Thursday, July 28, 2011

Sebelum ramadhan


Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan. Begitulah dari Muharam hingga ke Rejab, dari Rejab hingga ke Syaaban yang kian melabuhkan tirainya. Kini, Ramadan bakal membuka tirainya dan akan menggamit kita dengan ibadah puasa yang merantai nafsu dengan segala kelazatan rezeki.

Sebelum kaki melangkah ke bulan yang penuh barakah, pandang sejenak ke belakang sudahkah kita melunaskan hutang puasa yang lepas? Itulah peringatan seorang kawan kepada saya beberapa hari lepas. Alhamdullilah... Semuanya telah tertunai. Di sini sedikit perkongsian ilmu yang ingin saya kongsikan mengenai ibadat puasa. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
(Surah al-Baqarah : 183)

Namun, dalam keadaan tertentu seperti bermusafir (jarak perjalanan yang melebihi 2 marhalah) atau sakit, kita boleh meninggalkan puasa. Keadaan ini dinamakan sebagai rukhsah. Rukhsah ialah hukum syarak yang diberikan pengecualian disebabkan terdapat keuzuran yang berat, sebagai pengecualian daripada hukum asal yang menyeluruh, namun mengikut batasan kadar yang perlu. Harus tidak berpuasa itu merupakan hukum syarak yang selari dengan keuzuran yang berat iaitu musafir atau sakit. Ia adalah sebagai pengecualian daripada hukum asal yang menyeluruh iaitu wajib puasa. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"...Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka)..."
(Surah al-Baqarah : 184)

Apabila selesai musafir atau kembali sihat, maka wajiblah kembali kepada hukum asal, wajib puasa.

Berikut ialah keadaan yang mewajibkan kita qada (ganti) sahaja puasa yang telah ditinggalkan atau membayar fidyah sahaja untuk puasa yang telah kita tinggalkan atau kedua-duanya sekali.

Wajib Qada Sahaja
  • Orang sakit yang memberi mudarat sekiranya dia terus berpuasa
  • Musafir
  • Perempuan yang berada dalam haid dan nifas
  • Perempuan yang mengandung atau menyusukan anak dan bimbang akan kesihatan dirinya
Wajib Fidyah Sahaja
  • Orang tua yang tidak mampu berpuasa
  • Orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh
  • Orang yang bekerja kuat sepanjang tahun
Wajib Qada Dan Fidyah
  • Orang yang lewat menqadakan puasanya hingga tiba Ramadan tahun berikutnya
  • Perempuan yang mengandung dan bimbang tentang dirinya dan kandungannya
  • Perempuan yang menyusukan anak dan bimbang akan kesihatan dirinya dan anaknya
  • Perempuan yang mengandung atau menyusukan anak dan bimbang akan anaknya sahaja
Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan....

Monday, July 25, 2011

Kenapa saya tidak boleh berkawan dengan awak


Tit... Tit...

"Siapa yang hantar mesej malam-malam ni?" tanya saya kepada adik.

"Tak tahu salah nombor." saya tersenyum.

Beberapa minit kemudian...

Tit... Tit...

"Kali ni siapa pulak?" tanya saya setelah melihat adik tersenyum-senyum.

"Dia cakap nak berkenalan." adik takut-takut untuk memberitahu saya. Dia seolah-olah tahu apa yang ada dalam fikiran saya.

"Mula-mula mesej, lepas tu jumpa, lepas tu..." adik tersenyum melihat saya yang sedikit emosi.

Memelihara maruah dan kehormatan diri adalah perkara penting dalam syariat Islam. Antara cara dan panduannya ialah menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Asasnya pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah haram. Namun, dalam keadaan terpaksa dan keperluan yang mendesak ianya adalah harus. Keadaan ini terbahagi kepada 2:-

1. Harus kerana terpaksa (dharurah)
  • Seperti yang disebutkan oleh Iman Nawawi katanya, "Berkata ahli mazhab Syafie: "Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Keadaan ini dikecualikan jika seorang lelaki ajnabi mendapati seorang perempuan ajnabi bersendirian berjalan jauh dari kumpulan manusia, maka harus dia menumpangkan perempuan tersebut jika dibimbangi keselamatannya. Harus juga bagi seorang lelaki ajnabi melarikan seorang perempuan bagi tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu jalan untuk menyelamatkan perempuan tersebut.
2. Harus kerana keperluan (hajat)
  • Kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak, termasuklah urusan tawar menawar dan memilih barang dengan syarat tidak berdua-duaan dan memelihara adab-adab pergaulan.
  • Tujuan penghakiman. Harus bagi wanita menjadi hakim dalam kes selain dari hudud pada pandangan Hanafiah. Kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada tertuduh, pendakwa dan saksi.
  • Tujuan penyaksian.
  • Kerana amar makruf nahi mungkar, Ibnu Hazmin ada menyebut bahawa Umar telah melantik al-Syifa' menjadi penguat kuasa perbandaran, maka sudah tentulah beliau bercampur dengan lelaki semasa menjalankan tugasnya.
  • Kerana melayan tetamu.
  • Berada dalam kenderaan awam.
  • Kerana kerja-kerja jihad seperti merawat pesakit.
  • Tujuan pembelajaran dan mendengar nasihat.
  • Suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Percampuran antara lelaki dan perempuan ketika menziarahi sanak saudara contohnya makan satu meja.
Keadaan ini semua diharuskan selagi memelihara adab-adab pergaulan yang telah ditetapkan.

Batasan aurat lelaki dan perempuan.

Aurat perempuan dengan perempuan dan lelaki mahram : Dari pusat hingga lutut

Aurat perempuan dengan perempuan bukan Islam dan lelaki bukan mahram : Seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan

Aurat lelaki dalam semua keadaan kecuali dengan isteri : Dari pusat hingga lutut

***Lelaki Mahram : Suami, anak lelaki, adik-beradik lelaki, ayah, datuk....
***Lelaki Bukan Mahram : Sepupu, lelaki ajnabi

(Rujukan : Sheikh Abd. Karim Zaidan, Kitab al-Mufassal Fi al-Ahkam al-Mar'ah)

Tuesday, July 19, 2011

Juvana

Ini adalah antara watak-watak yang terdapat dalam drama bersiri ini


Masalah juvana sering menjadi bualan masyarakat di sekeliling kita. Mengikut perundangan kesalahan juvana melibatkan seseorang yang berumur antara 10 tahun hingga 18 tahun dan boleh diiktiraf sebagai mengetahui akibat perlakuannya 'tanggungjawab jenayah'.

Semalam berakhirnya drama bersiri 'juvana' yang disiarkan di tv3 setiap isnin jam 9 malam. Drama bersiri ini mengisahkan tentang dunia juvana di kalangan remaja yang menjadi penghuni pusat pemulihan akhlak. Tiada kisah percintaan dan perebutan harta... Watak utamanya adalah Daim, seorang remaja lelaki yang berusia 17 tahun yang dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak (Sek Wira Bakti) kerana dituduh membunuh ibunya dan teman lelaki ibunya, walaupun sebenarnya dia tidak bersalah. Di sinilah bermulanya kehidupan baru Daim bersama-sama dengan pesalah juvana yang lain yang sememangnya bermasalah dan berdepan dengan warden yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri.


Kita selalu mempunyai tanggapan yang salah terhadap pesalah juvana. Drama ini mungkin akan mengubah pandangan masyarakat bahawa mereka boleh berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Seperti mana yang diceritakan oleh Daim seorang banduan yang tidak tahu membaca dan menulis, mampu menulis sebuah buku setelah dia berada di penjara. Jika dia tidak berada di penjara mungkin sehingga kini dia tidak tahu membaca dan menulis. Begitulah juga dengan watak-watak yang dipaparkan di dalam drama ini. Mereka mula berubah perlahan-lahan dengan kehadiran Cikgu Zakiah dan Daim sendiri yang merubah kawan-kawanya. Selain daripada diri sendiri, perubahan dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Sama ada perubahan ke arah kebaikan atau keburukan. Contohnya, Botak menjadi pembuli kerana ayahnya dan tidak mampu untuk berubah walaupun berada di Sek Wira Bakti kerana kalah dengan hasutan warden yang tidak bertanggungjawab serta menganggap Cikgu Zakiah dan Daim adalah punca pelajar-pelajar lain tidak menghormatinya.


Cikgu Zakiah berjaya membawa perubahan kepada pelajar-pelajar di sini dan menjadikan Daim lebih berani sehingga boleh melawan Botak. Persatuan debat yang ditubuhkan telah membuka mata masyarakat luar bahawa pelajar di sekolah juvana adalah setaraf dengan pelajar-pelajar di sekolah biasa. Mungkin mereka lebih hebat. Keadaan bertambah meruncing apabila Daim mendengar perbualan Warden Raja dengan Tony bahawa Raja telah menggunakan dana yang diberikan oleh Datuk Wira untuk kepentingannya. Watak Cikgu Azmee yang baik, rupa-rupanya sekian lama bersubahat dengan Raja dan Tony. Lebih mengejutkan watak Cikgu Ariffin yang sebelum ini bengis dan bermasalah tidak terlibat dengan komplot ini. Itulah pandangan dari luar tidak menjamin apa-apa. Baik atau jahat seseorang itu.

Kata orang, orang baik selalu menang... Begitulah warden Raja dan Cikgu Azmee ditangkap dan Botak meminta maaf kepada semua dan menyesali perbuatannya. Ternyata Botak hanya menjadi suruhan kepada Raja, kerana ketidakpuasan hatinya dia kalah dengan hasutan. Daim dibebaskan setelah tuduhan ke atasnya digugurkan. Sekolah Wira Bakti telah merubah masa depan pelajar-pelajar di sini... Apek, berjaya menjadi tokoh korporat, Kicap pengurus restoran dan Daim menjadi Cikgu Daim dan mengajar di Sekolah Wira Bakti. Cerita ini penuh dengan pengajaran walaupun ada unsur-unsur keganasan. Pengajaran kepada remaja supaya tidak terjebak dengan jenayah juvana yang membawa mereka ke sini dan juga peranan ibubapa dalam pemantauan terhadap anak-anak. Kurang perhatian... seperti mana yang berlaku kepada Watak Ayam.

Ini adalah petikan kata-kata yang terdapat dalam drama bersiri ini...

"Tanpa disiplin kamu sama seperti binatang"

"Akal kalu diasah tajam-tajam boleh jadi senjata"


"Raja yang zalim tidak akan dihormati, tapi raja yang memerintah dengan penuh belas kasihan akan disanjung"


"Buku bukan hanya untuk dibaca, dipersoal setiap baris dan juga idea... kenapa? supaya awak boleh menjadi diri sendiri, tidak menerima kata-kata orang bulat-bulat dan jangan takut menegakkan keadilan"

Antara babak yang menyentuh perasaan ialah ketika Kedah dan Daim dibebaskan dan meninggalkan kawan-kawannya di Sekolah Wira Bakti.

Drama ini boleh ditonton di http://malaymoviesfull.blogspot.com

Thursday, July 14, 2011

Dia...


Dia seorang perempuan
Dia seorang anak
Dia seorang kakak kepada adik-adiknya
Dia seorang isteri
Dia seorang ibu kepada 2 orang cahaya mata
Dia seorang menantu
Dia seorang adik ipar dan kakak ipar
Dia seorang guru kepada pelajar-pelajarnya

Begitu banyak tanggungjawabnya. Ada kalanya dia tidak mampu untuk memenuhi semua kehendak orang-orang di sekelilingnya.
Sering kali dia mendengar rungutan dan ketidakpuasan hati orang-orang di sekelilingnya.
Dia juga manusia biasa yang banyak kekurangan dan kelemahan.
Namun... Saya kagum dengannya.
Dia tidak pernah merungut dan tetap melaksanakan tugasnya. Katanya, jika kita ikhlas dan sabar dalam melaksanakan tanggungjawab Insya Allah kita akan dihargai. Mungkin bukan sekarang, tapi suatu hari nanti orang-orang di sekeliling kita pasti akan menghargainya.

Begitulah dia yang saya kenal sentiasa tersenyum walaupun dia bersedih.
Semoga dia sentiasa tabah dan terus tersenyum...

Monday, July 11, 2011

Dalil Cinta

Sekadar gambar hiasan....

Anak : Mak, ayah... Lisa dah buat keputusan. Lisa nak kahwin.

Ibu : Kamu ingat senang ke nak kahwin, nak menguruskan rumah tangga. Masak pun kamu tak
pandai, baju kamu pun mak yang basuh.

Anak : Perlahan-lahanla mak belajar. Nak buat macam mana dah tak boleh berpisah. Lebih baik
kami kahwin.

Ibu : Sebelum itu mak nak tanya, apa jaminan kamu yang perkahwinan kamu boleh kekal untuk
selama-lamanya? Apa? (Si ibu risau memandangkan si anak masih belajar dan mentah
tentang urusan rumah tangga)

Anak : CINTA!!!

Ayah : Gulp!!!
(Petikan dialog daripada drama 'Dalil Cinta' - cerekarama tv3)

Allah telah mensyariatkan perkahwinan untuk memenuhi fitrah semula jadi manusia dengan cara yang halal dan diredai. Hukum asal perkahwinan adalah harus. Para ulama telah menetapkan hukum perkahwinan boleh berubah-ubah mengikut keadaan seseorang.

Harus :
Orang yang tidak mempunyai tuntutan mendesak untuk berkahwin dan tidak ada
perkara yang mengharamkannya.

Wajib :
Orang yang berkemampuan (menunaikan nafkah zahir dan batin, sihat tubuh badan)
serta dikhuatiri terjerumus kepada zina kerana tidak mampu mengawal nafsu.

Sunat :
Orang yang berkemampuan, ingin berkahwin dan tidak dikhuatiri terjerumus kepada
zina.

Makruh :
Orang yang berkeinginan untuk berkahwin tetapi tidak mampu dan tidak
memudaratkan pasangannya.

Haram :
Orang yang tidak berkemampuan dan diyakini akan melakukan kezaliman terhadap
pasangannya.

Bagaimana dengan Lisa? Adakah dia betul-betul mempunyai kemampuan untuk menguruskan rumah tangga? (Untuk mengetahuinya kena tonton cerita ini dan boleh buat carian di youtube)

Sabda Rasulullah S.A.W,
Maksudnya : Daripada Abdullah katanya: sabda Rasulullah S.A.W kepada kami: wahai pemuda! Sesiapa yang berkemampuan dalam kalangan kamu menyediakan belanja kahwin, maka hendaklah ia berkahwin kerana perkahwinan itu dapat menutup pandangan (daripada melihat maksiat) dan memelihara kemaluan (daripada melakukan zina) sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu dapat mengurangkan hawa nafsu.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Cinta sebagai jaminan kebahagiaan sebuah perkahwinan... Sejauh manakah kebenarannya??? Sebuah perkahwinan biasanya dibina bermula dengan cinta. Cinta adalah dalil yang sering digunakan sebagai sebab untuk berkahwin. Cinta merupakan permulaan yang baik sebagai jaminan sebuah perkahwinan itu berterusan baik. Melafazkan janji tidak semudah melaksanakannya. Setelah berkahwin mereka akan berdepan pula dengan tanggungjawab dan sejauh mana kemampuan mereka dalam menguruskan mahligai yang dibina ini.

Kini mereka sudah sedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Segala baik buruk pasangan mereka. Ada kalanya sama ada suami atau isteri akan berubah kerana fitrah manusia itu sendiri yang sentiasa terdedah kepada perubahan. Segalanya mula pudar ditelan masa dan badai mula melanda. Lama kelamaan, jika dibiarkan ia akan bertukar kepada perasaan marah dan benci. Sering kali kedengaran berakhirnya sebuah perkahwinan kerana sudah tiada persefahaman. Di saat ini, apakah sudah tiada lagi cinta? Lafaz aku terima nikahnya yang pernah dilafazkan, apakah semua itu sudah tiada maknanya?

Begitulah... perkahwinan adalah medan perjuangan dan begitulah juga CINTA tidak boleh dijadikan dalil untuk menjamin kebahagiaan sebuah perkahwinan.

(Tulisan ini adalah berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman KAWAN-KAWAN)