Sunday, December 16, 2012

Drama Korea : Mencairkan hati dan Mudah Meresap Ke Sanubari


Ini drama korea yang paling saya suka - PASTA 
‘Mencairkan hati dan mudah meresap ke sanubari’ – Itulah gambaran yang boleh saya berikan kepada drama korea yang menjadi fenomena kini. Ketika saya menulis coretan ini drama ‘A Thousand Days Promise’ dan ‘Color Of Woman’ mengisi slot drama korea pada waktu petang di TV2. Persoalan, apa daya tarikan yang wujud daripada drama-drama dari Korea ini sehingga menjadi satu fenomena?

Ada yang berkata, kerana pelokon lelakinya yang tampak dan pelakon wanitanya yang cantik dan mengayakan pakaian yang sesuai dengan budaya dan cuaca empat musim di sana. Itu antara jawapan yang sering saya dengar.

Saya bukan peminat KPOP, tetapi saya peminat drama korea. Kali pertama saya menonton drama korea bermula dengan ‘Autum In My Heart’, ‘Love Story In Harvard’ dan ‘Successful Story Of A Bright Girl’ ternyata ia berbeza daripada drama-drama lain yang pernah saya tonton. Mungkin bagi setengah orang drama korea hanyalah sekadar hiburan sahaja, tetapi jika dinilai dari sudut positif ada nilai murni yang diterapkan di dalamnya. Biasanya watak jahat akan dibalas jahat sama ada mati atau ditangkap, tetapi dalam drama korea mengajar kita tentang kemaafan.

Jika diperhatikan, drama korea kebanyakkannya menonjolkan nilai budaya rakyat negaranya yang bercirikan ketimuran Asia yang mengajar kita berbudi bahasa dan bersopan santun. Bahkan juga memaparkan tentang hubungan yang erat antara keluarga seperti yang dipaparkan dalam drama ‘Something about 1%’.

Dialog yang diucapkan oleh setiap watak dalam drama korea kita hanya memahaminya menerusi sari kata, tetapi ia mudah meresap ke sanubari. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasanya yang indah dan cara penyampaian dialognya pula disertakan dengan ekspresi mimik muka para pelakonnya yang begitu berkesan. Maka tidak hairanlah segenap golongan daripada peringkat remaja hingga mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik turut melekat untuk mengikuti jalan cerita drama dari negara Korea ini.

Bukan itu sahaja, menerusi drama korea kita merasa kita berada dekat dengan negara itu kerana adanya cerita-cerita yang memaparkan secara terperinci mengenai budaya seperti makanan, pakaian, tempat pelancongan menarik dan sebagainya. Antaranya drama ‘Cinderella Stepsister’- industri arak tradisional, ‘Cinderella Man’- industri fesyen, ‘Hotellier’- industri hotel, ‘Pasta’- makanan Itali dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ada juga drama korea yang tidak sesuai untuk tontonan kerana memaparkan unsur-unsur negatif. Jadi kitalah penilainya dan berhak menentukan apa yang baik dan apa yang buruk. Apa yang baik kita ambil dan apa yang buruk kita buang.

Jika kita menilai sesuatu itu dari sudut positif maka positiflah ia,tetapi jika kita menilai sesuatu itu dari sudut negatif maka negatiflah ia.

No comments: