Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Tuesday, May 30, 2017

Memori Acara Makan-Makan Sebelum Ramadhan

Assalamualaikum... 

Salam Ramadhan...


Belek-belek handphone ternampak gambar hidangan makanan yang diambil dua hari sebelum Ramadhan. Tadaa... Hidangan kfc, kegemaran adik bongsu saya. 

Air kopi O pun masuk jugak dalam senarai... ;)

Pada mulanya ingin ke Chicken Cottage, terasa juga ingin mencuba. Setiap hari melalui bangunan biru Restaurant Chicken Cottage untuk ke tempat kerja.Tapi sehingga kini belum berpeluang untuk menikmati menu makanannya.Chicken Cottage adalah francais makanan segera halal bertaraf antarabangsa dan outlet pertama di Malaysia telah dibuka di Ladang Tok Pelam Kuala Terengganu pada 17 Disember 2015.

Memandangkan tidak tahu apa menu yang ada di Chicken Cottage, maka saya mengarahkan adik untuk membuat carian di google. Setelah carian dibuat ada pelbagai dan antaranya grills... nampak sedap dan menarik. Oleh kerana desakan adik bongsu yang mahu juga ke kfc... akhirnya kami ke kfc. Macam-macam alasan yang diberi kenapa kfc yang dipilih, antaranya sudah biasa makan kfc dan tahu macam mana rasanya. Ternyata... kami tidak berani untuk mencuba benda yang baru. 

Seterusnya acara makan-makan kami berlangsung di rumah, rasa lebih santai makan ramai-ramai sambil menonton tv. Kami beli menu yang berlainan semua boleh rasa dan yang paling best ada kopi O panas, menu tambahan dari mak. Terbaik !!!

Begitulah kisah 2 hari sebelum Ramadhan yang telah berlalu tapi masih segar diingatan.

Sekian coretan kali ini, selamat berbuka semua...

4 Ramadhan 1438H

Sunday, October 26, 2014

Rumah Cantik, Rumah Bersih

Assalamualaikum...

Selamat pagi... Hari terakhir cuti dan berada di kampung halaman.

Sepanjang saya berada di kampung, mak, ayah dan adik-adik semua sibuk membersihkan dan mencantikan halaman rumah. Kata ayah, akan diadakan pertandingan rumah bersih dan cantik di kampung kita. Mak yang paling sibuk dengan pelbagai perancangan. Semua pasu bunga diubah kedudukan supaya kelihatan cantik dan menarik. Daun dan bunga yang kering dibuang. Ada pokok-pokok yang digunting dan digubah menjadi bonzar. Ini kerja adik. Kemahiran yang terpendam katanya.

Ayah pula membersihkan daun-daun kering yang berguguran di atas tanah dan sampah-sampah lain. Saya pula ditugaskan untuk menyelesaikan urusan dalam rumah... Ibarat melakukan aktiviti 5S pula. Kata ayah, orang yang akan membuat penilaian akan datang pada bila-bila masa.

Semoga apa yang dilakukan ini akan berterusan. Tambahan pula, sekarang ini wabak aedes sedang menular. Kata emak, "tak menang pun tak pe, puas hati rumah dah bersih. Saya tambah, dan cantik. Jika tidak kerana pertandingan ini mungkin tiada kesungguhan untuk melakukan kerja-kerja membersih dan mencantikan rumah... ;)

Sekian...

Sunday, May 12, 2013

Jasa Bonda




Emak... Kaulah segalanya
Jasamu tidak dapat dinilai dengan harta benda
Kasih sayangmu membawa ke syurga
Kaulah ratu hatiku selamanya

Terima Kasih Mak atas segalanya...

Wednesday, April 10, 2013

Air Tangan Emak Sentiasa Di Ingatan


 
Sumber : Google
 
 
 
Sketsa di atas mengingatkan saya kepada permintaan saya kepada emak beberapa hari yang lalu. Ketika itu saya teringin sangat sup ayam yang dimasak oleh emak. Inilah cerita saya hari ini, bukan mengenai sup ayam tapi tentang air tangan emak yang sentiasa di ingatan anak-anak.
Setiap kali tiba waktu makan, pasti kita akan tertanya-tanya apa agaknya menu yang dimasak oleh emak hari ini? Apatah lagi sekiranya kita berada jauh dari keluarga dan hanya sekali sekala sahaja dapat pulang ke kampung dan dapat merasai keenakan masakan emak. Bagi yang tinggal bersama keluarga pula pastinya akan merindui keenakan masakan yang dimasak oleh emak apabila sekali sekala terpaksa berjauhan dari keluarga. Tiada siapa yang menyangkal bahawa masakan emak adalah yang terbaik. Tidak kira apa jua menu yang dimasak, tetap menambat selera walaupun hanya ikan kukus yang digoreng. Betulkan?
Persoalannya, apa agaknya yang menyebabkan masakan yang dimasak oleh emak menjadi sedap dan berjaya menambat selera kita sebagai anak dan juga ayah kita? Jika dilihat, kerja-kerja memasak hanyalah kerja-kerja fizikal seperti menggoreng, menumis, memotong, mengupas dan sebagainya. Pada hemat kita, semua orang boleh melakukannya.
Menurut satu artikel yang pernah saya baca mengatakan, semasa memasak seorang ibu akan niatkan di hati untuk sediakan makanan yang terbaik dari sentuhan tangannya untuk anak-anak dan suaminya. Di sinilah kesan rangsangan spiritual yang positif untuk anak-anaknya. Sungguh hebatkan, jalinan emosi dan tautan hati yang ditunjukkan oleh seorang ibu melalui masakan yang dimasak olehnya. Seorang ibu juga akan tetap menyediakan makanan untuk anak-anaknya, walau sesibuk mana pun dia. Begitulah keikhlasan yang ditunjukkan oleh seorang ibu. Dari sinilah, anak-anak jatuh kasih dan sayang kepada ibu mereka. 
Pepatah ada mengatakan, ‘tangan yang menghayung buaian mampu menggocang dunia’ begitulah perumpamaan yang diberikan untuk seorang wanita, seorang ibu. Kejayaan mereka dalam menguruskan urusan rumah tangga melalui sentuhan kasih sayang harus diberi penilaian yang tinggi. Bermula dari masakan seorang ibu berjaya membentuk jiwa anak-anak yang cemerlang dan terbilang.
Oleh itu, sejauh mana pun kita pergi dan di mana pun kita berada masakan ibu tetap di ingatan. Tidak mungkin akan dilupakan.
 
 
Sumber : Facebook

Air tangan seorang ayah juga mampu membuka selera dan mengikat kasih sayang.  
Nabi Muhammad S.A.W juga melakukan kerja-kerja di rumah. Seorang sahabat, Aswad bin Yazid berkata, “Aku bertanya Aishah, apakah kebiasaan Rasulullah S.A.W di rumah?” Aishah menjawab, baginda selalu membuat kerja rumah, kemudian setelah mendengar azan, baginda akan keluar rumah.”

Sekian coretan saya untuk kali ini.

Wednesday, January 9, 2013

MeLeNTuR BuLuH BiaRLaH DaRi ReBuNGnYa


 
 
Semalam saya terdengar perbualan antara ibu saudara dan emak, mereka bercakap-cakap mengenai cara mendidik anak-anak. Ibu saudara saya itu mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Katanya kita tidak boleh memandang enteng dalam mendidik anak-anak. Saya melihat dia sangat menitik beratkan dalam isu ini dengan selalu mencari input mengenai cara mendidik anak-anak sama ada melalui pembacaan atau bertanya kepada ibu-ibu yang lebih berpengalaman. Katanya lagi, dia tidak mahu apabila anak-anaknya sudah besar, baru dia merungut kenapa anaknya begitu? kenapa anaknya begini? Menyesal kerana kelemahannya dalam mendidik.

Saya kagum dengannya dan beberapa orang kawan yang begitu mengambil berat dalam soal mendidik anak-anak. Tugas mendidik ini perlu bermula dari kecil bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Buluh jika hendak dilentur hendaklah dilentur ketika ia masih rebung kerana ketika itu ia masih lembut dan mudah dibentuk. Itulah antara kata-kata emak yang selalu saya dengar. Jika anak itu sudah dewasa baru hendak dididik buat itu, buat ini, jangan buat itu, jangan buat ini… pastinya sukar kerana mereka dari kecil sudah biasa dengan cara hidup yang telah sekian lama mereka praktikan.

Anak-anak perlu dididik dengan ilmu agama sejak dari kecil, antaranya mereka perlu dididik tentang mengenali Allah, solat, membaca Al-Quran dan akhlak yang terpuji. Seorang kawan menulis di wall facebooknya, mendidik anakku (2 thn 7 bln) mengenal Allah sejak dia berumur setahun lebih sudah nampak hasilnya alhamdulillah,apabila setiap kali:

1- nak tidur dia berkata: rasyad sayang Allah..Allah pun sayang rasyad.

 2- melihat langit,bulan,matahari dan bintang dia berkata: Allah yg buat (cipta)

 3- sakit atau terjatuh dia akan kata: kenapa Allah buat rasyad sakit!!!

4- melihat masjid: ini rumah Allah.

 5- bila saya marah dia, dia bertanya: Allah marah ke rasyad buat mcm ni?

Sejuk hati mendengarnya. Inilah fitrah suci pada kanak-kanak. Anak-anak ibarat kain putih, kita yang mencorakkannya. Saya sempat menghantar mesej kepada kawan saya itu dan bertanya bagaimana dia melakukannya? Katanya, dia biasakan bercakap dengan anaknya mengenai kewujudan Allah dengan melihat alam sekeliling. Waktu itu anaknya belum boleh bercakap. Pada mulanya dia sendiri tidak yakin dan terdetik dalam hati faham ke budak kecil  tentang tuhanNya  dan apabila anaknya sudah pandai bercakap itulah hasilnya. Menakjubkan…

Menurut Profesor Dr Muhaya Mohamad, peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak sangat penting dan menurutnya lagi perancang kejayaannya hari ini adalah bapanya. Dunia yang penuh mencabar kini tugas mendidik juga dilihat semakin mencabar, tapi jika mereka dididik dari awal dan betul caranya pasti akan tiada lagi masalah remaja yang semakin berleluasa kini. Segalanya bermula dari rumah….

Kepada adik-adik remaja yang sering memberi alasan, saya jadi begini kerana masalah keluarga… JANGAN jadikan masalah keluarga sebagai penghalang. Kalau kita bagus dalam apa jua situasi pun kita boleh mencipta kejayaan – Inilah pesanan ayah Dr Muhaya kepadanya.

Buat mak dan ayah, terima kasih telah mendidik kami adik beradik sehingga berada di tahap ini...

Wednesday, September 12, 2012

Semangat Patriotik Ayah

Hari-hari baca paper ada cerita mengenai semangat patriotik yang semakin terhakis di kalangan generasi muda kini. Cerita pasal semangat patriotik, mengingatkan saya kepada cerita persiapan raya saya dan keluarga. 

Dua hari sebelum raya mak, adik dan ayah keluar untuk shopping raya. Sedang mak dan adik sibuk membeli barang-barang untuk raya, tiba-tiba ayah menghilangkan diri. Puas mak dan adik menjadi penunggu setia di kereta. Akhirnya ayah muncul dengan membawa satu beg plastik. Adik yang tidak sabar untuk mengetahui apa isi kandungan dalam beg plastik itu terus mencapai beg tersebut. Setelah dibuka... tadaaa... JALUR GEMILANG. Saya dapat bayangkan reaksi adik ketika itu... dan apa yang ada difikirannya sebelum melihat apa yang ada dalam plastik beg itu...:)

Selepas sampai rumah, kami semua termasuklah diri saya sibuk membelek barang-barang yang dibeli dan ayah hilang lagi. Sibuk mak bertanya mana ayah? Kata adik, cuba tengok di luar sana. Oh ayah, sedang sibuk menaikkan jalur gemilang yang dibelinya tadi. Tahun ini juga ayah merupakan salah seorang wakil kampung saya yang menyertai pertandingan perbarisan sambutan hari kebangsaan peringkat daerah di tempat saya. I am proud of you dad. Begitulah semangat patriotik yang ada dalam diri ayah. Semoga semangat ini diwarisi oleh anak-anaknya.

As Malaysian, I am proud I am a Malaysian. Yes, there are good things and bad things in this independent Malaysia, of course I don't like some of the things but which country is perfect. So, there is nowhere else better than Malaysia. 
Thus, I will shout "Merdeka" and "Selamat Hari Malaysia"
And 
Respect our Jalur Gemilang...  :)

Wednesday, August 29, 2012

... The Best Raya ...


Salam Syawal... Hari ini dah pun 11 Syawal...
Entri saya kali ini... tentang raya 2012... Raya tahun ini paling meriah. The best raya...:)
Antara sebabnya, 2 orang adik saya dapat cuti awal dan bercuti selama seminggu. Dapatlah kami membuat persiapan raya bersama dan sempat berbuka dan bersahur bersama... Sangat meriah.
Persiapan raya keluarga saya biasa-biasa saja, sama seperti tahun-tahun lepas. Menu raya pun seperti biasa. Makanan tradisi di pagi raya, nasi himpit kuah kacang, makanan tradisional (ketupat, tapai pulut, lemang) dan makanan moden masa kini (aneka biskut raya).

Tahun ini raya keluarga saya bersama dengan ahli keluarga baru...Cik su (mak saudara baru) yang baru pertama kali beraya dalam keluarga kami. Harap cik su gembira beraya di sini. Terima kasih cik su kerana menyediakan makanan istimewa ini untuk kami...

Dulu... Setiap kali pergi rumah terbuka mesti cari sate... Kata adik sekarang pun...

Raya saya tahun ini juga, saya dikunjungi oleh seorang kawan yang sudah lama sangat tidak jumpa (kawan sekolah rendah). Kejutan yang dibuat, betul-betul memberi kejutan kepada saya. Terima kasih sangat sudi berkunjung ke rumah saya. Teringat saya dengan telatah comel 2 orang anak kembarnya...comel sangat...Aidil dan Akim. Katanya, nama Aidil diambil dari watak ustaz Aidil, Nur Kasih. Kata kawan saya lagi, dia orang tidak diajar memakai pakaian yang sama warna walaupun mereka kembar seiras, tetapi mesti sama design. Itulah kelainan pada mereka. Walaupun bertemuan singkat, tapi cukup bermakna. Semoga kita berjumpa lagi. 

Bukan itu sahaja, raya tahun ini saya rasakan paling ramai tetamu yang datang. Setiap hari ada tetamu yang datang...:) Tambahan pulak semua sepupu, emak saudara dan bapa saudara, semuanya pulang beraya di kampung. Inilah yang menjadikan raya saya tahun ini meriah sangat. Saya dan adik sempat jugak pergi melawat sepupu yang baru dapat baby boy. Namanya, Muhammad Amar Solihin. Tahniah... Paling best...raya kali ini adik lelaki saya yang jadi driver untuk saya dan mak...hehe 

 Ini koktel yang dibuat oleh adik bongsu saya....yummy!!!

  Hanya ini biskut raya yang tinggal....

Begitulah cerita raya saya tahun ini... Semoga suasana raya tahun ini akan berulang lagi... dan ini bukan yang terakhir... Raya, raya jugak... puasa 6 kena habiskan (ingatan untuk diri sendiri)...

Satukan tangan, satukan hati
Di hari kemenangan, Ikhlaskan hati, 
Kita padukan untuk saling memaafi


Friday, June 8, 2012

Jalan-Jalan Cari Ketam


Pagi semalam saya sempat menemani adik ke kedai komputer. Ayah menjadi driver kami. Dalam perjalanan pulang ayah membawa saya dan adik ke bandar Jerteh, lebih kurang 20km dari rumah. Ini semua gara-gara mencari ketam yang dipesan oleh emak. Semua gerai yang menjual makanan laut yang kami pergi di sekitar kawasan terdekat tidak menjual ketam. Kata ayah, "Jom kita ke Jerteh, jalan-jalan cari ketam."

Alhamdulliah... memang rezeki kami tempat yang dituju ada menjual ketam. 

Begitulah tanda kasih dan sayang seorang ayah dan suami, dia akan cuba memenuhi permintaan kami semua... Saya nampak emak tersenyum di saat ayah memberikan ketam yang dipesan. Makan tengah hari kami semalam berlaukkan ketam.

Kasih sayang dan cinta tidak dapat dilihat, namun dapat dirasai oleh mata hati kerana ianya tidak wujud dalam bentu fizikal... tetapi ia sering wujud dalam bentuk abstrak...^_^ 



Friday, February 24, 2012

Dia Juga Ingin Seperti Mereka


Minggu ini adik perempuan saya tidak pulang dari asrama. Sunyi pulak suasana di rumah, tiada keriuhan suaranya. Seminggu yang lalu, dia rancak menceritakan tentang beberapa orang kawannya yang pergi bercuti ke luar negara dan membeli banyak barang di sana serta menghadiahkan cenderamata yang cantik kepada kawan-kawan yang lain.

"Bestkan akak jadi seperti mereka." Katanya dan saya hanya mampu tersenyum.

Beberapa hari kemudian, dia menelefon saya dan menceritakan bahawa sekolahnya akan mengadakan lawatan ke Singapura. Di akhir perbualan dia berkata, "Bestkan akak kalu adik dapat pergi."

Saya tahu dia juga ingin seperti mereka... bercuti di luar negara bersama keluarga, mengikuti lawatan sekolah dan sebagainya lagi.

Saya bayangkan sekolah adik saya tu... seperti Shinhwa High School dalam cerita korea Boys Over Flowers pulak. Jika begitu, saya harap biarlah adik saya memegang watak utamanya Geum Jan Di, seorang pelajar sekolah menengah yang biasa dan tidak mudah terpengaruh dengan cara hidup pelajar lain yang kaya dan mewah.


Shinhwa High School or Keimyung University in Boys Over Flowers

Usah menyangka apa yang belum kita miliki akan menjanjikan bahagia
adakalanya, setelah kita milikinya itulah punca masalah kita

Dan...


Dalam hidup terkadang kita lebih banyak mendapatkan apa yang tidak kita inginkan
dan ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan
akhirnya kita tahu bahawa yang kita inginkan
tidak dapat membuatkan
hidup kita menjadi lebih bahagia

Bersyukurlah dengan apa yang telah kita miliki


Tuesday, February 7, 2012

Tetamu Tidak Diundang


Pagi tadi saya sempat mendengar segmen 'Ulasan Berita' yang keudara di Nasionalfm mengenai isu pesakit mental yang kebelakangan ini kerap mengundang bahaya kepada masyarakat. Berita ini mengingatkan saya kepada peristiwa kunjungan seorang pemuda yang tidak dikenali ke rumah saya beberapa bulan yang lepas.

Pagi itu seperti biasa emak sibuk dengan urusan kebun bunganya. Tiba-tiba seorang pemuda datang ke rumah saya. Keadaanya kusut masai dan tidak terurus. Kebetulan pada waktu itu pintu pagar tidak berkunci dan dia terus masuk ke halaman rumah. Emak yang terkejut dengan kehadirannya sempat bertanya, "cari siapa?" Katanya, dia ingin menumpang toilet. Nasib baik rumah saya mempunyai sebuah toilet di luar rumah. Waktu itu saya dapat merasakan bahawa pemuda inilah yang selalu diceritakan oleh orang-orang kampung. Saya melihatnya dari dalam rumah. Tiba-tiba saya rasa tidak sedap hati dan mencari telefon bimbit dengan niat untuk menghubungi adik yang baru keluar sekejap tadi.

Beberapa minit kemudian, saya terdengar suara emak menjerit kepada pemuda tersebut supaya pergi setelah melihat pemuda itu sudah pun berada di tangga hadapan. Saya yang berada di dalam rumah berasa sangat gementar apatah lagi melihat pintu hadapan tidak berkunci. Setelah emak bising-bising, akhirnya pemuda itu berlalu pergi. Saya bersyukur sangat-sangat kerana dia tidak melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. Sejak hari itu, pintu pagar rumah sentiasa berkunci. Menurut penduduk kampung pemuda tersebut mengalami gangguan mental setelah gagal dalam perniagaannya. Kini, saya tidak lagi melihat dan mendengar cerita tentang pemuda tersebut.

Golongan seperti ini perlukan rawatan dan bukannya melepaskannya bebas seperti pemuda ini. Akhir-akhir ini kita sering kali dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam dan yang terlibat adalah pesakit mental. Hakikatnya, kesalahan membunuh jika disabitkan boleh dihukum gantung sampai mati di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tetapi, disebabkan ketidakwarasan fikiran (unsoundness of mind) tertuduh bebas daripada hukuman tersebut, contohnya kes yang mengorbankan empat ahli keluarga di Gemencheh Negeri Sembilan pada awal tahun 2010. Rashidi Ismail yang menghidap penyakit 'skizofrenia' dibebaskan daripada tuduhan membunuh datuk, nenek, bapa dan adik perempuannya. 'Skizofrenia' adalah antara penyakit jiwa yang serius dan golongan ini sukar membezakan antara dunia nyata dengan dunia fantasi.

Dalam sistem perundangan, tertuduh boleh mengemukakan pembelaan ketidakwarasan fikiran apabila tertuduh berjaya membuktikan semasa jenayah dilakukan, tertuduh dalam keadaan ketidakwarasan fikiran atau tidak dapat memahami perbuatan jenayah yang dilakukannya secara fizikal atau tidak dapat memahami perbuatan jenayah itu bertentangan dengan hukum moral atau bertentangan dengan undang-undang. Pembelaan ini berbentuk pembelaan mutlak yang mengecualikan liabiliti jenayah seseorang penjenayah secara mutlak. Maka dengan ini, mahkamah membebaskan Rashidi Ismail kerana tindakannya membunuh datuk, nenek, bapa dan adik perempuannya tidak konsisten dengan orang yang waras.

Oleh itu, golongan seperti ini tidak boleh dibiarkan bebas tanpa rawatan dan kaunseling kerana mereka ada kalanya sukar mengawal tingkah laku dan bertindak di luar batasan dan akan mengundang bahaya kepada orang sekeliling.

Memetik kata-kata Ramlee Awang Murshid dalam novelnya (Fiksyen 302), "Berhati-hatilah dengan watak diri kita sendiri, kemungkinan watak itu sekadar fiksyen. Jangan percaya kalau suara hati menyuruh diri kita melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi membunuh."

Monday, December 5, 2011

Cerita Ubi Kayu


Di luar sana hujan turun mencurah-curah sejak semalam. Ini menandakan musim tengkujuh sudah tiba. Perut berkeroncong minta mahu diisi...walhal baru sekejap tadi sudah diisi dengan nasi berlaukan ikan masin. Apa juga lauk mesti sedap dimakan waktu hujan begini. Tetiba saya teringatkan ubi kayu rebus nenek...

Ubi kayu sememangnya sedap dimakan musim hujan begini... rindu pulak dengan ubi kayu rebus nenek. Emmm... baunya menusuk hidung. Ubi kayu yang direbus boleh dimakan dengan kelapa parut yang telah dicampurkan dengan sedikit garam dan gula. Sedap dimakan panas-panas dan dihidangkan bersama dengan kopi panas...:)

Arwah datuk saya pernah bercerita bahawa ubi kayu adalah makanan asasi pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Waktu itu semua orang susah dan tidak ada makanan seperti hari ini... Hari ini kita mewah dengan pelbagai makanan... pizza, KFC, MC D dan sebagainya. Sesungguhnya saya bertuah kerana tidak melalui zaman itu. Kata datuk, Jepun pernah datang ke rumahnya dan minta makanan. Memandangkan tidak ada makanan lain, datuk menjamu mereka dengan ubi kayu rebus. Jadi, orang Jepun pun makan ubi kayu rebus...

Inilah rupa ubi kayu rebus bersama kelapa parut


Thursday, September 8, 2011

Nasi himpit kuah kacang


Nasi himpit kuah kacang, itulah juadah wajib di pagi raya bagi keluarga saya. Tak meriah raya kalau tak ada nasi himpit kuah kacang. Saya masih ingat, jika dulu cara memasak nasi himpit sangat rumit. Waktu itu, saya masih kecil. Saya pernah melihat bagaimana mak memasak nasi himpit dengan cara konvensional yang mengambil masa berjam-jam lamanya.

Mula-mula beras dimasak dengan air yang banyak, satu pot beras bersamaan dengan tiga atau 31/2 pot air. Setelah nasi masak dan masih panas-panas, angkat dan letakkan dalam loyang yang bulat. Kemudian, nasi tadi ditekan-tekan dengan batu giling sehingga padat. Sebelum nasi ditekan, perlu dilapiskan dengan plastik di atas nasi tersebut supaya tidak melekat. Sekiranya tiada batu giling, boleh gunakan baldi yang berisi air untuk menekan nasi. Sekarang dah jadi nasi himpit, potong kecil-kecil dan dimakan dengan kuah kacang. Betapa susahnya nak masak nasi himpit. Kini zaman berubah... semuanya dah jadi senang, beli je nasi himpit segera di kedai. Kita hanya perlu rebus je... dah siap.

Biasanya nasi himpit tak sah kalau tak dimakan dengan kuah kacang, tapi ayah saya suka makan nasi himpit dengan sambal ikan. Setiap kali raya saya dan adik-adik bertukus lumus untuk menyediakan sambal ikan ini. Bukan senang untuk membuat sambal ini. Bahan-bahannya... ikan perlu dibakar terlebih dahulu, kelapa goreng, bawang merah, serai, halia dan gula melaka. Semua bahan ini perlu ditumbuk secara berasingan bukan dikisar. Setelah siap gaulkan kesemuanya dan tambahkan sedikit gula dan garam sekucup rasa. Sambal ini juga sedap dimakan dengan ketupat dan lemang.

Bila diimbas kembali suasana riuh rendah suara adik-adik di dapur semasa menyediakan juadah untuk hari raya, meriah sangat dapat berkumpul ramai-ramai. Setahun hanya sekali... semoga suasana ini akan berulang kembali...:)

"Taqabbalallahu minna wa minkum... kullu am wa antum bikhair..."

Sunday, January 16, 2011

Bekal Untuk Ayah

Ayah, sukar digambarkan dengan kata-kata. Ayah yang aku kenal seorang yang kuat bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah. Ayah tekun mengusahakan beberapa bidang sawah demi menyara sebuah keluarga.

Kerja ayah bukan di pejabat yang berhawa dingin, bukan juga dibayar dengan gaji empat angka setiap bulan dan tidak diberi cuti setiap hujung minggu... Kerja ayah di bendang padi yang berlumpur dan di bawah terik sinar mentari. Pendapatan ayah akan diperolehi setelah semua padi dituai dan dijual kepada pengilang. Itu pun hanya dua kali setahun. Ayah bekerja tujuh hari seminggu tanpa cuti. (Walaupun cuti umun sempena kemenangan pasukan Harimau Malaya baru-baru ini pun ayah tetap turun ke sawah seperti biasa.)

Hari ini, sebelum mentari mengeluarkan sinarnya, sebelum burung-burung keluar dari sarangnya... ayah sudah turun ke sawah. Banyak kerja yang perlu ayah siapkan sebelum terik panas mentari. Kerja ayah bertambah banyak, setelah beberapa hari lalu sawah ayah ditenggelami air akibat hujan lebat. Ayah perlu menabur biji benih yang baru. Namun, ayah tetap bersemangat untuk melakukan kerja-kerjanya walaupun berulang kali.

Di rumah, emak sibuk menyiapkan sarapan pagi untuk kami. Pagi ini emak memasak bihun goreng. Bihun goreng emak memang sedap, cukup rasa. Walaupun tanpa ayam, daging dan sebagainya ianya tetap sedap kerana bihun itu emak yang masak. Sesuatu yang istimewa tentang masakan emak ialah apa saja yang emak masak dapat bertahan sampai ke petang malah, ada juga sampai keesokkan harinya. Bihun goreng ini juga akan dihantar kepada ayah sebagai bekal sarapan pagi.

Salah seorang adikku dipertanggungjawabkan untuk menghantar bekal ini kepada ayah. Hari ini bekal ayah ialah bihun goreng yang dimasak oleh emak, air teh yang dibancuh oleh emak, keropok goreng yang digoreng oleh adik dan kuih bakar yang dibeli oleh adik. Bekal ini khas untuk ayah yang kami sayangi. Terima Kasih Ayah di atas segalanya....

