Sunday, October 3, 2010

SEGALANYA BERMULA DARI HATI

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Dalam tubuh anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badan. Sebaliknya apabila daging itu jahat, maka jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging itu adalah sekeping hati."

Hati adalah raja dalam diri kita kerana hati paling kuat dan besar pengaruhnya. Ibarat seorang pemimpin, apabila baik pemimpinnya maka rakyatnya juga akan baik dan berlakulah kebaikan kepada negaranya. Apabila kita melakukan kebaikan seperti bersedekah, orang akan kata "baiknya hati kamu." dan sekiranya kita melakukan keburukan seperti mencuri orang akan kata "busuknya hati kamu." Di sini hati akan membuat keputusan dan perintah untuk dipatuhi oleh semua anggota badan yang lain.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Jika hati baik, maka baiklah seluruh anggota badan dan begitulah sebaliknya."

Walaupun segala-galanya bermula dari hati, akal juga memberi input untuk hati membuat keputusan. Ini bermakna tidak cukup sekiranya hati sahaja baik, akal juga mesti baik kerana akal adalah penasihat kepada hati. Akal ibarat bendahara kepada diri manusia.

Kini hati dan akal sudah pun baik, namun kadang kala kita hilang pertimbangan dan bertindak di luar batasan kemanusiaan. Hal ini kerana nafsu yang mempengaruhi hati dan menguasai akal. Nafsu adalah musuh dalam diri kita. Nafsu perlu dididik dan dilatih untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Ia ibarat kuda liar yang perlu dijinakkan untuk menjadi tunggangan yang baik.

Kesimpulannya, hati adalah pemandu, akal adalah konduktor dan nafsu adalah penumpang, maka selamatlah diri kita.

No comments: