Berapa ramai agaknya di kalangan kita yang sedar
bahawa bulan Oktober adalah Bulan Bahasa Kebangsaan? Mungkin ada yang bertanya,
kenapa perlu saya ambil tahu? Pada saya, sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu mengambil tahu mengenainya dan
sama-sama memberi sokongan. Antara perkara yang boleh kita lakukan ialah
menggunakan Bahasa Melayu dengan betul.
Beberapa minggu lepas saya melihat adik sedang
menyiapkan kerja sekolahnya. Saya melihat beberapa perkataan yang dieja secara
ringkas seperti perkataan ‘selepas’ dieja ‘slps’, ‘Malaysia’ dieja ‘Msia’ dan
beberapa perkataan lain lagi. Saya terfikir bagaimana agaknya sekiranya tabiat
ini terbawa-bawa hingga ke dewan peperiksaan?
Kita selalu menggunakan ejaan ringkas untuk menulis
mesej di telefon bimbit. Itu boleh diterima kerana alasannya ingin menjimatkan
ruang dan kos. Namun, penggunaan ejaan ringkas di kalangan pelajar pada hemat
saya adalah tidak wajar walau apa sekalipun alasannya. Bunyinya seperti terlalu
‘extreme’ . Adik saya juga tidak
boleh menerima pendapat saya ini. Tidak mengapa, semoga dia tidak membuat
kesilapan semasa berada dalam peperiksaan nanti, terutamanya ketika menjawab kertas
peperiksaan Bahasa Melayu. Harus diingat biasanya tabiat akan mempengaruhi
tindakan.
Secara realitinya sukar untuk membendung masalah
penggunaan ejaan ringkas yang berlaku bukan sahaja di kalangan pelajar malah
juga oleh semua golongan termasuk diri saya. Hal ini demikian kerana ia
bergantung kepada sikap kita sebagai pengguna bahasa Melayu itu sendiri. Menggunakan bahasa Melayu dengan betul
merupakan salah satu cara kita mendaulatkan dan memuliakan kedudukan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh yang demikian, bermula saat
dan ketika ini… ayuh kita lakukan
perubahan dengan menggunakan bahasa Melayu dengan betul iaitu tidak lagi
menggunakan ejaan ringkas termasuklah di alam maya ini.
Di sini sedikit perkongsian tentang Bulan Bahasa Kebangsaan. Ia adalah
kesinambungan kegiatan bahasa yang pernah diadakan pada tahun 1960-an. Bulan
Bahasa Kebangsaan yang bermula pada 1961 sebenarnya bermula dengan Minggu
Bahasa Kebangsaan dan telah dilancarkan pada 30 Januari 1960 di Kuala Lumpur oleh
Tunku Abdul Rahman. Kemudian Minggu Bahasa Kebangsaan digantikan dengan Bulan
Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan pada 22 Julai 1961 di Stadium Merdeka. Kini
saban tahun setiap kali tiba bulan Oktober kita meraikannya.
1
Bahasa 1 Bangsa 1 Negara
Sekian untuk hari ini…