Saturday, November 20, 2010

CINTA ALLAH MENGATASI CINTA MANUSIA


Kini kita sudah pun berada di bulan Zulhijjah dan masih berada dalam suasana hari raya korban. Zulhijjah ialah antara bulan Islam yang merakamkan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam, antaranya ialah peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim. Pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim adalah pengorbanan yang sebenar demi membuktikan cinta sejati seorang ayah dan seorang anak kepada Yang Maha Berkuasa.

Dalam peristiwa ini, terdapat dua dimensi pengorbanan yang perlu kita hayati. Pertama, pengorbanan seorang ayah yang sanggup mengorbankan perasaan sayang dan cinta Nabi Ibrahim terhadap anaknya Nabi Ismail. Setelah sekian lama menantikan kelahiran seorang anak dan apabila telah memilikinya baginda terpaksa pula mengorbankannya demi ketaatan kepada suruhan Allah S.W.T. Kedua, pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasih dan sayang terhadap kedua ibubapanya dan zaman remajanya yang penuh dengan keseronokan.

Dapatkah kita pada hari ini melakukan pengorbanan setinggi ini? Bolehkah kita menerima kehilangan orang yang kita sayangi dengan penuh keredhaan? Apa yang berlaku dalam peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim ialah cinta Allah mengatasi cinta sesama manusia. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah memenangkan cinta mereka untuk Allah tanpa sebarang keraguan. Cinta mereka hanya untuk DIA.

Apabila cinta Allah memenuhi hati, maka barulah datang cinta kepada Rasulullah dan makhluk-makhlukNYA yang lain. Inilah cinta yang akan menerbitkan kemanisan iman. Dengan ini, kita tidak akan mudah terjerumus dengan cinta insani sehingga sanggup dikongkong dan mengutamakan keuntungan dunia tanpa had dosa atau pahala.

"Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (Surah al-Imran:31)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...