Monday, October 5, 2009

ERTI SEBUAH KEMAAFAN...



Hari ini tanggal 16 Syawal 1430 hijrah bersamaan dengan 5 Oktober 2009, bermakna kita masih lagi berada dalam suasana hari raya. Suasana yang agak berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pada bulan inilah kita dapat menikmati pelbagai jenis makanan dari ketupat hinggalah biskut-biskut moden yang lazimnya tidak terdapat pada bulan-bulan lain tapi disajikan pada bulan ini. Jumlah kes kemalangan juga akan meningkat kerana semua orang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. Tidak ketinggalan amalan bermaaf-maafan juga menjadi basahan mulut setiap lapisan masyarakat tidak kira usia dan budaya. Itulah suasana yang berbeza yang dapat kita lihat.



Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah tentang nilai sebuah kemaafan. Setiap orang begitu mudah untuk memohon maaf dan setiap orang juga sedia untuk memaafkan kesalahan orang lain. Begitulah kita digalakkan supaya berlapang dada dan sedia memaafkan kesalahan orang lain serta melupakan segala kesalahan yang berlaku. Uqbah bin Amir pernah berkata, “Hai Rasullulah, khabarkan aku tentang perbuatan yang mulia.” Nabi menjawab: “Hai Uqbah, sambunglah silaturahim orang yang memutuskanmu (silaturahim), berilah sesuatu kepada orang yang kikir dan maafkanlah orang yang menzalimimu.” Ini menunjukkan betapa mulianya amalan bermaaf-maafan sesama kita.



Sifat ini akan mengembalikan diri kita dari kebencian terhadap orang yang menyakiti, menzalimi dan mengherdik kita. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bersifat pemaaf dan seseorang itu akan senang untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Semua orang berharap setelah berakhirnya Aidilfitri semua kesalahan sesama mereka telah dimaafkan dan tiada lagi permusuhan dan persengketaan. Ikatan persaudaraan yang dahulunya jauh kini dapat bertaut kembali tanpa apa-apa perasaan negatif terbuku di hati. Sekiranya masih ada tersimpan prasangka buruk di dalam hati maka itulah salah satu faktor yang menghalang seseorang untuk Berjaya dalam hidup. Oleh itu, marilah kita saling bermaafan dengan seikhlas hati dan semoga Syawal kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas serta membawa perubahan kepada hidup kita untuk menjadi yang lebih baik daripada semalam.
"Tidaklah Allah menambahkan kepada hambaNya yang memberi pintu maaf kecuali darjat kemuliaan"
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


LAPANGKANLAH HATI MAAFKAN SEGALA KESALAHAN...


والله أعلم

No comments: