Monday, July 11, 2011

Dalil Cinta

Sekadar gambar hiasan....

Anak : Mak, ayah... Lisa dah buat keputusan. Lisa nak kahwin.

Ibu : Kamu ingat senang ke nak kahwin, nak menguruskan rumah tangga. Masak pun kamu tak
pandai, baju kamu pun mak yang basuh.

Anak : Perlahan-lahanla mak belajar. Nak buat macam mana dah tak boleh berpisah. Lebih baik
kami kahwin.

Ibu : Sebelum itu mak nak tanya, apa jaminan kamu yang perkahwinan kamu boleh kekal untuk
selama-lamanya? Apa? (Si ibu risau memandangkan si anak masih belajar dan mentah
tentang urusan rumah tangga)

Anak : CINTA!!!

Ayah : Gulp!!!
(Petikan dialog daripada drama 'Dalil Cinta' - cerekarama tv3)

Allah telah mensyariatkan perkahwinan untuk memenuhi fitrah semula jadi manusia dengan cara yang halal dan diredai. Hukum asal perkahwinan adalah harus. Para ulama telah menetapkan hukum perkahwinan boleh berubah-ubah mengikut keadaan seseorang.

Harus :
Orang yang tidak mempunyai tuntutan mendesak untuk berkahwin dan tidak ada
perkara yang mengharamkannya.

Wajib :
Orang yang berkemampuan (menunaikan nafkah zahir dan batin, sihat tubuh badan)
serta dikhuatiri terjerumus kepada zina kerana tidak mampu mengawal nafsu.

Sunat :
Orang yang berkemampuan, ingin berkahwin dan tidak dikhuatiri terjerumus kepada
zina.

Makruh :
Orang yang berkeinginan untuk berkahwin tetapi tidak mampu dan tidak
memudaratkan pasangannya.

Haram :
Orang yang tidak berkemampuan dan diyakini akan melakukan kezaliman terhadap
pasangannya.

Bagaimana dengan Lisa? Adakah dia betul-betul mempunyai kemampuan untuk menguruskan rumah tangga? (Untuk mengetahuinya kena tonton cerita ini dan boleh buat carian di youtube)

Sabda Rasulullah S.A.W,
Maksudnya : Daripada Abdullah katanya: sabda Rasulullah S.A.W kepada kami: wahai pemuda! Sesiapa yang berkemampuan dalam kalangan kamu menyediakan belanja kahwin, maka hendaklah ia berkahwin kerana perkahwinan itu dapat menutup pandangan (daripada melihat maksiat) dan memelihara kemaluan (daripada melakukan zina) sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu dapat mengurangkan hawa nafsu.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Cinta sebagai jaminan kebahagiaan sebuah perkahwinan... Sejauh manakah kebenarannya??? Sebuah perkahwinan biasanya dibina bermula dengan cinta. Cinta adalah dalil yang sering digunakan sebagai sebab untuk berkahwin. Cinta merupakan permulaan yang baik sebagai jaminan sebuah perkahwinan itu berterusan baik. Melafazkan janji tidak semudah melaksanakannya. Setelah berkahwin mereka akan berdepan pula dengan tanggungjawab dan sejauh mana kemampuan mereka dalam menguruskan mahligai yang dibina ini.

Kini mereka sudah sedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Segala baik buruk pasangan mereka. Ada kalanya sama ada suami atau isteri akan berubah kerana fitrah manusia itu sendiri yang sentiasa terdedah kepada perubahan. Segalanya mula pudar ditelan masa dan badai mula melanda. Lama kelamaan, jika dibiarkan ia akan bertukar kepada perasaan marah dan benci. Sering kali kedengaran berakhirnya sebuah perkahwinan kerana sudah tiada persefahaman. Di saat ini, apakah sudah tiada lagi cinta? Lafaz aku terima nikahnya yang pernah dilafazkan, apakah semua itu sudah tiada maknanya?

Begitulah... perkahwinan adalah medan perjuangan dan begitulah juga CINTA tidak boleh dijadikan dalil untuk menjamin kebahagiaan sebuah perkahwinan.

(Tulisan ini adalah berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman KAWAN-KAWAN)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...