Sunday, April 14, 2013

Ampuh Di Luar Lompong Di Dalam



Coretan saya untuk hari ini adalah mengenai sebuah drama melayu yang saya tonton beberapa hari yang lepas. Apa yang menarik saya untuk menonton drama itu adalah kerana tajuknya, ‘Lompong’. Apa yang dimaksudkan dengan lompong? Saya memang tidak mengetahui apa makna lompong? Betapa ceteknya pengetahuan ini mengenai bahasa.

Dek kerana perasaan ingin tahu, saya rajinkanlah diri untuk membuka kamus dewan. Menurut kamus dewan edisi keempat, lompong bermaksud kosong. Kemudian, menjadi tanda tanya apa mesej yang ingin disampaikan melalui drama ini? Nak tak nak kenalah menontonnya sampai habis.
 
 


Sinopsis ceritanya adalah mengenai seorang ibu tunggal yang ingin melihat kejayaan anak-anaknya di dunia dan akhirat. Lantas, si ibu membuat keputusan untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah pondok. Baginya, hanya dengan ilmu agama tanpa ilmu keduniaan anaknya pasti akan mampu menghadapi apa sahaja cabaran kehidupan. Hakikatnya dia lupa bahawa pengisian agama sahaja tidak cukup, kedua-dua aspek ini perlu seiring. Tindakan si ibu yang membuat keputusan untuk anak-anaknya itu menyebabkan anak-anaknya memberontak dan mengalami kejutan budaya setelah tamat pengajian.
Kini fahamlah saya apa yang dimaksudkan dengan lompong. Pada pandangan kita pendidikan yang diberikan untuk anak-anaknya nampak sangat sempurna. Pasti anak-anaknya akan menjadi anak yang soleh dan solehah. Kebenarannya, itu hanyalah dari luaran sahaja. Dari segi dalamannya tidak membawa erti apa-apa pun kepada si anak. Begitulah, ampuh di luar kosong di dalam. Kata-kata ini saya pinjam dari penulis skrip drama tersebut.
 
NOTE : Sana sini semua orang bercakap tentang PRU13... 5/5/2013 tarikh yang ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia... Suka saya memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi di facebooknya, berhati-hati dalam 'mengubah' kerana untuk membina mengambil masa tetapi meruntuh hanya sekelip mata. Ya Allah bantulah kami untuk membantu agamaMu. Aminn...


No comments: