Monday, May 20, 2013

Talak Bukan Pilihan




‘Talak Bukan Pilihan’ ini adalah tajuk sebuah drama bersiri yang disiarkan di RTM. Saya sempat mengikuti beberapa episod terakhir drama ini. Menarik untuk tontonan golongan hawa khususnya, namun waktu siaranya tidak sesuai. Pada saya cerita ini sangat jelas apa yang ingin disampaikan kepada penonton, talak bukanlah pilihan dan solusi dalam menyelesaikan kemelut yang melanda sesebuah perkahwinan. Masih ada pilihan lain, iaitu mempertahankan perkahwinan yang sudah dibina.  

Kemelut perkahwinan antara Idayu dan Helmi bermula apabila Helmi memberitahu Idayu bahawa dia jatuh cinta untuk kali kedua dan ingin berkahwin lagi. Berita itu seperti bom, satu kejutan buat Idayu bahawa suaminya akan berkahwin lain dan dia bakal dimadukan. Terlalu sukar untuk dia menerimanya. Kata-kata setia dan janji-janji manis daripada seorang suami hanya tinggal janji dan manis di mulut sahaja. Pada mulanya dia keras membantah keinginan suaminya.

Kata-kata si ibu tergiang-ngiang, “Jika kamu tidak mahu dimadukan dan Helmi berkeras ingin berpoligami, penyelesaiannya kamu mintalah cerai.” Belum sempat dia membuat keputusan, si kakak datang memberi semangat supaya mempertahankan mahligai yang sudah dibina. Melihat anaknya yang masih kecil dan perlukan kasih sayang ibu dan ayah, dia mengambil keputusan talak bukan pilihan. Dia meminta tempoh tiga bulan daripada suaminya untuk dia mempersiapkan diri sebelum hidup bermadu. Bukan suatu yang mudah untuk dilakukan, menjadikan poligami semanis madu. Dalam tempoh itu juga dia mencari kelemahan dirinya dan memperbaiki kelemahan tersebut. Dalam tempoh tiga bulan juga dia meminta supaya suaminya menimbangkan semula untuk berkahwin lain, mampukah dia menjadi ketua untuk dua buah keluarga? 

Setelah tiga bulan berakhir, Idayu pasrah dan redha sekiranya dia ditakdirkan untuk hidup bermadu. Berkat kesabaran dan keikhlasannya, Helmi membatalkan keinginannya untuk berkahwin lain. Dia sedar bahawa tiada sebab untuk dia berkahwin lain dan hakikatnya dia tidak mampu untuk melaksanakan prinsip keadilan yang menjadi dasar poligami. Begitulah, talak bukan pilihan dan solusi terbaik dalam menyelesaikan kemelut rumah tangga. Poligami pula tidak semua lelaki layak berpoligami. Kuncinya, jika tidak layak bagaimana keadilan boleh ditegakkan?

Wallahu a'lam.

Thursday, May 16, 2013

Terima Kasih Cikgu



“Terima Kasih Cikgu” ucapan untuk semua cikgu yang telah menjadikan saya seperti hari ini. Cikgu yang menjadikan saya tahu membaca, menulis dan mengira. Tanpa cikgu saya bukanlah sesiapa.
Mengimbas kembali zaman persekolahan saya bermula dengan prasekolah – Tabika, cikgu yang mengajar saya ketika itu ialah cikgu Esah. Di sinilah saya mula mengenal ABC, 123 dan alif ba ta. Sungguh sabar cikgu melayan kerenah saya dan yang lain yang masih seperti kanak-kanak rebina ketika itu. “Terima Kasih Cikgu”

SKT, di sinilah saya mula tahu membaca, menulis dan mengira. Saya masih ingat dengan seorang cikgu matematik sewaktu di darjah 2, Cikgu Ibrahim. Dia seorang yang tegas dan akan memulakan kelas dengan menyoal setiap pelajarnya dengan sifir matematik. Ketika itu semua orang akan kecut perut, siapa yang gagal untuk menjawab soalannya pasti kena berdiri di atas kerusi. Selama 6 tahun saya di sini, banyak ilmu yang telah cikgu-cikgu curahkan. “Terima Kasih Cikgu”

SMAM, di sini saya meneruskan  persekolahan menengah selama 6 tahun. Terlalu banyak kenangan suka dan duka di sini. Cikgu-cikgu bukan sahaja mengajar tentang ilmu akademik tetapi juga tentang ilmu kehidupan dunia dan akhirat. “Jika kita merasakan tiada siapa di sisi kita, ingatlah Allah sentiasa bersama-sama dengan kita dan hanya kepadaNYA tempat kita memohon pertolongan.” Itulah pesan seorang guru B.Inggeris saya sewaktu di tingkatan 6. “Terima Kasih Cikgu kerana mununjukkan saya jalan menuju kejayaan.”


SeLaMaT HaRi GuRu BuAt SeMuA GuRu-GuRu YaNg TeLaH MeNgAjAr SaYa DaN TaK LuPa SeMuA LeCtUrEr UIAM… JuGa SeMuA YaNg BeRgElAr GuRu Di MaLaYsIa DaN RaKaN-RaKaN YaNg BeRgElAr GuRu… TERIMA KASIH CIKGU


 

Sunday, May 12, 2013

Jasa Bonda




Emak... Kaulah segalanya
Jasamu tidak dapat dinilai dengan harta benda
Kasih sayangmu membawa ke syurga
Kaulah ratu hatiku selamanya

Terima Kasih Mak atas segalanya...

Wednesday, May 1, 2013

Review – Skrip Drama Radio ‘DURI’

   
 
 
Entri saya kali ini adalah atas permintaan seorang sahabat yang sudi memberi ‘respond’ untuk coretan saya sebelum ini, mengenai skrip drama radio.  
Ini sedikit sedutan dialog daripada drama tersebut :-
NAQIB : Saya dah pun buat keputusan, saya nak putuskan pertunangan kita.
AWATIF : Tidak! Apa salah saya Naqib? Apa yang saya dah buat? (Nada sebak dan air
mata mula mengalir di pipi.)
ALYA : Tak ada apa yang membahagiakan, Awatif. Setiap hari aku dijadikan babu di rumah.
Tidak cukup dengan itu, pantang salah sikit aku dipukul, diherdik. Aku dah tak
tahan, Awatif. (Nada sedih)
ADAM : Tolonglah Encik Naqib, jangan bertindak mengikut perasaan, tanpa mengetahui
kesahihan cerita sebenarnya. Saya tak mahu Encik Naqib jadi buta, sama seperti
saya. Buta dalam menilai yang mana kaca dan yang mana permata.
IRFAN : Kau tinggalkan aku sebab lelaki tu kan? Hah? Aku tak akan tertipu lagi dengan
perempuan macam kau. (Nada tinggi)
(Menoleh ke arah kekasih Alya)
Dan kau… kau juga pasti akan menjadi mangsa perempuan ni sama seperti aku,
 jadi kau juga harus mati!
(Satu das tembakan dilepaskan dan tepat mengenai dada kekasih Alya)
ALYA : Naqib!!! (Menjerit)
(Satu das lagi tembakan dilepaskan dan menembusi kepala Alya)
AWATIF : Kenapa Alya buat saya macam ni? Dia kawan saya! (Nada sedih)
ADAM : Dia bukan kawan awak, Awatif. Dia ibarat duri … Duri yang kita tidak
nampak pada mata kasar, tapi setelah terkena tusukkannya amat
menyakitkan. (Nada tinggi)
‘Duri’ mengisahkan Alya dan Awatif berkawan dari universiti lagi. Tanpa pengetahun Awatif, Alya sebenarnya menjadi punca Adam meninggalkannya seminggu sebelum majlis pertunangan mereka. Kehadiran Alya dalam hidup Adam bukan membawa sinar bahagia tetapi racun berbisa, perkahwinan mereka hanya bertahan untuk seketika. Adam menceraikannya setelah mengetahui kecurangan Alya dan cerita mengenai Awatif selama ini adalah fitnah semata-mata. Naqib tunangan Awatif telah memutuskan pertunangannya dengan Awatif kerana sekeping gambar yang juga datangnya daripada Alya yang kini sedang berusaha untuk mendekati lelaki itu. Irfan, bekas kekasih Alya berjaya menjejak di mana Alya berada. Tujuannya hanya satu, balas dendam terhadap Alya kerana meninggalkannya setelah semua harta bendanya menjadi milik Alya. Kedatangan Naqib ke apartmen Alya telah mengundang tragedi berdarah apabila Naqib juga menjadi mangsa Irfan. Pertemuan kembali antara Adam dan Awatif di bilik mayat telah merungkai segala-segalanya.   
PENGAJARAN : Dalam berkawan, perlu berhati-hati. Rambut semuanya hitam, tapi hati lain-lain. Jangan terlalu percaya. Bukan itu sahaja, apabila disampaikan sesebuah cerita, selidiklah terlebih dahulu akan kesahihan dan kebenarannya. Jangan mudah percaya.  
        
1 Mei 2013 – Selamat Hari Pekerja untuk semua warga pekerja. Bekerjalah dengan penuh dedikasi dan amanah.

 



Thursday, April 25, 2013

Skrip Drama Radio



Entri saya hari ini sebenarnya adalah entri yang sudah beberapa hari saya tulis dan sentiasa tertangguh untuk di’post’kan di blog ini. Coretan saya untuk kali ini adalah mengenai skrip drama radio. Menulis! Saya memang suka menulis… Tapi tidak pernah pula terlintas di fikiran saya untuk menulis skrip drama radio.

Segalanya bermula apabila emak yang selalu mendengar slot ‘Layar Maya’ yang keudara setiap hari ahad jam 12.30 tengah hari di Nasionalfm. Kata emak, tidak salah jika kita mencuba. Kemudian saya terfikir, ini juga satu cara untuk kita melontarkan pandangan dan pendapatmengarap cerita melalui skrip drama, tapi perlu ada mesej yang ingin disampaikan.

Bermula dari saat itu saya mula membuat sedikit kajian tentang penulisan skrip drama radio di internet. Banyak maklumat yang sangat membantu saya untuk menghasilkan skrip drama radio saya yang pertama. Penulisan skrip drama radio sama seperti kita menulis dialog. Ada dialog-dialog tertentu yang perlu kita perincikan intonasinya dan jelas situasi yang berlaku ketika itu. Saya mengambil masa lebih kurang 5 hari untuk menyiapkan lakaran cerita dan skrip penuh untuk setiap plot cerita yang telah digarap. Alhamdullilah… akhirnya skrip drama radio pertama saya yang berjudul ‘Duri’dapat disiapkan.

Saya masih ingat lagi, 12/2/2013 – tarikh saya menghantar skrip drama saya ke penerbit drama radio, angkasapuri. Ketika itu saya hanya ingin mencuba. Sebulan kemudian, saya mendapat panggilan telefon dan diberitahu skrip drama saya bakal disiarkan di slot ‘Layar Maya’ dan akan menerima pembayaran untuk skrip tersebut. Alhamdullilah… Skrip drama radio yang berjudul ‘Duri’ telah pun disiarkan pada 21/4/2013, Ahad lepas jam 12.30 tengah hari slot ‘Layar Maya’ di Nasionalfm.

Saya merasa puas dengan hasil karya saya, bayaran bukanlah segala-galanya. Seperti yang pernah diberitahu oleh Aina Emir di blognya, kita akan merasa lebih bahagia dengan berkarya jika kita melakukannya tanpa terlalu fikirkan sangat tentang wang. Jika sudah ditentukan kita akan diberi rezeki dari usaha ini, terimalah dengan seikhlas hati. Usaha saya yang pertama ini adalah pembakar semangat untuk terus berusaha dan pengalaman yang pertama ini sangat berharga buat diri saya.


Thanks to my mum and my dear sister and brother…