Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

Wednesday, March 20, 2013

Jalan Kita Masih Panjang


Usah dicari mana kesilapan dalam takdir
yang ditetapkan oleh illahi
Tapi carilah punca kelemahan diri
Dalam menempuh ujian yang diberi
 
Usah dicari mana ketenangan
yang tidak diberi illahi
Tapi carilah punca keresahan
Yang tidak diundang menempuh di dalam hati
 
Usah dicari mana nikmat
yang tidak diberi pada diri
Tapi carilah punca kufur nikmat yang
Diri tidak tahu hargai....
 
Sesungguhnya kehidupan ini masih jauh perjalanan yang bakal dilalui... akan
Indah jika kita menghargainya....
 


Friday, February 15, 2013

Apabila Berbeza Pendapat




Kata orang rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Maka sebab itulah kita adakalanya berbeza pendapat antara satu lain. Ia boleh berlaku di mana-mana dan dengan siapa sahaja. Keadaan akan menjadi parah apabila perbezaan itu membawa kepada berlakunya konflik dan pergaduhan. Di pagi jumaat yang mulia ini saya ingin berkongsi sedikit tip apabila kita menghadapi masalah perselisihan pendapat.

-          Bersangka baik dengan semua pihak dan individu

-         Jangan mudah melatah. Berfikir secara rasional, mungkin disebabkan sedikit kekeliruan atau salah faham yang membawa kepada berlakunya perbezaan pendapat.

-         Set minda bahawa salah faham itu mungkin kerana pihak yang satu lagi tidak mempunyai ilmu berkenaan perkara tersebut.

-         Perbezaan pendapat itu adalah rahmat dan rahmat itu adalah perkara yang baik. Maka salah faham itu tidak perlu diperbesarkan.

-         Membuat teguran secara berhikmah. Jangan membuat teguran di hadapan khalayak ramai.

(Sumber rujukan : Solusi Isu No 45)

Semoga salah faham dan perbezaan pendapat sesama kita tidak berpanjangan dan ada jalan untuk memperbetulkannya. Paling penting ukhuwah persaudaraan dan persahabatan berkekalan…

Wallahu a’lam  

Monday, May 14, 2012

Perihal Diam...syhhh!



Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam memberi komen...
Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam menegur...
Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam memberi nasihat...
Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam memprotes...
Kadang-kadang kita hanya perlu DIAM dalam memberi persetujuan...

TAPI

Biarlah DIAM kita mereka faham ertinya...
Biarlah DIAM kita mereka terkesan maknanya...
Biarlah DIAM kita mereka maklum maksudnya...
Biarlah DIAM kita mereka terima tujuannya...

KERANA

DIAM kita mungkin disalah tafsir...
DIAM kita mungkin mengundang syak wasangka...
DIAM kita mungkin disilap terjemah...
DIAM kita mungkin tidak membawa apa-apa maksud...

MAKA

Jika kita merasakan DIAM itu lebih baik... Seharusnya kita DIAM... 
Namun, seandainya DIAM kita bukanlah suatu yang bijak...
Berkatalah sehingga mereka DIAM...(^_^)



Tuesday, January 10, 2012

'Human must colonise space or face extinction'


Human must colonise space or be wiped out, warns astrophysicist Stephen Hawking.

Itu adalah kata-kata Stephen Hawking ketika sambutan hari kelahirannya yang ke 70.

Humans must begin populating other planets within the next two centuries or face disappearing forever.

Kata-kata beliau ada kebenarannya, lihat keadaan bumi kita sekarang. Hari ini kita berdepan dengan pelbagai isu alam sekitar yang bersifat global dan merentasi sempadan. Tidak keterlaluan jika saya katakan kita terlalu obses mengaut keuntungan terhadap alam di sekeliling kita bagaikan beraja di mata, bersultan di hati.

Kita kurang peka dengan isu ini, mungkin kerana kita tidak nampak kesannya secara jelas. Sebagai contoh pembakaran sampah yang merbahaya seperti sisa PVC dan plastik akan menyebabkan pembebasan rumah hijau. Keadaan ini secara tidak langsung akan mengakibatkan peningkatan suhu global. Apabila suhu global meningkat, ais dan glasier di kawasan Artik dan Antartik akan mencair. Kemungkinan besar Kutub Utara akan sama sekali kehilangan ais suatu hari nanti.

Dengan ini, kita perlu kembali 'menghijaukan bumi' kita, caranya ialah menyeimbangkan keperluan terhadap ekonomi dan pengawalan terhadap alam sekitar. Sebagai contoh, kaedah kitar semula dan penggunaan teknologi hijau.

Alam ini adalah amanah generasi akan datang kepada kita. Apabila sampai masanya kita akan menyerahkan alam ini kepada anak cucu kita. Maka dengan ini, kita perlu bersahabat dan berdamai dengan alam.



In our travels to other worlds, Hawking believes that meeting aliens could be a distinct possibility. He said in a documentary for the Discovery Channel recently: 'To my mathematical brain, the numbers alone make thinking about aliens perfectly rational. The real challenge is to work out what aliens might actually be like.'

Monday, July 25, 2011

Kenapa saya tidak boleh berkawan dengan awak


Tit... Tit...

"Siapa yang hantar mesej malam-malam ni?" tanya saya kepada adik.

"Tak tahu salah nombor." saya tersenyum.

Beberapa minit kemudian...

Tit... Tit...

"Kali ni siapa pulak?" tanya saya setelah melihat adik tersenyum-senyum.

"Dia cakap nak berkenalan." adik takut-takut untuk memberitahu saya. Dia seolah-olah tahu apa yang ada dalam fikiran saya.

"Mula-mula mesej, lepas tu jumpa, lepas tu..." adik tersenyum melihat saya yang sedikit emosi.

Memelihara maruah dan kehormatan diri adalah perkara penting dalam syariat Islam. Antara cara dan panduannya ialah menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Asasnya pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah haram. Namun, dalam keadaan terpaksa dan keperluan yang mendesak ianya adalah harus. Keadaan ini terbahagi kepada 2:-

1. Harus kerana terpaksa (dharurah)
  • Seperti yang disebutkan oleh Iman Nawawi katanya, "Berkata ahli mazhab Syafie: "Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Keadaan ini dikecualikan jika seorang lelaki ajnabi mendapati seorang perempuan ajnabi bersendirian berjalan jauh dari kumpulan manusia, maka harus dia menumpangkan perempuan tersebut jika dibimbangi keselamatannya. Harus juga bagi seorang lelaki ajnabi melarikan seorang perempuan bagi tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu jalan untuk menyelamatkan perempuan tersebut.
2. Harus kerana keperluan (hajat)
  • Kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak, termasuklah urusan tawar menawar dan memilih barang dengan syarat tidak berdua-duaan dan memelihara adab-adab pergaulan.
  • Tujuan penghakiman. Harus bagi wanita menjadi hakim dalam kes selain dari hudud pada pandangan Hanafiah. Kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada tertuduh, pendakwa dan saksi.
  • Tujuan penyaksian.
  • Kerana amar makruf nahi mungkar, Ibnu Hazmin ada menyebut bahawa Umar telah melantik al-Syifa' menjadi penguat kuasa perbandaran, maka sudah tentulah beliau bercampur dengan lelaki semasa menjalankan tugasnya.
  • Kerana melayan tetamu.
  • Berada dalam kenderaan awam.
  • Kerana kerja-kerja jihad seperti merawat pesakit.
  • Tujuan pembelajaran dan mendengar nasihat.
  • Suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Percampuran antara lelaki dan perempuan ketika menziarahi sanak saudara contohnya makan satu meja.
Keadaan ini semua diharuskan selagi memelihara adab-adab pergaulan yang telah ditetapkan.

Batasan aurat lelaki dan perempuan.

Aurat perempuan dengan perempuan dan lelaki mahram : Dari pusat hingga lutut

Aurat perempuan dengan perempuan bukan Islam dan lelaki bukan mahram : Seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan

Aurat lelaki dalam semua keadaan kecuali dengan isteri : Dari pusat hingga lutut

***Lelaki Mahram : Suami, anak lelaki, adik-beradik lelaki, ayah, datuk....
***Lelaki Bukan Mahram : Sepupu, lelaki ajnabi

(Rujukan : Sheikh Abd. Karim Zaidan, Kitab al-Mufassal Fi al-Ahkam al-Mar'ah)

Thursday, June 9, 2011

Makbul


"Akak, kita mesti sampai rumah sebelum malam."

"Kenapa? Ada apa?" tanya saya.

"Adik nak tengok cerita makbul malam ni."

"Oh, lupa...."

Setiap khamis malam saya dan adik mesti terpacak depan tv. Makbul, itulah drama bersiri yang menjadi kegemaran kami seisi keluaraga. Makbul adalah sebuah cerita tentang doa dan berkisarkan kehidupan bermasyarakat di sebuah kampung. Pada pandangan saya cerita ini sesuai ditonton oleh semua dan banyak diterapkan dengan unsur-unsur islamik. Kita sebagai hambaNya hanya kepada Dia tempat kita memohon pertolongan dan berserah.

Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Mohon doalah daripadaKu, Aku menerima doamu."

Makbul atau tidak doa seseorang itu...

Jika doamu dimakbulkan, tandanya Allah menyayangimu
Jika doamu lambat dimakbulkan, tandanya Allah ingin mengujimu
Tetapi, jika doamu tidak dimakbulkan... itu tandanya Allah telah merancang yang terbaik untukmu...

Jangan lupa saksikan drama bersiri 'Makbul' setiap khamis jam 9 malam tv 2.(malam ini)

Jazakum Allahu khayran and peace to all...

To my younger brother and my younger sister, "Rabbana yassir wala tu'assir waj'alna minan najihin" Bittaufiq wan najah fi imtihan...

Thursday, April 14, 2011

Bahagia Itu Soal Hati


Bagi si miskin kaya itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah memiliki kekayaan, kebahagian bukan lagi pada kekayaan. Kini, kebahagian telah berpindah kepada perkara yang lain pula.

Begitulah juga bagi yang merasakan rumah bagaikan istana, ilmu seluas lautan, harta yang bertimbun-timbun dan pangkat yang paling tinggi pasti akan bahagia. Namun, setelah memiliki kesemuanya...masih ada yang kurang dan belum merasa bahagia.

Hamka pernah berkata:
"Kekayaan harta benda, pangkat atau kedudukan yang tinggi tidaklah dapat menutup kekerdilan jiwa atau tabiat yang tidak jujur. Malah bertambah banyak kekayaan atau bertambah tinggi kedudukan, bertambah jelaslah kekerdilan jiwa dan kekurangan seseorang. Oleh sebab itu, kayakan batin dulu untuk menghadapi kemungkinan naik atau kemungkinan turun."

Bahagia itu adalah soal hati. Namun, hati tidak akan pernah rasa puas kerana terlalu banyak tuntutan nafsu yang tidak akan pernah rasa sempurna. Ada kalanya juga, kita tidak terima dengan apa yang terjadi kepada diri kita.

Bahagia itu letaknya pada hati. Hati yang tenang dan reda.

Ibnu Khaldum pernah mengatakan:
"Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis yang ditentukan dan sifat perikemanusiaan."


Thursday, March 10, 2011

Berbudi Pekerti Luhur Seperti Siti Muthi'ah

Diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah S.A.W memanggil anaknya Siti Fatimah.

"Fatimah anakku, mahukah engkau menjadi seorang perempuan yang baik budi pekerti dan seorang isteri yang dicintai suami?"

"Tentu saja, wahai ayahku."

"Tidak jauh dari rumah ini, ada seorang perempuan yang sangat baik budi pekertinya. Perempuan itu bernama Siti Muthi'ah. Cuba engkau jumpai dia dan teladani budi pekertinya yang baik itu."

Maka Fatimah dan anaknya Hasan yang masih kecil pergi ke rumah Siti Muthi'ah. Apabila sampai, Fatimah mengucapkan salam. Siti Muthi'ah segera membuka pintu. Hatinya begitu gembira melihat tetamunya adalah anak Rasulullah beserta cucunya. Setelah Fatimah menyatakan maksud tujuan kedatangannya, tiba-tiba Siti Muthi'ah dengan mesra menolak kedatangan puteri Rasulullah itu.

"Bagaimanapun aku bahagia sekali menyambut kedatanganmu ke sini. Namun, maafkanlah aku, aku hanya dapat menerima kedatanganmu sahaja. Sesungguhnya suamiku telah berpasan agar aku tidak menerima tetamu lelaki ke rumah ini."

"Ini adalah Hasan, anakku sendiri. Bukankah dia masih kanak-kanak?"

"Sekali lagi maafkanlah aku, walaupun dia masih kecil tetapi dia lelaki. Aku tidak berani melanggar wasiat suamiku."

Siti Fatimah mula menyedari kemuliaan Siti Muthi'ah sebagaimana yang dikatakan oleh ayahnya. Selepas menghantar anaknya pulang, Fatimah kembali lagi ke rumah Siti Muthi'ah seorang diri. Siti Muthi'ah menyambut kedatangan Fatimah dengan mesra.

"Wahai puteri Rasulullah, apakah tujuan kedatanganmu ke sini?"

"Ayahku menyatakan bahawa engkau seorang yang baik budi pekerti. Kedatanganku ke sini tiada lain melainkan ingin meneladani budi pekertimu."

Kemudian, Fatimah tanpa disengajakan ternampak sebatang rotan, sebuah kipas dan sehelai tuala.

"Untuk apa ketiga-tiga barangan itu, wahai Muthi'ah?"

Dengan malu Siti Muthi'ah bercerita kepada Fatimah. "Suamiku bekerja keras untuk kehidupan kami sekeluarga. Maka aku sangat sayang dan menghormatinya. Setelah dia pulang dari kerja, aku akan sapu tubuhnya dengan tuala itu dan aku akan kibaskannya sehingga dia tertidur."

"Untuk apa pula rotan itu, wahai Muthi'ah?"

"Rotan itu digunakan untuk memukul badanku sekiranya aku ada membuat kesalahan."

"Selalukah engkau dipukul dengan rotan itu?"

"Tidak pernah, bukan rotan yang diambil tetapi aku selalu dipeluknya. Itulah kebahagiaan kami sehari-hari."

"Benarlah, ayahku menyatakan engkau perempuan yang berakhlak mulia dan baik budi pekerti."

Sunday, February 13, 2011

'Awas! Jerat Valentine's Day'


Jika kita perhatikan beberapa hari ini kebanyakkan pusat membeli belah memperagakan barangan yang berkaitan Hari Valentine atau Hari Kekasih atau disebut juga sebagai Hari Kasih Sayang. Hari ini juga boleh kita katakan sebagai hari memewahkan peniaga mawar. Kononnya, sekuntum mawar bermakna hanya kau yang satu, dua bermakna kasih sayang antara kita berdua berpadu dan tiga bermakna aku cinta padamu. Ini bermakna berjayanya mereka (orang kafir) membahagiakan pemikiran kita (orang Islam) bahawa cinta itu perlu disimbolikkan dengan mawar.

Tanpa kita sedari sebenarnya, budaya yang datang bersama barangan Hari Valentine adalah perangkap kepada golongan remaja untuk meraikannya. Bahkan ianya dicipta dengan tujuan kebendaan dan keuntungan kepada pihak-pihak tertentu. Perayaan ini juga telah membentuk pemikiran golongan remaja bahawa tiada kasih sayang tanpa meraikan hari tersebut. Sedangkan Islam mengutamakan ikatan kasih sayang antara insan dan tidak ada hari tertentu untuk meraikannya.

Selain itu, Hari Valentine juga tidak boleh disamakan dengan hari sambutan lain seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ianya tidak dikaitkan dengan peristiwa tertentu atau pengaruh agama. Menurut sejarah, Hari Valentine adalah budaya Kristian untuk memperingati kematian tragis Paderi St Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius. Jadi, tidak perlu untuk kita memuliakan manusia lebih daripada biasa!!!

Di samping itu, perayaan Hari Valentine jelas menjurus kepada perkara yang tidak baik apabila ada pihak yang melakukan perbuatan yang menyalahi syarak demi membuktikan kasih sayang kononnya. Keadaan ini secara tidak langsung menambahkan lagi masalah sosial di kalangan remaja yang kian meruncing sejak kebelakangan ini. Oleh yang demikian, kita perlu menolak perayaan ini kerana ianya menggalakkan perbuatan maksiat dan bercanggah dengan ajaran Islam. Kita seharusnya patuh dan menghormati fatwa pengharaman amalan Hari Valentine tanpa mempersoalkannya.

Janganlah kita mengikuti jejak langkah kaum Yahudi dan Nasrani. Sebuah hadis yang bermaksud: "Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka." Sahabat bertanya: "Adakah mereka itu kaum yahudi dan Nasrani?" Baginda menjawab: "Siapa lagi kalau bukan mereka."
(Riwayat al-Bukhari)

Jelas menunjukkan Rasulullah S.A.W melarang kita umat Islam meniru budaya Yahudi dan Nasrani. Ingatlah niat tidak menghalalkan cara.

  • Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan ianya bercanggah dengan ajaran Islam kerana amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat.
  • Sidang Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 juga bersepakat memutuskan amalan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.

Thursday, January 27, 2011

Ingin Seperti Khadijah

"Saya ingin menjadi seperti Khadijah."

Itulah ungkapan yang pernah saya dengar daripada seorang kawan. Waktu itu dia baru bergelar seorang isteri. Katanya, dia ingin membina cinta sehebat Khadijah dalam melayari bahtera rumah tangganya. Sempat saya bertanya kenapa ingin menjadi seperti Khadijah, bukan seperti tokoh-tokoh wanita Islam yang lain??? Katanya, kerana Khadijah adalah isteri kesayangan Rasulullah dan dia benar-benar mendapat cinta daripada Rasulullah di dunia. Cinta antara Rasulullah dan Khadijah tidak setanding dengan cintanya terhadap isteri-isterinya yang lain.

Suatu hari Aishah pernah berkata: "Aku tidak pernah cemburu kepada seorang pun isteri Rasulullah seperti cemburuku kepada Khadijah sedangkan aku tidak pernah melihatnya, akan tetapi Rasulullah selalu menyebutnya." Begitulah hebatnya Khadijah. Dalam dirinya ada kekuatan spiritual dan kejernihan cinta. Dia beriman kepada Allah dan membenarkan risalah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Tidak dapat dinafikan setiap isteri mengimpikan seorang suami sehebat Rasulullah dan seorang suami pula mengimpikan seorang isteri setabah Khadijah. Jika begitu, jadikanlah cinta pasangan (suami isteri) sebagai ibadah untuk memenuhi kekosongan jiwa dan mendorong kebaikan. Semoga kita, umpama Khadijah di zaman kontemporari ini.

Si suami bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga dan si isteri menguruskan rumah tangga termasuk anak-anak. Berkata si isteri, "Duit suami, duit isteri dan duit isteri, duit isteri."
BEGITUKAH???

Wednesday, January 5, 2011

Jangan Seperti Bermain Bola sepak Tanpa Pintu Gol


Suatu petang saya melihat sekumpulan kanak-kanak bermain bola sepak di sebuah kawasan lapang. Anehnya, mereka menendang bola sesuka hati tanpa arah tuju seolah-olah tanpa pintu gol. Akhirnya, bola itu tersasar dan jatuh ke dalam longkang yang berhampiran. Samalah seperti seseorang yang bercita-cita ingin menjadi seorang doktor, malangnya menjadi jururawat. Itu masih boleh diterima, namun ada juga yang tersasar menjadi penagih dadah.

Daripada analogi ini, setiap situasi susah, senang atau mencabar... semuanya akan menjadi mudah apabila kita tahu arah tuju kehidupan kita atau matlamatnya. Sekiranya matlamat itu kabur, maka amat sukar untuk kita mengelak daripada pelbagai lencongan yang melalaikan di hadapan kita. Akhirnya, kita akan tersasar dan lebih malang lagi sekiranya kita tidak sampai ke destinasi matlamat kita.

Sempena melangkah ke tahun baru 2011, selain daripada azam baru... tidak terlambat untuk kita meletakkan tujuan dan matlamat hidup yang jelas. Dengan ini, kita tahu hala tuju kehidupan kita dan apa yang perlu kita kejar. Maka, kehidupan kita tidak akan tersasar dan memasukki lencongan yang salah.

Berbalik kepada cerita sekumpulan kanak-kanak yang bermain bola sepak itu tadi, sekiranya mereka tahu apa matlamat seorang pemain bola sepak sudah pasti mereka akan menendang bola tersebut ke arah pintu gol. Jadi, bola tersebut tidak akan tersasar dan terjatuh ke dalam longkang. Samalah dengan keadaan seseorang yang bercita-cita ingin menjadi seorang doktor. Dia tahu akan hala tuju kehidupannya dan tahu apa yang perlu dikejar. Jadi, dia akan mencapai cita-citanya walaupun pelbagai lencongan yang melalaikan di hadapannya. Dengan ini, dia tidak akan tersasar daripada cita-citanya.

Sering kali juga kita mendengar bicara seperti ini....

"Alahh... dunia tidak penting, akhirat yang lebih penting. Tidak perlu bersusah payah untuk dunia..."

Bukankah dunia adalah landasan untuk menentukan kehidupan yang lebih baik di akhirat??? Kita semua maklum bahawa tujuan kita dihidupkan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Melaksanakan segala perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Di dunialah tempat kita beramal untuk kesejahteraan hidup untuk akhirat. Inilah matlamat jangka panjang kehidupan seorang hamba di muka bumi ini.

Apa yang dapat saya simpulkan... janganlah kita seperti bermain bola sepak di atas padang tanpa pintu gol. Kita tidak boleh hidup sesuka hati tanpa arah tuju dan matlamat yang jelas.
(Coretan ini juga khas untuk diriku....:)

'Hidup ini bukanlah seperti habuk yang berterbangan oleh angin. Hidup kita bukan tiada makna. Setiap kita mempunyai misi yang besar di dunia ini. Setiap kita bukan cuma segolongan manusia atau sekumpulan orang... selagi kita bernafas, selagi kita tidak ditalkinkan atau dikuburkan hidup kita mempunyai misi...'

Thursday, December 30, 2010

SAYONARA...



Masa berlalu begitu pantas, hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Hari ini kita sudah pun berada di penghujung tahun 2010 yang bakal melabuhkan tirainya. Segala peristiwa pahit, manis, kelat dan payau sudah dilalui dan tersimpan sebagai kenangan. Untuk seketika, sempena membuka tirai 2011... Kita menoleh ke belakang, melihat pencapaian dan kegagalan lalu. Semoga setiap kejayaan dan kegagalan yang diperolehi akan menaikkan semangat untuk meneruskan perjuangan di tahun 2011 yang bakal menjelang.

2011, apakah perancangan tahun ini??? Adakah kita mempunyai azam baru atau perlu meneruskan perjuangan untuk melangsaikan azam lama???

Apa pun jawapan kita, tidak salah sekiranya kita meluangkan sedikit masa untuk membuat post mortem atau muhasabah diri sebelum meneruskan perjalanan yang masih panjang di tahun 2011. Semoga ada improvement untuk tahun 2011.

Kedatangan tahun baru 2011 juga bermakna bertambah setahun lagi umur kita. Sama ada kita sempat menghabiskan tahun 2011 atau sebaliknya hanya DIA Yang Maha Mengetahui. Setiap yang bernyawa pasti akan mati bila tiba masanya. Jesteru itu, wajarlah kita melakukan perubahan dalam hidup. Berubah daripada yang buruk kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.
Sambutlah 2011 dengan bermuhasabah diri dan penuh kesyukuran, bukan dengan segala macam pesta yang melalaikan....

2011... A new start... A new chapter... A new beginning... A new life... Forget the bad cherish...

Wednesday, December 22, 2010

PELUANG KEDUA


Kini dia tenang di sini. Ketenangan yang tidak pernah dirasainya. Dia kini, bukan dia yang dahulu... Kepalanya sudah ditutup. Jika dulu... setiap helaian rambutnya disimbah dengan berbagai warna. Dia juga sudah berbaju kurung, auratnya cukup dijaga daripada menjadi tontonan. Jika dulu... bajunya tidak cukup kain dan benang.
Itulah dia yang sudah berubah... Ada nur hidayah di hatinya.

Di saat dia dalam kesesatan ada insan yang datang memberi sinar cahaya dan membawanya ke jalan yang benar.

"Kamu boleh berubah ke arah yang lebih baik. Orang lain tidak boleh mengubah diri kamu, hanya kamu yang boleh mengubah diri kamu sendiri."

"Mampukah saya untuk berubah menjadi lebih baik dan hidup berlandaskan ajaran yang betul, sedangkan saya terlalu jahil. Islam hanya pada keturunan sahaja."

"Kamu mampu untuk berubah, sekiranya kamu mahu dan yakin kamu boleh berubah. Kejahilan kamu kerana kamu tidak mempunyai ilmu. Ilmu yang akan membawa kamu kepada kebenaran. Ilmu perlu dicari kerana ia adalah bekalan di dunia dan akhirat. Ini adalah peluang kedua untuk kamu. Selagi kamu masih bernafas kamu masih berpeluang untuk mengubah diri kamu."

Ya... Ini peluang kedua yang telah diberikan kepadanya. Dia masih bernafas. Nahas jalan raya yang telah meragut nyawa kedua-dua orang tuanya masih segar di ingatan. Akibat nahas itu, dia koma beberapa bulan lamanya. Allah Maha Berkuasa, akhirnya dia diberi peluang kedua untuk melihat alam fana ini.

"Mana pesakit yang tinggal di sini?"

"Maaf cik, pesakit itu sudah meninggal semalam."

Itulah orang yang banyak menyedarkan dia bahawa Allah masih sayangkannya dan membawa dia ke landasan yang sebenar. Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya.

Kini dia tenang di sini bersama dengan anak-anak kecil yang tidak mempunyai ibu dan bapa.


Wednesday, December 15, 2010

RECIPE OF LIFE

Recipe of life, it was a beautiful poem which I feel I need to share here.

Read on...

Fold two hands together and express a dash of sorrow
Marinate it overnight and work on it tomorrow
Chop one grudge in tiny pieces, add several cups of love
Dredge with a large sized smile, mix with the ingredients above

Dissolve the hate within you, by doing a good deed
Cut in and help your friend, if he or she should be in need
Stir in laughter, love and kindness from the heart it has to come
Toss with genuine forgiveness and give your friends some!

The amount of people served will depend on you
It can serve the whole wide world if you really want it to!

Now, I ask myself... Has my ego become so huge that I can't even say sorry to another person??? Why I ever been so ridiculously silly that just because I don't want to apologize??? So many questions running through my head...

The Prophet S.A.W said: "If one gives charity it does not diminish his wealth, if one forgives others, Allah bestows more honor on him and if one humbles himself for Allah's sake, He exalts him higher." (Hadith Riwayat Muslim)

Allah has promised that if we decide to swallow our ego, anger and therefore we forgive others, Allah will reward us with more honor.

Right now... If I do wrong, I should apologize
If someone asks for forgiveness, I must accept the apology by granting him forgiveness.
Insya Allah...

Sunday, December 12, 2010

SIAPA KITA UNTUK MENGHUKUM

Setiap yang bernyawa pasti akan mati bila tiba masanya. Kematian tidak mengira usia, tidak memilih siapa dan berlaku di mana saja.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahnya, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh."
(Hadis Riwayat Muslim)

Nyawa telah bercerai daripada badan. Jasadnya terbujur kaku di pembaringan. Dia telah pergi buat selama-lamanya. Sudah menjadi tanggungjawab kariah 40 buah rumah di sekitarnya diberitahu agar datang untuk menguruskan pengembumian jenazah itu. Namun, yang datang hanya sebilangan kecil sahaja dan ada di kalangan mereka yang tidak mengetahui tentang kematian si mati. Apakah kesalahannya??? Kenapa dia diperlakukan seperti ini???

Sehingga kini namanya sering menjadi sebutan. Seperti pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Siapa kita untuk menghukum tentang apa yang telah dilakukan olehnya sewaktu hidup??? Kita hanya manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesalahan. Hanya DIA yang mengetahui dan sesungguhnya DIAlah yang Maha Pengampun.

Kita tidak layak untuk menghukum kesalahan orang lain hanya berdasarkan luaran sahaja. "Don't judge the book by it's cover." Setiap perkara yang berlaku jadikan pengajaran dan iktibar semoga kehidupan kita lebih baik. Dengan ini, sama-samalah kita menghakimi diri kita terlebih dahulu sebelum kita kembali kepadaNYA untuk dihakimi.

"Inna lillaahi wa inna ilaihi raji'un" (Sesungguhnya kita semua datang daripada Allah dan kita semua akan dikembalikan kepadaNYA)
Semoga rohnya di tempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman dan ampunilah dia dan kami semua....

Wednesday, December 8, 2010

INGIN BERUBAH

Hari ini adalah hari kedua kita berada di tahun baru hijrah. Sambutan 'Maal Hijrah' yang dibuat saban tahun tidak akan bermakna sekiranya 'ibrah (hikmah) di sebaliknya tidak dihayati.

Rasullulah S.A.W bersabda maksudnya: "Tiada hijrah selepas pembukaan Makkah, tetapi masih ada jihad dan niat dan apabila kamu diminta berhijrah maka berhijrahlah."

Hijrah bukan sahaja bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi dalam konteks yang lebih luas hijrah bermaksud perubahan. Perubahan ke arah kebaikan atau ke arah keburukan. Semua makhluk pasti akan berubah kerana ini adalah sunnatullah (hukum alam).

Melakukan perubahan memerlukan masa, ibaratnya pertumbuhan sebatang pokok. Bermula dengan semaian biji benih, percambahan akar, tunas, batang, ranting, daun, bunga dan akhirnya berbuah. Sudah menjadi fitrah manusia, tidak boleh dibentuk dalam masa yang singkat. Proses ini juga tidak boleh dilakukan secara drastik dan tidak boleh secara paksaan. Hanya diri sendiri yang boleh melakukan perubahan.

Sebelum melakukan perubahan, minda perlu dilatih dan diasuh untuk berubah. Jangan biarkan minda terkonkong dengan suatu kebiasaan atau kepercayaan. Ini akan merantai potensi diri untuk terus berusaha. Kita seharusnya mempersiapkan minda untuk berani menghadapi perubahan. Dengan ini lahirlah minda yang positif untuk perubahan yang positif. Inilah minda yang bersedia untuk berubah dan melakukan perubahan.

"Orang yang berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam. Orang yang terpedaya orang yang hari ini sama seperti semalam dan orang yang celaka ialah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam."

Wednesday, December 1, 2010

SELAGI ADA WAKTU


Kini kita telah pun berada di bulan terakhir tahun 2010. Cepatnya masa berlalu tanpa kita menyedarinya. Mungkin banyak peristiwa manis dan pahit yang sudah kita lalui. Ada kalanya peristiwa masa lalu, jika dikenang kembali dalam kehidupan sekarang kadang-kala mengundang kedukaan dan membunuh semangat untuk menjalani kehidupan seadanya.

Adakalanya pula peristiwa masa lalu, jika dikenang kembali akan membangkitkan semangat untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna. Kita sering mendengar ungkapan, masa yang berlalu tidak akan kembali. Jadi, setiap detik waktu yang masih berbaki untuk tahun 2010 sama-samalah kita menghargainya.

Seandainya masih ada azam untuk tahun 2010 yang masih belum terlaksana, selagi ada waktu langsaikanlah azam tersebut sebelum membuat azam baru untuk tahun 2011. Peringatan untuk diri ini juga.

Hanya beberapa hari lagi kita akan berada di tahun baru hijrah...

Time is like a precious treasure and must be appreciated. Time is always around for us....


Saturday, November 20, 2010

CINTA ALLAH MENGATASI CINTA MANUSIA


Kini kita sudah pun berada di bulan Zulhijjah dan masih berada dalam suasana hari raya korban. Zulhijjah ialah antara bulan Islam yang merakamkan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam, antaranya ialah peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim. Pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim adalah pengorbanan yang sebenar demi membuktikan cinta sejati seorang ayah dan seorang anak kepada Yang Maha Berkuasa.

Dalam peristiwa ini, terdapat dua dimensi pengorbanan yang perlu kita hayati. Pertama, pengorbanan seorang ayah yang sanggup mengorbankan perasaan sayang dan cinta Nabi Ibrahim terhadap anaknya Nabi Ismail. Setelah sekian lama menantikan kelahiran seorang anak dan apabila telah memilikinya baginda terpaksa pula mengorbankannya demi ketaatan kepada suruhan Allah S.W.T. Kedua, pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasih dan sayang terhadap kedua ibubapanya dan zaman remajanya yang penuh dengan keseronokan.

Dapatkah kita pada hari ini melakukan pengorbanan setinggi ini? Bolehkah kita menerima kehilangan orang yang kita sayangi dengan penuh keredhaan? Apa yang berlaku dalam peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim ialah cinta Allah mengatasi cinta sesama manusia. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah memenangkan cinta mereka untuk Allah tanpa sebarang keraguan. Cinta mereka hanya untuk DIA.

Apabila cinta Allah memenuhi hati, maka barulah datang cinta kepada Rasulullah dan makhluk-makhlukNYA yang lain. Inilah cinta yang akan menerbitkan kemanisan iman. Dengan ini, kita tidak akan mudah terjerumus dengan cinta insani sehingga sanggup dikongkong dan mengutamakan keuntungan dunia tanpa had dosa atau pahala.

"Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (Surah al-Imran:31)

Thursday, October 7, 2010

SENANG MENERIMA SUKAR MELAKSANA

Apabila kita diberi kerja kita senang untuk menerimanya, tetapi sukar untuk kita melaksanakan kerja tersebut dengan penuh tanggungjawab. Mungkin juga kerja tersebut dapat dilaksanakan namun, dengan pelbagai penyelewengan. Pelaksanaannya hanya untuk memenuhi tuntutan atau ada kepentingan tertentu. Begitu juga dengan perkahwinan. Kita senang menerima sebuah perkahwinan namun, tanggugjawab sebagai suami atau isteri adakalanya sukar dilaksanakan dengan sempurna. Itulah yang dikatakan senang menerima sukar melaksana.

Firman Allah yang bermaksud: "Sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."
(Surah as-saff: ayat 3)

Keadaan ini kita boleh kaitkan dengan sifat amanah. Seseorang yang amanah pasti akan melaksanakan apa sahaja tugas yang diterima olehnya, sama ada sukar atau senang.

Rasullulah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang yang diajak bermusyawarah (diminta pendapat) adalah orang yang boleh memegang amanah (jujur, ikhlas dan dapat menyimpan rahsia)."
(Hadis riwayat At-Thabrani)

Kini banyak perkara yang mengecewakan dilakukan oleh kita untuk lari daripada amanah yang harus dipikul. Kita lebih mementingkan kesenangan dunia daripada kesenangan akhirat. Kita juga dikaburi dengan pelbagai kenikmatan dan keindahan dunia daripada kenikmatan dan keindahan akhirat. Inilah yang menyebabkan kita senang menerima dan sukar melaksana.

Jesteru itu, sifat amanah perlu kita terapkan dalam diri supaya mendapat kepercayaan untuk melaksanakan sesuatu yang diamanahkan. Oleh itu, apabila kita senang menerima sesuatu amanah, seharusnya juga kita senang melaksanakannya tanpa sebarang alasan.

Sunday, October 3, 2010

SEGALANYA BERMULA DARI HATI

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Dalam tubuh anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badan. Sebaliknya apabila daging itu jahat, maka jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging itu adalah sekeping hati."

Hati adalah raja dalam diri kita kerana hati paling kuat dan besar pengaruhnya. Ibarat seorang pemimpin, apabila baik pemimpinnya maka rakyatnya juga akan baik dan berlakulah kebaikan kepada negaranya. Apabila kita melakukan kebaikan seperti bersedekah, orang akan kata "baiknya hati kamu." dan sekiranya kita melakukan keburukan seperti mencuri orang akan kata "busuknya hati kamu." Di sini hati akan membuat keputusan dan perintah untuk dipatuhi oleh semua anggota badan yang lain.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Jika hati baik, maka baiklah seluruh anggota badan dan begitulah sebaliknya."

Walaupun segala-galanya bermula dari hati, akal juga memberi input untuk hati membuat keputusan. Ini bermakna tidak cukup sekiranya hati sahaja baik, akal juga mesti baik kerana akal adalah penasihat kepada hati. Akal ibarat bendahara kepada diri manusia.

Kini hati dan akal sudah pun baik, namun kadang kala kita hilang pertimbangan dan bertindak di luar batasan kemanusiaan. Hal ini kerana nafsu yang mempengaruhi hati dan menguasai akal. Nafsu adalah musuh dalam diri kita. Nafsu perlu dididik dan dilatih untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Ia ibarat kuda liar yang perlu dijinakkan untuk menjadi tunggangan yang baik.

Kesimpulannya, hati adalah pemandu, akal adalah konduktor dan nafsu adalah penumpang, maka selamatlah diri kita.