Monday, October 21, 2013

Penggunaan Bahasa Ringkas Dalam Bahasa Melayu




Berapa ramai agaknya di kalangan kita yang sedar bahawa bulan Oktober adalah Bulan Bahasa Kebangsaan? Mungkin ada yang bertanya, kenapa perlu saya ambil tahu? Pada saya, sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu mengambil tahu mengenainya dan sama-sama memberi sokongan. Antara perkara yang boleh kita lakukan ialah menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. 

Beberapa minggu lepas saya melihat adik sedang menyiapkan kerja sekolahnya. Saya melihat beberapa perkataan yang dieja secara ringkas seperti perkataan ‘selepas’ dieja ‘slps’, ‘Malaysia’ dieja ‘Msia’ dan beberapa perkataan lain lagi. Saya terfikir bagaimana agaknya sekiranya tabiat ini terbawa-bawa hingga ke dewan peperiksaan? 

Kita selalu menggunakan ejaan ringkas untuk menulis mesej di telefon bimbit. Itu boleh diterima kerana alasannya ingin menjimatkan ruang dan kos. Namun, penggunaan ejaan ringkas di kalangan pelajar pada hemat saya adalah tidak wajar walau apa sekalipun alasannya. Bunyinya seperti terlalu ‘extreme’ . Adik saya juga tidak boleh menerima pendapat saya ini. Tidak mengapa, semoga dia tidak membuat kesilapan semasa berada dalam peperiksaan nanti, terutamanya ketika menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu. Harus diingat biasanya tabiat akan mempengaruhi tindakan.

Secara realitinya sukar untuk membendung masalah penggunaan ejaan ringkas yang berlaku bukan sahaja di kalangan pelajar malah juga oleh semua golongan termasuk diri saya. Hal ini demikian kerana ia bergantung kepada sikap kita sebagai pengguna bahasa Melayu itu sendiri. Menggunakan bahasa Melayu dengan betul merupakan salah satu cara kita mendaulatkan dan memuliakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh yang demikian, bermula saat dan ketika ini… ayuh kita lakukan perubahan dengan menggunakan bahasa Melayu dengan betul iaitu tidak lagi menggunakan ejaan ringkas termasuklah di alam maya ini.

Di sini sedikit perkongsian tentang Bulan Bahasa Kebangsaan. Ia adalah kesinambungan kegiatan bahasa yang pernah diadakan pada tahun 1960-an. Bulan Bahasa Kebangsaan yang bermula pada 1961 sebenarnya bermula dengan Minggu Bahasa Kebangsaan dan telah dilancarkan pada 30 Januari 1960 di Kuala Lumpur oleh Tunku Abdul Rahman. Kemudian Minggu Bahasa Kebangsaan digantikan dengan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan pada 22 Julai 1961 di Stadium Merdeka. Kini saban tahun setiap kali tiba bulan Oktober kita meraikannya.

1 Bahasa 1 Bangsa 1 Negara

Sekian untuk hari ini…                                                                                        

No comments: