Friday, June 28, 2013

Momentum Daripada Sabar

 
 
Salam jumaat, hari ini sudah pun 19 Syaaban. Ini menandakan kita semakin hampir dengan bulan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam, bulan Ramadan penuh barakah.
Kata orang di sebalik duka ada suka… tapi bagaimana untuk melahirkan rasa suka itu ketika diri sedang berduka? Inilah coretan pendek saya kali ini.
Setiap apa yang berlaku adalah dugaan dan ujian dariNya untuk menguji tahap kesabaran kita. Di saat kedukaan, kita menahan diri daripada mengeluh, menahan lidah daripada mengadu dan menahan anggota daripada melakukan maksiat. Dengan ini mihnah  iaitu ujian menjadi minhah iaitu kurniaan Allah dan bala menjadi pemberian.  Inilah kesabaran yang sepatutnya ada dalam diri di saat itu...
Maka dengan sabar kebaikan yang ada pada sesuatu yang kita benci menjadi sesuatu yang kita sukai. Inilah momentum daripada sabar. Dalam duka menjadi suka.
Hidup ini indah dengan sabar dan sabar itu cantik… pujuklah hati, duhai hati bersabarlah.



Saturday, June 22, 2013

Pandangan Mata Selalu Menipu

 
 

Jangan tertipu oleh terangnya bulan
Kerana di sebaliknya ada sisi gelap

Jangan menghina kelamnya malam
Kerana disebalik itu mungkin masih ada setitik cahaya

Begitulah perumpamaan kehidupan

Jangan terlalu silau dengan yang nampak mewah dari penampilan
Kerana belum tentu mencerminkan peribadi
Jangan pula menghina yang nampak sederhana
Kerana boleh jadi di sebalik itu tersembunyi sesuatu yang mempersonakan


pandangan mata selalu menipu

pandangan akal selalu tersalah

pandangan nafsu selalu melulu

dan pandangan hatilah yang hakiki sekiranya hati itu bersih..

Sunday, June 16, 2013

Best Ke Baca Novel?

"Best ke baca novel?" Tanya seorang kawan apabila dia melihat koleksi novel yang saya ada. Pada saya, best bagi orang yang suka membaca. Tengoklah ketebalan sesebuah novel, ada yang mencecah hingga 600 muka surat dan penuh dengan tulisan tanpa rajah. Mungkin orang yang tidak suka membaca merasakan ia tidak best. Ada juga yang merasakan membaca novel best dan menghiburkan berbanding membaca buku-buku ilmiah. Tidak menarik dan membosankan.

Saya memang peminat novel terutamanya novel-novel tulisan Ramlee Awang Murshid (RAM). Cinta pandang pertama saya dengan novel beliau ialah 'Rahsia Perindu'. Itulah novel beliau yang pertama saya baca. Sejak itu saya selalu mengikuti perkembangan novel-novel beliau. Ada beberapa novel tulisan beliau yang berkait rapat dengan dunia perundangan dan yang pasti semua novel tulisannya berbentuk thriller. Itu yang menarik minat saya untuk membaca kesemua novelnya.

Ini koleksi buku RAM yang saya miliki dan waktu gambar ini diambil masih ada 3 buah buku yang belum saya beli
 

Saya juga membaca novel-novel lain seperti karya Fauziah Ashari, Aina Emir, Lily Haslina, Sri Diah dan ramai lagi.
 
Kembali kepada persoalan di atas, terpulang kepada individu itu sendiri. Novel kini bukan sekadar cerita fantasi yang tidak berpijak kepada bumi nyata, tetapi ada ilmu yang dikongsi dengan pembaca. Baca novel mungkin langkah pertama untuk memupuk minat membaca.
 
Kepada peminat-peminat buku, Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR BH 2013 masih berbaki 7 hari lagi, ayuh hantarkan undian segera. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 23 Jun 2013.
 
 
 
 Sumber: Facebook Ramlee Awang Murshid Fun Club
 
Peminat novelist RAM berikan undian kepada 'Sunan Musafir'
 
Peminat novelist Fauziah Ashari berikan undian kepada 'kan Ku Kejar Cinta Kami'
 
Sedikit perkongsian tentang  penilaian dunia buku:
 
1 bintang - Teruk
2 bintang - Cuba baca dulu
3 bintang - Tak rugi baca
4 bintang - Patut baca
5 bintang - Rugi tak baca 
 
(Sumber: Berita Harian)


Monday, June 3, 2013

Tetamu Istimewa


Coretan saya kali ini adalah mengenai tetamu istimewa yang telah berkunjung ke rumah saya beberapa hari yang lepas. Sudah lama saya tidak menemui kakak yang seorang ini. Kali terakhir kami berjumpa ialah pada tahun 2010, hampir tiga tahun kami tidak berjumpa. Deringan telefon pada pagi 28hb lalu memberi khabar gembira kepada saya. Katanya, dia akan berkunjung ke rumah saya.




Perkenalan kami bermula ketika saya belajar di kelas bahasa sewaktu di UIAM. Masih segar di ingatan, pada hari pertama kelas dia mengajak saya untuk pulang bersama menaiki keretanya. Saya terus bersetuju, memandangkan pada waktu itu saya tidak mengenali sesiapa. Bermula dari situ kami mula rapat. Dia selalu berkunjung ke bilik saya dan begitulah sebaliknya. Dia seperti kakak sendiri, selalu memberi nasihat dan kata-kata perangsang. Bukan itu sahaja kami juga berkongsi suka dan duka bersama. 

Pertemuan kami setelah tiga tahun tidak berjumpa membuatkan saya begitu teruja untuk menyambut kedatangannya. Bubur kacang, kuih kacang dan teh O ais menjadi hidangan untuk tetamu istimewa saya pada hari itu. Hampir dua jam pertemuan kami pada hari itu. Banyak cerita yang ingin dikongsikan. Masa berlalu begitu pantas, sedar tak sedar waktu untuk kami berpisah sudah tiba. Dek kerana hari sudah petang dan perjalanan pulang yang jauh dia meminta izin untuk pulang. Insya Allah mudah-mudahan kami akan dipertemukan lagi… walaupun kami boleh bertemu di alam maya, namun pertemuan di alam nyata, ‘face to face’ adalah berbeza.


Terima kasih akak sudi bertandang ke rumah saya… Semoga kita berjumpa lagi…
Ketabahan dan kesabaran akak menjadi perangsang untuk saya supaya lebih tabah dalam meniti kehidupan ini…Thanks…