Friday, July 12, 2013

Puasa, Kesihatan Dan Hak

 


Hari ini hari ke 3, kita semua umat Islam menjalani ibadat puasa. Alhamdullilah dengan kesihatan yang baik, dapatlah kita melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna. Penjagaan kesihatan penting dalam bulan puasa. Jika badan tidak sihat, ini akan menjejaskan ibadat puasa kita. Teringat kata-kata seorang Dj radio pagi tadi. Inilah perkongsian saya hari.

Di bulan puasa ini, terlalu banyak juadah makanan yang kita jumpa. Adakalanya tidak pernah kita jumpa di bulan-bulan biasa. Rabun mata kita dibuatnya. Yang penting kita harus pandai memilih dan tidak membazir. Dalam memilih, pilihlah tempat yang menjual makanan yang bersih. Takut nanti ada pula yang sakit perut dan cirit birit. Itulah antara coleteh Dj tersebut. Memang tidak dapat dinafikan ada kes keracunan makanan disebabkan oleh penyediaan makanan yang tidak betul dan kotor. Oleh itu, sebelum membeli kita perlu perhati dan pilih.

Sebagai pengguna kita berhak untuk memilih dan mendapat barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Sebagai penjual pula seharusnya ada rasa tanggungjawab dalam penyediaan juadah yang dijual. Bukan mengutamakan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan hak pembeli. Hakikatnya, penjual dan pembeli saling memerlukan antara satu sama lain. Tanpa pembeli tiadalah penjual dan begitulah sebaliknya.

Sekian coretan saya untuk hari ini.
Selamat menjalani ibadat puasa kepada semua…Ramadhan Kareem.  


Friday, July 5, 2013

Kenapa Bangau Kurus?



Salam Jumaat semua, pagi ini di tempat saya cuaca mendung dan agak sejuk. Mungkin dek kerana semalam hujan lebat…

Pagi ini saya ingin bercerita sedikit mengenai bangau. Tentu kita semua biasa mendengar lagu rakyat ‘Bangau Oh Bangau’ Beberapa hari yang lepas saya terdengar sebuah tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz di radio. Dalam tazkirah itu, ustaz tersebut membuat persoalan kenapa bangau kurus? Dalam diam saya menjawab kerana ikan tidak timbul. Ternyata jawapan saya itu meleset sama sekali. Menurut ustaz tersebut, bangau menjadi kurus adalah berpunca daripada ular. Kenapa?

Kemahuan ular yang ingin makan katak menjadi punca kenapa bangau menjadi kurus. Jawapan itu membuatkan saya termenung sejenak. Memang betul ularlah yang menjadi puncanya. Ekoran keinginannya itu juga menyebabkan katak menjadi takut dan memanggil hujan dan apabila hujan turun kayu api pula menjadi basah dan seterusnya nasi menjadi mentah dan kerbau yang memakan nasi itu sakit perut dan akibatnya tidak boleh meragut rumput. Maka rumput pula menjadi panjang dan ikan tidak boleh timbul. Kesannya bangau tidak ada makanan untuk dimakan.

Jelaslah, sikap ular yang pentingkan diri sendiri telah menyusahkan hidupan lain juga. Bukan sahaja bangau. Begitu juga dalam muamalat kita antara satu sama lain. Ada kalanya tanpa kita sedar sikap pentingkan diri kita telah menyusahkan ramai orang. Sama-samalah kita bermuhasabah. Ingatan untuk diri saya juga.

Sekian…

Hari ini adalah Jumaat terakhir kita berada di bulan Syaaban... Ramadan semakin hampir, semoga kita diberi kesihatan yang baik untuk melaksanakan ibadat puasa nanti... Salam Ramadan...

Friday, June 28, 2013

Momentum Daripada Sabar

 
 
Salam jumaat, hari ini sudah pun 19 Syaaban. Ini menandakan kita semakin hampir dengan bulan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam, bulan Ramadan penuh barakah.
Kata orang di sebalik duka ada suka… tapi bagaimana untuk melahirkan rasa suka itu ketika diri sedang berduka? Inilah coretan pendek saya kali ini.
Setiap apa yang berlaku adalah dugaan dan ujian dariNya untuk menguji tahap kesabaran kita. Di saat kedukaan, kita menahan diri daripada mengeluh, menahan lidah daripada mengadu dan menahan anggota daripada melakukan maksiat. Dengan ini mihnah  iaitu ujian menjadi minhah iaitu kurniaan Allah dan bala menjadi pemberian.  Inilah kesabaran yang sepatutnya ada dalam diri di saat itu...
Maka dengan sabar kebaikan yang ada pada sesuatu yang kita benci menjadi sesuatu yang kita sukai. Inilah momentum daripada sabar. Dalam duka menjadi suka.
Hidup ini indah dengan sabar dan sabar itu cantik… pujuklah hati, duhai hati bersabarlah.



Saturday, June 22, 2013

Pandangan Mata Selalu Menipu

 
 

Jangan tertipu oleh terangnya bulan
Kerana di sebaliknya ada sisi gelap

Jangan menghina kelamnya malam
Kerana disebalik itu mungkin masih ada setitik cahaya

Begitulah perumpamaan kehidupan

Jangan terlalu silau dengan yang nampak mewah dari penampilan
Kerana belum tentu mencerminkan peribadi
Jangan pula menghina yang nampak sederhana
Kerana boleh jadi di sebalik itu tersembunyi sesuatu yang mempersonakan


pandangan mata selalu menipu

pandangan akal selalu tersalah

pandangan nafsu selalu melulu

dan pandangan hatilah yang hakiki sekiranya hati itu bersih..

Sunday, June 16, 2013

Best Ke Baca Novel?

"Best ke baca novel?" Tanya seorang kawan apabila dia melihat koleksi novel yang saya ada. Pada saya, best bagi orang yang suka membaca. Tengoklah ketebalan sesebuah novel, ada yang mencecah hingga 600 muka surat dan penuh dengan tulisan tanpa rajah. Mungkin orang yang tidak suka membaca merasakan ia tidak best. Ada juga yang merasakan membaca novel best dan menghiburkan berbanding membaca buku-buku ilmiah. Tidak menarik dan membosankan.

Saya memang peminat novel terutamanya novel-novel tulisan Ramlee Awang Murshid (RAM). Cinta pandang pertama saya dengan novel beliau ialah 'Rahsia Perindu'. Itulah novel beliau yang pertama saya baca. Sejak itu saya selalu mengikuti perkembangan novel-novel beliau. Ada beberapa novel tulisan beliau yang berkait rapat dengan dunia perundangan dan yang pasti semua novel tulisannya berbentuk thriller. Itu yang menarik minat saya untuk membaca kesemua novelnya.

Ini koleksi buku RAM yang saya miliki dan waktu gambar ini diambil masih ada 3 buah buku yang belum saya beli
 

Saya juga membaca novel-novel lain seperti karya Fauziah Ashari, Aina Emir, Lily Haslina, Sri Diah dan ramai lagi.
 
Kembali kepada persoalan di atas, terpulang kepada individu itu sendiri. Novel kini bukan sekadar cerita fantasi yang tidak berpijak kepada bumi nyata, tetapi ada ilmu yang dikongsi dengan pembaca. Baca novel mungkin langkah pertama untuk memupuk minat membaca.
 
Kepada peminat-peminat buku, Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR BH 2013 masih berbaki 7 hari lagi, ayuh hantarkan undian segera. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 23 Jun 2013.
 
 
 
 Sumber: Facebook Ramlee Awang Murshid Fun Club
 
Peminat novelist RAM berikan undian kepada 'Sunan Musafir'
 
Peminat novelist Fauziah Ashari berikan undian kepada 'kan Ku Kejar Cinta Kami'
 
Sedikit perkongsian tentang  penilaian dunia buku:
 
1 bintang - Teruk
2 bintang - Cuba baca dulu
3 bintang - Tak rugi baca
4 bintang - Patut baca
5 bintang - Rugi tak baca 
 
(Sumber: Berita Harian)


Monday, June 3, 2013

Tetamu Istimewa


Coretan saya kali ini adalah mengenai tetamu istimewa yang telah berkunjung ke rumah saya beberapa hari yang lepas. Sudah lama saya tidak menemui kakak yang seorang ini. Kali terakhir kami berjumpa ialah pada tahun 2010, hampir tiga tahun kami tidak berjumpa. Deringan telefon pada pagi 28hb lalu memberi khabar gembira kepada saya. Katanya, dia akan berkunjung ke rumah saya.




Perkenalan kami bermula ketika saya belajar di kelas bahasa sewaktu di UIAM. Masih segar di ingatan, pada hari pertama kelas dia mengajak saya untuk pulang bersama menaiki keretanya. Saya terus bersetuju, memandangkan pada waktu itu saya tidak mengenali sesiapa. Bermula dari situ kami mula rapat. Dia selalu berkunjung ke bilik saya dan begitulah sebaliknya. Dia seperti kakak sendiri, selalu memberi nasihat dan kata-kata perangsang. Bukan itu sahaja kami juga berkongsi suka dan duka bersama. 

Pertemuan kami setelah tiga tahun tidak berjumpa membuatkan saya begitu teruja untuk menyambut kedatangannya. Bubur kacang, kuih kacang dan teh O ais menjadi hidangan untuk tetamu istimewa saya pada hari itu. Hampir dua jam pertemuan kami pada hari itu. Banyak cerita yang ingin dikongsikan. Masa berlalu begitu pantas, sedar tak sedar waktu untuk kami berpisah sudah tiba. Dek kerana hari sudah petang dan perjalanan pulang yang jauh dia meminta izin untuk pulang. Insya Allah mudah-mudahan kami akan dipertemukan lagi… walaupun kami boleh bertemu di alam maya, namun pertemuan di alam nyata, ‘face to face’ adalah berbeza.


Terima kasih akak sudi bertandang ke rumah saya… Semoga kita berjumpa lagi…
Ketabahan dan kesabaran akak menjadi perangsang untuk saya supaya lebih tabah dalam meniti kehidupan ini…Thanks…  
 




Friday, May 24, 2013

Anugerah Pilihan Pembaca 2013



Anugerah Pilihan Pembaca Popular BH 2013 bermula hari ini, jumaat 24 Mei 2013. Kepada semua peminat-peminat buku ayuh jangan lupa membuat undian untuk memilih tiga penulis dalam senarai laris di pasaran POPULAR Book Company (M) Sdn Bhd dalam dua kategori iaitu fiksyen dan bukan fiksyen.

Untuk mengetahui siapa penulis yang tersenarai boleh dapatkan berita harian hari ini dan borang undian.

Caranya:-

Borang undian boleh diperolehi melalui

-          -Berita Harian setiap jumat bermula hari ini dan semua cawangan kedai buku Popular di seluruh Malaysia.
-          -www.popular.com.my
-          -www.bookfestmalaysia.com

Menangi:-

-          Hamper buku bernilai RM100 bagi setiap pengundi online ke 1000
-         100 pembaca bertuah akan menerima baucer POPULAR bernilai RM50 berserta kad keahlian POPULAR  selama 1 tahun dan hamper buku bernilai RM100

UNDIAN BERMULA 24 MEI 2013 HINGGA 23 JUN 2013

Baca Untuk Undi, Undi Untuk Menang

Peminat-peminat novelist Ramlee Awang Murshid (RAM), jangan lupa undi untuk Sunan Musafir