Saturday, April 7, 2012

Cermin Diri Melalui Kisah Sang Kancil Dan Sang Harimau


Cerita Sang Kancil dan Sang Harimau semestinya popular di kalangan kanak-kanak. Jika dihayati dan difahami cerita ini bukan sahaja baik untuk diteladani oleh kanak-kanak sahaja malah baik untuk orang dewasa juga termasuklah diri saya...:)

Setiap kali Sang Kancil terserempak dengan Sang Harimau pelbagai helah digunakan semata-mata untuk menyelamatkan dirinya. Suatu hari di saat Sang Hariamu sudah bersedia untuk menerkam ke arah Sang Kancil, Sang Kancil mendapat satu helah untuk memperdayakan Sang Harimau.

"Tunggu wahai Sang Harimau yang gagah perkasa, sebelum kau jadikan aku hidanganmu, aku ingin sampaikan satu pesanan." Ujar Sang Kancil.

"Pesan apa wahai kancil?" Sergah Sang Harimau sambil menunjukkan taring dan kukunya yang tajam.

"Sebenarnya aku disuruh oleh seekor harimau yang lain sama seperti kamu untuk menyampaikan pesanan mahu bertarung kekuatan denganmu wahai Sang Harimau." Sang Kancil mereka cerita.

"Di mana kamu menemui harimau itu? Berani menentang aku. Tunjukkan kepada aku sekarang juga!" Ujar Sang Harimau dengan amarah yang membara.

"Harimau itu sedang menunggumu di tepi sungai sana."

Lantas, Sang Harimau berlari menuju ke arah sungai yang dikatakan oleh Sang Kancil. Di saat Sang Harimau berada di tebing sungai matanya melilau mencari Harimau yang mahu menentangnya dan pada ketika itu Sang Harimau melihat satu bayangan yang menyerupai dirinya di dalam air. Sang Harimau menyangka bayangan itu adalah lawannya lalu mengaum. Betapa terkejutnya Sang Harimau apabila melihat bayangan harimau itu juga membuka mulut dan menampakkan taringnya yang tajam. Sang Harimau berasa tercabar lalu terjun ke dalam sungai itu. Maka terselamatlah Sang Kancil daripada menjadi mangsa Sang Harimau.

Jelaslah bahawa Sang Harimau tidak pernah melihat dirinya (tidak pernah bercermin) dan tidak mengenali kekuatan serta kekurangan yang ada pada dirinya. Akibatnya, mudah diperdaya oleh Sang Kancil.

Cermin diri, bukan sekadar melihat luaran fizikal tapi dalaman. Melihat bukan sekadar dengan mata tapi melihat dengan mata hati - pandangan yang paling tepat dan hakiki kerana hati pada asalnya bersih dan baik.

No comments: