Sunday, September 26, 2010

HARAPAN SEORANG IBU

Suatu petang aku didatangi seorang ibu tunggal. Dia meminta aku mengisi borang permohonan untuk berkahwin. Aku bertanya "akak ke yang nak kahwin?" "Takla...anak akak." Dia menceritakan kepadaku bahawa dia sudah tidak tahan untuk menanggung segala umpat dan keji jiran sekeliling dengan perangai anak lelakinya.

Dia mengharapkan anaknya itu boleh membantunya untuk meringankan bebanan yang dipikul selepas ditinggalkan oleh suaminya. Semoga anaknya dapat mengubah corak kehidupan yang dilalunya sekarang daripada susah menjadi senang. Namun, harapan tinggal harapan. Semua janji yang diucapkan gagal untuk dikotakan. Anaknya malas ke sekolah dan sekiranya ke sekolah hanya separuh jalan sahaja. Akhirnya si anak di buang sekolah.

Kemudian, si anak berjanji untuk bekerja demi meringankan bebanan yang ditanggung oleh si ibu. Si ibu berusaha untuk mendapatkan wang untuk membeli sebuah motor bagi menyenangkan anaknya berulang-alik ke tempat kerja. Akhirnya, si anak berjumpa dengan seorang perempuan dan mereka bercinta. Setiap hari si anak pergi ke rumah si perempuan dan si perempuan pula tanpa segan silu pergi ke rumah si lelaki ini. Sedangkan si ibu sibuk bekerja di kantin sebuah sekolah.

Lantas, si ibu berfikir untuk mengahwinkan anaknya itu sebelum perkara yang tidak diingini berlaku dan ramai jiran-jiran yang telah memandang serong kepada si ibu kerana tidak pandai mendidik anak. Si ibu masih berharap agar anaknya tidak mensia-siakan isterinya itu nanti dan berbahagia. Persoalanya, adakah ini salah si ibu yang tidak pandai mendidik anaknya? Di mana tanggungjawab seorang anak untuk menolong ibunya? Bolehkah seorang anak yang baru berumur 17 tahun memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan menjadi ketua untuk sebuah keluarga. Sama-samalah kita fikirkan di mana silapnya?

No comments: