Saturday, January 26, 2013

BaCaLaH!!!




Entri saya untuk kali ini saya ingin mencoretkan sesuatu tentang ilmu. Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan. Sejarah keagungan Islam juga terletak pada tamadun yang berilmu. Buktinya lahir tokoh-tokoh cendekiawan seperti Iman Syafie, Ibn Sina, Iman Abu Hanifah dan ramai lagi. Kita sering kali mendengar ungkapan ‘membaca jambatan ilmu’. Ini menunjukkan membaca amat sinonim dengan ilmu. Hal ini demikian kerana ilmu hanya akan diperolehi melalui budaya membaca.

Menurut kamus dewan edisi keempat (2005), membaca ialah memerhatikan isi sesuatu yang bertulis atau bercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Berdasarkan kajian Dewan Industri Buku Melayu Malaysia, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM 1 bilion setahun untuk membeli buku. Pada hemat kita angka itu sangat besar, namun jika diambil kira jumlah keluarga di Malaysia secara purata setiap keluarga di negara ini hanya membelanjakan sebanyak RM 50.00 setahun untuk membeli buku. Ini jelas menunjukkan bahawa budaya membaca masih rendah terutamanya di kawasan luar bandar. Ini terbukti apabila cuti sekolah yang lalu saya berkunjung ke pesta buku yang diadakan di sekitar tempat tinggal saya. Keadaan amat menyedihkan kerana suasananya agak lengang jika dibandingkan dengan suasana yang penuh sesak di gerai-gerai lain yang menjual baju dan tudung.

Hakikatnya budaya membaca sudah lama dipupuk sejak zaman persekolahan lagi, namun budaya ini masih berada di tahap yang rendah jika ingin dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun. Alasan yang sering kedengaran tiada masa, malas membebankan otak untuk berfikir bagi karya-karya yang berat dan ada juga yang memberi alasan buku kini mahal. Malah ada juga alasan bahawa internet menjadi punca hilangnya minat membaca. Dengan hanya mengakses internet iaitu menekan kata kunci carian di google kita boleh mendapat pelbagai maklumat dengan cepat, tepat dan terkini. Tidak hairanlah penulisan sebegitu ilmiah dan panjang akan mengundang rasa malas untuk membaca.

Apa jua alasan yang diberikan perlu diingat dalam Islam, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah tentang kewajipan mencari ilmu. Ayat pertama yang diturunkan ialah ‘iqra’’ atau ‘bacalah’. Memetik kata-kata Napoleon Bonarparte, raja Perancis yang menaiki takhta pada tahun 1799 mengatakan sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa-apa yang dibaca akan dapat memerintah dunia. Saya melihat kata-kata ini ada benarnya apabila melihat kepada ikon membaca kebangsaan yang juga merupakan bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir. Malaysia berada di bawah pemerintahan beliau selama 22 tahun dan banyak kemajuan serta pembangunan yang direalisasikan oleh Tun sepanjang pemerintahannya. Beliau suka membaca sejak dari kecil lagi. Bahkan juga, deria dan minda yang dicerna dengan ilmu hasil pembacaan akan menjana kehidupan yang sentiasa inginkan perubahan.
Jesteru itu, bulan Julai setiap tahun telah diiktiraf sebagai bulan membaca kebangsaan. Bukan itu sahaja, pelbagai kempen kesedaran juga telah dilaksanakan. Persoalannya, sejauh manakah
keberkesanannya? Solusinya harus bermula dengan diri sendiri, ubah sikap malas membaca dengan memupuk sikap cintakan ilmu dan membudayakan tabiat membaca. Bacalah apa sahaja yang boleh memberi manfaat, mulakan dengan bacaan ringan seperti akhbar, majalah dan buku-buku ringan. Minat kepada buku harus dipupuk sejak kecil dan inilah peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa.

Hilang minat membaca generasi pada hari ini pasti akan mengundang risiko memiliki masyarakat yang kurang analitikal. Teringat kata-kata seorang kawan, negara mungkin pesat membangun dan mencapai gagasan wawasan 2020 tetapi mentaliti rakyat Malaysia masih berada di tahap yang rendah. Konklusinya, tanamkan tabiat membaca dan sukakan buku dalam diri, apabila ia sudah sebati dalam diri, kita akan rasa sesuatu yang kurang sekiranya tidak membaca dan akan selalu ingin mencari sesuatu untuk dibaca.

Bacalah!!! Membaca seolah-olah kita mengembara menerusi buku-buku yang dibaca. Ia satu perjalanan yang mengasyikkan… Berjalan bersama kisah-kisah manusia yang berada dalam dunia buku yang sangat memeranjatkan kerana di situ kita akan menemui pelbagai rasa dan perasaan…     
 
MEMBACA JUGA UNTUK MENULIS!!!


Saturday, January 12, 2013

PeRiHaL BiMbAnG





Bimbang…

Perasaan keluh kesah yang merusuh di dalam jiwa.

Kebimbangan yang melampau akan membantutkan semua tugasan.

Sedikit bimbang membawa kepada hati-hati…

Tapi jika…

Terlebih bimbang membuka ruang yang lebih luas lagi kepada pintu kebimbangan…

Namun…

Bimbang yang wajar perlu dalam setiap perbuatan dan percakapan...

Kerana…

Bimbang yang wajar membawa kepada tindakan yang lebih rasional

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kebimbangan  dan kesedihan.” (Riwayat Abu Daud)
Sumber : Solusi, Isu no 45

Wednesday, January 9, 2013

MeLeNTuR BuLuH BiaRLaH DaRi ReBuNGnYa


 
 
Semalam saya terdengar perbualan antara ibu saudara dan emak, mereka bercakap-cakap mengenai cara mendidik anak-anak. Ibu saudara saya itu mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Katanya kita tidak boleh memandang enteng dalam mendidik anak-anak. Saya melihat dia sangat menitik beratkan dalam isu ini dengan selalu mencari input mengenai cara mendidik anak-anak sama ada melalui pembacaan atau bertanya kepada ibu-ibu yang lebih berpengalaman. Katanya lagi, dia tidak mahu apabila anak-anaknya sudah besar, baru dia merungut kenapa anaknya begitu? kenapa anaknya begini? Menyesal kerana kelemahannya dalam mendidik.

Saya kagum dengannya dan beberapa orang kawan yang begitu mengambil berat dalam soal mendidik anak-anak. Tugas mendidik ini perlu bermula dari kecil bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Buluh jika hendak dilentur hendaklah dilentur ketika ia masih rebung kerana ketika itu ia masih lembut dan mudah dibentuk. Itulah antara kata-kata emak yang selalu saya dengar. Jika anak itu sudah dewasa baru hendak dididik buat itu, buat ini, jangan buat itu, jangan buat ini… pastinya sukar kerana mereka dari kecil sudah biasa dengan cara hidup yang telah sekian lama mereka praktikan.

Anak-anak perlu dididik dengan ilmu agama sejak dari kecil, antaranya mereka perlu dididik tentang mengenali Allah, solat, membaca Al-Quran dan akhlak yang terpuji. Seorang kawan menulis di wall facebooknya, mendidik anakku (2 thn 7 bln) mengenal Allah sejak dia berumur setahun lebih sudah nampak hasilnya alhamdulillah,apabila setiap kali:

1- nak tidur dia berkata: rasyad sayang Allah..Allah pun sayang rasyad.

 2- melihat langit,bulan,matahari dan bintang dia berkata: Allah yg buat (cipta)

 3- sakit atau terjatuh dia akan kata: kenapa Allah buat rasyad sakit!!!

4- melihat masjid: ini rumah Allah.

 5- bila saya marah dia, dia bertanya: Allah marah ke rasyad buat mcm ni?

Sejuk hati mendengarnya. Inilah fitrah suci pada kanak-kanak. Anak-anak ibarat kain putih, kita yang mencorakkannya. Saya sempat menghantar mesej kepada kawan saya itu dan bertanya bagaimana dia melakukannya? Katanya, dia biasakan bercakap dengan anaknya mengenai kewujudan Allah dengan melihat alam sekeliling. Waktu itu anaknya belum boleh bercakap. Pada mulanya dia sendiri tidak yakin dan terdetik dalam hati faham ke budak kecil  tentang tuhanNya  dan apabila anaknya sudah pandai bercakap itulah hasilnya. Menakjubkan…

Menurut Profesor Dr Muhaya Mohamad, peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak sangat penting dan menurutnya lagi perancang kejayaannya hari ini adalah bapanya. Dunia yang penuh mencabar kini tugas mendidik juga dilihat semakin mencabar, tapi jika mereka dididik dari awal dan betul caranya pasti akan tiada lagi masalah remaja yang semakin berleluasa kini. Segalanya bermula dari rumah….

Kepada adik-adik remaja yang sering memberi alasan, saya jadi begini kerana masalah keluarga… JANGAN jadikan masalah keluarga sebagai penghalang. Kalau kita bagus dalam apa jua situasi pun kita boleh mencipta kejayaan – Inilah pesanan ayah Dr Muhaya kepadanya.

Buat mak dan ayah, terima kasih telah mendidik kami adik beradik sehingga berada di tahap ini...

Saturday, January 5, 2013

HiDuP MeMaNG PaYaH





Hari ini adalah hari ke 5 kita berada di tahun baru 2013. Semoga 2013 lebih baik dari 2012, itulah harapan semua daripada kita. Di sebalik harapan itu, perjalanan kehidupan yang bakal kita lalui pasti menemukan kita dengan duri dan batu yang tajam serta bunga yang beracun. Apa yang pasti tidak ada kehidupan yang terlepas daripada diuji dan dilanda musibah. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan kami telah beriman dan mereka tidak diuji Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.”           (Surah Al-Ankabut : 2-3)

Jelaslah bahawa ‘Life is not easy’- Hidup tidak mudah kerana hidup memang payah dan sebab itulah saya memilih nama ini untuk blog saya. Di ruang yang kecil ini, saya ingin  berkongsi tentang cerita kehidupan yang di dalamnya tidak selalunya cerah adakalanya ditutupi dengan awan kelabu, hidup juga tidak selalunya indah adakalanya penuh dengan ranjau yang berliku. Di sebalik kepayahan itu ada kesenangan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Oleh sebab itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (sekali lagi ditegaskan) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”             (Surah Al-Insyirah : 5-6)

Hati adakalanya keresahan dan berkecamuk setelah hikmah yang dicari tidak kunjung tiba. Memetik kata-kata Pahrol Mohamad Juoi, hikmah ialah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Menurut beliau lagi di sinilah hati perlu dididik untuk bersabar, berbaik sangka dan berusaha. Itulah solusi yang terbaik.

Ayuh kita hayati sejenak bait-bait lagu nasyid yang didendangkan oleh Yasin – Hidup memang payah.

Hidup ini memang payah
Kadang gelap kadang cerah
Hati ini jika resah
Siksa jiwa takkan sudah

 
Hidup ini memang payah
Ku terima ku berserah
Hati ini bila pasrah
Yang susah bisa mudah

 
Kehendak manusia mencari yang mudah itu terlalu mendesak, kita susah merelakan kesusahan itu datang dahulu untuk mengajar mengenal kehidupan bertuhan.
Kita terlalu ingin segera merasai manisnya masam, bersabarlah duhai hati kerana bersabar itu indah di akhirnya...:)  

Friday, December 28, 2012

- The EnD -


‘The End’ – Kita tidak mampu memutar jarum jam ke belakang, kita tidak mempunyai kekuatan untuk mengutip semula apa yang tercicir kerana setiap detik yang berlalu tidak akan berulang kembali… Lagi beberapa hari kita akan menutup diari tahun 2012 dan membuka diari 2013. This is my first story… Everything that happen in my life have own beneficial and significant. Every single day I appreciate being alive for another change to eradicate and pray for Allah’s mercy living in filthy surrounding is not truly easy. Dear pass, thank you for all the life lessons and now it’s become a memory…
Sebagai peringatan untuk diri sendiri juga… Hidup ini adalah cerita dan cerita itu semestinya ada awal dan akhir. Kekuatan pada cerita itu adalah pada diri kita sendiri. Kita yang mengawal cerita dan bukannya cerita yang mengawal diri kita.

Semoga 2013, membuka lembaran baru dengan cerita kehidupan yang lebih bermakna… Insya Allah.
 
 
In a land of myth and a time of magic the destiny of a great kingdom rests on the shoulders of a young man, his name… MERLIN…. This is my second story in this entry.

Cerita epik bersiri MERLIN akhirnya sampai kepenghujungnya. Musim ke-5 dengan temanya, ‘The die is cast’ adalah musim terakhir setelah bersiaran sebanyak 5 musim dan episod ‘The diamond of the day’ adalah merupakan episod terakhir – The End.

Episod terakhir menyaksikan berlakunya peperangan yang sangat hebat antara Camelot dan Morgana. Dalam peperangan ini akhirnya pedang Mordred telah menusuk Arthur seperti yang telah Merlin saksikan melalui masa hadapan. Pedang yang digunakan oleh Modred itu adalah pedang yang dibuat oleh Morgana daripada nafas naga (Aithrusa). Sebelum Arthur rebah, dia sempat menusukkan pedangnya kepada Mordred dan telah meragut nyawa Mordred. Pedang yang digunakan oleh Arthur diperbuat oleh Merlin daripada nafas naga (Killgarath) dan telah beberapa kali digunakan.
 
Merlin menemui Arthur yang dalam kesakitan dan membawa Arthur masuk ke dalam hutan. Di sinilah Merlin mengakui bahawa dia adalah seorang ahli sihir dan mempunyai kuasa magik. Inilah part yang paling dinantikan pastinya oleh semua peminat drama bersiri ini. Arthur pada awalnya sukar mempercayai pengakuan Merlin. Arthur menganggap itu sebagai satu gurauan. Akhirnya Merlin menunjukkan kuasa magiknya. Arthur sama sekali tidak menyangka Merlin mempunyai kuasa magik, dia merasa tertipu dan kecewa. Selama ini dia menyangka dia mengenali Merlin rupanya dia tersilap. Arthur kecewa dengan Merlin dan memilih untuk mendiamkan diri tanpa sepatah kata.


Keesokan harinya Gaius datang menemui Merlin dan Arthur di dalam hutan. Gaius memeriksa kecederaan Arthur dan kecederaan itu terlalu parah. Arthur hanya dapat bertahan selama 2 hari sahaja. Kuasa magik Merlin juga tidak dapat menyelamatkan nyawa Arthur. Setelah Merlin meninggalkan Arthur dan Gaius, Arthur memberitahu Gaius bahawa Merlin ialah seorang ahli sihir. Melihat reaksi Gaius, Arthur dapat merasakan bahawa Gaius sudah lama mengetahuinya.  Gaius memberitahu Arthur bahawa betapa pentingnya Merlin di
sisinya selama ini dan betapa sayangnya Merlin kepada dirinya. Akhirnya Arthur akur dan menerima Merlin.
 

Melihat Merlin tidak berputus asa ingin menyelamatkan nyawa Arthur, Gaius akhirnya mencadangkan untuk membawa Arthur ke Lake Of Avalon. Sebelum berpisah Gaius memeluk Merlin dan Arthur sempat menyerahkan royal seal kepada Gaius untuk diserahkan kepada Guinevere, queen Camelot sebagai pemerintah Camelot. Gaius dapat merasakan Merlin dan Arthur tidak akan kembali lagi ke Camelot. Gaius kemudian pulang ke istana dan Merlin meneruskan perjalanan bersama Arthur menuju ke Lake Of Avalon. Dalam perjalanan mereka berehat di bawah pokok. Merlin yang gagal menghidupkan api akhirnya ditegur oleh Arthur supaya menggunakan kuasa magiknya dan Merlin akur. Arthur memberitahu Merlin macam mana dia boleh tidak menyedari bahawaMerlin mempunyai kuasa magik dan Merlin hanya mampu mengungkapkan kata ‘I’m sorry’ dan kuasa magik tersebut hanya digunakan untuk Arthur tiada tujuan lain.
 

Arthur semakin lemah dan Morgana dapat mengesan Merlin dan Arthur di dalam hutan setelah mendapat maklumat daripada seorang perempuan yang berada di istana. Dalam masa yang sama perempuan tersebut telah ditangkap dan dihukum oleh Guinevere. Merlin dapat menghidu kedatangan Morgana dan menggunakan magiknya untuk menutupi jejak mereka dengan menggunakan daun-daun kering. Arthur melihat tindakan Merlin itu dan berkata, “you done this before.” Kemudian secara tiba-tiba Morgana telah menyerang Merlin dengan menggunakan kuasa magiknya. Setelah Merlin terpelanting jauh daripada Arthur, Morgana mengambil peluang untuk membunuh Arthur yang semakin lemah. Tanpa disedarinya Merlin datang dari arah belakang dan terus menusuk pedang yang digunakan oleh Arthur kepada Morgana. Arthur hanya mampu melihat kematian Morgana di hadapan matanya.

Kemudian mereka meneruskan perjalanan menuju ke Lake Of Avalon. Keadaan Arthur semakin parah dan tidak mampu lagi meneruskan perjalanan. Akhirnya Arthur rebah. Arthur memberitahu Merlin tidak ada apa yang perlu dilakukan lagi. Dalam kesakitan Arthur meminta Merlin memeluknya erat-erat. Merlin sudah pun menitiskan air mata dan memeluk Arthur dengan erat seperti tidak mahu dilepaskan. Dalam saat-saat terakhir Arthur sempat mengungkapkan kata-kata terakhirnya, ‘Thank you Merlin’ dan akhirnya Arthur menutup matanya di pangkuan Merlin. Merlin tidak dapat menahan kesedihannya lagi dan menjerit memanggil great dragon… walaupun segalanya sudah terlambat. (Air mata pasti akan keluar tengok part ni… hubungan Merlin and Arthur not only as a servant and king but more than that…They are Friend)

Atas pertolongan great dragon Merlin berjaya membawa Arthur ke Lake Of Avalon, tetapi segalanya sudah terlambat. Melihat Merlin tidak dapat menerima hakikat kematian Arthur, great dragon kemudian memberitahu Merlin tiada apa lagi yang boleh dilakukan dan Merlin perlu menerima hakikat yang tertulis untuknya dan Arthur. Great dragon juga menyatakan bahawa, in time of need Arthur will rise. Akhirnya Merlin terpaksa menerima hakikat kematian Arthur dan menjalankan upacara pengembumian Arthur di Lake Of Avalon.
 
 
The show ends with a setting in the modern time, and an aged Merlin walking past the lake of Avalon, without any signs that Arthur is going to rise.  
 
   I like this picture so much :)
For me, MERLIN… an excellent magical tv series and the best series ever… Now, MERLIN came to end…L

Sunday, December 16, 2012

Drama Korea : Mencairkan hati dan Mudah Meresap Ke Sanubari


Ini drama korea yang paling saya suka - PASTA 
‘Mencairkan hati dan mudah meresap ke sanubari’ – Itulah gambaran yang boleh saya berikan kepada drama korea yang menjadi fenomena kini. Ketika saya menulis coretan ini drama ‘A Thousand Days Promise’ dan ‘Color Of Woman’ mengisi slot drama korea pada waktu petang di TV2. Persoalan, apa daya tarikan yang wujud daripada drama-drama dari Korea ini sehingga menjadi satu fenomena?

Ada yang berkata, kerana pelokon lelakinya yang tampak dan pelakon wanitanya yang cantik dan mengayakan pakaian yang sesuai dengan budaya dan cuaca empat musim di sana. Itu antara jawapan yang sering saya dengar.

Saya bukan peminat KPOP, tetapi saya peminat drama korea. Kali pertama saya menonton drama korea bermula dengan ‘Autum In My Heart’, ‘Love Story In Harvard’ dan ‘Successful Story Of A Bright Girl’ ternyata ia berbeza daripada drama-drama lain yang pernah saya tonton. Mungkin bagi setengah orang drama korea hanyalah sekadar hiburan sahaja, tetapi jika dinilai dari sudut positif ada nilai murni yang diterapkan di dalamnya. Biasanya watak jahat akan dibalas jahat sama ada mati atau ditangkap, tetapi dalam drama korea mengajar kita tentang kemaafan.

Jika diperhatikan, drama korea kebanyakkannya menonjolkan nilai budaya rakyat negaranya yang bercirikan ketimuran Asia yang mengajar kita berbudi bahasa dan bersopan santun. Bahkan juga memaparkan tentang hubungan yang erat antara keluarga seperti yang dipaparkan dalam drama ‘Something about 1%’.

Dialog yang diucapkan oleh setiap watak dalam drama korea kita hanya memahaminya menerusi sari kata, tetapi ia mudah meresap ke sanubari. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasanya yang indah dan cara penyampaian dialognya pula disertakan dengan ekspresi mimik muka para pelakonnya yang begitu berkesan. Maka tidak hairanlah segenap golongan daripada peringkat remaja hingga mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik turut melekat untuk mengikuti jalan cerita drama dari negara Korea ini.

Bukan itu sahaja, menerusi drama korea kita merasa kita berada dekat dengan negara itu kerana adanya cerita-cerita yang memaparkan secara terperinci mengenai budaya seperti makanan, pakaian, tempat pelancongan menarik dan sebagainya. Antaranya drama ‘Cinderella Stepsister’- industri arak tradisional, ‘Cinderella Man’- industri fesyen, ‘Hotellier’- industri hotel, ‘Pasta’- makanan Itali dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ada juga drama korea yang tidak sesuai untuk tontonan kerana memaparkan unsur-unsur negatif. Jadi kitalah penilainya dan berhak menentukan apa yang baik dan apa yang buruk. Apa yang baik kita ambil dan apa yang buruk kita buang.

Jika kita menilai sesuatu itu dari sudut positif maka positiflah ia,tetapi jika kita menilai sesuatu itu dari sudut negatif maka negatiflah ia.

Wednesday, December 12, 2012

Stanza Cinta

 
 
Hari ini 12.12.2012...bersamaan 28 Muharram 1434 H
 
 
 
Jika kau berasa lelah dan tidak berdaya
Daripada usaha yang sepertinya sia-sia
Allah tahu betapa keras engkau sudah berusaha
Ketika engkau menangis sekian lama
Dan hatimu masih terasa pedih
Allah sudah menghitung air matamu
 
Jika kau fikir bahawa hidupmu
Sedang menunggu sesuatu
Dan waktu terasa berlalu begitu sahaja
Allah sedang menunggu bersama denganmu
 
Ketika kau fikir bahawa kau sudah mencuba
Segalanya dan tidak tahu hendak berbuat apa lagi
Allah punya jawapannya
 
Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal
Dan kau rasa tertekan
Allah dapat menenangkanmu
Jika kau dapat melihat jejak-jejak harapan
Allah sedang berbisik kepadamu
 
Ketika segala sesuatu berjalan lancar
Dan kau ingin mengucapkan syukur
Allah telah memberimu rahmat
Ketika sesuatu yang indah terjadi dan kau dipenuhi ketakjuban
Allah telah tersenyum padamu
 
Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mimpi untuk digapai
Allah sudah membuka matamu dan memanggilmu
Dengan namamu
Ingatlah bahawa di mana pun kau atau ke mana pun
Kau berada
Allah Maha Tahu dan Maha Mendengar...
 
(Dipetik dari novel Stanza Cinta)
 
 
Nota hati : 12/12/2012... 'Cik Acer' yang telah berjasa kepada saya selama 6 tahun akhirnya disahkan mengalami kerosakan yang kritikal dan tidak dapat diselamatkan lagi....:( Terima Kasih Cik Acer
 
12/12/2012... Novel 'Menunggu Cinta Tuhan' karya Lily Haslina Nasir dan 'Macedonia Alexander Agung Hijab Raja Zulqanain karya Web Sutera setelah sekian lama mencari akhirnya saya jumpa di SMO...:)