Ayah, sukar digambarkan dengan kata-kata. Ayah yang aku kenal seorang yang kuat bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah. Ayah tekun mengusahakan beberapa bidang sawah demi menyara sebuah keluarga.
Kerja ayah bukan di pejabat yang berhawa dingin, bukan juga dibayar dengan gaji empat angka setiap bulan dan tidak diberi cuti setiap hujung minggu... Kerja ayah di bendang padi yang berlumpur dan di bawah terik sinar mentari. Pendapatan ayah akan diperolehi setelah semua padi dituai dan dijual kepada pengilang. Itu pun hanya dua kali setahun. Ayah bekerja tujuh hari seminggu tanpa cuti. (Walaupun cuti umun sempena kemenangan pasukan Harimau Malaya baru-baru ini pun ayah tetap turun ke sawah seperti biasa.)
Hari ini, sebelum mentari mengeluarkan sinarnya, sebelum burung-burung keluar dari sarangnya... ayah sudah turun ke sawah. Banyak kerja yang perlu ayah siapkan sebelum terik panas mentari. Kerja ayah bertambah banyak, setelah beberapa hari lalu sawah ayah ditenggelami air akibat hujan lebat. Ayah perlu menabur biji benih yang baru. Namun, ayah tetap bersemangat untuk melakukan kerja-kerjanya walaupun berulang kali.
Di rumah, emak sibuk menyiapkan sarapan pagi untuk kami. Pagi ini emak memasak bihun goreng. Bihun goreng emak memang sedap, cukup rasa. Walaupun tanpa ayam, daging dan sebagainya ianya tetap sedap kerana bihun itu emak yang masak. Sesuatu yang istimewa tentang masakan emak ialah apa saja yang emak masak dapat bertahan sampai ke petang malah, ada juga sampai keesokkan harinya. Bihun goreng ini juga akan dihantar kepada ayah sebagai bekal sarapan pagi.
Salah seorang adikku dipertanggungjawabkan untuk menghantar bekal ini kepada ayah. Hari ini bekal ayah ialah bihun goreng yang dimasak oleh emak, air teh yang dibancuh oleh emak, keropok goreng yang digoreng oleh adik dan kuih bakar yang dibeli oleh adik. Bekal ini khas untuk ayah yang kami sayangi. Terima Kasih Ayah di atas segalanya....
1 comment:
kamu buat aku merindui kasih seorang ayah :(
Post a Comment