Tuesday, November 2, 2010

KES GADIS HILANG, SALAH SIAPA?

Kes gadis hilang bukanlah isu baru, malah sudah lama berlaku dalam masyarakat kita. Kes ini hangat kembali diperkatakan di dada-dada akhbar sejak kebelakangan ini. Isu ini jugalah yang menjadi bualan di sekitar tempat tinggal saya, iaitu tentang kehilangan seorang gadis yang dikaitkan dengan alam ghaib. Bukan cerita ini yang ingin saya perkatakan, tetapi kehilangan gadis-gadis yang sanggup meninggalkan keluarga untuk mengikut teman lelaki demi sebuah cinta. Orang tua-tua ada berkata, "menjaga anak perempuan lebih susah daripada menjaga anak lelaki." Pada hemat saya, anak lelaki atau anak perempuan tidak ada bezanya kerana masing-masing mempunyai ragam tersendiri.

Kes anak gadis lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki demi menunjukkan kesetiannya terhadap cinta lelaki tersebut jelas bercanggah dengan budaya masyarakat dan agama kita. Hal ini juga menunjukkan kelunturan budaya dalam memupuk rasa kepatuhan kepada ibubapa. Kenapa keadaan ini mesti terjadi??? Mengenali si lelaki hanya beberapa minggu, namun si gadis begitu berani mengikut si lelaki tersebut tanpa berfikir panjang apakah nasibnya nanti??? Kerap kali kita dengar gadis-gadis yang dilaporkan hilang dijumpai, namun penemuan itu bukan lagi suatu yang mengembirakan tetapi, memberi kedukaan yang berpanjangan. Ada antara mereka menjadi mangsa bunuh, rogol dan ada juga yang dilacurkan.

Kepada si gadis, kenapa mudah terpedaya dengan pujuk rayu seorang lelaki sehingga ada yang sanggup berkorban deminya??? Di mana maruah kita sebagai seorang wanita??? Berbaloikah pengorbanan ini??? Kesannya sudah kita maklum... Kita telah dikurniakan dengan akal fikiran untuk membuat penilaian antara yang baik dan yang buruk. Janganlah kita hanyut dengan kata-kata cinta seorang lelaki yang belum pasti kebenaran cintanya sehingga kita sanggup membelakangi kedua ibubapa. Sanggupkah kita melihat mereka bersedih akibat daripada perbuatan kita... sedangkan kita adalah harapan mereka.

Sudah menjadi kebiasaan, kita akan bertindak apabila sesuatu musibah itu telah berlaku sehingga ada pihak tertentu 'menangguk di air yang keruh'. Kita mulai menunding kepada pihak-pihak tertentu seperti pendedahan budaya yang kurang sihat dan akhirnya meluntur budaya ketimuran kita, adalah punca berlakunya gejala ini. Ada juga pihak yang membangkitkan tentang keruntuhan institusi kekeluargaan menjadi faktor utama. Siapa pun yang dipersalahkan, pada saya semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing.

Kita selalu mendengar ungkapan segala-galanya bermula dari rumah. Ada ibubapa yang memberi lebih perhatian terhadap anak-anak di sekolah rendah tetapi, sebaliknya sewaktu anak-anak berada di sekolah menengah. Hal ini kerana mereka menganggap anak yang sudah besar panjang telah pandai menjaga diri dan tidak perlu pemantauan. Perkara ini tidak boleh dipandang mudah, sebenarnya merekalah lebih perlu diawasi.

No comments: