Beberapa hari yang lalu, saya menyelongkar beberapa
kotak yang mengandungi buku-buku lama. Agak terkejut apabila saya terjumpa
beberapa pucuk surat lama, kiriman daripada beberapa orang kawan. Kertas yang
dahulunya putih, kini sudah bertukar menjadi kekuningan. Masih saya ingat,
sewaktu berada di sekolah menengah dahulu surat menjadi medium yang
menghubungkan saya dan kawan-kawan. Selepas tamat sekolah rendah kami terpisah
kerana sekolah berlainan, jadi suratlah yang menjadi penghubung.
Budaya menulis surat kini semakin dilupakan dek
kerana kecanggihan teknologi yang semakin mempengaruhi kehidupan kita sekarang.
Hari ini kita bukan sahaja boleh berhubung antara satu sama lain melalui
telefon, tetapi juga melalui ‘facebook’,’twitter’ dan ‘blog’. Yang pasti semua
ini, cepat, mudah dan menjimatkan masa. Tidak perlu lagi untuk kita membuang
masa pergi ke pejabat pos, beratur untuk membeli setem. Malah, surat yang dipos
juga akan mengambil masa beberapa hari untuk sampai kepada penerimanya.
Saya sendiri pun sudah tidak lagi mengamalkan budaya
menulis surat. Apa pun surat-surat ini akan terus saya simpan sebagai kenangan.
Dalam hidup saya surat yang paling saya ingati dan paling bermakna, surat
tawaran belajar ke universiti. Walaupun amalan menulis surat semakin lupus,
saya yakin surat yang diterima itu pasti akan mempunyai nilainya yang
tersendiri kepada penerimanya. Mungkin suatu masa nanti, surat akan kembali
menjadi wadah penghubung antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment