Thursday, August 18, 2011

Mohonlah maghfirah daripadaNYA

Sebuah kisah pengajaran yang diceritakan Nabi S.A.W dalam satu hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya orang yang paling alim di negeri itu, lalu ditunjukkan kepada seorang pendeta (ahli ibadat). Lantas, dia berjumpa dengan pendeta tersebut dan memberitahu bahawa dia telah membunuh seramai 99 orang dan bertanya, adakah dia masih boleh bertaubat? Pendeta itu menjawab, "Tidak." Lalu dibunuhnya pendeta tersebut dan genaplah 100 orang.

Kemudian dia bertanya lagi mengenai orang yang paling alim di negeri itu dan ditunjukkan kepada orang yang paling alim. Lantas, dia pun berjumpa dengan orang alim tersebut dan memberitahu bahawa dia telah membunuh seramai 100 orang dan bertanya adakah tuhan masih boleh menerima taubatnya? Orang alim tersebut menjawab, "Ya, masih boleh. Siapa yang menghalang di antara dirinya dengan taubat. Pergilah ke tempat ini, di sini penduduknya beribadat menyembah Allah. Sembahlah bersama-sama dengan mereka dan jangan pulang ke kampung halamanmu kerana ia adalah tempat yang buruk. Maka, pergilah orang itu ke tempat yang disebutkan.

Dalam perjalanan ajalnya sampai. Kemudian, terjadilah perdebatan di antara malaikat rahmat dan malaikat azab. Malaikat rahmat berkata, "Lelaki ini berangkat untuk benar-benar bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada Allah." Malaikat azab pula berkata, "Namun dia belum pernah membuat sebarang kebaikan." Kemudian datanglah seorang lagi malaikat dalam rupa bentuk manusia dan berkata, "Ukurlah dua daerah itu dan daerah yang lebih dekat itu ketentuan nasibnya." Maka dua malaikat itu pun mengukurnya dan mendapati daerah yang dituju lelaki itu lebih dekat.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIA adalah zat yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

Pengajarannya di sini janganlah kita berputus asa dari rahmatNYA selagi diberi peluang hidup.(peringatan untuk diri sendiri juga) Semoga kita semua mendapat maghfirah (keampunan) daripadaNYA di bulan yang mulia ini.



No comments: