Wednesday, December 31, 2014

Tinta Di Penghujung 2014

Assalamualaikum...

Coretan saya pada malam ini adalah post terakhir untuk tahun 2014 ini.  Sedar atau tidak hanya beberapa jam sahaja lagi 2014 akan melabuhkan tirainya. Untuk tahun ini blog saya tidak aktif sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, namun saya masih ingin mencoretkan sesuatu di sini... semoga 2015 ia masih bernafas.

Penghujung 2014 negara diuji dengan musibah banjir luar biasa di negeri-negeri pantai timur khususnya Kelantan. Kita juga dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat airasia yang dalam penerbangan dari Indonesia ke Singapura. Begitu besar ujian dariNYA. Begitulah kehidupan ini, silih berganti antara nikmat dan musibah. Sebagai hambaNYA pujuklah hati untuk berbaik sangka. Insya Allah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Usah kita mempersoalkan apa yang telah tersurat. Sesungguhnya DIA lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNYA.Apa yang berlaku supaya kita lebih bermuhasabah demi mencari yang lebih sempurna.

Petang tadi, dalam perjalanan pulang ke rumah kelihatan beberapa kumpulan sukarelawan yang sedang mengumpul bantuan untuk mangsa-mangsa banjir dan ia berbentuk wang dan barangan. Walaupun kecil bantuan yang dihulurkan... impaknya tidak terjangka oleh imaginasi kita. Sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka. Semoga mereka tabah dan sabar dengan ujian. Hakikatnya sabar tidak mudah tapi kerana sabar segalanya akan dipermudahkan.

Setakat ini dahulu coretan saya untuk malam ini. Saya tinggalkan coretan ini dengan bait-bait sebuah lagu nasyid...

"Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan diperjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar
Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya"

Learn from yesterday... Live for today... Hope for tomorrow.
Welcome 2015...
Sekian...

Wednesday, November 19, 2014

♥Cinta Yang Tidak Sempurna♥

Assalamualaikum...

Sudah lama cerita ini tersimpan di kotak memori saya... akhirnya dapat juga dicoretkan di sini. Dia pada pandangan saya seorang lelaki biasa, ada kerjaya yang mampu menanggung sebuah keluarga. Dalam mencari cinta, akhirnya dia dipertemukan dengan seorang gadis yang sudi menyambut cintanya. Atas dasar cinta, dua hati bersatu dan ikatan perkahwinan terpatri.

Dalam melayari bahtera yang pada mulanya sangat bahagia, semakin hari semakin hilang sinar kebahagiaannya. Cerah yang diharapkan hingga ke petang, tapi hujan di tengah hari. Semuanya tidak seindah yang dibayangkan. Cinta yang disemai dan dibaja mula layu dan mati. Akhirnya perpisahan menjadi pilihan.

Kedua-dua pihak mengharapkan kesempurnaan. Suami mengharapkan kesempurnaan pada isteri dan begitu juga dengan isteri. Atas ketidaksempurnaan itulah alasan dicari untuk berpisah. Seharusnya kedua-dua pihak berikhtiar untuk memperbetulkan ketidaksempurnaan itu. Bukan mempertikaikan ketidaksempurnaan itu.

Di sinilah peranan agama, menjadi teras dalam keharmonian pembentukkan keluarga. Kedua-dua pihak perlu bersyukur dengan nikmat ikatan perkahwinan yang dibina. Dengan ini dapat menyisihkan dorongan perasaan untuk berpisah. Perpisahan adalah pilihan terakhir. Perceraian membawa kepada berlaku pertikaian yang panjang dalam soal penjagaan anak, nafkah dan harta sepencarian.

Dari kisah ini, saya dapat simpulkan bahawa...
"Mencintai Yang Maha Sempurna untuk menjaga cinta yang tidak sempurna... Dalam cinta manusia ada duka dan luka, pada cinta DIA itulah penawar dan ubatnya."

Selamat Malam...
Sekian....

Friday, November 7, 2014

Ada Apa Dengan RM10.00

Assalamualaikum...

Selamat petang semua. Petang ini ingin saya mengimbau sedikit cerita bersama dengan dua orang kawan yang agak lama tidak 'face to face' . Pertemuan pada petang itu hanya sekejap tetapi cukup bermakna. Tempat pertemuan yang dipilih adalah di tepi pantai yang agak popular di negeri saya dan sememangnya laluan saya untuk pulang ke rumah.

Selain bercerita tentang diri masing-masing, topik ekonomi juga menjadi bualan kami. Ia bermula setelah seorang daripada kawan saya itu melihat makanan yang dibeli oleh seorang lagi kawan untuk dinikmati bersama pada petang itu. "Takkan RM10.00 semua ni?" Kawan saya hanya tersenyum, tanpa kata-kata sambil menunjukkan reaksi yang dapat difahami bahawa, ya begitulah.
Dari situlah pelbagai rungutan yang kami utarakan.

Salah seorang dari kawan saya itu, berasal dari utara dan tinggal di sini sudah tiga tahun kerana mengikut suaminya bekerja di negeri ini. Katanya, harga barangan dan makanan di sini jauh lebih mahal berbanding dengan negerinya. Dua bulan lepas seorang kawan datang bercuti di sini juga turut menyatakan perkara yang sama.
Memang saya akui dan saya juga merasai akan perkara itu. Jawapan saya, mungkin kerana tempat tumpuan pelancong dan sebab itulah harga menjadi mahal. Namun, adakah wajar sebegitu? Hakikatnya kenaikan harga barang ini bukan sahaja di sini tetapi di tempat lain juga, mungkin kenaikannya tidaklah seperti di sini.

Hari ini nilai wang RM10.00 sudah tidak sama dengan nilai wang RM10.00 pada 5 tahun yang lalu. Hari ini perbelanjaan saya untuk makan dan minum budget RM10.00 sehari. Namun, adakalanya akan terlebih dari RM10.00 bergantung kepada menu yang dipilih. Sebiji kuih pun sudah RM0.50. Sebelum membuat pilihan untuk makan perlu fikir dahulu berapa wang yang dimiliki? Keadaan yang sama apabila berada di tempat membeli belah, dengan nilai RM10.00 berapa jumlah barang yang boleh kita beli? Jika di sini pilihan saya adalah Kedai RM2.00 dan Pasaraya Sabasun...

Begitulah bebanan kos sara hidup pada hari ini. Bagaimana keadaannya 10 tahun akan datang? Masih bernilai lagikah RM10.00?
Sama-samalah kita fikirkannya...

Sekian...

Sunday, October 26, 2014

Rumah Cantik, Rumah Bersih

Assalamualaikum...

Selamat pagi... Hari terakhir cuti dan berada di kampung halaman.

Sepanjang saya berada di kampung, mak, ayah dan adik-adik semua sibuk membersihkan dan mencantikan halaman rumah. Kata ayah, akan diadakan pertandingan rumah bersih dan cantik di kampung kita. Mak yang paling sibuk dengan pelbagai perancangan. Semua pasu bunga diubah kedudukan supaya kelihatan cantik dan menarik. Daun dan bunga yang kering dibuang. Ada pokok-pokok yang digunting dan digubah menjadi bonzar. Ini kerja adik. Kemahiran yang terpendam katanya.

Ayah pula membersihkan daun-daun kering yang berguguran di atas tanah dan sampah-sampah lain. Saya pula ditugaskan untuk menyelesaikan urusan dalam rumah... Ibarat melakukan aktiviti 5S pula. Kata ayah, orang yang akan membuat penilaian akan datang pada bila-bila masa.

Semoga apa yang dilakukan ini akan berterusan. Tambahan pula, sekarang ini wabak aedes sedang menular. Kata emak, "tak menang pun tak pe, puas hati rumah dah bersih. Saya tambah, dan cantik. Jika tidak kerana pertandingan ini mungkin tiada kesungguhan untuk melakukan kerja-kerja membersih dan mencantikan rumah... ;)

Sekian...

Thursday, October 23, 2014

Corat Coret Dalam Kereta

Assalamualaikum...

Hari ini saya bercuti dan ingin menghabiskan masa di kampung halaman. Bukan mudah untuk mendapat peluang sebegini, menghabiskan masa bersama mak, ayah dan adik-adik. Mengimbas kembali cerita ketika dalam perjalanan pulang ke kampung dua hari yang lalu..

Sebaik sahaja habis waktu bekerja jam 5.00 petang saya terus keluar dan adik sudah pun menunggu di kereta. Sudah menjadi kebiasaan sebelum memulakan perjalanan, air dan keropok aka jajan mesti dibeli untuk menghilangkan kebosanan perjalanan yang hampir dua jam. Bergantung kepada keadaan trafik. Perjalanan pulang pada petang itu agak pelahan dek kesesakkan dengan lambakan kenderaan yang berpusu-pusu ke destinasi masing-masing. Mungkin kerana ramai yg mengambil cuti sempena depavali dan awal muharram.

Dalam banyak-banyak perkara yang kami borakkan sepanjang perjalanan dan yang masih saya ingat adalah berkenaan dengan program 'I want to touch a dog'. Adik yang memandu di sebelah mula bertanya kepada saya mengenai isu ini setelah melihat seekor anjing di tepi jalan. "Peka jugak adik aku dengan isu yang berlaku sekarang." Bisik hati kecil saya. Menyedari diri belum cukup ilmu untuk bercakap tentang isu ini, saya memberitahunya..
"Usah kita mengikut sesuatu jika kita tidak tahu akan kesahihannya. Mengikut sesuatu fahaman atau apa sahaja mesti mengikutnya dengan ilmu bukan taklid buta." Saya lihat dia senyum dengan jawapan saya, harap dia faham.

Semoga apa yang berlaku sekarang memberi pengajaran kepada kita semua.
Sekian...

Wednesday, September 17, 2014

Kunjungan Yang Tidak Terduga

Assalamualaikum...

Jam sekarang hampir menunjukkan pukul 10.30 malam. Mata masih lagi segar, belum mengantuk dan jari jemari teringin menaip sesuatu dan idea sudah tidak boleh lagi disimpan, perlu dilontarkan...

Sejak akhir-akhir ini saya sering dikunjungi oleh orang-orang yang sudah bertahun-tahun tidak saya temui. Tidak pernah terlintas di benak fikiran bahawa saya akan bertemu dengan mereka. Beberapa bulan lepas saya dikunjungi oleh seorang kawan lama yang dikenali sewaktu di universiti. Banyak kenangan kami sewaktu bersama. Yang tidak dapat saya lupakan, dia pernah bawakan saya isi buah durian yang sudah diasingkan dari kulitnya dengan menaiki bas.

Pada hari itu, sebaik sahaja selesai mesyuarat saya bergegas pulang ke pejabat setelah mendapat panggilan dari seorang kawan lain mengatakan ada seseorang yang sangat saya kenali ingin berjumpa. Sebaik sahaja sampai di pintu pejabat dia tiba-tiba muncul di hadapan... sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu. Kini dia adalah seorang peguam dan sudah memiliki sebuah keluarga dan seorang anak yang comel. Happy for you my friend.

Cerita seterusnya pada minggu ini, beberapa hari yang lepas. Asyik saya menyiapkan kerja, seseorang mengetuk pintu bilik pejabat dan setelah dibuka dari luar... "arrghhh rindunya"... itu ayat pertama yang kami sama-sama laungkan. Dialah kawan saya yang banyak membantu dan memberi semangat sewaktu kami sama-sama berada di taman ilmu dan budi beberapa tahun dahulu. Dia juga sudah berjaya, mempunyai firma guaman sendiri dan juga sebuah keluarga yang bahagia. Congrats my friend, happy for you too. Walaupun kunjungan-kunjungan ini hanya sekejap, namun sudah cukup untuk mengeratkan kembali ukhuwah yang sudah terjalin.

Saya sudahi coretan malam ini dengan kata-kata ini yang saya petik dari buku SMILE...

'Rakan-rakan di alam pekerjaan berbeza dengan rakan-rakan di alam persekolah. Ketika kita bersekolah kita berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa menjangka dia menjadi orang hebat pada masa akan datang. Mereka mempunyai nama tersendiri dalam dunia masing-masing, tetapi kerana persahabatan yang bermula dari nama yang kecil sehingga besar... itu yang menjadi lebih telus, ikhlas dan berpanjangan.'

Buat kawan-kawan saya itu terima kasih di atas kunjungan kalian. Semoga kita berjumpa lagi dan esok saya akan dikunjungi lagi oleh seseorang...♥

Sekian dan selamat malam...♡

Thursday, September 11, 2014

Obses Dengan Buku

Assalamualaikum...

Pagi ini cuaca agak sejuk, mungkin dek kerana malam tadi hujan turun membasahi bumi... Suasana sebegini sangat sesuai untuk mengayam mimpi, memandangkan hari ini pula cuti hujung minggu di sini. Rasanya tidak elok pula jika tidur sampai ke siang hari. Sudahnya keputusan dibuat untuk mencoretkan sesuatu di ruang maya ini.

Pagi ini saya mahu menulis tentang buku... Buku saya memang banyak, dari zaman sekolah, zaman universiti hinggalah sekarang saya suka beli buku. Adik pernah menegur, asyik membeli je, bila bacanya? Saya senyum je. Tidak dinafikan ada beberapa buah buku yang masih belum habis saya baca. Apa pun saya akan pastikan buku-buku itu saya akan baca. Apa sahaja buku yang saya rasakan menarik dan memberi manfaat akan menjadi pilihan... Tambahan pula, buku boleh dibeli secara online. Tidak perlu mengambil masa yang lama. Semua di hujung jari. Tetapi saya lebih suka membeli di kedai buku kerana ia satu kepuasan yang sukar digambarkan.

Sekarang sedang memikirkan cara untuk  menyediakan sebuah perpustakaan mini untuk buku-buku ini. Walaupun namanya perpustakaan mini, tetapi memerlukan ruang yang agak luas juga. Semoga impian ini tercapai suatu hari nanti. Sudah banyak buku yang telah diberikan kepada orang terutamanya buku-buku semasa belajar dahulu. Ada juga yang dipinjam dan tidak dikembalikan. Tidak mengapa. 

Ingin saya kongsikan beberapa mutiara kata tentang buku ;

♣Buku lama adalah buku baru bagi yang belum membacanya - Samuel Butler

♣Sebuah kamar tanpa buku bagaikan tubuh tanpa jiwa - Marcus T. Cicero

♣ Membaca buku pertama kalinya seperti berkenalan dengan seorang teman baru, membacanya untuk kali kedua seperti bertemu teman lama - Peribahasa Cina

Sampai di sini dahulu coretan saya untuk pagi ini. Selamat berhujung minggu dan selamat bercuti kepada kawan-kawan yang bergelar guru. Kebiasaannya cuti sekolah akan ada pesta buku...;-)

"BuKu AdAlAh JeNdElA KeHiDuPaN"

Tuesday, September 9, 2014

Saya Masih Ingin Menulis...♥

Assalamualaikum...

Terlalu lama saya meninggalkan dunia blogging. Bukan sudah tidak mahu menulis atau sudah kering idea, ini berpunca daripada laptop kesayangan saya sudah tidak dapat lagi memberi khidmatnya... Bukan tidak boleh untuk  mengemaskini blog dengan menggunakan computer di pejabat....tapi bersalah rasanya menggunakan harta bukan milik kita untuk kepentingan lain dan masa yang sepatutnya kita gunakan untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

Kini saya sudah menemui cara baru dan lebih mudah untuk terus menulis di sini.... Via smart phone. Terima kasih mr google...:-) Ini percubaan pertama saya. Harap-harap berjaya... Sebagai permulaan saya sudahi dengan kata-kata ini...

"Buatlah orang lain gembira... nescaya Allah akan mengembirakan kita dengan perkara yang tidak kita jangka."

Sekian... ♡