Tuesday, January 31, 2012

Itulah Jodohnya


"Mari, mari, marilah
Dengar ini kisah silam oh kawan
Sangatlah berguna moga hidup aman bahagia

Di malam pertama jumpa mertua
Tersentak si jejaka diberitakan
Isterinya tidak sempurna rupa
Anggota zahirnya lumpuh semua
Tiada upaya mengurus diri..."

Begitulah petikan lagu 'Cari Pasangan' dendangan kumpulan nasyid Rabbani. Di sebalik lagu ini tertulis sebuah kisah tentang keluhuran dan kejujuran seorang pemuda yang akhirnya dipertemukan jodohnya dengan seorang wanita solehah.

Dan inilah kisahnya...

Abu Saleh adalah seorang pemuda yang sangat cinta kepada Allah. Pada suatu hari, seperti biasa beliau duduk di tepi sungai sambil bertafakur. Kemudian perutnya terasa lapar dan kebetulan pada waktu itu dia terlihat sebiji epal terapung-apung di sungai itu. Lalu diambilnya epal itu dan dimakan.

Sedang dia menguyah epal tersebut, tiba-tiba dia teringat bahawa epal itu tentu ada pemiliknya. Abu Saleh merasai dirinya berdosa kerana memakan epal itu tanpa meminta keizinan daripada pemiliknya terlebih dahulu. Oleh kerana rasa takut kepada Allah, beliau menyusuri hulu sungai tersebut demi mencari tuan punya epal itu. Setelah berhari-hari berjalan, akhirnya Abu Saleh telah menjumpai sebatang pokok epal dan beliau yakin bahawa epal yang dimakannya tempoh hari adalah dari pokok ini.

Abu Saleh terus berjumpa dengan tuan punya pokok epal itu, iaitu Abdullah Saumi. Melihat akhlak yang dimiliki oleh Abu Saleh menyebabkan Abdullah Saumi tidak sanggup melepaskan Abu Saleh pergi. Lalu Abdullah Saumi membuat satu helah. Beliau akan memaafkan Abu Saleh dengan syarat Abu Saleh mesti berkhidmat dengan beliau selama 12 tahun untuk menguruskan kebun epalnya. Abu Saleh telah mematuhi syarat tersebut.

Setelah 12 tahun, Abdullah Saumi mengadakan syarat baru. Beliau akan memaafkan Abu Saleh sekiranya Abu Saleh sanggup berkahwin dengan anak perempuannya yang buta matanya, pekak telinganya dan lumpuh kedua-dua tangan serta kakinya. Syarat tersebut sungguh berat, tetapi demi mencari keredhaan Allah... Abu Saleh turuti juga.

Setelah diakad nikah, Abu Saleh terkejut setelah melihat isterinya yang jelita rupa parasnya dan tidak cacat anggotanya. Lantas Abu Saleh segera berjumpa Abdullah Saumi. Akhirnya, Abdullah Saumi menerangkan hakikat kata-katanya kepada Abu Saleh, "Aku katakan anak perempuanku itu buta matanya kerana dia tidak pernah memandang lelaki yang bukan mahramnya, pekak telinganya kerana tidak pernah mendengar kata-kata yang tidak benar, lumpuh kedua-dua tangannya kerana tidak pernah menyentuh perkara-perkara yang diharamkan dan lumpuh kedua-dua kakinya kerana tidak pernah melangkah ke tempat-tempat mungkar."

Firman Allah S.W.T : "Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik"

(Surah an-Nur : 26)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...