Monday, August 30, 2010

JALUR GEMILANG BENDERAKU

Esok genaplah 53 tahun negara kita merdeka. Ini bermakna sudah 53 tahun kita bebas daripada penjajah. Sempena dengan hari kemerdekaan yang bakal disambut esok, sudahkah kita mengibarkan Jalur Gemilang??? Berapa ramai agaknya yang mengetahui tentang asal-usul Jalur Gemilang???

Dahulunya Jalur Gemilang dikenali sebagai Bendera Malaysia yang mengandungi 14 jalur merah dan putih bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Ianya melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan satu kerajaan Persekutuan. Kemudian warna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang ke 5 bermakna perpaduan rakyat Malaysia. Manakala warna kuning pada anak bulan dan bintang pula menandakan warna diraja. Pecahan bintang kepada 14 pula melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.

Sebenarnya Jalur Gemilang yang dilihat sekarang telah pun wujud beberapa tahun sebelum negara kita merdeka. Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat Kebangsaan. Selama 47 tahun ianya digelar Bendera Malaysia dan akhirnya pada tahun 1997 iaitu pada kemerdekaan yang ke 40 namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Ilham untuk menamakan Jalur Gemilang dicadangkan oleh Datuk Hashim Mat Idris dan kemudiannya dicadangkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai 1995. Akhirnya pada jam 11.58 malam, 31 Ogos 1997 nama Jalur Gemilang telah diisytiharkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Merdeka sempena hari kemerdekaan negara yang ke 40.

Sedikit info tentang makna Jalur Gemilang....

JALUR : Bendera yang mempunyai 14 jalur merah dan putih dan melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama serta arah yang sama dalam menuju kegemilangan bangsa dan agama.

GEMILANG : Membawa makna cahaya, terang-benderang dan cemerlang. Ia melambangkan kecemerlangan Negara Malaysia dan rakyatnya dalam mengharungi apa jua cabaran.

Oleh itu, sama-samalah kita mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kita mencintai negara kita. Semoga kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini berkekalan dan kitalah generasi yang harus mengekalkannya. Hargailah perjuangan mereka yang berjuang demi mencapai sebuah kemerdekaan pada hari ini.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 53
MERDEKA... MERDEKA... MERDEKA...

No comments: