Tuesday, October 12, 2010

TRAGEDI 10.10.10

Tanggal 10.10.2010 adalah detik yang terindah bagi sesetengah kita, mungkin ada kenangan yang akan menjadi ingatan untuk selama-lamanya. Sememangnya kita semua mengharapkan tanggal itu adalah tanggal keramat untuk dikenang sebagai tarikh yang membawa seribu makna dalam kehidupan kita. Namun, detik itu juga menjadi mimpi ngeri kepada keluarga mangsa nahas maut di Lebuh Raya Utara Selatan melibatkan sebuah bas ekspres. 10.10.2010, tarikh yang pasti tidak akan dilupakan oleh mereka...

Kematian adalah perkara yang pasti, yang telah termaktub sejak azali lagi. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Bila??? Hanya DIA yang mengetahui bilakah ajal seseorang hambaNYA. Bolehkah kita katakan tragedi ini sebagai ketentuan Ilahi??? Ajalnya di sini. Kita manusia hanya merancang, tetapi DIA yang menentukan segala-galanya.

Apa yang ingin diutarakan di sini adalah sikap kita apabila berada di jalan raya. Apakah kita sudah terhantuk baru tergadah??? Sebagaimana yang sering dilaporkan punca utama kemalangan jalan raya di negara kita adalah sikap kita sendiri yang tidak mengutamakan keselamatan. Apa yang tersemak difikiran setelah kita memulakan perjalanan??? Adakah kita mengharapkan perjalanan kita sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat atau kita mengharapkan supaya perjalanan kita sampai dengan cepat dalam waktu yang tertentu??? Sekiranya jawapan kita supaya cepat sampai, sudah pasti segala peraturan yang ditetapkan tidak akan dipatuhi.

Kempen kesedaran di jalan raya yang dijalankan masih tidak mampu untuk mengatasi nahas kemalangan jalan raya di negara kita. Kita tahu bahawa jalan raya adalah medan maut yang boleh mengorbankan nyawa. Ironinya, masih ramai yang tidak menjadikan jalan raya sebagai hak bersama yang harus memikirkan keselamatan pengguna-pengguna lain juga. Sifat tahu sahaja akan bahaya tidak mematuhi peraturan di jalan raya tidak memadai, tetapi mesti mampu mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, untuk memastikan kempen kesedaran tentang keselamatan di jalan raya berjaya, pengguna jalan raya tidak cukup sekadar dibekalkan maklumat tentang bahaya tidak mengikut peraturan jalan raya, tetapi mesti dididik agar mampu mengikut peraturan tersebut.

Hal ini berkaitan dengan sikap kita apabila berada di jalan raya. Sikap kita perlu diubah. Mengubah sikap tidak boleh dilakukan secara drastik dan bukan melalui paksaan, tetapi mesti dilakukan secara berterusan dan penuh kerelaan. Tidak ada siapa yang boleh memaksa perubahan sikap orang lain melainkan diri kita sendiri. Sama-samalah kita mengubahnya. Jangan jadikan jalan raya sebagai medan maut. Ingatlah orang-orang di sekeliling kita yang masih memerlukan kita.

TAKZIAH UNTUK SEMUA KELUARGA MANGSA NAHAS KEMALANGAN DI LEBUH RAYA UTARA SELATAN YANG MERAGUT 12 NYAWA PADA TANGGAL 10.10.2010. AL-FATIHAH.....

No comments: