Thursday, January 27, 2011

Ingin Seperti Khadijah

"Saya ingin menjadi seperti Khadijah."

Itulah ungkapan yang pernah saya dengar daripada seorang kawan. Waktu itu dia baru bergelar seorang isteri. Katanya, dia ingin membina cinta sehebat Khadijah dalam melayari bahtera rumah tangganya. Sempat saya bertanya kenapa ingin menjadi seperti Khadijah, bukan seperti tokoh-tokoh wanita Islam yang lain??? Katanya, kerana Khadijah adalah isteri kesayangan Rasulullah dan dia benar-benar mendapat cinta daripada Rasulullah di dunia. Cinta antara Rasulullah dan Khadijah tidak setanding dengan cintanya terhadap isteri-isterinya yang lain.

Suatu hari Aishah pernah berkata: "Aku tidak pernah cemburu kepada seorang pun isteri Rasulullah seperti cemburuku kepada Khadijah sedangkan aku tidak pernah melihatnya, akan tetapi Rasulullah selalu menyebutnya." Begitulah hebatnya Khadijah. Dalam dirinya ada kekuatan spiritual dan kejernihan cinta. Dia beriman kepada Allah dan membenarkan risalah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Tidak dapat dinafikan setiap isteri mengimpikan seorang suami sehebat Rasulullah dan seorang suami pula mengimpikan seorang isteri setabah Khadijah. Jika begitu, jadikanlah cinta pasangan (suami isteri) sebagai ibadah untuk memenuhi kekosongan jiwa dan mendorong kebaikan. Semoga kita, umpama Khadijah di zaman kontemporari ini.

Si suami bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga dan si isteri menguruskan rumah tangga termasuk anak-anak. Berkata si isteri, "Duit suami, duit isteri dan duit isteri, duit isteri."
BEGITUKAH???

Sunday, January 16, 2011

Bekal Untuk Ayah

Ayah, sukar digambarkan dengan kata-kata. Ayah yang aku kenal seorang yang kuat bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah. Ayah tekun mengusahakan beberapa bidang sawah demi menyara sebuah keluarga.

Kerja ayah bukan di pejabat yang berhawa dingin, bukan juga dibayar dengan gaji empat angka setiap bulan dan tidak diberi cuti setiap hujung minggu... Kerja ayah di bendang padi yang berlumpur dan di bawah terik sinar mentari. Pendapatan ayah akan diperolehi setelah semua padi dituai dan dijual kepada pengilang. Itu pun hanya dua kali setahun. Ayah bekerja tujuh hari seminggu tanpa cuti. (Walaupun cuti umun sempena kemenangan pasukan Harimau Malaya baru-baru ini pun ayah tetap turun ke sawah seperti biasa.)

Hari ini, sebelum mentari mengeluarkan sinarnya, sebelum burung-burung keluar dari sarangnya... ayah sudah turun ke sawah. Banyak kerja yang perlu ayah siapkan sebelum terik panas mentari. Kerja ayah bertambah banyak, setelah beberapa hari lalu sawah ayah ditenggelami air akibat hujan lebat. Ayah perlu menabur biji benih yang baru. Namun, ayah tetap bersemangat untuk melakukan kerja-kerjanya walaupun berulang kali.

Di rumah, emak sibuk menyiapkan sarapan pagi untuk kami. Pagi ini emak memasak bihun goreng. Bihun goreng emak memang sedap, cukup rasa. Walaupun tanpa ayam, daging dan sebagainya ianya tetap sedap kerana bihun itu emak yang masak. Sesuatu yang istimewa tentang masakan emak ialah apa saja yang emak masak dapat bertahan sampai ke petang malah, ada juga sampai keesokkan harinya. Bihun goreng ini juga akan dihantar kepada ayah sebagai bekal sarapan pagi.

Salah seorang adikku dipertanggungjawabkan untuk menghantar bekal ini kepada ayah. Hari ini bekal ayah ialah bihun goreng yang dimasak oleh emak, air teh yang dibancuh oleh emak, keropok goreng yang digoreng oleh adik dan kuih bakar yang dibeli oleh adik. Bekal ini khas untuk ayah yang kami sayangi. Terima Kasih Ayah di atas segalanya....

Wednesday, January 5, 2011

Jangan Seperti Bermain Bola sepak Tanpa Pintu Gol


Suatu petang saya melihat sekumpulan kanak-kanak bermain bola sepak di sebuah kawasan lapang. Anehnya, mereka menendang bola sesuka hati tanpa arah tuju seolah-olah tanpa pintu gol. Akhirnya, bola itu tersasar dan jatuh ke dalam longkang yang berhampiran. Samalah seperti seseorang yang bercita-cita ingin menjadi seorang doktor, malangnya menjadi jururawat. Itu masih boleh diterima, namun ada juga yang tersasar menjadi penagih dadah.

Daripada analogi ini, setiap situasi susah, senang atau mencabar... semuanya akan menjadi mudah apabila kita tahu arah tuju kehidupan kita atau matlamatnya. Sekiranya matlamat itu kabur, maka amat sukar untuk kita mengelak daripada pelbagai lencongan yang melalaikan di hadapan kita. Akhirnya, kita akan tersasar dan lebih malang lagi sekiranya kita tidak sampai ke destinasi matlamat kita.

Sempena melangkah ke tahun baru 2011, selain daripada azam baru... tidak terlambat untuk kita meletakkan tujuan dan matlamat hidup yang jelas. Dengan ini, kita tahu hala tuju kehidupan kita dan apa yang perlu kita kejar. Maka, kehidupan kita tidak akan tersasar dan memasukki lencongan yang salah.

Berbalik kepada cerita sekumpulan kanak-kanak yang bermain bola sepak itu tadi, sekiranya mereka tahu apa matlamat seorang pemain bola sepak sudah pasti mereka akan menendang bola tersebut ke arah pintu gol. Jadi, bola tersebut tidak akan tersasar dan terjatuh ke dalam longkang. Samalah dengan keadaan seseorang yang bercita-cita ingin menjadi seorang doktor. Dia tahu akan hala tuju kehidupannya dan tahu apa yang perlu dikejar. Jadi, dia akan mencapai cita-citanya walaupun pelbagai lencongan yang melalaikan di hadapannya. Dengan ini, dia tidak akan tersasar daripada cita-citanya.

Sering kali juga kita mendengar bicara seperti ini....

"Alahh... dunia tidak penting, akhirat yang lebih penting. Tidak perlu bersusah payah untuk dunia..."

Bukankah dunia adalah landasan untuk menentukan kehidupan yang lebih baik di akhirat??? Kita semua maklum bahawa tujuan kita dihidupkan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Melaksanakan segala perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Di dunialah tempat kita beramal untuk kesejahteraan hidup untuk akhirat. Inilah matlamat jangka panjang kehidupan seorang hamba di muka bumi ini.

Apa yang dapat saya simpulkan... janganlah kita seperti bermain bola sepak di atas padang tanpa pintu gol. Kita tidak boleh hidup sesuka hati tanpa arah tuju dan matlamat yang jelas.
(Coretan ini juga khas untuk diriku....:)

'Hidup ini bukanlah seperti habuk yang berterbangan oleh angin. Hidup kita bukan tiada makna. Setiap kita mempunyai misi yang besar di dunia ini. Setiap kita bukan cuma segolongan manusia atau sekumpulan orang... selagi kita bernafas, selagi kita tidak ditalkinkan atau dikuburkan hidup kita mempunyai misi...'