Tuesday, February 22, 2011

Betapa DIA menyayangi

Suatu ketika Dzunnun al-Misri sedang musafir, dia melihat kala jengking merayap ke pinggir Sungai Nil dengan cepat. Lalu, Dzunnun al-Misri mengikutnya kerana ingin tahu apa yang akan dilakukannya. Dia ingin mempelajari sesuatu daripada apa yang dilihatnya, bukan daripada apa yang didengarnya.

Ketika kala jengking itu mendekati tepi Sungai Nil, tiba-tiba dari dalam sungai muncul seekor katak. Kala jengking tersebut terus menaiki belakang katak itu. Lalu, Dzunnun al-Misri mengambil perahu dan mengejarnya. Apabila sampai di seberang sana, kala jengking itu masih juga merayap.

Di suatu tempat di tepi sungai Nil, kelihatan seorang pemuda sedang tidur. Tiba-tiba dari arah yang berlawanan datang seekor ular menuju ke arah pemuda itu. Kala jengking itu menyerangnya. Berkelahilah antara dua binatang itu dan berakhir dengan kekalahan ular. Ular itu mati dan kala jengking kembali semula ke tepi Sungai Nil. Kemudian, muncul lagi katak untuk membawanya ke tempat asalnya.

Kisah ini dipetik daripada sebuah buku tentang 'hakikat cinta'. Apa yang dapat saya simpulkan daripada kisah ini betapa seiring Allah melindungi kita tanpa kita mengetahuinya. Betapa sayangnya DIA kepada kita sehingga ketika kita tidur dan tidak berdaya menghadapi bahaya, Allah masih melindungi kita tanpa kita menyedarinya. Allah juga berbuat baik kepada semua hambanya tanpa batasan.

Bagaimana dengan kita??? Sudah menjadi lumrah, kita hanya akan menyintai seseorang yang hanya berbuat baik kepada kita dan selalu menolong kita. Kita ada kalanya juga,hanya akan berbuat baik kepada orang yang kita cintai sahaja dan jarang atau tidak pernah berbuat baik kepada orang yang kita benci.

Sebuah syair Arab yang berbunyi, "Jadilah kamu seperti pokok di pinggir jalan, meski pun dilempar dengan batu, ia tetap menghadiahkan buah yang masak."

2 comments:

martinelli hashim said...

Bestnya cerita ni, Za. Teruskan menulis

ermizamustafa said...

Terima Kasih Ibu...:)