Thursday, May 19, 2011

Semangat Rerumput


Di bumi yang terdampar luas, aku kelihatan begitu kerdil
Merentas padang yang luas
Mendiami belukar berduri

Tubuhku tak setegap pohon jati yang berakar tunjang
Tak sekukuh dan semegah gunung nan tinggi
Tak seperti mekar melati yang harum mewangi
Jauh sekali menongkat langit yang tidak mencecah bumi

Rejaman angin ribut tak mampu ku tepis
Terjahan hujan taufan yang mencurah tak dapat kutangkis
Cengkaman terik mentari terus saja membengis
Asakan manusia tak berperi terusan menghiris

Namun...
Kau masih di sini meski pun payah
Perjuangan hidupmu tak pernah goyah
Meski berteman penat lelah
Yang cuba buat kau tak betah

Aku percaya, sesungguhnya...
Angin ribut yang membuas
Hujan taufan yang mengganas
Terikan mentari yang mencengkam
Tak akan merobek semangatmu
Tak terdaya menghambat pertumbuhanmu
Tak bisa menghalangmu membiak melata ke serata penjuru

Aku yakin sebenarnya...
Buas angin taufan sekadar menyapu debuan di bahumu
Ganas hujan ribut umpama menabur baja khasiat bagimu
Terik cengkam mentari hanyalah bagaikan sajian hidangan kehidupanmu

Dan kini...
Semangat rerumput menjadi pegangan hidupku
Biar di mana melatamu
Terus mencengkam bumi
Menutup gersangnya debuan tanah
Berbakti melestari cuaca kehidupan

Semangat rerumput
Pegangan hidup kita seharusnya
Biar tinggi mana kita mendaki
Atau jauh mana kembara tak bertepi
Akar kita pastikan tetap teguh
Walau dicatas belati tak berperi
Semangat rerumput
Menjadikan kita lebih berani

Semangat rerumput
Semangatmu yang tak pernah pudar
Kerana semangatmu itu
Bumi terusan tersenyum kehijauan

Seperti kita
Biar terusan berbakti
Mengukir budi tanpa pertikai siapa diri kita ini.


Monday, May 16, 2011

Hak Yang Dituntut (Akhir)

Humairah membetulkan kaca mata yang terletak di atas hidungnya sambil mengirup kopi sejuk yang dibancuh beberapa jam sebelum dia memulakan tugasannya. Tiba-tiba kata-kata anak guamnya tergiang-giang di telinga.

"Cik Humairah rasa... adakah tindakan saya memeluk Islam bermakna saya ingin lari daripada tanggungjawab terhadap keluarga atau ingin memutuskan hubungan kekeluargaan?"

Itulah antara soalan yang pernah ditanya oleh Adam. Sebaris ketidakpuasan jelas terimbas dari riak wajahnya ketika itu. Sering kali isu berkaitan pemelukan Islam khususnya suami timbul, ada pihak-pihak tertentu yang membuat andaian bahawa si suami berkenaan ingin lari daripada tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga. Hakikatnya, tuduhan ini adalah keterlaluan dan tidak benar sama sekali kerana hidayah Allah diberikan kepada hambaNya yang terpilih. Dalam diam Humairah melebarkan doa agar anak guamnya itu istiqamah dengan pegangannya sekarang.

Kini, entah mengapa Humairah berasa lega dan yakin bahawa dirinya berada di landasan yang benar. Dia yakin Adam akan mendapat haknya ke atas Thye Chee setelah meneliti segala maklumat. Bukan kemenangan yang didambarkan, tetapi ingin mengembalikan hak kepada yang betul-betul berhak. Humairah bingkas bangun dari kerusi dan membuat sedikit senaman ringkas. Jam sudah menunjukkan pukul 11.00 malam. Humairah melihat ke sekeliling pejabatnya sebelum mematikan lampu. Dia melangkah pulang dengan hati yang tenang.

Demikianlah perjalanan masa Humairah lebih tercurah bersoal jawab di mahkamah. Adakalanya Humairah rimas ditujah hentam dengan soalan-soalan yang membingunkan. Namun, dia mesti cekal demi mengembalikan sebuah hak. Hari ini adalah hari terakhir perbicaraan kes Adam dan mahkamah akan membuat keputusan.

"Bangun!" tiba-tiba mahkamah bergema.

Seorang lelaki berjubah hitam melangkah masuk. Kamar mahkamah sepi. Setelah meneliti dan mendengar semua hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah telah memutuskan hak penjagaan Thye Chee diserahkan kepada Adam setelah mengambil kira keperluan serta kebajikan Thye Chee. Humairah tidak dapat gambarkan kegembiraan yang wujud di hatinya. Akhirnya dia dapat mengembalikan hak anak guamnya. Semoga Adam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap amanah yang diberikan.

"Tuk! Tuk!" terdengar ketukan dari luar sekaligus mematikan lamunan Humairah. Setelah dibuka Aishah melangkah masuk. Aishah adalah rakan kongsinya. Mereka sama-sama membuka firma guaman ini atas nama Aishah Humairah & Co.

"Humairah... jom makan. Menang kes pun masih muncung." Humairah tersenyum pahit.

"Aku risaula kalau-kalau bekas isteri Encik Adam berjaya dapatkan pengisytiharan bahawa keputusan ini tidak sah." terang Humairah gagal menyembunyikan kerisauannya yang jelas kelihatan di riak wajahnya.

"Apa nak risau, kitakan ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 121(1A)." ujar Aishah sambil tersenyum. Humairah membalas senyuman sahabatnya itu. Macam mana dia boleh lupa. Hatinya benar-benar berasa lega dan tenang.

Telah termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 121 (1A), 'The civil court has no jurisdiction and the matters falls under the jurisdiction at the Syariah Court.'

Adam Allen tersenyum tanda berpuas hati dengan keputusan mahkamah. Dia melihat sendiri dengan kaca mata hatinya bagaimana prosiding mahkamah dijalankan. Telus dan adil. Dia tidak akan mempersia-siakan amanah yang diberikan kepadanya. Hatinya kini tenang seolah-olah tiada apa-apa yang difikirkannya.


T . A . M . A . T

Wednesday, May 11, 2011

Hak Yang Dituntut (3)

Humairah merenung sekilas ke arah jam yang tergantung di pejabatnya. Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 malam. Di atas meja, berselerakkan fail-fail dan laporan kes-kes terdahulu. Humairah meneliti segala maklumat yang tercatat. Menurut Adam, Sandra mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Thye Chee sering ditinggalkan keseorangan di rumah, Sandra lebih suka menghabiskan masa di luar bersama dengan kawan-kawan, walaupun hujung minggu. Keadaan yang sama berlaku semasa mereka masih bergelar suami isteri.

Thye Chee pernah mengadu hal ini kepada Adam. Ketika itu Adam membawa Thye Chee bersiar-siar, setelah beberapa minggu dia tidak dibenarkan berjumpa dengan anaknya itu.

"Papa, kenapa mummy marah apabila Thye Chee nak jumpa papa? Thye Chee nak tinggal dengan papa. Mummy selalu keluar, malam baru mummy balik." sebuah keluhan berat Adam lepaskan. Setiap kali berjumpa, Thye Chee akan mengadu hal yang sama. Pada mulanya dia tidak tidak menghiraukan sangat aduan anaknya itu. Baginya, terlalu awal untuk Thye Chee memahami apa yang berlaku antara dia dan Sandra.

Humairah menyemak semua maklumat yang dikumpulkan. Dalam Yip Fook Tai melawan Manjit Singh s/o Mohar Singh @ Mohammad Iskandar Manjit Bin Abdullah, hak penjagaan anak diputuskan oleh mahkamah sama ada hak tersebut diberikan kepada pihak yang memeluk Islam atau pihak yang tidak memeluk Islam, setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak tersebut.

Semakan seterusnya menampilkan akan kewujudan prinsip yang sama dalam kes Nur Aishah Suk Bte Abdullah @ Sukwinder Kaur a/p Sajhan Singh melawan Harjeet Singh, mahkamah telah memutuskan hak penjagaan anak diberikan kepada pihak yang memeluk agama Islam iaitu si isteri setelah mengambil kira keperluan serta kebajikan anak tersebut.

Humairah tersenyum sendirian. Dia masih ingat ada cadangan supaya menggunakan logik akal iaitu anak itu bukan Islam dan harus diteruskan sebagai bukan Islam dan tidak perlu mengubah status quo anak tersebut. Namun, undang-undang tidak boleh mengubah logik akal kerana perlu ada asas dan prinsip yang perlu ditafsirkan. Undang-undang mempunyai prinsip tersendiri bagi mengawal kemaslahatan sejagat. Dalam memutuskan hak jagaan anak, kebajikan si anak mengatasi hak ibu atau bapa, ini sudah menjadi amalan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Kebajikan anak di sini termasuklah permasalahan akidah, tumbesaran dan pembelajaran.

BERSAMBUNG...


Thursday, April 28, 2011

Hak Yang Dituntut (2)

"Saya Adam Allen. Saya yang menelefon Cik Humairah semalam untuk dapatkan khidmat guaman." Adam memulakan bicara.

"Ya, silakan." Humairah mempersilakan kliennya duduk.

Setelah bertanya serba sedikit dan Adam menceritakan tentang apa yang telah berlaku, Humairah terdiam seketika. Dia akan memberi khidmat guaman yang terbaik kepada anak guamnya itu.

"Begini Encik Adam, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 12(3) menyatakan tiada seorang pun boleh menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri dan..."

"Saya tidak faham, apa kaitannya dengan kes saya?" Adam memotong. Humairah sedikit terkejut dengan tindak balas drastik Adam.

"Maksudnya di sini, agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. Bukan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu. Hal ini ditegaskan dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan."

"Jadi, saya atau bekas isteri yang boleh menentukan agama Thye Chee." Adam mencelah. Humairah tersenyum gembira. Anak guamnya itu faham apa yang ingin disampaikan.

"Ya, memandangkan anak Encik Adam baru berusia 12 tahun dan mengikut penghakiman dalam kes Subahsini melawan Saravanan, mahkamah memutuskan salah seorang daripada ibu bapa, bukan kedua ibubapa boleh menentukan keislaman anak itu." Adam mengangguk tanda faham. Humairah tersenyum lagi.

"Cik Humairah boleh jadi peguam saya untuk kes ini?" tanya Adam dengan penuh harapan.

"Insya Allah, saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu Encik Adam dapatkan hak penjagaan dan menentukan status agama Thye Chee, tetapi mahkamah yang berhak membuat keputusan." Bicara Humairah memberi persetujuan kepada pertanyaan Adam dan memahamkannya maksud persetujuan itu. Tugasnya ialah untuk mempertahankan hak anak guamnya yang perlu ditegakkan berasaskan al maqasid al syariah (objektif syariah) iaitu hifz al din, menjaga agama dan hifz an nasab, menjaga keturunan.

Terdapat lima maqasid yang perlu dijaga, hifz al din (menjaga agama), hifz al nafs (menjaga nyawa), hifz an nasab (menjaga keturunan), hifz al aql (menjaga akal) dan hifz al mal (menjaga harta). Demi untuk mencapai maqasid ini, sebagai umat Islam dipertanggungjawabkan memelihara kelima-lima perkara ini. Oleh yang demikian, agama seseorang anak itu hendaklah mengikut ibu atau bapa yang Islam. Humairah telah menerima tanggungjawab ini. Sebagai seorang peguam syariah dia perlu melaksanakan tugasnya dengan beretika, berkarisma, jujur dan amanah.


BERSAMBUNG...

Sunday, April 24, 2011

Hak Yang Dituntut

Kejadian di luar mahkamah sebentar tadi masih terbayang di benak fikiran. Beberapa orang menyinggahkan pandangan ke arah kami, ada bisikan sumbang turut menyumbang.

"Sebab kau, aku hilang segala-galanya. Kau memang peguam tak guna!" wanita awal 30an itu menjerit bagaikan histeria sambil menunding-nunding jarinya. Humairah setapak berundur.

"Bersabar puan, mahkamah yang membuat keputusan. Saya hanya menjalankan tugas sebagai peguam kepada anak guam saya, Encik Adam." Humairah melunakkan suara dalam kebijaksanaan.

"Aku tidak akan berputus asa. Aku akan dapatkan pengistiharan bahawa keputusan itu tidak sah." Matanya menjegil bulat, mukanya merah membakar. Di sisinya, seorang wanita lingkungan dua puluhan mengadunkan bicaranya agar sahabatnya itu segera ke kereta. Malu barangkali dengan kerenah sahabatnya. Humairah hanya membisu. Bukan ketandusan hujah, tetapi tidak mahu merumitkan keadaan.

Apa yang berlaku hari ini, bermula tiga bulan lepas. Adam Allen seorang mualaf, dia datang menemui Humairah untuk mengetahui hak yang boleh diperolehinya dari kaca mata undang-undang terhadap anak lelaki tunggalnya. Setelah memeluk Islam, isterinya Sandra telah membuat petisyen penceraian mereka. Minatnya terhadap Islam bertunas setelah dia mendengar suara muazzin melaungkan azan di sebuah masjid. Ketika itu dia berada di New York atas urusan kerja. Setelah kembali ke tanah air minatnya terhadap Islam semakin menghijau, apatah lagi dia dipertemukan dengan ustaz Hazran yang bijak mengagungkan Islam dan petah berbicara tentang ilmu Islam. Akhirnya dia memilih untuk bergelar umat Muhammad Al- Amin.

Dia bukan ingin merampas Thye Chee daripada Sandra, tetapi demi kebajikan putera tunggalnya itu dia terpaksa berbuat demikian. Di hati Adam berharap dia masih mempunyai hak ke atas Thye Chee walaupun dia dan Sandra telah berpisah dan berlainan agama. Lantas, dia membuat keputusan untuk mendapatkan nasihat guaman.

"Tuk! Tuk!" terdengar pintu diketuk dari luar.

"Masuk." suara Humairah bergema dari dalam bilik.

Setelah pintu dibuka, melangkah masuk seorang lelaki lewat 30an.


BERSAMBUNG...

Thursday, April 14, 2011

Bahagia Itu Soal Hati


Bagi si miskin kaya itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah memiliki kekayaan, kebahagian bukan lagi pada kekayaan. Kini, kebahagian telah berpindah kepada perkara yang lain pula.

Begitulah juga bagi yang merasakan rumah bagaikan istana, ilmu seluas lautan, harta yang bertimbun-timbun dan pangkat yang paling tinggi pasti akan bahagia. Namun, setelah memiliki kesemuanya...masih ada yang kurang dan belum merasa bahagia.

Hamka pernah berkata:
"Kekayaan harta benda, pangkat atau kedudukan yang tinggi tidaklah dapat menutup kekerdilan jiwa atau tabiat yang tidak jujur. Malah bertambah banyak kekayaan atau bertambah tinggi kedudukan, bertambah jelaslah kekerdilan jiwa dan kekurangan seseorang. Oleh sebab itu, kayakan batin dulu untuk menghadapi kemungkinan naik atau kemungkinan turun."

Bahagia itu adalah soal hati. Namun, hati tidak akan pernah rasa puas kerana terlalu banyak tuntutan nafsu yang tidak akan pernah rasa sempurna. Ada kalanya juga, kita tidak terima dengan apa yang terjadi kepada diri kita.

Bahagia itu letaknya pada hati. Hati yang tenang dan reda.

Ibnu Khaldum pernah mengatakan:
"Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis yang ditentukan dan sifat perikemanusiaan."


Monday, April 4, 2011

Sebuah Kisah Cinta Abadi


Cinta pada bunga, bunga akan layu
Cinta pada manusia, manusia akan mati
Tapi cinta pada Allah adalah
Cinta yang kekal abadi

Dikatakan Rabi'ah Adawiyah menerima banyak lamaran. Tetapi, dia menolak semuanya. Rabi'ah pernah dilamar oleh Hasan al-Basri. Selain daripada Hasan al-Basri, ramai lagi yang datang melamar Rabi'ah. Lantas Rabi'ah berkata, "Baiklah, aku akan berkahwin dengan seseorang yang paling pintar di kalangan kamu semua. Mereka menjawab, "Hasan al-Basri itulah orangnya." Lalu Rabi'ah berkata kepadanya, "Jika kamu dapat menjawab empat pertanyaanku, aku bersedia menjadi isterimu."

Pertanyaan pertama, "Apakah yang akan dikatakan oleh Hakim dunia ini saat kematianku nanti, adakah aku mati dalam islam atau murtad?"

Hasan al-Basri menjawab, "Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan dapat menjawabnya."

Lalu dia mengajukan pertanyaan kedua, "Pada waktu aku dalam kubur nanti, di saat malaikat Munkar dan Nakir bertanya padaku, dapatkah aku menjawabnya?"

Hasan al-Basri menjawab, "Hanya Allah yang mengetahui."

Rabi'ah mengajukan pertanyaan seterusnya, "Pada ketika manusia dikumpulkan di Mahsyar pada hari perhitungan nanti, semua orang akan menerima buku di tangan kanan dan di tangan kiri, bagaimana denganku, adakah aku menerima dengan kanan atau tangan kiriku?"

Hasan al-Basri menjawab, "Hanya Allah yang mengetahui."

Akhirnya Rabi'ah mengajukan pertanyaan yang terakhir, "Pada ketika hari perhitungan nanti, sebahagian manusia akan masuk syurga dan sebahagian golongan lain akan masuk neraka. Pada
golongan manakah aku akan berada?"

Hasan al-Basri juga menjawab seperti jawapan asalnya bahawa hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Rabi'ah lalu berkata pada Hasan al-Basri, "Aku telah mengajukan empat pertanyaan tentang diriku, bagaimana aku harus bersuami dengannya dan menghabiskan waktuku bersamanya?"

Itulah Rabi'ah Adawiyah. Baginya yang penting adalah tengelam dalam cinta Allah dan meletakkan seluruh harapannya kepada Allah.

Kiranya tiada cinta insani untukmu
Cukuplah cinta Allah penyuluh hidupmu
Kelak akan ada cinta untukmu
Daripada insan yang menyintai Allah
Sebagaimana cintamu kepadaNya