Saturday, March 9, 2013

Macedonia Alexander Agung Hijab Raja Zulqarnain


 
 

Begitulah tajuk novel sejarah tulisan Web Sutera atau nama sebenar beliau ialah Hizamnuddin Awang. Melihat tajuknya sahaja sudah cukup untuk menarik saya membacanya bagi mengetahui apa pengisian yang terkandung dalam novel ini. Pada asalnya saya sendiri tidak pernah terfikir bahawa Alexander itu adalah Raja Zulqarnain yang digambarkan kisahnya di dalam Al-Quran. Penulis-penulis barat banyak menulis tentang Alexander dan mereka menyembunyikan kesahihan cerita yang sebenar tentang Alexander.
 
Sebagaimana yang diceritakan dalam Al-Quran, surah Al-Kahfi ayat 83-98, Zulqarnain atau Raja Zulqarnain merupakan pemerintah yang adil sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Beliau adalah perintis yang membebaskan dua dunia, Timur dan Barat. Novel sejarah ini adalah pencerahan kepada kebenaran yang disembunyikan oleh penulis-penulis barat mengenai Raja Zulqarnain dan mengaitkan beliau dengan Alexander.
 
Semasa membaca novel sejarah ini terasa diri mengembara dan berjalan bersama dengan watak-watak yang digambarkan oleh penulis. Jelas konsep penceritaan sejarah melalui cerita diolah oleh penulis dengan baik sehingga menjadikan ia seronok dan menghiburkan. Bukan bersifat fakta semata-mata. Pada setiap permulaan bab pula penulis memetik kata-kata hikmah dan terjemahan ayat-ayat Al-Quran sebagai panduan. Sebelum menghabiskan bacaan saya tertanya-tanya, wujudkah Kitab Cahaya Bersinar? Rupa-rupanya kitab ini merupakan catatan perjalanan Alexander yang ditulis oleh Sangarius, iaitu watak dalam novel ini. Tersenyum seketika. Setelah menamatkan bacaan, ternyata hijab di sebalik kepalsuan yang disembunyikan berjaya dibongkar.
 
Ketahuilah, Raja Zulqarnain seorang pemerintah unggul, kasih sayangnya ditunjukkan melalui keakraban pergaulannya dengan rakyat, keikhlasan dalam memberi khidmat dan simpati kepada rakyat sebelum rakyat memberi khidmat kepadanya. Perwatakkannya berjaya menyentuh hujung hati saya. Pada saya novel ini bukan sekadar novel, tetapi ada pengisian penting yang perlu kita tahu. Semoga kita tidak lagi dikaburi dengan pendustaan oleh penulis-penulis barat.
 
 
Antara yang menarik di dalamnya, catatan sejarah merekodkan Nabi Muhammad S.A.W memiliki sahabat, Sultan Muhammad al-Fateh juga ada sahabat. King Arthur ada sahabat pahlawan meja bulatnya, Hang Tuah dengan saudara berempat. Laksamana Sunan pun ada sahabatnya, begitu juga dengan Alexander.
 
Memetik kata-kata novelis thriller no 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid, “Karya ini seperti filem yang kaya dengan seni.”
Selamat Membaca!
 
Tidak sabar menunggu novel beliau seterusnya, ‘Konstantinopel Menjulang Panji al-Fateh’



1 comment:

Web Sutera said...

Assalamualaikum, Cikpuan ermizamustafa.

Terima kasih atas komentar dan ulasan novel ini. Alhamdulillah, moga bermanfaat. Insya-Allah, hasrat saya untuk membuka hijab tercapai.

Terima kasih atas sokongan