Wednesday, November 24, 2010

YANG MANA SATU

Beberapa hari lepas, saya berkesempatan mengikuti slot 'Ceria Pagi' yang ke udara setiap pagi di radio Kelantan f.m. Seorang pendengar menceritakan masalah yang dihadapinya melalui kiriman sms.

Dia mempunyai seorang anak lelaki yang masih belajar (tidak dinyatakan masih bergelar pelajar sekolah atau sudah bergelar mahasiswa). Malangnya, si anak itu sudah tidak berminat untuk belajar malah, ingin berkahwin dengan gadis pilihannya. Dia buntu memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini. Sekiranya tidak mengikut kehendak anaknya itu, dia bimbang kalau-kalau si anak bertindak di luar batasan. Kes kahwin lari, buang bayi dan berbagai gejala negatif menghantui fikirannya. Adakah dengan mengikut kehendak si anak dapat menyelesaikan segala masalah atau menambahkan masalah???

Ada antara pendengar-pendengar yang mencadangkan supaya berhenti belajar dan dikahwinkan sahaja anaknya itu. Jika tidak, akan mengundang pelbagai gejala negatif seperti mana yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Namun, ada juga yang mencadangkan supaya si anak menamatkan pengajiannya terlebih dahulu. Perkahwinan di usia yang muda bukanlah penyelesaian masalah, kerana si anak itu sendiri masih bergantung harap kepada kedua ibubapanya. Jadi, bagaimana untuk dia menyara kehidupan sebuah keluarga?

Pada saya, inilah penyelesaian yang terbaik sekiranya si anak itu masih di bangku sekolah. Si ibu perlulah menasihati anaknya dengan cara yang terbaik tentang masa depannya. Carilah bekalan terlebih dahulu yang boleh menjamin masa depannya dan juga orang yang akan dikahwininya. Bekalan yang saya maksudkan di sini ialah ILMU. Ilmu penyuluh hidup. Ilmu yang akan menerangi kehidupan si anak bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Kepada si anak janganlah membelakangi nasihat kedua ibubapa hanya semata-mata kerana cinta yang belum pasti memberi kebahagiaan. Tanpa mereka tiadalah kita di dunia ini.

Bagaimana pula sekiranya si anak itu sudah pun bergelar mahasiswa di universiti? Tidak salah untuk memberi keizinan untuk dia berkahwin, tetapi mesti meneruskan pengajiannya. Apa yang penting dia MAMPU untuk melaksanakan ke dua-dua tanggungjawabnya, sebagai seorang pelajar dan juga sebagai seorang suami. Mungkin apabila tanggungjawab bertambah, dia akan menjadi lebih bertanggungjawab.

Saya sendiri di kelilingi dengan kawan-kawan yang belajar dan dalam masa yang sama sudah pun berkahwin dan mempunyai anak. Alhamdullilah mereka berjaya malah, ada yang lebih berjaya daripada pelajar-pelajar lain yang belum berkahwin. Oleh itu, si ibu dan si anak perlu berbincang untuk mencari penyelesaian yang terbaik. Sekiranya si anak yakin dia MAMPU untuk belajar dan dalam masa yang sama berkahwin, maka dia perlu menyakinkan kedua ibubapanya yang dia MAMPU. "Jangan yang dikendong berciciran dan yang dikejar tidak dapat."

Saya sempat bertanya masalah ini dengan mak saya. Dia memang seorang yang tegas. Sekiranya masih belajar tiada istilah kahwin. Semoga adik-adik saya yang masih belajar dapat memahami prinsip ini. Ada sebab-sebanya kenapa mak begitu tegas mengenai hal ini. Demi kebaikan kami anak-anaknya.

No comments: