Friday, December 28, 2012

- The EnD -


‘The End’ – Kita tidak mampu memutar jarum jam ke belakang, kita tidak mempunyai kekuatan untuk mengutip semula apa yang tercicir kerana setiap detik yang berlalu tidak akan berulang kembali… Lagi beberapa hari kita akan menutup diari tahun 2012 dan membuka diari 2013. This is my first story… Everything that happen in my life have own beneficial and significant. Every single day I appreciate being alive for another change to eradicate and pray for Allah’s mercy living in filthy surrounding is not truly easy. Dear pass, thank you for all the life lessons and now it’s become a memory…
Sebagai peringatan untuk diri sendiri juga… Hidup ini adalah cerita dan cerita itu semestinya ada awal dan akhir. Kekuatan pada cerita itu adalah pada diri kita sendiri. Kita yang mengawal cerita dan bukannya cerita yang mengawal diri kita.

Semoga 2013, membuka lembaran baru dengan cerita kehidupan yang lebih bermakna… Insya Allah.
 
 
In a land of myth and a time of magic the destiny of a great kingdom rests on the shoulders of a young man, his name… MERLIN…. This is my second story in this entry.

Cerita epik bersiri MERLIN akhirnya sampai kepenghujungnya. Musim ke-5 dengan temanya, ‘The die is cast’ adalah musim terakhir setelah bersiaran sebanyak 5 musim dan episod ‘The diamond of the day’ adalah merupakan episod terakhir – The End.

Episod terakhir menyaksikan berlakunya peperangan yang sangat hebat antara Camelot dan Morgana. Dalam peperangan ini akhirnya pedang Mordred telah menusuk Arthur seperti yang telah Merlin saksikan melalui masa hadapan. Pedang yang digunakan oleh Modred itu adalah pedang yang dibuat oleh Morgana daripada nafas naga (Aithrusa). Sebelum Arthur rebah, dia sempat menusukkan pedangnya kepada Mordred dan telah meragut nyawa Mordred. Pedang yang digunakan oleh Arthur diperbuat oleh Merlin daripada nafas naga (Killgarath) dan telah beberapa kali digunakan.
 
Merlin menemui Arthur yang dalam kesakitan dan membawa Arthur masuk ke dalam hutan. Di sinilah Merlin mengakui bahawa dia adalah seorang ahli sihir dan mempunyai kuasa magik. Inilah part yang paling dinantikan pastinya oleh semua peminat drama bersiri ini. Arthur pada awalnya sukar mempercayai pengakuan Merlin. Arthur menganggap itu sebagai satu gurauan. Akhirnya Merlin menunjukkan kuasa magiknya. Arthur sama sekali tidak menyangka Merlin mempunyai kuasa magik, dia merasa tertipu dan kecewa. Selama ini dia menyangka dia mengenali Merlin rupanya dia tersilap. Arthur kecewa dengan Merlin dan memilih untuk mendiamkan diri tanpa sepatah kata.


Keesokan harinya Gaius datang menemui Merlin dan Arthur di dalam hutan. Gaius memeriksa kecederaan Arthur dan kecederaan itu terlalu parah. Arthur hanya dapat bertahan selama 2 hari sahaja. Kuasa magik Merlin juga tidak dapat menyelamatkan nyawa Arthur. Setelah Merlin meninggalkan Arthur dan Gaius, Arthur memberitahu Gaius bahawa Merlin ialah seorang ahli sihir. Melihat reaksi Gaius, Arthur dapat merasakan bahawa Gaius sudah lama mengetahuinya.  Gaius memberitahu Arthur bahawa betapa pentingnya Merlin di
sisinya selama ini dan betapa sayangnya Merlin kepada dirinya. Akhirnya Arthur akur dan menerima Merlin.
 

Melihat Merlin tidak berputus asa ingin menyelamatkan nyawa Arthur, Gaius akhirnya mencadangkan untuk membawa Arthur ke Lake Of Avalon. Sebelum berpisah Gaius memeluk Merlin dan Arthur sempat menyerahkan royal seal kepada Gaius untuk diserahkan kepada Guinevere, queen Camelot sebagai pemerintah Camelot. Gaius dapat merasakan Merlin dan Arthur tidak akan kembali lagi ke Camelot. Gaius kemudian pulang ke istana dan Merlin meneruskan perjalanan bersama Arthur menuju ke Lake Of Avalon. Dalam perjalanan mereka berehat di bawah pokok. Merlin yang gagal menghidupkan api akhirnya ditegur oleh Arthur supaya menggunakan kuasa magiknya dan Merlin akur. Arthur memberitahu Merlin macam mana dia boleh tidak menyedari bahawaMerlin mempunyai kuasa magik dan Merlin hanya mampu mengungkapkan kata ‘I’m sorry’ dan kuasa magik tersebut hanya digunakan untuk Arthur tiada tujuan lain.
 

Arthur semakin lemah dan Morgana dapat mengesan Merlin dan Arthur di dalam hutan setelah mendapat maklumat daripada seorang perempuan yang berada di istana. Dalam masa yang sama perempuan tersebut telah ditangkap dan dihukum oleh Guinevere. Merlin dapat menghidu kedatangan Morgana dan menggunakan magiknya untuk menutupi jejak mereka dengan menggunakan daun-daun kering. Arthur melihat tindakan Merlin itu dan berkata, “you done this before.” Kemudian secara tiba-tiba Morgana telah menyerang Merlin dengan menggunakan kuasa magiknya. Setelah Merlin terpelanting jauh daripada Arthur, Morgana mengambil peluang untuk membunuh Arthur yang semakin lemah. Tanpa disedarinya Merlin datang dari arah belakang dan terus menusuk pedang yang digunakan oleh Arthur kepada Morgana. Arthur hanya mampu melihat kematian Morgana di hadapan matanya.

Kemudian mereka meneruskan perjalanan menuju ke Lake Of Avalon. Keadaan Arthur semakin parah dan tidak mampu lagi meneruskan perjalanan. Akhirnya Arthur rebah. Arthur memberitahu Merlin tidak ada apa yang perlu dilakukan lagi. Dalam kesakitan Arthur meminta Merlin memeluknya erat-erat. Merlin sudah pun menitiskan air mata dan memeluk Arthur dengan erat seperti tidak mahu dilepaskan. Dalam saat-saat terakhir Arthur sempat mengungkapkan kata-kata terakhirnya, ‘Thank you Merlin’ dan akhirnya Arthur menutup matanya di pangkuan Merlin. Merlin tidak dapat menahan kesedihannya lagi dan menjerit memanggil great dragon… walaupun segalanya sudah terlambat. (Air mata pasti akan keluar tengok part ni… hubungan Merlin and Arthur not only as a servant and king but more than that…They are Friend)

Atas pertolongan great dragon Merlin berjaya membawa Arthur ke Lake Of Avalon, tetapi segalanya sudah terlambat. Melihat Merlin tidak dapat menerima hakikat kematian Arthur, great dragon kemudian memberitahu Merlin tiada apa lagi yang boleh dilakukan dan Merlin perlu menerima hakikat yang tertulis untuknya dan Arthur. Great dragon juga menyatakan bahawa, in time of need Arthur will rise. Akhirnya Merlin terpaksa menerima hakikat kematian Arthur dan menjalankan upacara pengembumian Arthur di Lake Of Avalon.
 
 
The show ends with a setting in the modern time, and an aged Merlin walking past the lake of Avalon, without any signs that Arthur is going to rise.  
 
   I like this picture so much :)
For me, MERLIN… an excellent magical tv series and the best series ever… Now, MERLIN came to end…L

Sunday, December 16, 2012

Drama Korea : Mencairkan hati dan Mudah Meresap Ke Sanubari


Ini drama korea yang paling saya suka - PASTA 
‘Mencairkan hati dan mudah meresap ke sanubari’ – Itulah gambaran yang boleh saya berikan kepada drama korea yang menjadi fenomena kini. Ketika saya menulis coretan ini drama ‘A Thousand Days Promise’ dan ‘Color Of Woman’ mengisi slot drama korea pada waktu petang di TV2. Persoalan, apa daya tarikan yang wujud daripada drama-drama dari Korea ini sehingga menjadi satu fenomena?

Ada yang berkata, kerana pelokon lelakinya yang tampak dan pelakon wanitanya yang cantik dan mengayakan pakaian yang sesuai dengan budaya dan cuaca empat musim di sana. Itu antara jawapan yang sering saya dengar.

Saya bukan peminat KPOP, tetapi saya peminat drama korea. Kali pertama saya menonton drama korea bermula dengan ‘Autum In My Heart’, ‘Love Story In Harvard’ dan ‘Successful Story Of A Bright Girl’ ternyata ia berbeza daripada drama-drama lain yang pernah saya tonton. Mungkin bagi setengah orang drama korea hanyalah sekadar hiburan sahaja, tetapi jika dinilai dari sudut positif ada nilai murni yang diterapkan di dalamnya. Biasanya watak jahat akan dibalas jahat sama ada mati atau ditangkap, tetapi dalam drama korea mengajar kita tentang kemaafan.

Jika diperhatikan, drama korea kebanyakkannya menonjolkan nilai budaya rakyat negaranya yang bercirikan ketimuran Asia yang mengajar kita berbudi bahasa dan bersopan santun. Bahkan juga memaparkan tentang hubungan yang erat antara keluarga seperti yang dipaparkan dalam drama ‘Something about 1%’.

Dialog yang diucapkan oleh setiap watak dalam drama korea kita hanya memahaminya menerusi sari kata, tetapi ia mudah meresap ke sanubari. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasanya yang indah dan cara penyampaian dialognya pula disertakan dengan ekspresi mimik muka para pelakonnya yang begitu berkesan. Maka tidak hairanlah segenap golongan daripada peringkat remaja hingga mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik turut melekat untuk mengikuti jalan cerita drama dari negara Korea ini.

Bukan itu sahaja, menerusi drama korea kita merasa kita berada dekat dengan negara itu kerana adanya cerita-cerita yang memaparkan secara terperinci mengenai budaya seperti makanan, pakaian, tempat pelancongan menarik dan sebagainya. Antaranya drama ‘Cinderella Stepsister’- industri arak tradisional, ‘Cinderella Man’- industri fesyen, ‘Hotellier’- industri hotel, ‘Pasta’- makanan Itali dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ada juga drama korea yang tidak sesuai untuk tontonan kerana memaparkan unsur-unsur negatif. Jadi kitalah penilainya dan berhak menentukan apa yang baik dan apa yang buruk. Apa yang baik kita ambil dan apa yang buruk kita buang.

Jika kita menilai sesuatu itu dari sudut positif maka positiflah ia,tetapi jika kita menilai sesuatu itu dari sudut negatif maka negatiflah ia.

Wednesday, December 12, 2012

Stanza Cinta

 
 
Hari ini 12.12.2012...bersamaan 28 Muharram 1434 H
 
 
 
Jika kau berasa lelah dan tidak berdaya
Daripada usaha yang sepertinya sia-sia
Allah tahu betapa keras engkau sudah berusaha
Ketika engkau menangis sekian lama
Dan hatimu masih terasa pedih
Allah sudah menghitung air matamu
 
Jika kau fikir bahawa hidupmu
Sedang menunggu sesuatu
Dan waktu terasa berlalu begitu sahaja
Allah sedang menunggu bersama denganmu
 
Ketika kau fikir bahawa kau sudah mencuba
Segalanya dan tidak tahu hendak berbuat apa lagi
Allah punya jawapannya
 
Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal
Dan kau rasa tertekan
Allah dapat menenangkanmu
Jika kau dapat melihat jejak-jejak harapan
Allah sedang berbisik kepadamu
 
Ketika segala sesuatu berjalan lancar
Dan kau ingin mengucapkan syukur
Allah telah memberimu rahmat
Ketika sesuatu yang indah terjadi dan kau dipenuhi ketakjuban
Allah telah tersenyum padamu
 
Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mimpi untuk digapai
Allah sudah membuka matamu dan memanggilmu
Dengan namamu
Ingatlah bahawa di mana pun kau atau ke mana pun
Kau berada
Allah Maha Tahu dan Maha Mendengar...
 
(Dipetik dari novel Stanza Cinta)
 
 
Nota hati : 12/12/2012... 'Cik Acer' yang telah berjasa kepada saya selama 6 tahun akhirnya disahkan mengalami kerosakan yang kritikal dan tidak dapat diselamatkan lagi....:( Terima Kasih Cik Acer
 
12/12/2012... Novel 'Menunggu Cinta Tuhan' karya Lily Haslina Nasir dan 'Macedonia Alexander Agung Hijab Raja Zulqanain karya Web Sutera setelah sekian lama mencari akhirnya saya jumpa di SMO...:) 
 



Monday, December 3, 2012

Mencari Kesempurnaan


Suasana di sebuah majlis perkahwinan... "Pengantin perempuan tu comel sangat." Komen seorang mak cik yang menjadi tetamu di majlis tersebut. Kemudian, seorang mak cik yang lain menyampuk, "Betul, pengantin lelakinya biasa saja." "Kerjanya pun biasa je jika nak dibandingkan dengan yang perempuan tu." Kata mak cik yang lain pula.

Mencari kesempurnaan pada manusia, semakin dicari semakin banyak kekurangan yang akan ditemui. Kesempurnaan hanya milikNYA. Tidak perlu kita mencari kesempurnaan sesama manusia setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya. Saling melengkapi antara satu sama lain. Ingin saya berkongsi sebuah cerita pendek tentang seorang lelaki yang mencari isteri yang sempurna. Kisah ini sama seperti kisah rumput dan kasih sayang.

Suatu hari Abraham berjalan-jalan dengan seorang kawannya.

"Besok saya akan berkahwin Abraham." Kata temannya dengan gembira.

"Tidakkah kamu pernah terfikir untuk berkahwin?" Tanya temannya lagi. Mendengar pertanyaan itu Abraham tersenyum.

"Saya pernah memikirkannya suatu ketika dahulu. Saya merantau ke serata dunia untuk mencari seorang isteri yang sempurna." Katanya memulakan bicara.

"Di Istanbul, saya bertemu dengan seorang perempuan yang cantik, baik dan menyenangkan, tapi dia kurang ilmu pengetahuan. Kemudian saya ke Afghanistan, saya bertemu dengan seorang perempuan yang cantik, baik, menyenangkan dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, tapi dia seorang yang sosial." Cerita Abraham.

"Seterusnya kamu ke mana Abraham?" Tanya temannya ingin mengetahui cerita selanjutnya.
Abraham kembali tersenyum dan berkata, "Saya sendiri terlupa saya ke mana, tapi saya telah menemui seorang perempuan yang cantik, baik, menyenangkan, baik dari segi agamanya cuma dia tidak mampu berkomunikasi dengan baik dan akhirnya saya ke Cairo, di sana saya telah bertemu dengan seorang perempuan yang betul-betul sempurna pada pandangan saya, dia memiliki semua ciri sebagai seorang isteri, tapi...

"Tapi kenapa Abraham?" Tanya temannya tidak sabar.

Dengan wajah yang sedih Abraham menjawab, "Dia juga mencari seorang suami yang sempurna dan saya bukan orang yang sempurna pada pandangannya."

Bersyukur dengan apa yang Allah berikan, terima kekurangan yang ada, jangan menidakkan, tapi berusaha untuk memperbaiki kekurangan yang ada. Usah terlalu mengharap kesempurnaan pada orang lain tetapi cukup yang sentiasa belajar untuk menjadi sempurna.

  

Wednesday, November 21, 2012

'Bumi Cinta'


Kini saban hari kita dihujani dengan berita sedih dari Palestin - berita mengenai kekejaman Zionis laknatullah ke atas saudara seagama kita. Kenapa Israel laknatullah masih tidak boleh merampas Palestin secara keseluruhannya, sedangkan mereka mempunyai sekutu yang ramai dan senjata yang canggih... Ini kerana umat Islam mempunyai  SATU senjata yang tidak akan pernah gagal... DOA. Kita di sini mungkin tidak mampu untuk membantu mereka dari segi harta benda dan berjuang bersama mereka tetapi kita masih mampu berdoa untuk mereka di sana. Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan dan keamanan untuk Palestine.
 
 


Kisah kanak-kanak kecil yang menjadi mangsa kekejaman Zionis laknatullah mengingatkan saya kepada sebuah novel karya Habiburrahman  EL Shirazy 'Bumi Cinta'. Beliau juga adalah penulis novel 'Ayat-Ayat Cinta', 'Ketika Cinta Bertasbih' dan 'Pudarnya Pesona Cleopatra' Apa yang ingin saya highlight di sini ialah mengenai watak Linor dalam novel tersebut. Dia merupakan seorang agen rahsia Mossad yang berselindung di sebalik kerjanya sebagai pemain biola. 

Linor juga merupakan salah seorang rakan yang tinggal satu apartment dengan Ayyas (watak utama dalam novel ini), seorang pemuda Indonesia yang datang ke Rusia kerana ingin melakukan penyelidikan mengenai kehidupan umat Islam di Rusia. Dek kerana masalah kewangan dia terpaksa tinggal satu apartment dengan Yalena dan Linor. Linor sangat membenci Ayyas dan merancang pengeboman di sebuah hotel dan Ayyas disasarkan sebagai pengebomnya, namun dia gagal. Kemudian Linor dikejutkan dengan pendedahan bahawa dirinya bukan dari keturunan Yahudi tetapi dia adalah seorang Islam.

Ibu Linor, demi untuk menyelamatkan bayinya menyerahkan Linor kepada kawannya yang berbangsa Yahudi. Ibu angkat Linor berbohong kepada suaminya bahawa Linor adalah anaknya dan Linor diasuh dan dididik supaya membenci Islam tanpa mengetahui siapa dirinya yang sebenarnya. Selepas mengetahui identitinya yang sebenar Linor memeluk Islam dan ingin menjadikan Ayyas sebagai suaminya untuk membimbingnya sebagai seorang muslimah. Namun begitu belum sempat Ayyas menyatakan persetujuan Linor ditembak. Pengakhiran cerita penulis meninggalkan persoalan sama ada Linor meninggal atau sebaliknya....(Mungkin akan ada 'Bumi Cinta 2')

Mungkinkah apa yang berlaku kepada Linor hanyalah cerita rekaan sahaja... Semoga tiada kanak-kanak di Palestine yang senasib dengan watak Linor ini...Aminnn...

Kita di sini seharusnya mensyukuri nikmat keamanan dan kedamaian yang kita kecapi... Apa yang baik kita jadikan tauladan dan apa yang buruk kita jadikan sempadan.

Wednesday, November 14, 2012

Tulus Meniti Takdir



"Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya

Terlukis senyum di bibir
Tiada siapa tahu hatimu."

Menghayati lirik lagu 'Segenggam Tabah' yang didendangkan oleh kumpulan nasyid In-Team pasti menyentuh hati tak kala hidup dirundung musibah. Ada kalanya kita masih boleh tersenyum demi menutup luka di hati dan mengubati kesedihan dalam diri. Segalanya tiada siapa yang tahu. 

Takdir yang telah tersurat untuk sebuah kehidupan tiada siapa yang dapat menduga. Hidup ini bukanlah suatu jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan ada kalanya disirami air mata dan juga darah. Begitulah kata-kata Hamka. Di kala ini hanya DIA yang menjadi peneman di sisi. Persoalan secara tiba-tiba menjadi pertanyaan kepada diri... tuluskah diri meniti takdir yang telah ditakdirkan selama ini?

Sesungguhnya jika kita bergantung dan bersandar padaNYA, kita tidak akan pernah jumpa perkataan 'kecewa' dan yakin apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Setiap aturanNYA semuanya indah pada waktunya, untuk itu bersabarlah duhai hati.

I believe that no matter what adversities I face in this world,
I should stay strong and keep smiling because I know that there is something beautiful hiding behind those adversity bushes.
I might not see it yet, but that doesn't mean it is not there... :)

 

Saturday, November 3, 2012

Zinnirah, Serikandi Islam

Lirik lagu nasyid 'Zinnirah' dendangan kumpulan nasyid UNIC cukup membuai perasaan setiap kali mendengarnya. Siapa Zinnirah? Itu antara pertanyaan yang pernah diajukan oleh adik saya. Saya juga tidak mengetahui secara detail kisah muslimah sejati ini. Oleh sebab itu, saya meringankan jari jemari ini untuk membuat sedikit carian di internet mengenai kisahnya.

Kisah seorang muslimah sejati bernama Zinnnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara bersembunyi di kalangan rakan karib baginda.

 
Sekadar gambar hiasan


Zinnirah adalah seorang wanita berbangsa Rom. Dia telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya, dia telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan sebagai hamba. Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan lemah tetapi dari segi spiritualnya dia mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah. Pada peringkat awal keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan Islam secara sembunyi-sembunyi kerana takut diketahui oleh tuannya, Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sifatnya yang tegas dan berani. Umar sebelum memeluk Islam amat memusuhi Rasulullah dan kaum muslimin. Zinnirah bersolat, berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semua ini dilakukan dengan penuh hati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah bermula setelah Umar mengetahui keislamannya. Umar dapat menghidu perubahan yang telah berlaku ke atas hambanya itu. Setelah diselidiki, ternyatalah bahawa hambanya itu telah menerima ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Zinnirah menjadi mangsa awal kerana kebencian Umar terhadap Islam dan kaum muslimin. Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadapnya. Pukulan, hentakan, dijemur di tengah-tengah panas terik menjadi rutin biasa dalam kehidupan Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan penuh kesabaran disamping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila kedua matanya dicucuk dengan besi panas yang mengakibatkannya hilang penglihatan dan terpaksa mengharungi kehidupan dalam kegelapan. Namun begitu, hatinya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam menghadapi kesengsaraan azab dari tuannya.

“Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurgaMu, aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”

Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah ketika bermunajat kepadaNya di setiap malam sebagai penawar jiwa diatas segala kesengsaraan yang dihadapi.

Zinnirah akhirnya dibeli oleh Abu Bakar As-Siddiq. Walaupun menerima pelbagai rupa seksaan daripada Umar, Zinnirah tidak mendendami tuannya itu. Malah dia berdoa kepada Allah memohon diberikan hidayah kepada Umar. Penderitaan Zinnirah tidak berakhir di sini, malah dia dicerca oleh kaum musyrikin Mekah. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana mendapat laknat daripada tuhan Latta dan Uzza. Namun begitu, Zinnirah dengan penuh keberanian mempertahankan dirinya dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, tetapi ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkannya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai ujian, keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali. Malah sinaran matanya itu lebih bercahaya.
Zinnirah, seorang wanita biasa, yang mungkin tidak dikenali, yang tidak punya harta tetapi mendapat pujian daripada Allah. Para malaikat mendoakan kesejahteraannya. Mata kasarnya buta tapi mata hatinya celik, disinari dengan cahaya keimanan serta keyakinan kepada Allah.

Begitulah kisah serikandi Islam yang bernama ZINNIRAH.... kau gadis pilihan.Hiasan dunia, penyeri di firdausi.

To my dear friend, Tty... tahniah di atas kelahiran Aishah Zinnirah Sowell, semoga menjadi anak yang solehah.

Thursday, October 18, 2012

Make Me Strong



I know I’m waiting
Waiting for something
Something to happen to me
But this waiting comes with
Trials and challenges
Nothing in life is free
I wish that somehow
You’d tell me out aloud
That on that day I’ll be ok
But we’ll never know cause
That’s not the way it works
Help me find my way
My Lord show me right from wrong
Give me light make me strong
I know the road is long
Make me strong
Sometimes it just gets too much
I feel that I’ve lost touch
I know the road is long
Make me strong
I know I’m waiting
Yearning for something
Something known only to me
This waiting comes with
Trials and challenges
Life is one mystery
I wish that somehow
You’d tell me out aloud
That on that day you’ll forgive me
But we’ll never know cause
That’s not the way it works
I beg for your mercy
My Lord show me right from wrong
Give me light make me strong
I know the road is long
Make me strong
Sometimes it just gets too much
I feel that I’ve lost touch
I know the road is long
Make me strong

Monday, October 15, 2012

Trend Gangnam Style


Tempat percutian idaman saya dan adik... Jeju Island...
Sumber : Google

Dua hari yang lalu adik saya bertanya, "Akak pernah tak tengok tarian 'Oppa Gangnam Style'? Kata saya, "Tak pernah, tapi setiap hari lagu tu dimainkan di radio. Jadi setiap harilah dengar." Kata adik, "Sekali tengok, mesti nak tengok lagi." Sebelum saya menulis coretan ini saya menonton video tariannya di you tube, itu pun separuh sahaja. Ternyata, tarian 'Oppa Gangnam Style' menjadi satu fenomena kini. Di mana-mana sahaja dan siapa sahaja suka meniru gaya tarian yang berasal dari korea ini.

Trend tarian 'Oppa Gangnam Style' ciptaan Psy kini telah meledak di negara kita, apatah lagi Malaysia mempunyai ramai pencinta K-Pop, namun saya bukanlah pencinta tegar K-Pop. Terfikir pula kenapa agaknya tarian seperti ini boleh mencipta satu fenomena yang luar biasa? Adakah kerana penampilan Psy yang agak berbeza daripada artis K-Pop yang lain, handsome, cantik dan slim atau adakah kerana gerak tarinya yang cool?

Melihat fenomena tarian 'Oppa Gangnam Style' ini mengingatkan saya kepada populariti tarian breakdance yang dipopularkan oleh Michael Jackson menerusi video 'Dancing Machine' tidak lama dahulu. Apa pun pandangan yang kita berikan tentang tarian 'Oppa Gangnam Style' ini, saya ingin mengajak kita semua untuk menghayati sebuah hadis yang bermaksud :

"Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (yahudi dan nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka." Sahabat bertanya, "Adakah mereka itu kaum yahudi dan nasrani?" Baginda menjawab, "Siapa lagi kalu bukan mereka." - (Hadis Riwayat al-Bukhari)
 
Oleh itu, sama-samalah kita menilainya sendiri. Mana yang baik kita ambil dan mana yang buruk kita buang...  


 

Thursday, October 4, 2012

Menjelang Peperiksaan

Apabila menjelang peperiksaan, semua orang pasti sibuk. Tiada lagi masa lepak dan bersembang berjam-jam lamanya seperti biasa. Semua aktiviti terbatas. Semua orang sibuk mengadap buku, makan  dengan buku, tidur pun dengan buku. Ada juga yang sibuk mengumpul nota sana-sini. Waktu itu jugalah ada saja nota yang ingin difotostat, walhalnya belum tentu akan habis dibaca. Itulah antara situasi yang pernah saya lalui ketika bergelar seorang pelajar.

Setelah sekian lama meninggalkan dunia sebagai seorang pelajar, rindu pulak dengan suasana sebegitu. Di sini saya ingin kongsikan beberapa tip menjelang peperiksaan selain dari mengadap buku .
  • Bermaafan - mohon maaf daripada ibubapa, guru-guru dan rakan-rakan. Kita juga seharusnya memaafkan kesalahan orang lain.
  • Berfikiran positif - peperiksaan itu adalah untuk menguji. Jangan terlalu membebankan fikiran dengan persoalan seperti bagaimana jika saya gagal? Ini bukanlah penamat kehidupan.
  • Tidur secukupnya - penting untuk kecergasan badan dan otak (ramai yang tidak cukup tidur menjelang peperiksaan, termasuklah saya akibat daripada study last minute...)
  • Doa - solat hajat dan memohon kepadaNYA supaya diberi kemudahan dan kesenangan.
  • Jaga kesihatan - akal yang cergas dari badan yang sihat
  • Kenal pasti rakan-rakan di sekitar tempat duduk di dewan peperiksaan dan barang-barang yang perlu dibawa di hari peperiksaan - penting supaya hari peperiksaan tidak kelam kabut.
  • Baca peta minda - lebih faham dan mudah. Tiada lagi masa untuk membaca buku teks yang tebal.
 To my younger sister best of luck to your exam this coming monday (PMR)... keep studying and bittaufiq wa najah...:) 


Friday, September 21, 2012

Where Do You Find Inspiration?


Saya yakin setiap orang perlukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi untuk berjaya. Tidak kiralah sama ada dalam bentuk kata-kata, kisah atau pun cerita. Pagi ini saya memang mencari sumber inspirasi untuk diri saya bagi menyiapkan penulisan yang sedang saya tulis. Saya selalu baca blog Aina Emir... dan pagi ini coretan beliau betul-betul memberi inspirasi kepada saya supaya tidak berputus asa.

Antara coretan beliau yang saya ingin kongsikan di sini dan inilah sumber inspirasi saya kini :-

saya akan tulis sahaja sehingga siap. Lepas tu barulah tahu sama ada tulisan kita okey ke tidak, sebab setahu saya, tak ada cara lain yang boleh siapkan apa yang kita hendak tulis itu kecuali untuk menulis terus. Semasa saya mula-mula menulis, saya tak pernah hadir apa-apa bengkel atau kursus, saya main tulis aje. Tapi... kalau ada bengkel, pergilah. Cumanya, sekalipun kita pergi mana-mana bengkel tapi kita masih teragak-agak untuk habiskan penulisan kita, ia akan terus tergendala.

Tentang ilham pula, saya selalu berkata di blog ini dan juga kepada siapa-siapa yang bertanya, jangan tunggu ilham datang pada kita tetapi pergilah mencarinya. Ilham ada merata-rata, tapi kalau kita biarkan, ilham itu akan meresap di angin lalu!


Kalau anda serius nak tulis, tulislah. Jangan tunggu-tunggu. Pastikan anda ada disiplin yang tinggi untuk habiskan penulisan anda. Insya-Allah, bila anda dah suka, mungkin satu hari nanti anda juga akan jadi macam saya, ketagih untuk menulis


Maka... saya akan teruskan penulisan saya itu.... Terima Kasih...:)


Wednesday, September 12, 2012

Semangat Patriotik Ayah

Hari-hari baca paper ada cerita mengenai semangat patriotik yang semakin terhakis di kalangan generasi muda kini. Cerita pasal semangat patriotik, mengingatkan saya kepada cerita persiapan raya saya dan keluarga. 

Dua hari sebelum raya mak, adik dan ayah keluar untuk shopping raya. Sedang mak dan adik sibuk membeli barang-barang untuk raya, tiba-tiba ayah menghilangkan diri. Puas mak dan adik menjadi penunggu setia di kereta. Akhirnya ayah muncul dengan membawa satu beg plastik. Adik yang tidak sabar untuk mengetahui apa isi kandungan dalam beg plastik itu terus mencapai beg tersebut. Setelah dibuka... tadaaa... JALUR GEMILANG. Saya dapat bayangkan reaksi adik ketika itu... dan apa yang ada difikirannya sebelum melihat apa yang ada dalam plastik beg itu...:)

Selepas sampai rumah, kami semua termasuklah diri saya sibuk membelek barang-barang yang dibeli dan ayah hilang lagi. Sibuk mak bertanya mana ayah? Kata adik, cuba tengok di luar sana. Oh ayah, sedang sibuk menaikkan jalur gemilang yang dibelinya tadi. Tahun ini juga ayah merupakan salah seorang wakil kampung saya yang menyertai pertandingan perbarisan sambutan hari kebangsaan peringkat daerah di tempat saya. I am proud of you dad. Begitulah semangat patriotik yang ada dalam diri ayah. Semoga semangat ini diwarisi oleh anak-anaknya.

As Malaysian, I am proud I am a Malaysian. Yes, there are good things and bad things in this independent Malaysia, of course I don't like some of the things but which country is perfect. So, there is nowhere else better than Malaysia. 
Thus, I will shout "Merdeka" and "Selamat Hari Malaysia"
And 
Respect our Jalur Gemilang...  :)

Wednesday, August 29, 2012

... The Best Raya ...


Salam Syawal... Hari ini dah pun 11 Syawal...
Entri saya kali ini... tentang raya 2012... Raya tahun ini paling meriah. The best raya...:)
Antara sebabnya, 2 orang adik saya dapat cuti awal dan bercuti selama seminggu. Dapatlah kami membuat persiapan raya bersama dan sempat berbuka dan bersahur bersama... Sangat meriah.
Persiapan raya keluarga saya biasa-biasa saja, sama seperti tahun-tahun lepas. Menu raya pun seperti biasa. Makanan tradisi di pagi raya, nasi himpit kuah kacang, makanan tradisional (ketupat, tapai pulut, lemang) dan makanan moden masa kini (aneka biskut raya).

Tahun ini raya keluarga saya bersama dengan ahli keluarga baru...Cik su (mak saudara baru) yang baru pertama kali beraya dalam keluarga kami. Harap cik su gembira beraya di sini. Terima kasih cik su kerana menyediakan makanan istimewa ini untuk kami...

Dulu... Setiap kali pergi rumah terbuka mesti cari sate... Kata adik sekarang pun...

Raya saya tahun ini juga, saya dikunjungi oleh seorang kawan yang sudah lama sangat tidak jumpa (kawan sekolah rendah). Kejutan yang dibuat, betul-betul memberi kejutan kepada saya. Terima kasih sangat sudi berkunjung ke rumah saya. Teringat saya dengan telatah comel 2 orang anak kembarnya...comel sangat...Aidil dan Akim. Katanya, nama Aidil diambil dari watak ustaz Aidil, Nur Kasih. Kata kawan saya lagi, dia orang tidak diajar memakai pakaian yang sama warna walaupun mereka kembar seiras, tetapi mesti sama design. Itulah kelainan pada mereka. Walaupun bertemuan singkat, tapi cukup bermakna. Semoga kita berjumpa lagi. 

Bukan itu sahaja, raya tahun ini saya rasakan paling ramai tetamu yang datang. Setiap hari ada tetamu yang datang...:) Tambahan pulak semua sepupu, emak saudara dan bapa saudara, semuanya pulang beraya di kampung. Inilah yang menjadikan raya saya tahun ini meriah sangat. Saya dan adik sempat jugak pergi melawat sepupu yang baru dapat baby boy. Namanya, Muhammad Amar Solihin. Tahniah... Paling best...raya kali ini adik lelaki saya yang jadi driver untuk saya dan mak...hehe 

 Ini koktel yang dibuat oleh adik bongsu saya....yummy!!!

  Hanya ini biskut raya yang tinggal....

Begitulah cerita raya saya tahun ini... Semoga suasana raya tahun ini akan berulang lagi... dan ini bukan yang terakhir... Raya, raya jugak... puasa 6 kena habiskan (ingatan untuk diri sendiri)...

Satukan tangan, satukan hati
Di hari kemenangan, Ikhlaskan hati, 
Kita padukan untuk saling memaafi


Sunday, August 26, 2012

Masih Mood Raya


Hari ini 8 Syawal dan mood saya ketika ini - kesunyian... Adik-adik semua sudah balik ke tempat masing-masing demi tuntutan tugas dan tanggungjawab. Insya Allah kita akan berkumpul lagi adik beradik...:) Namun, mood raya masih ada (hari ini hari raya ke 8). Rayakan sebulan... Tetamu masih datang bertandang ke rumah, walaupun ketupat, lemang dan rendang dah habis. Raya saya tahun ini... paling meriah... Kenapa? Nanti saya akan kongsikan di lain entry...Insya Allah.

 Kullu am wa antum bikhair... afwan ala kulli hal...

Saturday, August 18, 2012

Salam Aidilfitri



Ada ketika mata nakal menjeling,
Ada masa telinga gemar mendengar...
Ada waktu lidah terlanjur berbicara,
Ada saat akal silap dalam mentafsir,
Ada musim hati sering berprasangka,
Dengan rendah hati, ampun dan maaf dipohon di atas segala khilaf,
SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN

Minal Aidil Wal Faizin...

Wednesday, August 15, 2012

** CeRiTa KaD RaYa **

Salam 26 Ramadhan...
Semoga kita masih lagi bersemangat dan istiqamah dalam menjalani ibadat puasa...
Semoga Ramadhan kali ini bukan yang terakhir untuk kita.
Lagi beberapa hari Ramadhan akan melabuhkan tirainya dan Syawal bakal menjelma.
Teringat saya, duhulu membeli dan menghantar kad raya menjadi kemestian bagi saya. Kini??? Koleksi kad raya yang saya terima tahun ini...hanya 1 sahaja...:( Kebiasaanya, banyak kad raya yang kita hantar, banyaklah kad raya yang akan kita terima.

Sumber : Google

Tradisi menghantar kad raya seperti tidak lagi sesuai di zaman sekarang. Betulkah begitu? Apa yang pasti kedatangan teknologi telah menghakis budaya menghantar kad raya. Sms, mms, laman sesawang seperti facebook dan twitter serta penggunaan e-card menjadikan semuanya cepat, mudah, menjimatkan masa dan wang. Senario ini telah menyebabkan lambakan kad raya di kedai-kedai ketika ini. 

Apa yang saya perhatikan, design kad raya yang berada di pasaran kini kurang menarik berbanding dengan kad raya digital yang lebih moden dan pelbagai. Oleh kerana koleksi kad raya saya hanya 1 je tahun ini...maka hanya 1 jela kad raya yang akan tergantung di dinding rumah saya...:(

... Sekarang misi mengumpul pelita-pelita raya tahun lepas .... 
   

Monday, August 6, 2012

Salam Nuzul Al-Quran


Hari ini 17 Ramadhan merupakan hari Nuzul Al-Quran. Peristiwa nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W. 

"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya."
(Hadis Riwayat Bukhari)


"Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat (kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba kami ditimba azab)
(Surah Ad Dukhan : Ayat 3)


 Ayuh kita dengarkan sebentar lagu tema setiap kali Majlis Tilawah Al-Quran diadakan...
Saya suka dengan lirik lagu ini...:)
Salam Nuzul Al-Quran.

Friday, August 3, 2012

Meriah Ramadhan


Alhamdullilah hari ini 14 Ramadhan... kita masih bernafas dan diberi kesihatan yang baik untuk terus melaksanakan ibadat puasa. Bulan Ramadhan amat berbeza daripada bulan-bulan yang lain kerana adanya :-

Bubur Lambuk 

Di mana-mana sahaja ada program amal memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang yang memerlukan. Program seperti ini jarang didapati di bulan-bulan lain. Bubur lambuk adalah juadah kegemaran emak saya. Kata emak, bubur lambuk adalah makanan yang menyihatkan dan memudahkan sistem penghadaman. Apa yang menarik tentang juadah ini, setiap tempat cara memasaknya adalah berbeza. Jika di tempat saya, bubur lambuk dimasak tanpa menggunakan santan dan hanya mengandungi sayur-sayur kampung serta lonkang (sejenis makanan laut).

Bazar Ramadhan

Sudah menjadi kemestian setiap kali Ramadhan pasti ada bazar ramadhan. Bulan Ramadhan bulan rezeki untuk peniaga-peniaga. Di sini pelbagai juadah makanan yang kita jumpa. Ada kalanya makanan tersebut tidak pernah kita temui. Bahkan ada juga makanan tersebut hanya kita jumpa di bulan ini sahaja. Dek kerana Ramahan kali ini dalam cuaca yang agak panas, sudah pasti aneka air yang berbagai perisa dan warna menjadi buruan di bazar ramadhan. Apa yang penting jangan mengikut nafsu, berbelanja seadanya.  

Mercun

Jika dahulu akhir Ramadhan baru kita akan kedengaran bunyi mercun, tetapi kini di awal Ramadhan sana sini bising dengan bunyi mercun. Terutamanya ketika orang sedang menunaikan solat terawih. Keadaan ini amat menyedihkan. Ramadhan dan Syawal tetap meriah tanpa mercun. Setiap tahun ada yang menjadi mangsa angkara mercun. Bahkan setiap hari ada rampasan mercun disiarkan, namun ianya seperti 'mencurahkan air ke daun keladi'. Keadaannya tetap sama, masih berleluasa orang yang menjual dan membelinya. Di mana silapnya???

Ayuh, kita jadikan Ramadhan kali ini penuh makna dan menjadikan Al-Quran sebagai surat cinta kita sepanjang Ramadhan ini.

'Ramadhan dirai, Syawal dinanti' 



Tuesday, July 31, 2012

Iktibar Daripada Sebatang Pensel

Pernah seorang anak bertanya kepada ibunya yang sedang menulis. 

"Apa ibu sedang tulis? Ibu menulis tentang siapa?"
"Ibu menulis tentang diri kamu, tetapi ada yang lebih penting daripada itu iaitu tentang pensel ini."
"Apa yang istimewa tentang pensel ini?" tanya si anak.
"Ibu berharap hidupamu adalah seperti pensel ini. Walaupun sebatang pensel, ada lima nilai yang boleh kita pelajari daripadanya."

  • Pensel ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini, jangan lupa adanya kuasa yang membimbing langkah hidupmu iaitu Allah S.W.T. Ibaratnya, sebatang pensel yang melakar tulisan hebat di atas kertas kerana adanya tangan yang memegangnya.
  • Ketika menulis, pensel kerap menjadi tumpul. Kita terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensel ini pasti menderita ketika diasah, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya. Begitu juga dengan hidup ini. Kita mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk diri kita menjadi lebih baik.
  • Pensel mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini. Begitu juga dengan hidup kita ini, sentiasa memperbaiki kesalahan agar sentiasa berada di landasan yang benar.

  •  Tahukah kita mana yang lebih penting, luar atau isi pensel? Sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kamu dan hindarilah.
  • Pensel selalu meninggalkan tanda atau goresan. Begitu juga kita, apa sahaja yang kita buat pasti akan meninggalkan kesannya kepada diri atau orang lain. Oleh itu, berhati-hati dan bijak dalam bertindak.
Begitulah ibrah yang boleh diambil daripada sebatang pensel untuk diterapkan dalam kehidupan kita. Semoga hidup ini lebih dinamik dan bermatlamat.