy marah apabila Thye Chee nak jumpa papa? Thye Chee nak tinggal dengan papa. Mummy selalu keluar, malam baru mummy balik." sebuah keluhan berat Adam lepaskan. Setiap kali berjumpa, Thye Chee akan mengadu hal yang sama. Pada mulanya dia tidak tidak menghiraukan sangat aduan anaknya itu. Baginya, terlalu awal untuk Thye Chee memahami apa yang berlaku antara dia dan Sandra.

Humairah menyemak semua maklumat yang dikumpulkan. Dalam Yip Fook Tai melawan Manjit Singh s/o Mohar Singh @ Mohammad Iskandar Manjit Bin Abdullah, hak penjagaan anak diputuskan oleh mahkamah sama ada hak tersebut diberikan kepada pihak yang memeluk Islam atau pihak yang tidak memeluk Islam, setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak tersebut.

Semakan seterusnya menampilkan akan kewujudan prinsip yang sama dalam kes Nur Aishah Suk Bte Abdullah @ Sukwinder Kaur a/p Sajhan Singh melawan Harjeet Singh, mahkamah telah memutuskan hak penjagaan anak diberikan kepada pihak yang memeluk agama Islam iaitu si isteri setelah mengambil kira keperluan serta kebajikan anak tersebut.

Humairah tersenyum sendirian. Dia masih ingat ada cadangan supaya menggunakan logik akal iaitu anak itu bukan Islam dan harus diteruskan sebagai bukan Islam dan tidak perlu mengubah status quo anak tersebut. Namun, undang-undang tidak boleh mengubah logik akal kerana perlu ada asas dan prinsip yang perlu ditafsirkan. Undang-undang mempunyai prinsip tersendiri bagi mengawal kemaslahatan sejagat. Dalam memutuskan hak jagaan anak, kebajikan si anak mengatasi hak ibu atau bapa, ini sudah menjadi amalan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Kebajikan anak di sini termasuklah permasalahan akidah, tumbesaran dan pembelajaran.

BERSAMBUNG...


Thursday, April 28, 2011

Hak Yang Dituntut (2)

"Saya Adam Allen. Saya yang menelefon Cik Humairah semalam untuk dapatkan khidmat guaman." Adam memulakan bicara.

"Ya, silakan." Humairah mempersilakan kliennya duduk.

Setelah bertanya serba sedikit dan Adam menceritakan tentang apa yang telah berlaku, Humairah terdiam seketika. Dia akan memberi khidmat guaman yang terbaik kepada anak guamnya itu.

"Begini Encik Adam, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 12(3) menyatakan tiada seorang pun boleh menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri dan..."

"Saya tidak faham, apa kaitannya dengan kes saya?" Adam memotong. Humairah sedikit terkejut dengan tindak balas drastik Adam.

"Maksudnya di sini, agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. Bukan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu. Hal ini ditegaskan dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan."

"Jadi, saya atau bekas isteri yang boleh menentukan agama Thye Chee." Adam mencelah. Humairah tersenyum gembira. Anak guamnya itu faham apa yang ingin disampaikan.

"Ya, memandangkan anak Encik Adam baru berusia 12 tahun dan mengikut penghakiman dalam kes Subahsini melawan Saravanan, mahkamah memutuskan salah seorang daripada ibu bapa, bukan kedua ibubapa boleh menentukan keislaman anak itu." Adam mengangguk tanda faham. Humairah tersenyum lagi.

"Cik Humairah boleh jadi peguam saya untuk kes ini?" tanya Adam dengan penuh harapan.

"Insya Allah, saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu Encik Adam dapatkan hak penjagaan dan menentukan status agama Thye Chee, tetapi mahkamah yang berhak membuat keputusan." Bicara Humairah memberi persetujuan kepada pertanyaan Adam dan memahamkannya maksud persetujuan itu. Tugasnya ialah untuk mempertahankan hak anak guamnya yang perlu ditegakkan berasaskan al maqasid al syariah (objektif syariah) iaitu hifz al din, menjaga agama dan hifz an nasab, menjaga keturunan.

Terdapat lima maqasid yang perlu dijaga, hifz al din (menjaga agama), hifz al nafs (menjaga nyawa), hifz an nasab (menjaga keturunan), hifz al aql (menjaga akal) dan hifz al mal (menjaga harta). Demi untuk mencapai maqasid ini, sebagai umat Islam dipertanggungjawabkan memelihara kelima-lima perkara ini. Oleh yang demikian, agama seseorang anak itu hendaklah mengikut ibu atau bapa yang Islam. Humairah telah menerima tanggungjawab ini. Sebagai seorang peguam syariah dia perlu melaksanakan tugasnya dengan beretika, berkarisma, jujur dan amanah.


BERSAMBUNG...

Sunday, April 24, 2011

Hak Yang Dituntut

Kejadian di luar mahkamah sebentar tadi masih terbayang di benak fikiran. Beberapa orang menyinggahkan pandangan ke arah kami, ada bisikan sumbang turut menyumbang.

"Sebab kau, aku hilang segala-galanya. Kau memang peguam tak guna!" wanita awal 30an itu menjerit bagaikan histeria sambil menunding-nunding jarinya. Humairah setapak berundur.

"Bersabar puan, mahkamah yang membuat keputusan. Saya hanya menjalankan tugas sebagai peguam kepada anak guam saya, Encik Adam." Humairah melunakkan suara dalam kebijaksanaan.

"Aku tidak akan berputus asa. Aku akan dapatkan pengistiharan bahawa keputusan itu tidak sah." Matanya menjegil bulat, mukanya merah membakar. Di sisinya, seorang wanita lingkungan dua puluhan mengadunkan bicaranya agar sahabatnya itu segera ke kereta. Malu barangkali dengan kerenah sahabatnya. Humairah hanya membisu. Bukan ketandusan hujah, tetapi tidak mahu merumitkan keadaan.

Apa yang berlaku hari ini, bermula tiga bulan lepas. Adam Allen seorang mualaf, dia datang menemui Humairah untuk mengetahui hak yang boleh diperolehinya dari kaca mata undang-undang terhadap anak lelaki tunggalnya. Setelah memeluk Islam, isterinya Sandra telah membuat petisyen penceraian mereka. Minatnya terhadap Islam bertunas setelah dia mendengar suara muazzin melaungkan azan di sebuah masjid. Ketika itu dia berada di New York atas urusan kerja. Setelah kembali ke tanah air minatnya terhadap Islam semakin menghijau, apatah lagi dia dipertemukan dengan ustaz Hazran yang bijak mengagungkan Islam dan petah berbicara tentang ilmu Islam. Akhirnya dia memilih untuk bergelar umat Muhammad Al- Amin.

Dia bukan ingin merampas Thye Chee daripada Sandra, tetapi demi kebajikan putera tunggalnya itu dia terpaksa berbuat demikian. Di hati Adam berharap dia masih mempunyai hak ke atas Thye Chee walaupun dia dan Sandra telah berpisah dan berlainan agama. Lantas, dia membuat keputusan untuk mendapatkan nasihat guaman.

"Tuk! Tuk!" terdengar pintu diketuk dari luar.

"Masuk." suara Humairah bergema dari dalam bilik.

Setelah pintu dibuka, melangkah masuk seorang lelaki lewat 30an.


BERSAMBUNG...

Thursday, August 26, 2010

SAYANGI DAKU


Apakah diriku tidak diperlukan??? Kenapa diriku tidak disayangi??? Di manakah ibuku??? Di manakah ayahku??? Tidakkah aku sebahagian daripada kalian??? Kenapa aku dibuang??? Sekiranya aku tidak diperlukan, mengapa aku dilahirkan???

Apa agaknya jawapan yang harus kita berikan kepada insan yang tidak berdosa ini. Inilah kesilapan manusia... Akibat daripada hubungan bebas antara lelaki dan perempuan akhirnya mereka terjerumus ke kancah penzinaan dan lahirlah bayi yang tidak berdosa ini. Demi untuk menghapuskan rasa takut, malu dan panik, maka jalan pintas yang diambil ialah membuang bayi tersebut atau membunuhnya. Sungguh kejam...

Mungkin juga boleh kita kaitkan gejala ini berpunca daripada jenayah cinta yang menular di kalangan remaja pada masa kini. Hanya dengan kata-kata manis seorang lelaki, seorang perempuan terpedaya dan jatuh cinta akhirnya terlanjur. Tambahan pula, terdapat banyak bahan lucah yang mudah didapati di internet dan media pada masa kini, adalah antara penyumbang kepada gejala ini.

Ekoran daripada peningkatan kes pembuangan bayi sejak kebelakangan ini, kabinet telah memutuskan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati dan kes cubaan membunuh disiasat mengikut Seksyen 307 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun. Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak yang boleh didenda maksimun RM20 000 atau penjara 10 tahun atau ke dua-duanya jika sabit kesalahan. Ini bermakna hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang terlibat. Persoalannya, sejauhmanakah undang-undang yang lebih berat ini dapat mengekang kes ini daripada terus berleluasa??? Adakah ianya sama seperti kes mengedar dadah, bunuh dan senjata api??? Bagaimana sekiranya seorang perempuan itu mengandung akibat daripada terpedaya dengan teman lelaki atau diperkosa dan akhirnya terpaksa membuang bayi yang dilahirkan itu kerana malu, takut dan sikap keluarga yang tidak memahami??? Mungkin hukuman ini perlu dikaji lagi supaya lebih berkesan.

Kemudian beberapa hari lalu, ada pihak yang memberi cadangan supaya diwujudkan pengkalan data termasuk rekod ujian DNA bagi menangani gejala ini. Mungkin ianya praktikal untuk dilaksanakan kerana tidak terhad kepada kes pembuangan bayi sahaja malah boleh diaplikasikan kepada kes-kes lain juga untuk mengenal pasti identiti penjenayah. Namun, persoalannya sejauhmana ia mampu dilaksanakan kerana bilangan penduduk yang ramai dan melibatkan kos yang tinggi??? Pada pendapat saya, walaupun kos yang tinggi tetapi berbaloi sekiranya cadangan ini dapat mengatasi masalah pembuangan bayi dan juga kes-kes jenayah yang lain.

Kesimpulanya, hukuman yang berat bukanlah jalan penyelesaian yang baik tetapi, punca kepada permasaalahan ini yang perlu dirungkai terlebih dahulu. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan terutamanya ibubapa kerana segala-galanya bermula daripada rumah.

Wednesday, December 9, 2009

CINTA, AIRMATA DAN PERJUANGAN...

Kali pertama menjejakkan kaki ke Istana Budaya dengan tujuan menonton teater ‘Natrah’ adalah satu pengalaman manis dalam hidupku sebelum berakhirnya tahun 2009. Aku memang seorang yang suka menonton. Tapi, teater inilah kali pertama. CD dan teater banyak perbezaannya. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Pelakon teater bagiku sungguh hebat kerana dapat melakonkan watak secara ‘life’ dan penonton dapat melihat lakonan mereka secara ‘real’. Apa yang paling menarik bagiku adalah ‘stage’ tempat lakonan yang dapat mengambarkan peristiwa yang berlaku pada waktu itu.

Ini adalah susun galur kehidupan yang dilalui oleh MARIA HUBERDINA HERTOUGH atau NATRAH (nama Islamnya) seorang remaja 13 tahun yang terpaksa menempuh ujian keyakinan dalam mempertahankan harga sebuah iman dalam usia yang begitu muda.

~1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
~Disember 1942
Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
~
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
~15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke
Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
~1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas
Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
~September 1949 Natrah ditemui oleh
Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
~19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
~12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke
Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
~22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah
Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
~24 April 1950 Natrah dihantar ke
Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
~28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik
Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
~19 Mei 1950 peguambela Encik
Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .

~28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
~1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu
Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.
~2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang
Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar kepada isu jagaan.
~Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
~12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di
Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.
~12 Disember 1950
Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
~13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan
Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
~Ada protes orang
Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
~15 Disember 1950 Natrah sampai di
Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
~Di rumahnya di
Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
~Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
~10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib
Karim Ghani yang masih ditahan.
~17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi
Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.
~25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
~20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
~1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya
Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
~26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
~20 April 1956 Bertha berkahwin dengan
Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
~15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya
Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
~20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
~3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom,
Belanda.
~25 November 1975
Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
~16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya
JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
~26 Disember 1976 Natrah dilaporkan
sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
~1976 Che Aminah meninggal dunia di
Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
~Disember 1979 Bertha berkahwin dengan
Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
~1983 Bertha bercerai dengan
Tom Ballermans
~1984 Bertha masuk hospital kerana
sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
~15 September 1984 Bertha meninggalkan
Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel
~Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.

~9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.

Rujukan : http://ms.wikipidea.org

Memetik kata-kata Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim. “Kita sepatutnya membawa lari Natrah sebelum keputusan mahkamah lagi demi menyelamatkan iman dan aqidah Natra. Keputusan mahkamah itu sudah kita jangka sejak awal lagi. Mahkamah yang dicorak oleh British bukan tempatnya untuk kes seperti Natrah”

Saturday, August 29, 2009

DEMOKRASI DAN KEBEBASAN...

Atas nama demokrasi dan kebebasan maka Iraq dibebaskan daripada cengkaman Saddam Hussin dan Parti Baath dan demokrasi jugalah yang menjadi salah satu alasan kenapa Iraq diserang. Kononnya kerajaan pimpinan Saddam Hussin tidak demokratik. Kini rakyatnya bebas diperlakukan dengan ganas dan dibunuh dengan kejam. Ketika pemerintahan Saddam Hussin ada juga orang yang dibunuh namun tidaklah seperti hari ini hampir setiap hari orang Iraq dibunuh. Ini adalah kerana fahaman demokrasi pada hari ini telah dipengaruhi oleh agenda dari barat. Walaupun sesebuah negara itu telah merdeka namun mereka (Amerika Syarikat) masih mahu terus menjajah dan berkuasa secara tidak langsung sama ada melalui ekonomi atau neokolonialisme.

Demokrasi pada hari ini boleh dikatakan sebagai alat neokolonialisme kepada pihak barat untuk menaklukki dunia iaitu dengan menggunakan demokrasi sebagai alasan untuk regime change. Ia bermaksud menukar kerajaan supaya memihak kepada mereka. Sekiranya kerajaan yang dipilih itu tidak sesuai dengan mereka, maka ianya tidak akan diiktiraf. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Iraq malah di Algeria dan Palastin. Apakah demokrasi di negara kita juga akan sama atau sama dengan Iraq, Algeria dan Palastin??? Negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan kita sebagai rakyat berhak untuk memilih pemimpin melalui pilihan raya yang akan diadakan selama 5 tahun sekali.

Saya tertarik dengan takrif demokrasi yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir menerusi wawancara oleh Mingguan Malaysia (16 Ogos 2009) bahawa demokrasi adalah hak untuk memilih pemimpin sahaja dan perkara seperti hak asasi manusia hanyalah tambahan sahaja. Perkara tambahan ini mempunyai had-had tertentu terutamanya dalam bersuara. Sekiranya perkara-perkara tambahan ini tidak dikawal ia akan mendatangkan keburukkan kepada Negara seperti apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini, di mana banyak perhimpunan-perhimpunan haram dianjurkan. Sebagai contoh baru-baru ini satu perhimpunan haram telah dianjurkan di ibu negara untuk membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kesannya bukan sahaja peniaga yang mengalami kerugian malah sekiranya hak bersuara ini tidak dibendung ia boleh membawa kepada rusuhan kaum dan tidak mustahil tragedi 13 Mei akan berulang kembali.

Malaysia adalah demokrasi jadi kita berhak dan bebas untuk bersuara. Itulah kata-kata yang sering kita dengar. Kita tidak boleh mengikut kebebasan yang diamalkan oleh barat sebagaimana yang dinyatakan oleh negarawan Amerika pada abad ke-18 Benjamin Franklin bahawa mereka yang mahu mengetepikan kebebasan demi untuk mendapatkan perlindungan, tidak akan mendapat atau tidak patut mendapat salah satu darinya (those who desire to give up freedom in order to gain security will not have, nor do they deserve, either one). Kita bebas tetapi kebebasan itu ada hadnya. Sekiranya kita terlalu bebas maka akan berlaku huru-hara dalam sesebuah Negara. Oleh itu, kita mengamalkan demokrasi tetapi ada haknya.

Sebagai kesimpulan, provokasi melampau haruslah ditamatkan sebelum ianya mengugat perpaduan kaum dan keselamatan negara. Jadikan pengajaran permusuhan di Bosnia dan juga Kosovo sebagai iktibar kepada negara kita apabila masyarakat pelbagai kaum di sana terjebak dengan krisis kemanusiaan akibat daripada gugatan perpaduan kaum.Malaysia harus mempertahankan status quo sedia ada dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negara terus dinikmati segenap generasi pelbagai kaum di negara ini sepanjang masa.

Sunday, August 16, 2009

SUAMI ROGOL, LIWAT ISTERI KENA 15 TAHUN

Seorang suami yang merogol dan meliwat isteri sambil mencekik mangsa dihukum penjara berjumlah 15 tahun dan 3 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dilakukan. Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun atas tuduhan merogol dan penjara 10 tahun serta 3 sebatan terhadap tuduh meliwat.

Ini adalah keratan akhbar daripada berita harian yang bertarikh 6 Ogos 2009. Kita mungkin lupa dengan isu ini kerana adanya isu baru. Tidak lain dan tidak bukan isu hangat yang menjadi topik utama di dada-dada akhbar sekarang adalah berkenaan dengan penularan wabak H1N1 dan jumlah kematian yang semakin meningkat setiap hari. Ini membuatkan kita lupa dengan isu di atas. Keganasan terhadap insan yang bernama wanita atau keganasan rumah tangga (domestic violence) bukanlah isu remeh yang boleh dipandang sebelah mata. Ini kerana setiap tahun kes yang dilapor semakin meningkat dan kes-kes ini majoritinya melibatkan kaum melayu yang beragama Islam.

Saya tidak mahu berbicara tentang punca atau sebab kenapa ianya berlaku...kerana itu adalah lumrah, terjadinya sesuatu kerana adanya sebab tertentu. saya juga tidak mahu berbicara tentang hukuman kerana hukuman bukanlah jawapan untuk menyelesaikan semua masalah. Apa yang ingin dipersoalkan di mana rasa perikemanusiaan seorang lelaki terhadap wanita atau dengan kata lain rasa sayang dan cinta seorang suami terhadap isterinya sehingga sanggup bertindak ganas dan kejam tanpa belas kasihan. Sedangkan dalam Islam kita digalakkan supaya berbuat baik dan mengasihi sesama manusia dan tidak menyakiti antara satu sama lain apatah lagi husband and wife. Hadis daripada Jarir bin Abdullah r.a, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, nescaya Allah ‘Azzawajalla tidak mengasihinya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pada pandangan saya sekiranya seorang itu berpegang dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar perkara sedemikian tidak akan berlaku. Seorang suami yang baik seharusnya menunaikan tanggungjawabnya dengan ikhlas terhadap isteri dan anak-anaknya walauapapun keadaan dan bukan mencari alasan untuk lari daripada tanggungjawab. Memetik sebuah kisah seorang suami mendera isterinya kerana masalah kewangan yang dihadapi. Dia diberhentikan kerja kerana kegawatan ekonomi dan memaksa isterinya bekerja. Kemudian timbul rasa tidak puas hati dengan mendakwa isterinya mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan haknya setelah berkerja. Demi rasa tidak puas hati itu dia sanggup memukul dan membelasah isterinya saban hari. Ini menunjukkan dia hanya tahu mempersoalkan hak tapi tidak tahu akan tanggungjawab yang harus ditunaikan...