Tuesday, October 12, 2010

TRAGEDI 10.10.10

Tanggal 10.10.2010 adalah detik yang terindah bagi sesetengah kita, mungkin ada kenangan yang akan menjadi ingatan untuk selama-lamanya. Sememangnya kita semua mengharapkan tanggal itu adalah tanggal keramat untuk dikenang sebagai tarikh yang membawa seribu makna dalam kehidupan kita. Namun, detik itu juga menjadi mimpi ngeri kepada keluarga mangsa nahas maut di Lebuh Raya Utara Selatan melibatkan sebuah bas ekspres. 10.10.2010, tarikh yang pasti tidak akan dilupakan oleh mereka...

Kematian adalah perkara yang pasti, yang telah termaktub sejak azali lagi. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Bila??? Hanya DIA yang mengetahui bilakah ajal seseorang hambaNYA. Bolehkah kita katakan tragedi ini sebagai ketentuan Ilahi??? Ajalnya di sini. Kita manusia hanya merancang, tetapi DIA yang menentukan segala-galanya.

Apa yang ingin diutarakan di sini adalah sikap kita apabila berada di jalan raya. Apakah kita sudah terhantuk baru tergadah??? Sebagaimana yang sering dilaporkan punca utama kemalangan jalan raya di negara kita adalah sikap kita sendiri yang tidak mengutamakan keselamatan. Apa yang tersemak difikiran setelah kita memulakan perjalanan??? Adakah kita mengharapkan perjalanan kita sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat atau kita mengharapkan supaya perjalanan kita sampai dengan cepat dalam waktu yang tertentu??? Sekiranya jawapan kita supaya cepat sampai, sudah pasti segala peraturan yang ditetapkan tidak akan dipatuhi.

Kempen kesedaran di jalan raya yang dijalankan masih tidak mampu untuk mengatasi nahas kemalangan jalan raya di negara kita. Kita tahu bahawa jalan raya adalah medan maut yang boleh mengorbankan nyawa. Ironinya, masih ramai yang tidak menjadikan jalan raya sebagai hak bersama yang harus memikirkan keselamatan pengguna-pengguna lain juga. Sifat tahu sahaja akan bahaya tidak mematuhi peraturan di jalan raya tidak memadai, tetapi mesti mampu mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, untuk memastikan kempen kesedaran tentang keselamatan di jalan raya berjaya, pengguna jalan raya tidak cukup sekadar dibekalkan maklumat tentang bahaya tidak mengikut peraturan jalan raya, tetapi mesti dididik agar mampu mengikut peraturan tersebut.

Hal ini berkaitan dengan sikap kita apabila berada di jalan raya. Sikap kita perlu diubah. Mengubah sikap tidak boleh dilakukan secara drastik dan bukan melalui paksaan, tetapi mesti dilakukan secara berterusan dan penuh kerelaan. Tidak ada siapa yang boleh memaksa perubahan sikap orang lain melainkan diri kita sendiri. Sama-samalah kita mengubahnya. Jangan jadikan jalan raya sebagai medan maut. Ingatlah orang-orang di sekeliling kita yang masih memerlukan kita.

TAKZIAH UNTUK SEMUA KELUARGA MANGSA NAHAS KEMALANGAN DI LEBUH RAYA UTARA SELATAN YANG MERAGUT 12 NYAWA PADA TANGGAL 10.10.2010. AL-FATIHAH.....

Thursday, October 7, 2010

SENANG MENERIMA SUKAR MELAKSANA

Apabila kita diberi kerja kita senang untuk menerimanya, tetapi sukar untuk kita melaksanakan kerja tersebut dengan penuh tanggungjawab. Mungkin juga kerja tersebut dapat dilaksanakan namun, dengan pelbagai penyelewengan. Pelaksanaannya hanya untuk memenuhi tuntutan atau ada kepentingan tertentu. Begitu juga dengan perkahwinan. Kita senang menerima sebuah perkahwinan namun, tanggugjawab sebagai suami atau isteri adakalanya sukar dilaksanakan dengan sempurna. Itulah yang dikatakan senang menerima sukar melaksana.

Firman Allah yang bermaksud: "Sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."
(Surah as-saff: ayat 3)

Keadaan ini kita boleh kaitkan dengan sifat amanah. Seseorang yang amanah pasti akan melaksanakan apa sahaja tugas yang diterima olehnya, sama ada sukar atau senang.

Rasullulah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang yang diajak bermusyawarah (diminta pendapat) adalah orang yang boleh memegang amanah (jujur, ikhlas dan dapat menyimpan rahsia)."
(Hadis riwayat At-Thabrani)

Kini banyak perkara yang mengecewakan dilakukan oleh kita untuk lari daripada amanah yang harus dipikul. Kita lebih mementingkan kesenangan dunia daripada kesenangan akhirat. Kita juga dikaburi dengan pelbagai kenikmatan dan keindahan dunia daripada kenikmatan dan keindahan akhirat. Inilah yang menyebabkan kita senang menerima dan sukar melaksana.

Jesteru itu, sifat amanah perlu kita terapkan dalam diri supaya mendapat kepercayaan untuk melaksanakan sesuatu yang diamanahkan. Oleh itu, apabila kita senang menerima sesuatu amanah, seharusnya juga kita senang melaksanakannya tanpa sebarang alasan.

Sunday, October 3, 2010

SEGALANYA BERMULA DARI HATI

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Dalam tubuh anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badan. Sebaliknya apabila daging itu jahat, maka jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging itu adalah sekeping hati."

Hati adalah raja dalam diri kita kerana hati paling kuat dan besar pengaruhnya. Ibarat seorang pemimpin, apabila baik pemimpinnya maka rakyatnya juga akan baik dan berlakulah kebaikan kepada negaranya. Apabila kita melakukan kebaikan seperti bersedekah, orang akan kata "baiknya hati kamu." dan sekiranya kita melakukan keburukan seperti mencuri orang akan kata "busuknya hati kamu." Di sini hati akan membuat keputusan dan perintah untuk dipatuhi oleh semua anggota badan yang lain.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Jika hati baik, maka baiklah seluruh anggota badan dan begitulah sebaliknya."

Walaupun segala-galanya bermula dari hati, akal juga memberi input untuk hati membuat keputusan. Ini bermakna tidak cukup sekiranya hati sahaja baik, akal juga mesti baik kerana akal adalah penasihat kepada hati. Akal ibarat bendahara kepada diri manusia.

Kini hati dan akal sudah pun baik, namun kadang kala kita hilang pertimbangan dan bertindak di luar batasan kemanusiaan. Hal ini kerana nafsu yang mempengaruhi hati dan menguasai akal. Nafsu adalah musuh dalam diri kita. Nafsu perlu dididik dan dilatih untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Ia ibarat kuda liar yang perlu dijinakkan untuk menjadi tunggangan yang baik.

Kesimpulannya, hati adalah pemandu, akal adalah konduktor dan nafsu adalah penumpang, maka selamatlah diri kita.

Sunday, September 26, 2010

HARAPAN SEORANG IBU

Suatu petang aku didatangi seorang ibu tunggal. Dia meminta aku mengisi borang permohonan untuk berkahwin. Aku bertanya "akak ke yang nak kahwin?" "Takla...anak akak." Dia menceritakan kepadaku bahawa dia sudah tidak tahan untuk menanggung segala umpat dan keji jiran sekeliling dengan perangai anak lelakinya.

Dia mengharapkan anaknya itu boleh membantunya untuk meringankan bebanan yang dipikul selepas ditinggalkan oleh suaminya. Semoga anaknya dapat mengubah corak kehidupan yang dilalunya sekarang daripada susah menjadi senang. Namun, harapan tinggal harapan. Semua janji yang diucapkan gagal untuk dikotakan. Anaknya malas ke sekolah dan sekiranya ke sekolah hanya separuh jalan sahaja. Akhirnya si anak di buang sekolah.

Kemudian, si anak berjanji untuk bekerja demi meringankan bebanan yang ditanggung oleh si ibu. Si ibu berusaha untuk mendapatkan wang untuk membeli sebuah motor bagi menyenangkan anaknya berulang-alik ke tempat kerja. Akhirnya, si anak berjumpa dengan seorang perempuan dan mereka bercinta. Setiap hari si anak pergi ke rumah si perempuan dan si perempuan pula tanpa segan silu pergi ke rumah si lelaki ini. Sedangkan si ibu sibuk bekerja di kantin sebuah sekolah.

Lantas, si ibu berfikir untuk mengahwinkan anaknya itu sebelum perkara yang tidak diingini berlaku dan ramai jiran-jiran yang telah memandang serong kepada si ibu kerana tidak pandai mendidik anak. Si ibu masih berharap agar anaknya tidak mensia-siakan isterinya itu nanti dan berbahagia. Persoalanya, adakah ini salah si ibu yang tidak pandai mendidik anaknya? Di mana tanggungjawab seorang anak untuk menolong ibunya? Bolehkah seorang anak yang baru berumur 17 tahun memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan menjadi ketua untuk sebuah keluarga. Sama-samalah kita fikirkan di mana silapnya?

Sunday, September 19, 2010

TAUTAN KASIH DI AIDILFITRI (BAHAGIAN 2)

*******************************************

"Begitulah ceritanya Siti. Abang minta maaf sebab rahsiakan semua ini daripada Siti. Abang harap Siti faham kenapa abang buat semua ini."

"Betulla sangkaan Siti selama ini. Abang adalah pemilik 'Cemerlang Holding'."

"Sekali lagi abang minta maaf Siti. Pasal mak, abang yakin suatu hari nanti dia pasti maafkan kita dan terima kita."

*******************************************

Setelah puas termenung, Mak Temah melangkah masuk ke dalam rumah. Belum sempat pintu di tutup, tiba-tiba terdengar suara seseorang memberi salam. Setelah pintu dibuka kelihatan seorang lelaki dalam lingkungan 30-an dan seorang budak lelaki. Setelah Mak Temah betul-betul berada di serambi rumah, lelaki tersebut terus menerpa ke arah Mak Temah.

"Mak, maafkan saya."

"Kau...siapa? Firdaus?"

"Ya mak, saya Firdaus dan ini cucu mak Danish. Danish salam nenek."

Mak Temah terus memeluk Danish dan mencium ke dua-dua belah pipi Danish. Akhirnya kerinduaan Mak Temah terubat, walaupun wajah anak yang dirinduinya belum kelihatan.

"Siti mana Firdaus? Kenapa dia tak datang sekali? Mak rindu sangat nak jumpa dengan Siti."

"Mak, Siti dah tak ada... Allah lebih menyayanginya."


Dikesempatan bulan Syawal ini saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN. Segala silap dan salah harap dimaafkan...yang terputus kita sambungkan, yang jauh kita dekat-dekatkan, dan yang dekat kita erat-eratkan. Kepada yang masih beraya berhati-hatilah di jalan raya, jangan jadikan jalan raya sebagai medan maut.

Thursday, September 16, 2010

TAUTAN KASIH DI AIDILFITRI

Seperti tahun-tahun sebelum ini, setiap pagi Syawal Mak Cik Temah akan termenung di serambi rumahnya. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya Syawal. Adakah tahun ini orang yang ditunggu-tunggunya akan muncul. Mak Cik Temah tidak pernah berputus asa berdoa dan berdoa agar orang yang dirinduinya selama ini akan kembali ke pangkuannya setelah bertahun-tahun tidak berjumpa.

Mengimbas peristiwa yang berlaku kira-kira 5 tahun lalu...

"Mak ampunkan Siti mak. Tolong jangan buat Siti macam ni mak. Siti merayu mak."

"Sudah, kalau ini keputusan kau, keluar dari rumah ini. Aku tak nak tengok muka kau dan lelaki ini lagi. Pergiiii....."

"Sudahla Siti, mari kita pergi. Mak saya berjanji akan menjaga Siti dengan baik dan jagalah diri mak baik-baik."

"Kau tak perlu buat baik dengan aku. Sampai bila-bila pun aku takkan maafkan kau dan mengaku kau sebagai menantu aku. Sudah, keluarrrr...."

Cerita sebelumnya....

"Apa, dah tak de lelaki lain lagi ke yang kau nak kahwin, dengan si Firdaus tu jugak yang kau pilih."

"Mak, dia baik dan dia ikhlas nak kahwin dengan Siti. Lagi pun dia dah buktikan dengan mak yang dia boleh tanggung Siti lepas kami kahwin nanti."

"Hanya kerani itu kau kata boleh tanggung kau? Dahla baru memeluk agama Islam. Berat tanggungjawab dia, boleh ke dia nak jadi suami sebagai ketua keluarga???"

"Insya Allah mak."

"Terpulang kepada kau, mak tetap tak setuju kau kahwin dengan dia."

*************************************************************************

"Kita nak pergi ke mana ni?"

"Abang ada sesuatu nak tunjuk kepada Siti. Ha, dah sampai pun."

"Ini rumah siapa?"

"Rumah kita."

"Macam mana abang boleh beli rumah sebesar ini? Abangkan hanya kerani je. Mana abang dapat duit?"

"Tuan, puan silalah masuk."

"Pak Mat tolong angkat beg-beg ini semua ke dalam ye."

"Apa semua ni abang? Siti tak faham."

BERSAMBUNG...

Monday, August 30, 2010

JALUR GEMILANG BENDERAKU

Esok genaplah 53 tahun negara kita merdeka. Ini bermakna sudah 53 tahun kita bebas daripada penjajah. Sempena dengan hari kemerdekaan yang bakal disambut esok, sudahkah kita mengibarkan Jalur Gemilang??? Berapa ramai agaknya yang mengetahui tentang asal-usul Jalur Gemilang???

Dahulunya Jalur Gemilang dikenali sebagai Bendera Malaysia yang mengandungi 14 jalur merah dan putih bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Ianya melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan satu kerajaan Persekutuan. Kemudian warna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang ke 5 bermakna perpaduan rakyat Malaysia. Manakala warna kuning pada anak bulan dan bintang pula menandakan warna diraja. Pecahan bintang kepada 14 pula melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.

Sebenarnya Jalur Gemilang yang dilihat sekarang telah pun wujud beberapa tahun sebelum negara kita merdeka. Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat Kebangsaan. Selama 47 tahun ianya digelar Bendera Malaysia dan akhirnya pada tahun 1997 iaitu pada kemerdekaan yang ke 40 namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Ilham untuk menamakan Jalur Gemilang dicadangkan oleh Datuk Hashim Mat Idris dan kemudiannya dicadangkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai 1995. Akhirnya pada jam 11.58 malam, 31 Ogos 1997 nama Jalur Gemilang telah diisytiharkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Merdeka sempena hari kemerdekaan negara yang ke 40.

Sedikit info tentang makna Jalur Gemilang....

JALUR : Bendera yang mempunyai 14 jalur merah dan putih dan melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama serta arah yang sama dalam menuju kegemilangan bangsa dan agama.

GEMILANG : Membawa makna cahaya, terang-benderang dan cemerlang. Ia melambangkan kecemerlangan Negara Malaysia dan rakyatnya dalam mengharungi apa jua cabaran.

Oleh itu, sama-samalah kita mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kita mencintai negara kita. Semoga kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini berkekalan dan kitalah generasi yang harus mengekalkannya. Hargailah perjuangan mereka yang berjuang demi mencapai sebuah kemerdekaan pada hari ini.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 53
MERDEKA... MERDEKA... MERDEKA...