Tuesday, July 19, 2011

Juvana

Ini adalah antara watak-watak yang terdapat dalam drama bersiri ini


Masalah juvana sering menjadi bualan masyarakat di sekeliling kita. Mengikut perundangan kesalahan juvana melibatkan seseorang yang berumur antara 10 tahun hingga 18 tahun dan boleh diiktiraf sebagai mengetahui akibat perlakuannya 'tanggungjawab jenayah'.

Semalam berakhirnya drama bersiri 'juvana' yang disiarkan di tv3 setiap isnin jam 9 malam. Drama bersiri ini mengisahkan tentang dunia juvana di kalangan remaja yang menjadi penghuni pusat pemulihan akhlak. Tiada kisah percintaan dan perebutan harta... Watak utamanya adalah Daim, seorang remaja lelaki yang berusia 17 tahun yang dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak (Sek Wira Bakti) kerana dituduh membunuh ibunya dan teman lelaki ibunya, walaupun sebenarnya dia tidak bersalah. Di sinilah bermulanya kehidupan baru Daim bersama-sama dengan pesalah juvana yang lain yang sememangnya bermasalah dan berdepan dengan warden yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri.


Kita selalu mempunyai tanggapan yang salah terhadap pesalah juvana. Drama ini mungkin akan mengubah pandangan masyarakat bahawa mereka boleh berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Seperti mana yang diceritakan oleh Daim seorang banduan yang tidak tahu membaca dan menulis, mampu menulis sebuah buku setelah dia berada di penjara. Jika dia tidak berada di penjara mungkin sehingga kini dia tidak tahu membaca dan menulis. Begitulah juga dengan watak-watak yang dipaparkan di dalam drama ini. Mereka mula berubah perlahan-lahan dengan kehadiran Cikgu Zakiah dan Daim sendiri yang merubah kawan-kawanya. Selain daripada diri sendiri, perubahan dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Sama ada perubahan ke arah kebaikan atau keburukan. Contohnya, Botak menjadi pembuli kerana ayahnya dan tidak mampu untuk berubah walaupun berada di Sek Wira Bakti kerana kalah dengan hasutan warden yang tidak bertanggungjawab serta menganggap Cikgu Zakiah dan Daim adalah punca pelajar-pelajar lain tidak menghormatinya.


Cikgu Zakiah berjaya membawa perubahan kepada pelajar-pelajar di sini dan menjadikan Daim lebih berani sehingga boleh melawan Botak. Persatuan debat yang ditubuhkan telah membuka mata masyarakat luar bahawa pelajar di sekolah juvana adalah setaraf dengan pelajar-pelajar di sekolah biasa. Mungkin mereka lebih hebat. Keadaan bertambah meruncing apabila Daim mendengar perbualan Warden Raja dengan Tony bahawa Raja telah menggunakan dana yang diberikan oleh Datuk Wira untuk kepentingannya. Watak Cikgu Azmee yang baik, rupa-rupanya sekian lama bersubahat dengan Raja dan Tony. Lebih mengejutkan watak Cikgu Ariffin yang sebelum ini bengis dan bermasalah tidak terlibat dengan komplot ini. Itulah pandangan dari luar tidak menjamin apa-apa. Baik atau jahat seseorang itu.

Kata orang, orang baik selalu menang... Begitulah warden Raja dan Cikgu Azmee ditangkap dan Botak meminta maaf kepada semua dan menyesali perbuatannya. Ternyata Botak hanya menjadi suruhan kepada Raja, kerana ketidakpuasan hatinya dia kalah dengan hasutan. Daim dibebaskan setelah tuduhan ke atasnya digugurkan. Sekolah Wira Bakti telah merubah masa depan pelajar-pelajar di sini... Apek, berjaya menjadi tokoh korporat, Kicap pengurus restoran dan Daim menjadi Cikgu Daim dan mengajar di Sekolah Wira Bakti. Cerita ini penuh dengan pengajaran walaupun ada unsur-unsur keganasan. Pengajaran kepada remaja supaya tidak terjebak dengan jenayah juvana yang membawa mereka ke sini dan juga peranan ibubapa dalam pemantauan terhadap anak-anak. Kurang perhatian... seperti mana yang berlaku kepada Watak Ayam.

Ini adalah petikan kata-kata yang terdapat dalam drama bersiri ini...

"Tanpa disiplin kamu sama seperti binatang"

"Akal kalu diasah tajam-tajam boleh jadi senjata"


"Raja yang zalim tidak akan dihormati, tapi raja yang memerintah dengan penuh belas kasihan akan disanjung"


"Buku bukan hanya untuk dibaca, dipersoal setiap baris dan juga idea... kenapa? supaya awak boleh menjadi diri sendiri, tidak menerima kata-kata orang bulat-bulat dan jangan takut menegakkan keadilan"

Antara babak yang menyentuh perasaan ialah ketika Kedah dan Daim dibebaskan dan meninggalkan kawan-kawannya di Sekolah Wira Bakti.

Drama ini boleh ditonton di http://malaymoviesfull.blogspot.com

No comments: