Sedar tak sedar sudah lama rupanya saya tidak
menulis di sini. Bukan tidak ada apa yang hendak dikongsikan, tetapi ada sahaja
kekangan yang menghalang. Apa pun blog
ini mash lagi bernafas.
Memandangkan esok kita bakal menyambut hari
kebangsaan yang ke 56, jadi coretan saya hari ini berkisar tentang kenegaraan.
Bercakap tentang kenegaraan teringat saya celoteh ayah dan adik tentang Jalur
Gemilang.
Beberapa hari yang lepas, ayah dan adik membawa
balik dua helai Jalur Gemilang ke rumah. “Siapa beri?” Tanya saya. “Belilah.”
Jawab adik. “Ingatkan ada orang beri percuma.” Saya mengomel sendirian. “Bukan
mahal pun harga sehelai bendera ni.” Balas ayah. Saya hanya tersenyum mendengarnya.
“Orang beri dengan beli sendiri tak sama nilainya.” Tambah adik pula. Sungguh
bersemangat saya tengok adik dan ayah panjat tangga untuk gantung Jalur
Gemilang di rumah kami. Semangat patriotic mereka ini, saya juga dapat merasainya.
Kali ini ayah meletakkan Jalur Gemilang berkibaran di serambi rumah, bukan dip
agar rumah seperti tahun lepas. Kata ayah, di sini paling sesuai dan selamat. Ia
tidak akan koyak atau pudar dek kerana terkena panas mentari atau basah terkena
hujan.
Sesungguhnya saya bersyukur kerana dilahirkan di
bumi Malaysia yang bertuah ini. Bahkan jutaan warga asing juga turut menumpang
mencari rezeki di sini. Sebagai generasi pasca merdeka perlu untuk kita kembali
memahami sejarah negara. Apatah lagi akhir-akhir ini negara menghadapi pelbagai
cabaran yang dilihat boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan malah meroboh
perpaduan.
Tiada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat
kemerdekaan dalam keadaan aman dan sejahtera. Tidak semua bangsa di dunia ini
dapat mengecapi nikmat ini walaupun mereka mungkin sudah bebas daripada
penjajah. Lihatlah apa yang berlaku di bumi Arab kini. Ia ibarat drama bersiri
misteri yang tidak berkesudahan. Keadaannya sangat rumit membabitkan perbalahan
semua pihak di rantau itu. Apa yang berlaku di sana memberi pengajaran yang
bernilai untuk kita semua di sini. Suka saya memetik kata-kata ini, membina
memerlukan masa puluhan tahun tetapi meranapkan hanya mengambil masa sehari.
Semoga bumi Malaysia terus aman, damai dan makmur sentiasa…
MERDEKA! MALAYSIAKU BERDAULAT, TANAH TUMPAHNYA DARAHKU
Al fatihah buat semua wira-wira negara yang
terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara… Al fatihah…
No comments:
Post a Comment