Thursday, November 5, 2009

HARAPAN OH HARAPAN...

Seorang teman pernah bertanya salahkah kita mengharap? Jawapan saya TIDAK!!! Tetapi, ini tidak bermakna kita boleh meletakkan harapan yang menggunung kepada sesuatu perkara yang tidak pasti tentang kesahihannya. Contohnya, mengharapkan yang kita akan jadi kaya dan banyak duit atau meletakkan harapan yang tinggi kepada seseorang yang kita minati sekian lama akan jatuh hati pada kita suatu hari nanti. Harapan yang sebegini seolah-olah bertaruh dengan nasib. Kita tidak boleh bergantung kepada harapan semata-mata. Keadaan ini boleh kita katakan sebagai angan-angan.

Apa yang saya katakan kita boleh mengharap ialah meletakkan harapan yang disulami dengan gagasan, berupaya membangkitkan motivasi, mencetuskan inspirasi, mengotakan janji dan menjelmakan realiti. Bukan harapan sekadar mimpi. Saya ingin berkongsi tentang kehebatan sebuah harapan. Salehuddin Al-Ayubi, pernah mengharapkan bahawa dialah insan yang akan membuka dan menawan semula kota Baitul Maqdis. Akhirnya, harapan beliau terlaksana. Memang beliaulah insan terpilih yang telah ditakdirkan merebut kembali kota tersebut. Sejarah telah mentakdirkan, harapannya dikabulkan dan akhirnya terbukti, memang dialah insan terpilih yang dimaksudkan, bagi menawan semula kota Baitul Maqdis. Sekiranya seseorang itu mempunyai harapan yang tinggi, seharusnya disertai dengan niat, azam dan usaha yang gigih untuk mendapatkannya.


Semoga harapan kita menjadi sumber inspirasi untuk kita mencapai apa yang kita harapkan. Harapan tidak akan mengecewakan selagi mana ia disertai dengan tindakan dan komitmen. Tetapi amat menyedihkan sekiranya kita berlebihan dalam mengharapkan sesuatu tanpa sebarang tindakan. Begitu juga apabila berbicara tentang si pemberi harapan. Jangan biarkan orang bergantung pada harapan yang kita berikan, sedangkan kita sendiri tidak pasti dengan harapan itu. Kita mungkin tersalah langkah, tersalah pilih, tersalah kata dan tersalah kasih, apabila tersedar perbetulkanlah…Kepada yang mengharap janganlah meletakkan harapan terlalu tinggi. Sekiranya kita terbang terlalu tinggi dan apabila jatuh sakitnya amat teruk dan sukar diubati.


Jika kamu memancing ikan….
setelah ikan itu terlekat di mata kail,
hendaklah kamu mengambil terus ikan itu….
Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja….
Kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup.

“Harapan adalah sarapan yang baik, Tetapi makan malam yang buruk.” (Francis Bacon)

No comments: