Friday, September 27, 2013

Demi Pena, Setiap Kita Adalah Penulis



Ungkapan ini telah menarik minat saya untuk terus membaca rencana bertajuk ‘Platform melahirkan lebih ramai penulis’ yang disiarkan dalam Kosmo, 24 September lalu. Dek kerana saya suka menulis dan sedang berjinak-jinak dengan dunia penulisan serta mempunyai keinginan untuk menjadi penulis sudah menjadi kebiasaan, saya akan membaca dan mengumpul apa sahaja rencana atau artikel mengenai dunia penulisan. Selalunya saya mencari motivasi dan kata-kata semangat melalui coretan  Aina Emir di blognya tentang penulisan.  

Ungkapan ‘Demi pena, setiap kita adalah penulis’ telah dicetuskan oleh Azzah Abdul Rahman, Konsultan Idea Nuun Creative Books sempena Konvensyen Mini Penulisan 2013 yang telah berlangsung baru-baru ini. Walaupun saya tidak berpeluang untuk menyertai konvensyen tersebut, namun melalui rencana ini banyak output yang saya perolehi. 

Kembali kepada ungkapan ‘Demi pena, setiap kita adalah penulis’‘Demi pena’, membawa makna tanggungjawab setiap penulis di atas apa yang ditulisnya. ‘Setiap kita adalah penulis’ pula memberi keyakinan kepada sesiapa sahaja yang menulis adalah seorang penulis walaupun hanya menulis mesej di telefon bimbit atau menulis apa sahaja coretan di laman sosial seperti ‘facebook’. Gabungan dua ungkapan ini adalah sebagai galakan supaya semua yang menulis, tulislah perkara yang baik-baik kerana kita akan bertanggungjawab di atas apa yang kita tulis. Saya juga sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara ini.

“Ini blog saya, saya bebas untuk menulis apa sahaja.” Saya tidak bersetuju dengan pendapat ini. Memang betul ini blog kita, tetapi dalam dunia maya ini yang menjadi pembacanya bukan hanya kita, kawan-kawan kita atau saudara mara kita malah semua orang yang tiada apa-apa kaitan dengan kita pun boleh membacanya. Tulisan kita mungkin boleh mengundang pelbagai perspektif negatif sehingga ada yang diklasifikasikan sebagai mengancam keselamatan dan kedaulatan negara. Bahkan ada yang membawa kepada kes saman menyaman akibat daripada penulisan yang berbaur fitnah. Inilah senario yang berlaku kebelakangan ini. Di sinilah perlu wujud etika tertentu apabila kita bermuamalat di alam tanpa sempadan ini. ‘Demi pena, setiap kita adalah penulis’ adalah slogan yang sangat sesuai untuk dijadikan pegangan kepada semua penulis.

Penulis terbaik, mampu menyumbang kepada masyarakat, menjana pendapatan di samping meraih ‘saham’ akhirat. – Petikan dari rencana,Platform melahirkan lebih ramai penulis’, Kosmo, 24 September 2013.

Coretan Hati : Entri saya kebelakangan ini tiada seri, tidak mempunyai gambar …Kenapa??? Line internet yang agak slow di kawasan saya menyebabkan saya kurang sabar untuk menunggu lama… untuk upload sekeping gambar sahaja mengambil masa yang sangat lama. Alhamdullilah... Line internet seperti sudah kembali laju...:)
      


2 comments:

Martinelli Hashim said...

Tahniah, za.... ibu bangga dengan usaha za berkongsi hasil tulisan... teruskan usaha murni ini.

ermizamustafa said...


Terima kasih ibu...