Wednesday, September 17, 2014

Kunjungan Yang Tidak Terduga

Assalamualaikum...

Jam sekarang hampir menunjukkan pukul 10.30 malam. Mata masih lagi segar, belum mengantuk dan jari jemari teringin menaip sesuatu dan idea sudah tidak boleh lagi disimpan, perlu dilontarkan...

Sejak akhir-akhir ini saya sering dikunjungi oleh orang-orang yang sudah bertahun-tahun tidak saya temui. Tidak pernah terlintas di benak fikiran bahawa saya akan bertemu dengan mereka. Beberapa bulan lepas saya dikunjungi oleh seorang kawan lama yang dikenali sewaktu di universiti. Banyak kenangan kami sewaktu bersama. Yang tidak dapat saya lupakan, dia pernah bawakan saya isi buah durian yang sudah diasingkan dari kulitnya dengan menaiki bas.

Pada hari itu, sebaik sahaja selesai mesyuarat saya bergegas pulang ke pejabat setelah mendapat panggilan dari seorang kawan lain mengatakan ada seseorang yang sangat saya kenali ingin berjumpa. Sebaik sahaja sampai di pintu pejabat dia tiba-tiba muncul di hadapan... sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu. Kini dia adalah seorang peguam dan sudah memiliki sebuah keluarga dan seorang anak yang comel. Happy for you my friend.

Cerita seterusnya pada minggu ini, beberapa hari yang lepas. Asyik saya menyiapkan kerja, seseorang mengetuk pintu bilik pejabat dan setelah dibuka dari luar... "arrghhh rindunya"... itu ayat pertama yang kami sama-sama laungkan. Dialah kawan saya yang banyak membantu dan memberi semangat sewaktu kami sama-sama berada di taman ilmu dan budi beberapa tahun dahulu. Dia juga sudah berjaya, mempunyai firma guaman sendiri dan juga sebuah keluarga yang bahagia. Congrats my friend, happy for you too. Walaupun kunjungan-kunjungan ini hanya sekejap, namun sudah cukup untuk mengeratkan kembali ukhuwah yang sudah terjalin.

Saya sudahi coretan malam ini dengan kata-kata ini yang saya petik dari buku SMILE...

'Rakan-rakan di alam pekerjaan berbeza dengan rakan-rakan di alam persekolah. Ketika kita bersekolah kita berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa menjangka dia menjadi orang hebat pada masa akan datang. Mereka mempunyai nama tersendiri dalam dunia masing-masing, tetapi kerana persahabatan yang bermula dari nama yang kecil sehingga besar... itu yang menjadi lebih telus, ikhlas dan berpanjangan.'

Buat kawan-kawan saya itu terima kasih di atas kunjungan kalian. Semoga kita berjumpa lagi dan esok saya akan dikunjungi lagi oleh seseorang...♥

Sekian dan selamat malam...♡

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...