Wednesday, October 14, 2009

BUAT MAK DAN AYAH

Walau sehebat manapun ilmu kita, walau setinggi manapun kelulusan kita,
walau siapa pun kita, apa guna sekiranya tanpa restu ibubapa kita,
jangan sesekali melupakan jasa mereka...kerana
tanpa mereka tidak mungkin kita berjaya seperti hari ini.

Diri ini amat bertuah kerana masih lagi dapat merasai kasih sayang ibu dan ayah. Ramai di luar sana yang tidak berpeluang untuk menikmati nikmat kasih sayang daripada insan yang bergelar ibu dan ayah. Tanpa mereka tiadalah kita di dunia. Dalam sebuah hadis Abu Hurairah berkata: seorang lelaki datang menemui Rasulullah dan bertanya.."siapakakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?" Baginda menjawab:"Ibu kamu." Dan bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Baginda menjawab lagi: "Ibu kamu." Dia bertanya lagi: "kemudian siapa?" Dan barulah Baginda menjawab: "Bapa kamu." Di sini jelas menunjukkan bahawa taraf ibu untuk ditaati lebih daripada bapa. Namun tidak bermakna kita boleh menafikan hak seorang bapa untuk ditaati. Tiada ayah tiadalah kita di dunia... Sayangilah dan bahagiakanlah mereka selagi mereka masih ada di sisi kita. Gunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya, janganlah kita menyesal di kemudian hari.

Islam mewajibkan kita supaya berbuat baik kepada ke dua ibubapa dan tidak sekali-kali menyakiti mereka. Saya pernah terbaca satu catatan yang ditulis oleh seseorang yang bernama lelaki mengatakan bahawa wanita yang paling disayanginya yang pertama ialah ibunya dan yang kedua ialah isterinya. Alangkah baiknya lelaki ini. Adakah kita semua seperti lelaki ini selepas berkahwin masih lagi meletakkan ibu kita di tempat yang paling atas....

Memetik kisah Alqamah yang berlaku di zaman Rasullah SAW sebagai iktibar kepada kita semua untuk menghargai jasa dan pengobanan seorang ibu. Alqamah seorang pemuda yang baik, rajin menunaikan solat, banyak berpuasa dan bersedekah. Namun, dia lebih mengutamakan isteri berbanding dengan ibunya sehingga ibunya terguris hati. Di saat Alqamah hendak menghempuskan nafas, dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah sehingga Rasullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah kerana ibunya tidak mahu memaafkan Alqamah. Tindakan Rasullah SAW itu telah menyebabkan ibunya terus memaafkan Alqamah dan dengan mudahnya Alqamah mengucap dua kalimah syahadah.

Tekanan hidup pada hari ini, menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh. Namun, walauapapun cabaran itu bukanlah alasan untuk kita menidakkan hak dan tanggungjawab kita sebagai anak kepada kedua ibubapa. Mereka tidak memerlukan wang ringgit cukuplah sekadar perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak.
Buat mak dan ayah....
Anakmu kini telah dewasa dan berjaya dalam kehidupan berkat bimbingan dan dorongan yang berterusan dari mak dan ayah. Tiada balasan yang dapat anakmu ini berikan untuk membalas segala kebaikan dan pengorbanan selain daripada doa dan harapan semoga mak dan ayah sentiasa dalam kebahagian dan keredhaan Allah. Anakmu ini berterima kasih dan menghargai segala kesusahan mak dan ayah lalui dalam mengharungi cabaran yang berliku untuk memberi sebuah kehidupan yang bermakna buat diri ini. Sejuta kemaafan dipohon di atas segala khilaf anakmu ini...Ya Allah, lanjutkan usia mak dan ayahku...aku masih memerlukan mereka.
Mak dan ayah hanya dikau penyeri hidupku...
Restumu mak dan ayah azimat perjuangan mencari impian dan cita-cita...

Thank you Allah for my mother
Thank you Allah for my father
A special thank you to my beloved mak, ayah and ibu that always be on my side
I will not be here without all of you...
Thanks...