Diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah S.A.W memanggil anaknya Siti Fatimah.
"Fatimah anakku, mahukah engkau menjadi seorang perempuan yang baik budi pekerti dan seorang isteri yang dicintai suami?"
"Tentu saja, wahai ayahku."
"Tidak jauh dari rumah ini, ada seorang perempuan yang sangat baik budi pekertinya. Perempuan itu bernama Siti Muthi'ah. Cuba engkau jumpai dia dan teladani budi pekertinya yang baik itu."
Maka Fatimah dan anaknya Hasan yang masih kecil pergi ke rumah Siti Muthi'ah. Apabila sampai, Fatimah mengucapkan salam. Siti Muthi'ah segera membuka pintu. Hatinya begitu gembira melihat tetamunya adalah anak Rasulullah beserta cucunya. Setelah Fatimah menyatakan maksud tujuan kedatangannya, tiba-tiba Siti Muthi'ah dengan mesra menolak kedatangan puteri Rasulullah itu.
"Bagaimanapun aku bahagia sekali menyambut kedatanganmu ke sini. Namun, maafkanlah aku, aku hanya dapat menerima kedatanganmu sahaja. Sesungguhnya suamiku telah berpasan agar aku tidak menerima tetamu lelaki ke rumah ini."
"Ini adalah Hasan, anakku sendiri. Bukankah dia masih kanak-kanak?"
"Sekali lagi maafkanlah aku, walaupun dia masih kecil tetapi dia lelaki. Aku tidak berani melanggar wasiat suamiku."
Siti Fatimah mula menyedari kemuliaan Siti Muthi'ah sebagaimana yang dikatakan oleh ayahnya. Selepas menghantar anaknya pulang, Fatimah kembali lagi ke rumah Siti Muthi'ah seorang diri. Siti Muthi'ah menyambut kedatangan Fatimah dengan mesra.
"Wahai puteri Rasulullah, apakah tujuan kedatanganmu ke sini?"
"Ayahku menyatakan bahawa engkau seorang yang baik budi pekerti. Kedatanganku ke sini tiada lain melainkan ingin meneladani budi pekertimu."
Kemudian, Fatimah tanpa disengajakan ternampak sebatang rotan, sebuah kipas dan sehelai tuala.
"Untuk apa ketiga-tiga barangan itu, wahai Muthi'ah?"
Dengan malu Siti Muthi'ah bercerita kepada Fatimah. "Suamiku bekerja keras untuk kehidupan kami sekeluarga. Maka aku sangat sayang dan menghormatinya. Setelah dia pulang dari kerja, aku akan sapu tubuhnya dengan tuala itu dan aku akan kibaskannya sehingga dia tertidur."
"Untuk apa pula rotan itu, wahai Muthi'ah?"
"Rotan itu digunakan untuk memukul badanku sekiranya aku ada membuat kesalahan."
"Selalukah engkau dipukul dengan rotan itu?"
"Tidak pernah, bukan rotan yang diambil tetapi aku selalu dipeluknya. Itulah kebahagiaan kami sehari-hari."
"Benarlah, ayahku menyatakan engkau perempuan yang berakhlak mulia dan baik budi pekerti."
No comments:
Post a Comment