Tuesday, July 31, 2012

Iktibar Daripada Sebatang Pensel

Pernah seorang anak bertanya kepada ibunya yang sedang menulis. 

"Apa ibu sedang tulis? Ibu menulis tentang siapa?"
"Ibu menulis tentang diri kamu, tetapi ada yang lebih penting daripada itu iaitu tentang pensel ini."
"Apa yang istimewa tentang pensel ini?" tanya si anak.
"Ibu berharap hidupamu adalah seperti pensel ini. Walaupun sebatang pensel, ada lima nilai yang boleh kita pelajari daripadanya."

  • Pensel ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini, jangan lupa adanya kuasa yang membimbing langkah hidupmu iaitu Allah S.W.T. Ibaratnya, sebatang pensel yang melakar tulisan hebat di atas kertas kerana adanya tangan yang memegangnya.
  • Ketika menulis, pensel kerap menjadi tumpul. Kita terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensel ini pasti menderita ketika diasah, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya. Begitu juga dengan hidup ini. Kita mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk diri kita menjadi lebih baik.
  • Pensel mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini. Begitu juga dengan hidup kita ini, sentiasa memperbaiki kesalahan agar sentiasa berada di landasan yang benar.

  •  Tahukah kita mana yang lebih penting, luar atau isi pensel? Sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kamu dan hindarilah.
  • Pensel selalu meninggalkan tanda atau goresan. Begitu juga kita, apa sahaja yang kita buat pasti akan meninggalkan kesannya kepada diri atau orang lain. Oleh itu, berhati-hati dan bijak dalam bertindak.
Begitulah ibrah yang boleh diambil daripada sebatang pensel untuk diterapkan dalam kehidupan kita. Semoga hidup ini lebih dinamik dan bermatlamat.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...