Sunday, August 28, 2011

Raya merdeka


'Berlalu sudah Ramadhan sebulan berpuasa
Tiba syawal kita rayakan dengan rasa gembira
Anak muda di rantauan semuanya pulang ke desa
Ibu dan ayah keriangan bersyukur tak terkira'

Kini Ramadhan sudah menghampiri garis penamatnya. Semoga kita semua berkesempatan bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang. Insya Allah... Sana sini keceriaan jelas terpancar tatkala mahu menyambut Syawal yang bakal tiba. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan

"SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN" kepada semua. Semoga raya kali ini lebih bermakna dan kepada yang ingin pulang ke Kampung berhati-hati di jalan raya, semoga selamat sampai ke destinasi yang di tuju.


DAN


"SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-54"

-Ayuh kita kibarkan jalur gemilang-

Sunday, August 21, 2011

Bicara ramadhan


Ramadhan...
Ketibaannya dinanti penuh syahdu
Permulaannya rahmat

Pertengahannya keampunan

Pengakhirannya pembebasan dari azab neraka

Ramadhan...

Bulan muhasabah diri

Bulan penyucian jiwa

Bulan tarbiah

Bulan menyemai sebanyak mungkin amalan

Kerana pahalanya berlipat ganda


Hari demi hari Ramadhan sudah dilalui

Pada malam hari dihiasi solat terawih

Diiringi suara tadarus

Pada siang hari ibadat puasa dihayati

Bukan sekadar lapar dan dahaga
Tapi juga medan ujian hati


Kini...
Semakin resah menghitung hari

Ramadhan hampir meninggalkan kita

10 malam terakhir malam lailatulqadar

Kita jejaki

Malam yang lebih baik dari seribu bulan
Sebentar lagi Ramadhan akan pergi

Pemergiaannya ditangisi

Kerana kita belum pasti akan bertemu lagi dengan

Ramadhan yang akan datang...

Mungkinkah ini Ramadhan terakhir buat kita

Thursday, August 18, 2011

Mohonlah maghfirah daripadaNYA

Sebuah kisah pengajaran yang diceritakan Nabi S.A.W dalam satu hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya orang yang paling alim di negeri itu, lalu ditunjukkan kepada seorang pendeta (ahli ibadat). Lantas, dia berjumpa dengan pendeta tersebut dan memberitahu bahawa dia telah membunuh seramai 99 orang dan bertanya, adakah dia masih boleh bertaubat? Pendeta itu menjawab, "Tidak." Lalu dibunuhnya pendeta tersebut dan genaplah 100 orang.

Kemudian dia bertanya lagi mengenai orang yang paling alim di negeri itu dan ditunjukkan kepada orang yang paling alim. Lantas, dia pun berjumpa dengan orang alim tersebut dan memberitahu bahawa dia telah membunuh seramai 100 orang dan bertanya adakah tuhan masih boleh menerima taubatnya? Orang alim tersebut menjawab, "Ya, masih boleh. Siapa yang menghalang di antara dirinya dengan taubat. Pergilah ke tempat ini, di sini penduduknya beribadat menyembah Allah. Sembahlah bersama-sama dengan mereka dan jangan pulang ke kampung halamanmu kerana ia adalah tempat yang buruk. Maka, pergilah orang itu ke tempat yang disebutkan.

Dalam perjalanan ajalnya sampai. Kemudian, terjadilah perdebatan di antara malaikat rahmat dan malaikat azab. Malaikat rahmat berkata, "Lelaki ini berangkat untuk benar-benar bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada Allah." Malaikat azab pula berkata, "Namun dia belum pernah membuat sebarang kebaikan." Kemudian datanglah seorang lagi malaikat dalam rupa bentuk manusia dan berkata, "Ukurlah dua daerah itu dan daerah yang lebih dekat itu ketentuan nasibnya." Maka dua malaikat itu pun mengukurnya dan mendapati daerah yang dituju lelaki itu lebih dekat.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIA adalah zat yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

Pengajarannya di sini janganlah kita berputus asa dari rahmatNYA selagi diberi peluang hidup.(peringatan untuk diri sendiri juga) Semoga kita semua mendapat maghfirah (keampunan) daripadaNYA di bulan yang mulia ini.



Wednesday, August 10, 2011

Kisah norma dan talib

Adakalanya kita rasa hidup kita cukup susah...begitu banyak ujian...namun ada lagi orang di sekeliling kita yang lagi susah dan sungguh hebat ujian untuknya.

Di saat saya membaca kisah ini, air mata terus mengalir. Ianya cukup meruntung hati saya. Dugaan dan cabaran kehidupan sepasang suami isteri yang diuji oleh Allah.
Saya mendoakan semoga dia dan keluarganya tabah menghadapi ujian ini... Allah sentiasa bersama-sama dengan mereka.

Sila klik...Bacalah kisah norma dan talib...

Sama-sama kita doakan semoga dia cepat sembuh dan dapat menjaga anaknya yang masih kecil.





Tuesday, August 9, 2011

Mungkin tidak bahagia dunia tapi bahagia di akhirat

Sebuah kisah yang mengisahkan tentang seorang lelaki di kalangan sahabat Rasulullah S.A.W. Ketika itu di Madinah terdapat seorang perempuan yang cantik, namun tidak ada seorang pun pemuda Madinah yang berani meminang perempuan tersebut. Kemudian seorang lelaki yang sudah berumur dan buta matanya datang berjumpa dengan ayah perempuan tersebut.

"Dengar cerita, ada seorang gadis di rumah ini. Saya datang untuk meminang anak tuan untuk saya." Beritahu lelaki tersebut.

Mendengar kata-kata lelaki tersebut, si ayah meminta tempoh selama seminggu dan datang semula pada minggu hadapan. Dalam masa seminggu si ayah menyiasat siapakah lelaki tersebut. Setelah disiasat rupa-rupanya lelaki itu ialah sahabat Rasulullah, seorang yang warak dan tidak hidup dalam dosa.

Seminggu kemudian, lelaki tersebut datang dan bertanya adakah pinangannya diterima. Si ayah memberitahu bahawa pinangannya diterima. Maka berkahwinlah mereka. Si ayah memberitahu kepada anaknya, "Mungkin kamu tidak bahagia di dunia, tetapi kamu akan bahagia di akhirat."

Setelah berkahwin...

Suatu hari si isteri bertanya kepada suaminya, "Kenapa kamu mahu berkahwin dengan saya? Kamu tua dan saya muda."

"Betulkah kamu muda?" tanya si suami. Lantas si suami mencabut seurat uban di kepala isterinya, sedangkan hanya seurat itu sahaja uban di kepala si isteri. Kemudian, si suami meminta isterinya mencari uban di kepalanya. Puas si isteri mencari, namun tidak menjumpai seurat uban pun.

"Tiada uban tanda muda dan mati tidak syarat tua." kata si suami.

Beberapa hari kemudian...

Si isteri memberitahu si suami, "Semua jiran-jiran kita ada gelang emas, saya pun teringin juga."

Lantas, si suami membawa isterinya ke perigi dan diambil sebiji timba dan ditimba dari perigi tersebut. Dengan takdir Allah dalam timba itu penuh dengan emas. Lalu si isteri terus ingin mengambil emas itu dengan pantas si suami mencapai tangan si isteri dan berkata, "Kamu ambil emas ini, kita berpisah."

Si isteri tidak sanggup berpisah dengan suaminya dan sanggup berpisah dengan emas.

Selepas kejadian itu si isteri menyiasat siapakah sebenarnya suaminya itu? Setelah disiasat rupa-rupanya suaminya itu ialah wali Allah dan sahabat Rasulullah.