Wednesday, November 24, 2010

YANG MANA SATU

Beberapa hari lepas, saya berkesempatan mengikuti slot 'Ceria Pagi' yang ke udara setiap pagi di radio Kelantan f.m. Seorang pendengar menceritakan masalah yang dihadapinya melalui kiriman sms.

Dia mempunyai seorang anak lelaki yang masih belajar (tidak dinyatakan masih bergelar pelajar sekolah atau sudah bergelar mahasiswa). Malangnya, si anak itu sudah tidak berminat untuk belajar malah, ingin berkahwin dengan gadis pilihannya. Dia buntu memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini. Sekiranya tidak mengikut kehendak anaknya itu, dia bimbang kalau-kalau si anak bertindak di luar batasan. Kes kahwin lari, buang bayi dan berbagai gejala negatif menghantui fikirannya. Adakah dengan mengikut kehendak si anak dapat menyelesaikan segala masalah atau menambahkan masalah???

Ada antara pendengar-pendengar yang mencadangkan supaya berhenti belajar dan dikahwinkan sahaja anaknya itu. Jika tidak, akan mengundang pelbagai gejala negatif seperti mana yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Namun, ada juga yang mencadangkan supaya si anak menamatkan pengajiannya terlebih dahulu. Perkahwinan di usia yang muda bukanlah penyelesaian masalah, kerana si anak itu sendiri masih bergantung harap kepada kedua ibubapanya. Jadi, bagaimana untuk dia menyara kehidupan sebuah keluarga?

Pada saya, inilah penyelesaian yang terbaik sekiranya si anak itu masih di bangku sekolah. Si ibu perlulah menasihati anaknya dengan cara yang terbaik tentang masa depannya. Carilah bekalan terlebih dahulu yang boleh menjamin masa depannya dan juga orang yang akan dikahwininya. Bekalan yang saya maksudkan di sini ialah ILMU. Ilmu penyuluh hidup. Ilmu yang akan menerangi kehidupan si anak bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Kepada si anak janganlah membelakangi nasihat kedua ibubapa hanya semata-mata kerana cinta yang belum pasti memberi kebahagiaan. Tanpa mereka tiadalah kita di dunia ini.

Bagaimana pula sekiranya si anak itu sudah pun bergelar mahasiswa di universiti? Tidak salah untuk memberi keizinan untuk dia berkahwin, tetapi mesti meneruskan pengajiannya. Apa yang penting dia MAMPU untuk melaksanakan ke dua-dua tanggungjawabnya, sebagai seorang pelajar dan juga sebagai seorang suami. Mungkin apabila tanggungjawab bertambah, dia akan menjadi lebih bertanggungjawab.

Saya sendiri di kelilingi dengan kawan-kawan yang belajar dan dalam masa yang sama sudah pun berkahwin dan mempunyai anak. Alhamdullilah mereka berjaya malah, ada yang lebih berjaya daripada pelajar-pelajar lain yang belum berkahwin. Oleh itu, si ibu dan si anak perlu berbincang untuk mencari penyelesaian yang terbaik. Sekiranya si anak yakin dia MAMPU untuk belajar dan dalam masa yang sama berkahwin, maka dia perlu menyakinkan kedua ibubapanya yang dia MAMPU. "Jangan yang dikendong berciciran dan yang dikejar tidak dapat."

Saya sempat bertanya masalah ini dengan mak saya. Dia memang seorang yang tegas. Sekiranya masih belajar tiada istilah kahwin. Semoga adik-adik saya yang masih belajar dapat memahami prinsip ini. Ada sebab-sebanya kenapa mak begitu tegas mengenai hal ini. Demi kebaikan kami anak-anaknya.

Saturday, November 20, 2010

CINTA ALLAH MENGATASI CINTA MANUSIA


Kini kita sudah pun berada di bulan Zulhijjah dan masih berada dalam suasana hari raya korban. Zulhijjah ialah antara bulan Islam yang merakamkan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam, antaranya ialah peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim. Pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim adalah pengorbanan yang sebenar demi membuktikan cinta sejati seorang ayah dan seorang anak kepada Yang Maha Berkuasa.

Dalam peristiwa ini, terdapat dua dimensi pengorbanan yang perlu kita hayati. Pertama, pengorbanan seorang ayah yang sanggup mengorbankan perasaan sayang dan cinta Nabi Ibrahim terhadap anaknya Nabi Ismail. Setelah sekian lama menantikan kelahiran seorang anak dan apabila telah memilikinya baginda terpaksa pula mengorbankannya demi ketaatan kepada suruhan Allah S.W.T. Kedua, pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasih dan sayang terhadap kedua ibubapanya dan zaman remajanya yang penuh dengan keseronokan.

Dapatkah kita pada hari ini melakukan pengorbanan setinggi ini? Bolehkah kita menerima kehilangan orang yang kita sayangi dengan penuh keredhaan? Apa yang berlaku dalam peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim ialah cinta Allah mengatasi cinta sesama manusia. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah memenangkan cinta mereka untuk Allah tanpa sebarang keraguan. Cinta mereka hanya untuk DIA.

Apabila cinta Allah memenuhi hati, maka barulah datang cinta kepada Rasulullah dan makhluk-makhlukNYA yang lain. Inilah cinta yang akan menerbitkan kemanisan iman. Dengan ini, kita tidak akan mudah terjerumus dengan cinta insani sehingga sanggup dikongkong dan mengutamakan keuntungan dunia tanpa had dosa atau pahala.

"Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (Surah al-Imran:31)

Wednesday, November 10, 2010

C . I . N . T . A


Akhirnya dapat juga aku mencari punca kenapalah perangai adikku yang sorang ini pelik sangat. Langsung tidak boleh berenggang dengan handphone, sentiasa dibawa hingga ke tandas. Rupa-rupanya sedang dilamun cinta.

"Lautan api sanggup diredah, gunung tinggi akan didaki, bulan dan bintang menjadi saksi, semuanya sanggup ku korbankan demi cinta."

Saya cukup risau dengan keadaan ini, belum masanya untuk dirimu terjebak dengan gejala ini. Wahai adikku, cinta memang indah tetapi tidak seindah yang kau bayangkan. Coretan ini untuk dirimu adikku dan semua adik-adik remaja yang masih di bangku sekolah, juga peringatan untuk diri ini.

"I love you, aishiteimasu, uhibbuki, saranghaeyo, je'ti aime," bahasa inggeris, jepun, arab, korea dan perancis semua disebut, tetapi maknanya satu aku cintakan mu. Itulah kata-kata keramat sebagai tanda cinta. Itu sahajakah makna cinta pada kamu??? Cinta maknanya sayang, menjaga orang yang kita sayang dan membuat dia bahagia. Sekiranya itulah makna cinta, maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan dalam cinta. Cinta seperti ini akan menyebabkan dirimu kecewa dan dikecewakan, malah akan melontarkan dirimu ke neraka.

"Janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sesungguhnya adalah perkara yang keji dan merupakan satu jalan yang buruk." (surah al-Israa' ayat 32)

Cinta bukan sahaja untuk kamu berseronok di dunia, tetapi juga bercinta untuk akhirat. Cinta sampai syurga. Mungkin kamu tidak nampak.... Cinta berdiri di atas ketaatan kepadaNYA dan menjadikan cinta sebagai ibadah yang boleh menghalang kemungkaran.

"Dan katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman agar mereka menjaga pandangan mereka dan kemaluan mereka. Yang demikian itu (lebih suci bagi mereka). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan." (Surah An-Nur ayat 30)

Demi cinta Ilahi akan terbina cinta untuk insani dan cinta memerlukan matlamat iaitu mencari keredhaan Allah. Tanya kepada diri kenapa kamu bercinta??? Untuk apa kamu bercinta??? Sekiranya kamu hanya inginkan keseronokkan atau ingin mengikut jejak kawan-kawan yang mempunyai girlfriend, maka cintamu itu sangat daif untuk diagung-agungkan.

Sebuah cinta yang suci akan berakhir dengan perkahwinan. Adakah cinta kamu menuju ke arah itu??? Cinta itu datang dengan tanggungjawab. Tanggungjawab untuk membahagiakan pasangan kamu di dunia dan akhirat. Apa guna cinta di dunia sahaja, tetapi di akhirat bermusuhan antara satu sama lain. Ibubapa menyalahkan anak kerana dosa si anak terpalit kepada mereka. Si anak pula menyalahkan ibubapa kerana tidak mendidik mereka dengan sempurna. Suami menyalahkan isteri kerana tidak taat kepada perintah Allah dan isteri menyalahkan suami kerana tidak menjaga amanah yang diberi. Cinta seperti ini hanya bertahan di tepi kubur, tidak dapat dibawa hingga ke akhirat.

Demi untuk mencapai sebuah cinta yang diredhai, maka adanya peraturan dalam bercinta. Namun peraturan inilah yang kerap dilanggar. Rasa cinta tidak salah, tetapi kesalahan akan berlaku semasa menjalinkan hubungan cinta. Pastikan cinta kamu tidak melanggar hukumNYA, jangan sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan. Bercinta berlandaskan syariatNYA.

Yakinlah ada keindahan dengan mengikut peraturan Allah. Kamu akan merasai keindahan cinta walaupun tanpa dating, tanpa bergayut di telefon, tiada sentuhan tangan dan kerlingan. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu. Cinta sampai syurga. Oleh itu, perbaikilah dirimu wahai adikku dan ajaklah orang kamu cintai untuk bermuhasabah. Carilah sesuatu yang boleh menjamin masa depanmu terlebih dahulu iaitu ILMU. Kejarlah ilmu terlebih dahulu sebelum kamu mengejar cinta. Tanpanya kamu tidak akan dapat menilai erti cinta yang sebenar.




Sunday, November 7, 2010

ASAP MAUT

Kelihatan beberapa orang remaja berpeleseran di sebuah perhentian bas. Ada di antara mereka berpakaian seragam sekolah. Jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari, pasti mereka ponteng sekolah. Saya rasa sangat terganggu apabila melihat mereka dengan bangganya menghisap rokok di khalayak ramai. Dalam usia belasan tahun sudah berjinak dengan rokok.

Gejala ini tidak boleh dipandang remeh kerana menurut satu kajian yang dibuat menunjukkan golongan muda membelanjakan sebanyak RM270 000 sehari untuk rokok. Ini bermakna pelbagai langkah yang telah diambil masih tidak berjaya untuk mengatasi tabiat yang tidak sihat ini. Di mana silapnya??? Apa tidaknya, kanak-kanak melihat orang dewasa yang mereka hormati seperti ibubapa, sanak saudara dan guru menghisap rokok di hadapan mereka, maka mesej tentang bahaya yang boleh membawa maut akibat merokok musnah.

Pengaruh orang dewasa yang menghisap rokok sangat besar terhadap golongan muda. Sekiranya kita orang yang paling hampir dengan mereka tidak dapat menunjukkan contoh yang baik kepada mereka, maka segala amaran dan mesej yang ingin disampaikan tidak akan membawa apa-apa makna. Mereka akan fikir apa yang orang dewasa boleh buat, mereka juga boleh.

Kepada mereka-mereka yang belum terjebat dengan gejala ini, janganlah sekali-kali ada perasaan ingin mencuba kerana untuk berhenti merokok, menyebutnya mudah namun melaksanakannya belum tentu. Saya pernah mendengar seseorang yang merokok berpuluh-puluh tahun dan berkata, "Esok saya akan berhenti." Tapi, esok mungkin datang membawa kanser paru-paru, serangan jantung, strok dan sebagainya. Mungkin juga esok sudah tiada....

Sedikit maklumat untuk menjelaskan kenapa berhenti merokok merupakan proses yang menyukarkan. Ketagihan kepada rokok sebenarnya berkaitan dengan nikotin di dalamnya. Nikotin bertindak 'mempermainkan' akal perokok dengan stimulasi. Nikotin tidak kekal dalam tubuh kerana ia mampu bertahan sekitar 40 minit hingga 2 jam sahaja. Kemudian ianya akan dipecahkan oleh pelbagai enzim dan reaksi kimia. Setelah itu, perokok akan inginkan kepada rokok kembali.

Kepada perokok-perokok anda juga mempunyai hak. Hak untuk mengetahui hakikat sebenar di sebalik harga sebatang rokok.

Dengan membayar 50 sen untuk sebatang rokok anda sebenarnya membelanjakan:
  • 24 sen untuk cukai hasil tembakau
  • 14 sen untuk keuntungan pengilang rokok
  • 5 sen untuk peruncit
  • 1 sen untuk keuntungan pengedar rokok
  • 1 sen untuk dinikmati oleh pengawit tembakau (penanam)
DAN
Setiap rokok yang dihisap anda sebenarnya menghadiahkan penderitaan kepada orang yang selama ini menyayangi anda.

Tuesday, November 2, 2010

KES GADIS HILANG, SALAH SIAPA?

Kes gadis hilang bukanlah isu baru, malah sudah lama berlaku dalam masyarakat kita. Kes ini hangat kembali diperkatakan di dada-dada akhbar sejak kebelakangan ini. Isu ini jugalah yang menjadi bualan di sekitar tempat tinggal saya, iaitu tentang kehilangan seorang gadis yang dikaitkan dengan alam ghaib. Bukan cerita ini yang ingin saya perkatakan, tetapi kehilangan gadis-gadis yang sanggup meninggalkan keluarga untuk mengikut teman lelaki demi sebuah cinta. Orang tua-tua ada berkata, "menjaga anak perempuan lebih susah daripada menjaga anak lelaki." Pada hemat saya, anak lelaki atau anak perempuan tidak ada bezanya kerana masing-masing mempunyai ragam tersendiri.

Kes anak gadis lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki demi menunjukkan kesetiannya terhadap cinta lelaki tersebut jelas bercanggah dengan budaya masyarakat dan agama kita. Hal ini juga menunjukkan kelunturan budaya dalam memupuk rasa kepatuhan kepada ibubapa. Kenapa keadaan ini mesti terjadi??? Mengenali si lelaki hanya beberapa minggu, namun si gadis begitu berani mengikut si lelaki tersebut tanpa berfikir panjang apakah nasibnya nanti??? Kerap kali kita dengar gadis-gadis yang dilaporkan hilang dijumpai, namun penemuan itu bukan lagi suatu yang mengembirakan tetapi, memberi kedukaan yang berpanjangan. Ada antara mereka menjadi mangsa bunuh, rogol dan ada juga yang dilacurkan.

Kepada si gadis, kenapa mudah terpedaya dengan pujuk rayu seorang lelaki sehingga ada yang sanggup berkorban deminya??? Di mana maruah kita sebagai seorang wanita??? Berbaloikah pengorbanan ini??? Kesannya sudah kita maklum... Kita telah dikurniakan dengan akal fikiran untuk membuat penilaian antara yang baik dan yang buruk. Janganlah kita hanyut dengan kata-kata cinta seorang lelaki yang belum pasti kebenaran cintanya sehingga kita sanggup membelakangi kedua ibubapa. Sanggupkah kita melihat mereka bersedih akibat daripada perbuatan kita... sedangkan kita adalah harapan mereka.

Sudah menjadi kebiasaan, kita akan bertindak apabila sesuatu musibah itu telah berlaku sehingga ada pihak tertentu 'menangguk di air yang keruh'. Kita mulai menunding kepada pihak-pihak tertentu seperti pendedahan budaya yang kurang sihat dan akhirnya meluntur budaya ketimuran kita, adalah punca berlakunya gejala ini. Ada juga pihak yang membangkitkan tentang keruntuhan institusi kekeluargaan menjadi faktor utama. Siapa pun yang dipersalahkan, pada saya semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing.

Kita selalu mendengar ungkapan segala-galanya bermula dari rumah. Ada ibubapa yang memberi lebih perhatian terhadap anak-anak di sekolah rendah tetapi, sebaliknya sewaktu anak-anak berada di sekolah menengah. Hal ini kerana mereka menganggap anak yang sudah besar panjang telah pandai menjaga diri dan tidak perlu pemantauan. Perkara ini tidak boleh dipandang mudah, sebenarnya merekalah lebih perlu diawasi.