Saturday, April 20, 2013

Obses Pada Warna



Apabila terpandang akan warna pink mengingatkan saya kepada seorang kawan. Boleh dikatakan semua barang kepunyaannya berwarna pink. Cadar, langsir, bekas pensel, beg, mug semuanya warna pink. Barang-barang itu semua dibeli bukan secara kebetulan, tapi dia akan membeli apa sahaja barang yang berwarna pink. Dia seorang yang obses pada warna pink. Cerita saya pada petang ini adalah mengenai obses pada warna.
 
 
Saya memang suka dengan warna silver. Kenapa? Jawapan yang boleh saya berikan, warna silver – mewah dan unik. Saya pernah terbeli barang yang pada asalnya bukanlah menjadi keperluan pun, tapi kerana warnanya silver… saya membelinya. Mungkin saya juga seorang yang obses pada warna.

 
 
 


Tiga minggu lepas, ada majlis perkahwinan di kampung saya. Warna temanya ialah gabungan warna silver dan turquoise. Gabungan warna yang sangat sepadan pada saya. Ia nampak mewah dan moden. Mungkin selepas ini saya akan menjadi obses dengan gabungan warna ini.  
 
Sekian coretan untuk petang ini...
 
 


Sunday, April 14, 2013

Ampuh Di Luar Lompong Di Dalam



Coretan saya untuk hari ini adalah mengenai sebuah drama melayu yang saya tonton beberapa hari yang lepas. Apa yang menarik saya untuk menonton drama itu adalah kerana tajuknya, ‘Lompong’. Apa yang dimaksudkan dengan lompong? Saya memang tidak mengetahui apa makna lompong? Betapa ceteknya pengetahuan ini mengenai bahasa.

Dek kerana perasaan ingin tahu, saya rajinkanlah diri untuk membuka kamus dewan. Menurut kamus dewan edisi keempat, lompong bermaksud kosong. Kemudian, menjadi tanda tanya apa mesej yang ingin disampaikan melalui drama ini? Nak tak nak kenalah menontonnya sampai habis.
 
 


Sinopsis ceritanya adalah mengenai seorang ibu tunggal yang ingin melihat kejayaan anak-anaknya di dunia dan akhirat. Lantas, si ibu membuat keputusan untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah pondok. Baginya, hanya dengan ilmu agama tanpa ilmu keduniaan anaknya pasti akan mampu menghadapi apa sahaja cabaran kehidupan. Hakikatnya dia lupa bahawa pengisian agama sahaja tidak cukup, kedua-dua aspek ini perlu seiring. Tindakan si ibu yang membuat keputusan untuk anak-anaknya itu menyebabkan anak-anaknya memberontak dan mengalami kejutan budaya setelah tamat pengajian.
Kini fahamlah saya apa yang dimaksudkan dengan lompong. Pada pandangan kita pendidikan yang diberikan untuk anak-anaknya nampak sangat sempurna. Pasti anak-anaknya akan menjadi anak yang soleh dan solehah. Kebenarannya, itu hanyalah dari luaran sahaja. Dari segi dalamannya tidak membawa erti apa-apa pun kepada si anak. Begitulah, ampuh di luar kosong di dalam. Kata-kata ini saya pinjam dari penulis skrip drama tersebut.
 
NOTE : Sana sini semua orang bercakap tentang PRU13... 5/5/2013 tarikh yang ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia... Suka saya memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi di facebooknya, berhati-hati dalam 'mengubah' kerana untuk membina mengambil masa tetapi meruntuh hanya sekelip mata. Ya Allah bantulah kami untuk membantu agamaMu. Aminn...


Wednesday, April 10, 2013

Air Tangan Emak Sentiasa Di Ingatan


 
Sumber : Google
 
 
 
Sketsa di atas mengingatkan saya kepada permintaan saya kepada emak beberapa hari yang lalu. Ketika itu saya teringin sangat sup ayam yang dimasak oleh emak. Inilah cerita saya hari ini, bukan mengenai sup ayam tapi tentang air tangan emak yang sentiasa di ingatan anak-anak.
Setiap kali tiba waktu makan, pasti kita akan tertanya-tanya apa agaknya menu yang dimasak oleh emak hari ini? Apatah lagi sekiranya kita berada jauh dari keluarga dan hanya sekali sekala sahaja dapat pulang ke kampung dan dapat merasai keenakan masakan emak. Bagi yang tinggal bersama keluarga pula pastinya akan merindui keenakan masakan yang dimasak oleh emak apabila sekali sekala terpaksa berjauhan dari keluarga. Tiada siapa yang menyangkal bahawa masakan emak adalah yang terbaik. Tidak kira apa jua menu yang dimasak, tetap menambat selera walaupun hanya ikan kukus yang digoreng. Betulkan?
Persoalannya, apa agaknya yang menyebabkan masakan yang dimasak oleh emak menjadi sedap dan berjaya menambat selera kita sebagai anak dan juga ayah kita? Jika dilihat, kerja-kerja memasak hanyalah kerja-kerja fizikal seperti menggoreng, menumis, memotong, mengupas dan sebagainya. Pada hemat kita, semua orang boleh melakukannya.
Menurut satu artikel yang pernah saya baca mengatakan, semasa memasak seorang ibu akan niatkan di hati untuk sediakan makanan yang terbaik dari sentuhan tangannya untuk anak-anak dan suaminya. Di sinilah kesan rangsangan spiritual yang positif untuk anak-anaknya. Sungguh hebatkan, jalinan emosi dan tautan hati yang ditunjukkan oleh seorang ibu melalui masakan yang dimasak olehnya. Seorang ibu juga akan tetap menyediakan makanan untuk anak-anaknya, walau sesibuk mana pun dia. Begitulah keikhlasan yang ditunjukkan oleh seorang ibu. Dari sinilah, anak-anak jatuh kasih dan sayang kepada ibu mereka. 
Pepatah ada mengatakan, ‘tangan yang menghayung buaian mampu menggocang dunia’ begitulah perumpamaan yang diberikan untuk seorang wanita, seorang ibu. Kejayaan mereka dalam menguruskan urusan rumah tangga melalui sentuhan kasih sayang harus diberi penilaian yang tinggi. Bermula dari masakan seorang ibu berjaya membentuk jiwa anak-anak yang cemerlang dan terbilang.
Oleh itu, sejauh mana pun kita pergi dan di mana pun kita berada masakan ibu tetap di ingatan. Tidak mungkin akan dilupakan.
 
 
Sumber : Facebook

Air tangan seorang ayah juga mampu membuka selera dan mengikat kasih sayang.  
Nabi Muhammad S.A.W juga melakukan kerja-kerja di rumah. Seorang sahabat, Aswad bin Yazid berkata, “Aku bertanya Aishah, apakah kebiasaan Rasulullah S.A.W di rumah?” Aishah menjawab, baginda selalu membuat kerja rumah, kemudian setelah mendengar azan, baginda akan keluar rumah.”

Sekian coretan saya untuk kali ini.

Friday, April 5, 2013

Anlene Expert In Bone Nutrition



Kebanyakan wanita Malaysia hanya mendapat 50% keperluan kalsium harian mereka.

Ini adalah fakta yang harus diketahui oleh semua wanita. Coretan saya untuk pagi jumaat ini adalah mengenai keperluan kalsium untuk membina tulang yang kuat. Susu adalah minuman yang membekalkan kalsium yang tinggi untuk tulang yang sihat. Pada mulanya, saya memang tidak suka dengan susu tepung. Memang susah untuk habiskan 1 gelas susu setiap hari. Demi kesihatan tulang, ini pilihan saya sekarang.
KENAPA???
 


4x kalsium daripada susu segar biasa.
Nutrien unggul untuk tulang bagi membina tulang yang kuat dan segar termasuk kalsium, vitamin D, magnesium, protein dan zink.
Penyerapan kalsium yang efektif.
Kalsium yang tinggi dan rendah lemak.
Mengandungi perisa vanila (antara perisa kegemaran saya)
Tidak perlu dibancuh, boleh terus diminum dan senang dibawa.
Di dalamnya ada 4 pek kecil dengan 110ml.
 
 
 
SETIAP HARI 1 PEK KECIL INI

 
Kesihatan tulang yang baik adalah kunci kepada kehidupan yang sihat



Thursday, April 4, 2013

Ratu Syahadah


 
Sudah agak lama juga saya tidak menulis di sini rupanya. Sedar tak sedar hari ini sudah pun 4 April 2013 dan entri saya pada kali ini adalah mengenai kisah salah seorang wanita yang menjadi ketua wanita di syurga. Dia juga digelar sebagai ratu syahadah. Dialah Siti Asiah, seorang gadis jelita daripada keturunan keluarga Imran yang baik dan solehah.  

Kisah kejelitaan Siti Asiah ini akhirnya sampai di pendengaran Firaun dan ingin menjadikan Asiah sebagai permaisurinya. Lamaran Firaun pada mulanya telah ditolak oleh Asiah dan akibatnya, kedua ibubapa Asiah ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Asiah juga telah ditangkap dengan kekerasan dan dibawa ke istana Firaun. Asiah amat sedih melihat keadaan kedua ibubapanya.

“Hai Asiah, jika engkau seorang anak yang baik, tentulah engkau akan sayang terhadap orang tuamu, maka oleh kerana itu engkau boleh pilih satu antara dua. Kalau kau menerima lamaranku bererti engkau akan hidup senang dan aku akan bebaskan kedua orang tuamu. Dan sebaliknya jika engkau menolak lamaranku,maka aku akan perintahkan mereka untuk membakar hidup-hidup kedua orang tuamu di hadapanmu.” Itulah antara ancaman Firaun kepada Asiah.  Oleh kerana ancaman itu akhirnya Asiah menerima lamaran Firaun dengan beberapa syarat. Antara syarat tersebut ialah kedua ibubapanya harus dijamin kesihatan, makan dan minumnya.

Setelah berkahwin, Asiah telah hidup mewah dan tinggal bersama-sama dengan Firaun di dalam istana yang indah. Ini semua tidak mempengaruhi kehidupan peribadi Asiah. Dia tetap taat kepada perintah agama dan tidak pernah meninggalkan ibadatnya kepada Allah. Bagi menyelamatkan Asiah dan menjaga kehormatannya, Allah SWT telah menciptakan iblis yang menyamar dirinya sama seperti rupa Asiah untuk tidur bersama Firaun.

Ketika peristiwa Masyitah yang merupakan juru hias istana dan anak-anaknya dimasukkan ke dalam kuali yang mengandungi minyak yang sedang mendidih, Asiah dengan beraninya telah memarahi Firaun dengan kata-kata yang pedas. Dia juga sanggup mati seperti Masyitah dan tidak mahu lagi menjadi isteri Firaun.

Mendengar ucapan Asiah, Firaun telah menjadi marah. Firaun kemudiannya telah menyiksa Asiah tanpa diberi makan dan minum sehingga Asiah meninggal dunia. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Asiah sempat berdoa kepada Allah SWT sebagaimana yang tersirat dalam Al-Quran – Surah At- Tahrim, ayat 11.

Maksudnya: “Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang mengatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir bahawa kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu perihal isteri Firaun, ketika dia berkata, Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas) serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.”
Begitulah kisah seorang wanita hebat yang digelar ratu syahadah. Dia juga merupakan ketua wanita di syurga yang akan memimpin golongan wanita yang dizalimi.
Saya tinggalkan coretan ini dengan bait lagu nasyid dendangan kumpulan In Team...
Sejarah Asiah telah membuktikan
Iman bukanlah penjara di jiwa
Yang selamanya bersembunyi
Tapi kemerdekaan yang hakiki
Yang punya wajah dan jua rupa
Akhirnya imanmu bersuara
Lantas kau dipenjara dan diseksa
Oleh suamimu yang dihina

Di kejauhan istana keangkuhan
Menggamit mata sayunya di jiwa
Namun hatimu tak sudi ke sana
Iman dan akidah lebih utama
Ratu syahadah lalu bermadah
Oh Tuhan binakan istana untukku
Walaupun di dunia ku diseksa
Namun tak terbayar nikmat di syurga
Ratu Syahadah – In Team

NOTE : Semalam 3/4/2013 - Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU ke 13... Sama-sama kita menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.
 

Wednesday, March 20, 2013

Jalan Kita Masih Panjang


Usah dicari mana kesilapan dalam takdir
yang ditetapkan oleh illahi
Tapi carilah punca kelemahan diri
Dalam menempuh ujian yang diberi
 
Usah dicari mana ketenangan
yang tidak diberi illahi
Tapi carilah punca keresahan
Yang tidak diundang menempuh di dalam hati
 
Usah dicari mana nikmat
yang tidak diberi pada diri
Tapi carilah punca kufur nikmat yang
Diri tidak tahu hargai....
 
Sesungguhnya kehidupan ini masih jauh perjalanan yang bakal dilalui... akan
Indah jika kita menghargainya....
 


Saturday, March 9, 2013

Macedonia Alexander Agung Hijab Raja Zulqarnain


 
 

Begitulah tajuk novel sejarah tulisan Web Sutera atau nama sebenar beliau ialah Hizamnuddin Awang. Melihat tajuknya sahaja sudah cukup untuk menarik saya membacanya bagi mengetahui apa pengisian yang terkandung dalam novel ini. Pada asalnya saya sendiri tidak pernah terfikir bahawa Alexander itu adalah Raja Zulqarnain yang digambarkan kisahnya di dalam Al-Quran. Penulis-penulis barat banyak menulis tentang Alexander dan mereka menyembunyikan kesahihan cerita yang sebenar tentang Alexander.
 
Sebagaimana yang diceritakan dalam Al-Quran, surah Al-Kahfi ayat 83-98, Zulqarnain atau Raja Zulqarnain merupakan pemerintah yang adil sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Beliau adalah perintis yang membebaskan dua dunia, Timur dan Barat. Novel sejarah ini adalah pencerahan kepada kebenaran yang disembunyikan oleh penulis-penulis barat mengenai Raja Zulqarnain dan mengaitkan beliau dengan Alexander.
 
Semasa membaca novel sejarah ini terasa diri mengembara dan berjalan bersama dengan watak-watak yang digambarkan oleh penulis. Jelas konsep penceritaan sejarah melalui cerita diolah oleh penulis dengan baik sehingga menjadikan ia seronok dan menghiburkan. Bukan bersifat fakta semata-mata. Pada setiap permulaan bab pula penulis memetik kata-kata hikmah dan terjemahan ayat-ayat Al-Quran sebagai panduan. Sebelum menghabiskan bacaan saya tertanya-tanya, wujudkah Kitab Cahaya Bersinar? Rupa-rupanya kitab ini merupakan catatan perjalanan Alexander yang ditulis oleh Sangarius, iaitu watak dalam novel ini. Tersenyum seketika. Setelah menamatkan bacaan, ternyata hijab di sebalik kepalsuan yang disembunyikan berjaya dibongkar.
 
Ketahuilah, Raja Zulqarnain seorang pemerintah unggul, kasih sayangnya ditunjukkan melalui keakraban pergaulannya dengan rakyat, keikhlasan dalam memberi khidmat dan simpati kepada rakyat sebelum rakyat memberi khidmat kepadanya. Perwatakkannya berjaya menyentuh hujung hati saya. Pada saya novel ini bukan sekadar novel, tetapi ada pengisian penting yang perlu kita tahu. Semoga kita tidak lagi dikaburi dengan pendustaan oleh penulis-penulis barat.
 
 
Antara yang menarik di dalamnya, catatan sejarah merekodkan Nabi Muhammad S.A.W memiliki sahabat, Sultan Muhammad al-Fateh juga ada sahabat. King Arthur ada sahabat pahlawan meja bulatnya, Hang Tuah dengan saudara berempat. Laksamana Sunan pun ada sahabatnya, begitu juga dengan Alexander.
 
Memetik kata-kata novelis thriller no 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid, “Karya ini seperti filem yang kaya dengan seni.”
Selamat Membaca!
 
Tidak sabar menunggu novel beliau seterusnya, ‘Konstantinopel Menjulang Panji al-Fateh’